Jumaat, 20 Februari 2009

INSYIRAH


Suasana malam itu khali. Haji Sibyan masih lagi berteleku di atas tikar sejadah dari tadi. Sejak pulang daripada masjid, beliau terus-menerus mengerjakan solat sunat. Tanpa putus. Sengaja beliau panjangkan ruku’ dan sujud.

Ruku’, bagaikan binatang yang berkaki empat. Dengan ini, Haji Sibyan merasakan dirinya hina sekali. Meskipun Allah memerintahkan hamba-Nya duduk dalam keadaan posisi sebegitu, namun mereka hanya mengikut tanpa banyak soal. Dalam ruku’ itulah Haji Sibyan membesar-besarkan Allah walaupun posisinya dalam keadaan yang menghinakan.

“Maha suci Allah, empunya kekuatan, kerajaan, kesombongan dan kebesaran”.

Dalam sujud, beliau merapatkan dahi ke tanah. Menyedarkan dirinya hanyalah dari tanah. Asalnya pancutan air mani yang hina, keluar dari saluran kencing yang jelek. Namun daripada air mani yang hina itulah, terbentuklah dirinya. Sekiranya manusia tidak menyedari hakikat diri ini, maka manusia tidak lebih daripada air mani. Dalam sujud inilah, Haji Sibyan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.




“Biarlah yang mencipta menentukan hidup kita”.

Itulah pesan gurunya dahulu.

“Empat,” kata gurunya. “Kamu kena ingat empat perkara ini Sibyan. Urat, darah, daging dan tulang, semuanya mesti tunduk akur kepada Allah. Pengabdian kepada Allah adalah mesti sepenuhnya, kerana kita hanya hamba yang lemah. Sibyan, cuba kamu terangkan apa yang kamu dapat daripada aku sepanjang kamu bersamaku,” gurunya bertanya.

Sibyan datang berguru di Kalimantan semata-mata ingin menambahkan ilmu di dadanya. Ilmu syariat dengan tujuan menjaga diri secara luaran. Halal dan haram mesti diketahui, perkara syubhat mesti dielakkan.

Ilmu hakikat untuk menajamkan mata hati, basirah. Mata hati mesti sentiasa digilap agar terhijablah yang tertutup, terburailah segala rahsia yang tidak tersingkap. Orang yang bersih hati akan semakin takut kepada Allah dan akan sentiasa berbasahkan air mata.

Ilmu persilatan adalah memperkasakan diri, dan yang terpenting ialah disiplin dan keyakinan. Umat Islam mesti kuat, tidak boleh lemah.

Sibyan masih ingat, sahabat nabi, Abu Ayyub al-Ansari masih bersama angkatan perang bagi membuka kota Konstantinopel meskipun telah berusia 81 tahun. Rahsia kekuatan sahabat besar itu ialah keinginan jihad yang memuncak di samping ketajaman mata hati dan tubuh yang terlatih.

Hassan al-Banna berkata, “Berikan aku 300 pasukan..”

“…Dadanya sarat dengan ilmu, hatinya bersih dengan taqwa, jasadnya terlatih, maka ketika itu, jika kalian mengajak aku untuk menerobos langit tujuh lapisan, menembusi bumi tujuh petala, menghancurkan kepala penjajah, maka aku sanggup”.

Haji Sibyan beristighfar berkali-kali. Sudah enam rakaat solat yang dikerjakan olehnya. Sujud akhir mengambil masa 20 minit. Beliau menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Kenangan bersama guru bermain-main bagaikan satu tayangan di benaknya. Rindu sungguh Haji Sibyan kepada gurunya yang sangat berilmu dan bertaqwa itu.

Haji Maniyah, itulah nama gurunya. Seorang pendakwah yang tekun dan tidak kenal lelah. Seorang alim yang tidak pernah takabbur. Haji Maniyah sentiasa berasa dirinya berdosa. Setiap malam beliau menangis dan merintih. Apabila beliau menjadi imam, pasti jiwa yang lain akan turut sebak.

Haji Maniyah seorang yang sangat lembut dan perahsia.

“Aku berdoa kepada Allah agar dibuang kasyaf setelah aku menikmatinya. Mendapat kasyah membuatkan aku tidak selesa kerana aku dapat melihat kekotoran orang lain. Sedangkan aku lebih suka jika aku nampak apa silap dan dosa aku sehingga aku boleh bermuhasabah,”.

Haji Maniyah seorang yang sangat rajin membaca al-Quran.

“Aku telah memaksa diri aku untuk mengkhatamkan al-Quran setiap minggu. Jika tidak, aku akan menghukum diri aku berpuasa 10 hari berturut-turut demi menebus kelemahan aku. Aku tidak mahu memanjakan diri aku”.

Haji Sibyan meneruskan istighfarnya. Terasa lemah sungguh dirinya. Dirinya bagaikan kotoran yang melekat dan tidak mampu terbuangkan. Pernah saya melihat Haji Sibyan membaca kitab Aqidatul Mukmin karya Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri sambil menangis.

Apabila saya merapatinya, beliau terkejut dan cepat-cepat mengesat matanya. Kemudian beliau tersenyum dan melayan saya seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun saya tahu, Haji Sibyan menangis kerana beliau tidak mampu mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab tersebut.

Saya sangat menghormati beliau.

“Haji, ana ingin bertanyakan satu perkara daripada haji jika tidak keberatan,” aku memulakan perbualan sambil mengambil tempat di sisinya setelah dipelawa. Haji Sibyan tersenyum manis. Ayah Insyirah ini memang seorang yang sangat peramah dan pemurah. Tingkahnya tumpah kepada semua anaknya. Insyirah juga tidak terlepas.

“Ada apa nak?” Alamak, orang tua ni panggil saya ‘nak’ pula. Dah tak sabar ke, bisik hati nakal saya.

“Apa erti tasawuf sebenarnya haji?” tanya saya seadab mungkin. “Anak, tasawuf ini bermaksud, satu proses menyingkirkan keinginan nafsu dan membuka ruang untuk nur Illahi bertapak,” jawab Haji Sibyan ringkas.

Sebenarnya sebelum ini saya pernah bertemu dengan Insyirah. Ketika itu di padang. Ia asyik sekali membaca surah al-Rahman dan saya mendengar kejauhan. Suaranya merdu sekali. Makhrajnya baik, sifat hurufnya kemas dan lagunya tersusun.
Insyirah tidak lekang membaca al-Quran. Zainab menceritakan, Insyirah membaca al-Quran seolah-olah ia adalah gadis perindu al-Quran. Bangun sahaja dari tidur, selepas mengucapkan tahmid, terus sahaja ia membaca tiga Qul sebanyak tiga kali setiap satu.

Selesai sahaja menunaikan solat Subuh, Insyirah akan berteleku di atas tikar sejadah dan akan menghabiskan satu juzu’ al-Quran. Inilah rutin harian Insyirah. Ia memang seorang gadis perindu al-Quran. Semacam, al-Quran ini darah yang mengalir dalam dirinya tanpa henti.

“Assalamualaikum ukhti. Maaf ana menganggu,” tegur saya. Saya bersama dengan Abu ketika itu. Insyirah terkejut. Sambil membetulkan pakaiannya Insyirah menjawab salam kami.

“Ukhti, kami sebenarnya kalaulah ukhti tidak keberatan, ingin sekali tahu apa kesudahan perguruan Haji Sibyan. Dulu, Hajjah Ruqaiyah tidak sempat menghabiskan ceritanya,” tanya Abu.

“Oh cerita yang tu. Abi merahsiakan kesudahan perguruannya. Cuma abi ada menyebut satu sahaja kesimpulan yang dapat abi buat,” saya semakin dikejar perasaan ingin tahu. Insyirah tersenyum dan memulakan ceritanya.

Maafkan saya, saya terpaksa merahsiakan apa yang disebut oleh Insyirah kepada saya. Ini kerana saya telah berjanji dengannya untuk merahsiakan perkara ini. Hanya Abu dan Faten sahaja yang mengetahuinya.

Saya memohon maaf kepada semua pembaca di atas kerahsiaan ini. Hari itu, selepas puas kami mendengar penerangan daripada Insyirah dan meninggalkannya, kami lihat gadis yang manis itu meneruskan pengajian al-Qurannya. Benarlah, Insyirah adalah gadis perindu al-Quran.
















5 Cadangan/Pandangan:

Tanpa Nama berkata...

teruskan menulis kisah insyirah. samaada ini kisah benar atau hanya ilustrasi, itu tak penting. yang lebih penting, ada yang boleh dijadikan pedoman..mencari al-Murshid

Tanpa Nama berkata...

ada bakat tulis novel rupanya ustaz ni..boleh buat buku satu..mana tau seletup ayat2 cinta.

Tanpa Nama berkata...

Hmmmmmm.......

Tanpa Nama berkata...

drama...drama...drama...

fataat on 4 Mac 2009 pada 12:19 PG berkata...

mne sambungannye??
dah lame tggu...

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE