Memaparkan catatan dengan label Fikrah Penulis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikrah Penulis. Papar semua catatan

Selasa, 20 Januari 2009

Ceramah Saya Di Gombak Mengenai Isu Palestin-Gaza

1 Cadangan/Pandangan


Klik di bawah untuk lihat di Youtube dan download.

1. Pidato 1

2. Pidato 2

3. Pidato 3

4. Pidato 4
Read More......

Rabu, 21 November 2007

Pemikiran Menongkah Arus

1 Cadangan/Pandangan
Ada beberapa perkara yang menyusutkan benak pemikiran saya. Ia cukup kusut dan menyesakkan dada. Satu pihak mengadakan demonstrasi aman dikatakan ganas dan diumpamakan seperti beruk-beruk di jalan raya sedangkan apabila satu pihak lagi melakukan perkara yang sama malah dalam bentuk yang ganas, maka ia dianggap sebagai perwira.

Apabila ada orang bertindak membakar bendera, maka ia dianggap sebagai penderhaka negara dan diburu. Sebaliknya apabila ada orang menggunakan bendera menutupi anggota badan mereka dengan cara yang mengaibkan, seorang pun tidak bangkit mempertahankan kemuliaan patriotis. Golongan agamawan diminta untuk turun padang bagi menyelesaikan permasalahan yang melibatkan soal gejala sosial dan jenayah sadis, tetapi tazkirah dalam bulan Ramadhan pun disekat, malah khutbah pun di’teks’kan.

Pembangkang dituduh memanipulasikan mahasiswa tanpa bukti alibi tetapi jelasnya kain rentang yang menunjukkan Umno masuk kampus terpampang di kolej kediaman. Jabatan fatwa diwujudkan tetapi semua fatwa mesti berlandaskan ‘mazhab’ pemerintah. Institut Pengajian Tinggi (IPTA) diminta meningkatkan kualiti masing-masing dalam bersaing dengan universiti lain tetapi kongkongan yang pelbagai dikenakan mengikut mazhab baru tadi. Mahasiswa diminta bersedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara suatu masa tetapi hedonis menjadi paparan utama IPTA dan pemikiran mahasiswa disekat dan dibatas-bataskan, seolah-olah lembu yang dicucuk hidung. Dilepas ke padang ia makan, lalu ia berak merata-rata kerana tugasnya hanya makan, makan, dan makan, kemudian tidur.

Ketika Islam dimuatkan dalam satu slogan, jenayah-jenayah sadis kian meningkat. Era Wawasan 2020, jenayah yang berlaku tidaklah begitu sadis dan menyeramkan. tetapi apabila Era Islam dimuatkan dalam kantung slogan, jenayah kian memuncak dan gejala sosial kian menyempitkan. Saya terduduk apabila mendengar kes seorang budak lelaki yang belum baligh berumur 10 tahun melepaskan nafsu kepada budak perempuan seusia lima tahun. Kes buli pula merebak ke sekolah rendah sebagaimana gejala sosial. Masjid-masjid hanya penuh semasa solat Jumaat dan solat raya sedangkan kelab-kelab malam hidup sepanjang masa kecuali dua waktu tadi, seolah-olah suasana tawaf yang hidup di Mekah dan hanya berhenti apabila waktu solat dan ketika pembaikpulihan dilakukan.

Itu pun mereka sudah melupakan dan mengikis ingatan orang ramai terhadap serangan dan pembunuhan kejam yang berlaku di Memali yang menyaksikan seorang guru agama syahid. Era Islam sebagai slogan mungkin tidak menyaksikan kematian golongan agama dengan cara sebegitu tetapi jiwa beragama dibunuh semahu-mahunya, ajaran-ajaran sesat makin bertambah bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan sehingga sukar dibendung. Pemikiran khurafat masih menular dalam masyarakat Melayu, sehinggakan air perigi yang tiba-tiba bertambah dikatakan air berkt lalu dijadikan penawar.

Saya ingin memfokuskan semula penulisan ini tentang mahasiswa. Adalah sangat pelik apabila kerajaan mahu memastikan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara membangun tetapi menghalang mahasiswa daripada berpolitik semasa masih belajar. Alasannya sangat kontang, iaitu supaya fokus itu tidak lari. Tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah, mahasiswa yang minat berpolitik tidak pernah menyimpang daripada fokus mereka bahkan mereka semakin bertambah matang dan berkembang sebaliknya mahasiswa yang hanya menjadi ulat buku tenggelam dalam dunia akademik mereka dan tidak mampu memberikan sesuatu yang bermakna kepada negara.

Apabila mahasiswa disekat daripada berpolitik dalam usia semuda ini, maka bagaimana kerajaan ingin melahirkan ahli politik dan pemimpin yang berwibawa dan berdaya saing? Sepatutnya peluang ini diberikan pada masa sekarang cuma yang paling penting ialah; mahasiswa dan akademik tidak boleh dipolitikkan sebagaimana yang berlaku sekarang.

Gamis sekali lagi memperingatkan mana-mana parti politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang supaya tidak mempolitikkan mahasiswa dan kami di peringkat Gamis bersedia untuk menjadi kuasa penentu dalam Pilihan Raya Umum kali ini. Kita melaungkan amaran kepada kerajaan bahawa sekiranya kerajaan tidak menukar beberapa dasar yang kita kira menyusahkan, maka kita tidak teragak-agak untuk turun ke padang untuk mengubah kerajaan yang sedia ada. Selain itu juga, kita memperingatkan parti-parti pembangkang agar jangan hanya pandai mengkritik sebaliknya mereka sendiri perlu benar-benar bersedia dengan agenda yang dituntut oleh rakyat selama ini.

Read More......

Menjana Pemikiran Muda

0 Cadangan/Pandangan
Sejak zaman-berzaman, kegemilangan sesebuah tamadun adalah bergantung kepada kekuatan pemuda yang hidup pada zaman mereka. pemuda digambarkan sebagai satu golongan yang bersemangat untuk merealisasikan apa yang terbuku dalam hati mereka dan merekalah golongan yang beridealisme tinggi. Adalah silap apabila wujud suara yang menghadang idealisme kerana kadang-kala idealisme harus dikembangkan untuk mewujudkan satu impian dan plan bertindak yang realistik dan sistemik.
Perjuangan Rasulullah SAW yang tampak idealis didokong oleh golongan pemuda di saat golongan tua menolak baginda SAW. Pemuda berada di celah-celah kegilaan dan apabila mereka inginkan sesuatu, mereka akan lakukan dengan semangat ‘kegilaan’ yang ada pada diri mereka. Saya suka istilahkan kegilaan itu sebagai semangat ‘ekstasi’.
Ekstasi ialah satu saat kemuncak dalam hidup seseorang yang mana ketika itu ia akan berasa satu kekuatan yang entah dari mana muncul dalam diri mereka dan mendorong mereka untuk bertindak di luar kemampuan mereka. Ini digambarkan oleh Zaid bin Harithah yang hanya mengambil masa selama tujuh hari untuk mempelajari dan menguasai bahasa Yahudi. Imam al-Syafei sendiri mempamerkan ekstasi beliau apabila mula menjadi guru kecil sewaktu berumur 10 tahun dan dilantik sebagai mufti muda ketida usianya mencecah 15 tahun.
Ekstasi melahirkan satu perubahan, atau bisa kita sebut sebagai reformasi. Perubahan merupakan satu perkara yang tidak tetap, dan setiap zaman memerlukan perubahan. Hal ini digambarkan oleh seorang ulama yang memelihara anjing dan beliau telah dikritik oleh para pendokong mazhab anutan beliau. Beliau lantas menjawab: “Sekiranya guru kita berada dalam lingkungan kita pada masa sekarang, nescaya bukan sekadar anjing, bahkan singa pun boleh kita pelihara”.
Setiap manusia, bahkan negara dan bangsa memerlukan kepada perubahan. Bangsa yang tidak berani berubah adalah bangsa yang lemah dan dayus dalam berijtihad. Negara yang tidak berubah adalah negara yang kekal mundur dan tidak akan maju selamanya. Pemikiran lama akan ditenggelamkan oleh pemikiran baru. Albert Einstein berkata: “Masalah zaman kita tidak mampu untuk diselesaikan oleh pemikiran pada zaman kita”. Perubahan menuntut kecekalan dan keberanian, bukannya jiwa-jiwa yang dayus dan lemah. Orang yang penakut akan kekal berada di tampuk yang lama kerana mereka sudah hidup dalam zn acuh tidak acuh, namun orang yang berani akan melakukan perubahan dari masa ke masa tanpa mengira cercaan dan gugatan terhadap mereka.
Hanya pemuda dan kepemudaan mampu mendokong perubahan. Tatkala para malaikat tidak sabar untuk menghumbankan bukit-bukau ke atas penguni Thaif yang mencerca Rasulullah SAW, baginda lantas menghalang niat para malaikat. Pandangan baginda ternyata jauh dan analitikal: “Boleh jadi lahir daripada sulbi mereka, zuriat yang akan mengimani risalahku ini”.
Ya, generasi baru harus dibentuk mulai sekarang. Generasi yang tidak hanya melihat dengan pandangan singkat dan dekat, tetapi generasi berpandangan jauh dan meluas, seolah-seolah sayap matahari yang tidak hanya melimpah di satu tempat tetapi menerangi seluruh alam. Kta boleh perhatikan riak-riak perubahan yang sedang berlaku di Turkey. Sepanjang mereka berpayungkan sistem sekularisme, ekonomi mereka tidak berkembang dan mereka hidup dalam suasana yang kucar-kacir. Nama mereka tidak disebut-sebut sebagai sebuah negara yang maju setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tetapi setelah wujudnya generasi baru yang membawa pemikiran dan budaya hidup yang menongkah arus, maka kita dapati gelombang perubahan berlaku dengan pesat. Malah, Turkey merupakan negara ke-6 termaju dalam Eropah dan negara ke-16 di dunia yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar. Apa yang menarik juga Turkey merupakan negara dunia ke-13 yang paling menarik dan berdaya saing.
Pasukan bola sepak Korea Selatan juga melonjak naik secara tiba-tiba di mata dunia. Jepun semakin berkembang dengan revolusi yang mereka lakukan dalam serba-serbi kehidupan mereka. Ramli berjaya membuka perusahaan menjual daging Burger meskipun pada awalnya beliau diketawakan. Immanuel Kant, Alexander Graham Bell, adik-beradik Wright, dan lain-lain merupakan pemikir pada zaman mereka dan mereka berjaya melakukan perubahan yang drastik hasil pemikiran ’pembaharuan’.
Umat Islam harus memiliki jiwa kepemudaan yang tinggi. Jiwa kepemudaan tidak hanya dimiliki oleh pemuda, malah semua orang berhak untuk memiliki jiwa dan semangat kepemudaan ini. Jiwa yang sentiasa meronta-ronta untuk membuahkan pembaharuan dari semasa ke semasa supaya umaah tidak ketinggalan dan hanya mengikut dari belakang.
Jiwa kepemudaan juga perlu supaya kita tidak hanya memasang angan-angan seperti Mat Jenin, atau hanya berperilaku seperti Luncai dengan labu-labunya. Cukuplah, kita sudah tidak tahan dan sanggup didendangkan dengan cerita-cerita yang melembapkan pemikiran kita seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Awang Kecil, Sang Luncai sebagaimana negara Arab yang mempopularkan kisah Juha, Abu Nawas dan 1001 Malam, sedangkan Barat sudah meluaskan empayar penguasaan mereka hingga ke angkasa lepas.
Benarlah sebagaimana kata Ustaz Kamil Abdul Majid, orang kita melihat udara lalu terciptalah layang-layang sedangkan Barat mencipta kapal terbang. Orang kita melihat sungai untuk berenang, sedangkan Barat mencipta kapal. Malah saya ingin menambah, orang kita melihat bulan untuk menentukan waktu Ramadhan dan Syawal, sedangkan Barat melihat bulan lalu dijajahnya. Tepuk dada, tanyalah selera...
Read More......

Sabtu, 20 Oktober 2007

Perutusan Aidilfitri

0 Cadangan/Pandangan
Ramadhan telah beberapa hari berlalu pergi meninggalkan kita, dan kini Aidilfitri pula menjengah dengan membawa keceriaan, kebahagiaan dan 1001 rahmat tersirat. Kedatangan Aidilfitri seolah-olah merupakan hari sambutan kemenangan bagi umat Islam bukan sahaja kerana telah berjaya menyempurnakan puasa sebulan Ramadhan, tetapi juga sebagai perayaan kemenangan bagi kejayaan kita dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lalu. Walaupun kita tidak dapat merangkul majoriti kerusi yang dipertandingkan, namun keberhasilan kita dalam menambah jumlah kerusi yang dimenangi merupakan suatu kemenangan. Puji-pujian tetap kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana kita masih berjaya mengekalkan kerusi dengan memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kejayaan tersebut kembali mengingatkan kita kepada ibrah atau pengajaran Perang Badar yang dilalui oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. pada detik 17 Ramadhan tahun ke- 2 Hijrah.Antara pengajaran yang didapati daripada peristiwa Perang Badar ialah perang ini terjadi pada bulan Ramadhan. Walaupun umat Islam menghadapi suasana getir ketika menghadapi musuh, namun ia tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk terus berpuasa. Inilah sebenarnya yang menguatkan umat Islam pada ketika itu. Keadaan ini serupa dengan Pilihan Raya Kampus (PRK) di seluruh institusi pengajian tinggi yang turut diadakan pada bulan Ramadhan, iaitu bermula dengan Hari Penamaan Calon pada 26 September 2007 bersamaan dengan 14 Ramadhan 1428 Hijrah, sementara hari membuang undi pula pada 2 Oktober 2007 bersamaan dengan 20 Ramadhan 1428 Hijrah. Mungkin inilah juga antara hikmah kita ‘berperang’ di bulan Ramadhan, yang mana pada bulan ini kita mendapat kekuatan melalui ibadah puasa yang kita jalani, ibadah tarawih pada malam hari dan qiyamullail di sepertiga malam. Selain itu, dari segi kelengkapan dan peralatan perang kaum Muslimin dalam Perang Badar hanya ala kadar, iaitu 2 ekor kuda dan 70 ekor unta, bahkan satu ekor dinaiki sampai 3 orang. Dari segi jumlah tentera pula, kaum Muslimin hanya berjumlah 313 orang yang terdiri daripada 82 Muhajirin, 61 daripada Suku Aus dan 170 daripada Suku Khazraj dan jumlah kecil ini mampu menghadapi kekuatan 1000 orang Kafir Quraisy yang lengkap bersenjata. Hal ini serupa dengan keadaan kita dalam menghadapi PRK dengan suasana yang serba kurang dari segi ‘persenjataan’ dan ‘kelengkapan perang.’ Begitu juga jumlah ‘pekerja’ yang bertungkus-lumus dalam menghadapi PRK adalah sedikit kerana kita bekerja secara sukarela dan seikhlas hati kerana Allah, bukan kerana ditawarkan apa-apa ‘habuan’ dunia. Lantaran keletihan dan kelelahan yang kita hadapi sepanjang musim PRK yang lalu, kedatangan Aidilfitri kali ini terasa lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya, kerana kedatangannya seolah-olah untuk menyambut kemenangan dan membawa kegembiraan kepada kita. Bersama-samalah kita bersyukur kepada Allah di atas percaturannya yang sangat cantik, sesuai dengan Kebesaran dan Keagungan-Nya. Walaupun begitu, janganlah kita semakin alpa dan leka dengan kemenangan yang dikecapi ini, kerana mungkin Allah sengaja mahu menguji kita. Hendaklah kita terus tingkatkan usaha dan megatur strategi demi mengekalkan kemenangan, bahkan berusaha untuk ‘marampas’ majoriti kerusi yang diduduki oleh pihak lawan. Untuk akhirnya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), seterusnya kepada seluruh umat Islam yang mendokong dan menyokong perjuangan Islam.Sekian. Read More......

Rabu, 25 Julai 2007

Modal Insan Dan Budaya Keilmuan

1 Cadangan/Pandangan
oleh:Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor

Istilah modal insan pada mulanya dipercayai pertama kali dibincangkan oleh Arthur Cecil Pigou (1877-1959) dalam karyanya, A Study in Public Finance pada tahun 1928. Kemudiannya diikuti tokoh-tokoh seperti Jacob Mincer dalam artikelnya Investment in Human Capital and Personal Income Distribution pada tahun 1958 dan Gary Becker dalam Human Capital pada tahun 1964. Pada aspek yang tertentu, idea mereka menyamai idea Karl Marx (1818-1883) iaitu konsep labor power.

Bagi definisi Barat, pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Menurut perspektif mereka, mereka begitu memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat.

Sebaliknya, pada perspektif Islam, modal insan dilihat tidak sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional bahkan melibatkan pembangunan spiritual. Islam melihat modal insan sebagai suatu konsep yang amat luas dan lebih terperinci tanpa terdapat lompang-lompang yang tidak dihuraikan. Definisi yang komprehensif ini dapat menjelaskan betapa pentingnya sumber ini kepada sesebuah negara khususnya umat Islam.
Persoalan modal insan dalam konteks pembudayaan ilmu dapat dikesan dalam Falsafah Pendidikan di Malaysia iaitu suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.
Modal insan ataupun sumber manusia (human resource) yang menjadi pemacu kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah tamadun yang wujud di dunia perlu dititikberatkan dalam kaca mata pembudayaan ilmu. Perkara ini begitu penting terutamanya apabila disentuh siapakah pewaris khazanah dan amanah negara? Sudah pasti akan terbayang di mata bahawa pewaris terbaik yang paling hampir untuk menerajui negara ialah golongan mahasiswa di seluruh negara. Golongan ini perlu diasuh dan diberi latihan mencukupi bagi memantapkan elemen-elemen sumber manusia.

Sekiranya pembentukan ini terbantut, sudah pasti harapan menggunung terhadap mereka akan turut hancur. Mereka perlu diberi kefahaman yang jelas berkaitan ilmu dan maklumat. Manusia yang berkualiti ialah mereka yang memiliki ilmu dan nilai ilmu yang berkualiti. Ilmu dapat memandu mereka berfikir dan bertindak. Tiada ilmu, maka tiadalah ketamadunan yang didambakan selama ini. Mereka sudah pasti tidak akan dapat mengubah kualiti hidup mereka kepada yang lebih baik.

Menurut Ibnu Khaldun dalam Mukadimahnya iaitu, ‘’kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah serta makna kepada manusia dan bangsa tersebut’’. Ilmu tunjang kepada kekuatan dan kemajuan kemanusiaan. Ia telah pun dititikberatkan sejak zaman Greek lagi di tangan tokoh-tokoh penentang golongan Sophis iaitu golongan yang menggelar diri mereka sebagai golongan yang bijak tapi sebenarnya mereka tidak layak kerana ilmu mereka lebih bermatlamatkan ganjaran.

Walaupun begitu, selaku umat Islam kita percaya bahawa sebelum kewujudan golongan Sophis dan ahli falsafah Greek, telah muncul agama Hanif iaitu agama Tauhid atau agama Islam yang berasaskan pancaran ilmu wahyu yang lebih berautoriti di samping ilmu akal. Antara zaman yang paling dekat dengan zaman Greek menurut kajian ialah zaman Nabi Sulaiman, putera Nabi Daud yang perkasa dan dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai kebolehan termasuk keagungan kerajaannya yang sudah pasti berasaskan kepada ilmu berkualiti bersalut pancaran tauhid ketuhanan kepada Allah.

Dalam konteks mahasiswa, mahasiswa merupakan antara entiti terpenting dalam sesebuah negara yang memerlukan pengganti berkualiti. Begitu juga apabila disentuh berkaitan universiti, mahasiswa dan universiti sepersis irama dan lagu yang tidak akan dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling memerlukan dan mempunyai perhubungan yang begitu rapat. Universiti merupakan institusi pendidikan yang kaya dengan khazanah keilmuan dan sarat dengan pembudayaan ilmu seperti membaca, menulis, berfikir, menyelidik, berhujah dan seumpamanya. Di sini berkumpulnya ribuan sarjana, ilmuwan dalam kepelbagaian bidang yang diceburi.

Hubungan unik antara universiti dan mahasiswa akan kelihatan luar biasa dan ganjil sekiranya elemen pembudayaan ilmu tiada dan semakin hari kian merudum. Keganjilan ini dirasai lantaran merasai bahawa terdapat perbezaan ketara antara institusi ini dengan institusi pada peringkat bawah jika kedua-duanya sama sahaja mutunya. Sesungguhnya universiti adalah tempat pembudayaan ilmu secara formal yang paling ideal. Tiga fungsi utamanya ialah pemindahan ilmu, penyumbang ilmu dan penggunaan ilmu. Tiga fungsi inilah dianggap sebagai teras kepada falsafah dan matlamat penubuhan universiti.

Namun tiga fungsi ini tidak akan bermakna apabila mahasiswa sendiri tidak menepati ciri-ciri yang sepatutnya. Terdapat persoalan yang memungkinkan kita memahami permasalahan ini. Adakah mahasiswa yang lulus cemerlang PNGK tetapi tidak dalam akhlaknya, layak universiti banggakan? Atau adakah mahasiswa yang berpeluang menjawat jawatan besar dalam sesebuah syarikat terkenal namun besar juga penyelewengannya layak dibanggakan? Atau patutkah universiti berasa bangga dengan mahasiswa yang lebih mengenali para artis berbanding para pensyarahnya? Atau mahasiswa yang rajin membaca komik, majalah hiburan, majalah picisan, dan seumpamanya berbanding jurnal, buku ilmiah, majalah Dewan Masyarakat, Majalah I dan sebagainya yang patut dibanggakan?

Sekurang-kurangnya persoalan tersebut dapat memberi gambaran umum berkaitan perbezaan budaya Ilmu di kalangan mahasiswa. Apatah lagi jika kita ingin mencari mereka yang cenderung kepada budaya berhujah, budaya menyelidik, budaya berfikir, budaya bertanya, budaya menulis dan seumpamanya. Siapakah sebenarnya mahasiswa yang benar-benar menepati gagasan modal insan yang disebut selama ini. Patutkah mahasiswa yang tidak memenuhi ciri-ciri budaya keilmuan layak diklasifikasikan sebagai golongan intelektual yang menepati tuntutan modal insan atau sumber manusia ini?

Pemerkasaan budaya berilmu patut diteruskan tanpa mengenal rasa penat membanting tulang. Bayangkan terdapat ulama yang meninggal sewaktu bukunya masih di sisinya. Terdapat juga yang sudah nazak namun masih lagi menyuruh pembantu atau rakannya mengambil alat tulis kerana ingin menulis idea yang muncul ketika itu. Komitmen mereka terhadap ilmu dan keilmuan amat mengagumkan. Mahasiswa khususnya muslim, sepatutnya komited dengan proses pembelajaran mereka. Amat memalukan jika golongan bukan Islam sentiasa berkepit dengan jurnal serta buku sedangkan mahasiswa dan remaja Islam sering berkepit dengan teman lelaki atau wanita tanpa segan silu.

Siapalah kita tanpa ilmu. Ilmu ibarat cahaya yang menerangi kegelapan malam. Kegelapan atau kemalapan lambang kejahilan yang menjadi musuh masyarakat, negara dan agama. Harapan menggembleng sepenuhnya modal insan atau sumber manusia tentu tidak kesampaian jika elemen keilmuan diabaikan dan tidak menjadi sebagai faktor utama dalam membina tamadun kemanusiaan yang berasaskan nilai-nilai murni. Tanpa ilmu, menurut Imam Ghazali, manusia dalam keadaan tanpa pakaian. Manusia sebegini sepatutnya harus malu dengan sikap sendiri. Sikap tidak mementingkan modal insan, bahkan yang lebih teruk, bersikap endah tidak endah dengan budaya keilmuan. Read More......

Selamat Hari Ibu

0 Cadangan/Pandangan
Keberadaan ibu dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat tidak dapat dinafikan lagi keistimewaan mereka. Ibu dianggap salah satu daripada unit masyarakat yang begitu bernilai. Darjat, pangkat, kedudukan dan penilaian yang eksklusif telah tersedia untuk mereka. Segala penetapan ini sudah pasti antara lain merujuk kepada pengorbanan mereka dalam hidup.

Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat ke 15 yang bermaksud: Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula).

Al-Tha'alabi dalam tafsirnya, al-Jawahir al-Hisan Fi Tafsir al-Quran menjelaskan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah wajib dan berdosa besar sekiranya menderhakai mereka. Mereka bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita sebagai anak mereka. Segala pengorbanan mereka memang tiada tandingan lagi.

Firman Allah dalam surah al-Isra', ayat ke 23, bermaksud: maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor dalam bukunya yang bertajuk Imam Malik: Sejarah Dan Pemikiran, menyentuh pendapat Imam Malik bin Anas yang menggunakan kaedah mafhum al-muwafaqah dalam memahami kata 'ah' di atas dengan memberi erti segala perkataan dan perbuatan yang dapat menyakiti hati, perasaan dan fizikal ibu bapa, bahkan termasuk yang lebih teruk daripada itu lagi.

Kita bertanggungjawab berbakti kepada mereka. Tanggungjawab berbuat baik kepada mereka boleh dikatakan lebih penting daripada berjihad pada satu-satu ketika.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dr. Mohd Muhiden bin Abd. Rahman, salah seorang pakar hadis Universiti Malaya menerangkan bahawa taat dan berbuat baik kepada ibu bapa juga dianggap berjihad di jalan Allah. Beliau juga menambah perang jihad yang tidak diisytiharkan oleh kerajaan kepada seluruh rakyat, maka anak-anak perlu memohon kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa mereka.
Dalam hadis yang sama, riwayat Ahmad dan Abu Daud, ditambah: Pulanglah meminta izin daripada mereka, jika diizinkan maka boleh, jika tidak maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.
Penjelasan ini sahaja telah jelas bahawa kedudukan mereka khususnya ibu amat tinggi dan menjadi kewajipan kepada kita untuk berbakti kepada mereka. Cuba bayangkan kepentingan mereka hampir sama taraf dengan berperang dan berkoban nyawa di medan pertempuran dalam menegakkan kalimah kebenaran.
Sebagai tambahan, bagi membezakan kedudukan ibu dan bapa, hadis riwayat Bukhari menjelaskan: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah yang lebih berhak untuk dibuat baik? Jawab Nabi SAW: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Jawab: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Sabda: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Sabda: Kemudiannya bapamu.
Darjat ibu memang istimewa sehinggakan dikatakan bahawa syurga terletak di bawah terlapak kaki ibu. Jika mereka tidak meredai kita, maka jangan harap Allah akan meredai kita tatkala kita menyakiti hati mereka. Sabda SAW bermaksud: Reda Allah terletak pada reda ibu bapa, kemarahan Allah juga terletak pada kemarahan ibu bapa. (Riwayat Tirmidzi, dan disohihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.)
Tanggal 13 Mei, dianggap Hari Ibu. Namun, tidak patut jika hanya menjadikan hari ini sahaja sebagai hari mengingati pengorbanan ibu. Tidak wajar menjadikan tarikh ini sahaja barulah kita mendapat reda mereka. Adakah hari itu sahaja kita diredai Allah sedangkan hari lain kita akan dimurkai Allah apabila dikaitkan dengan hadis di atas?
Kempen untuk memberi kesedaran agar menyayangi, mengasihi, menghormati dan berbakti kepada mereka memang dialu-alukan. Ibu memang tiada sesiapa pun yang layak mengganti mereka. Mereka begitu istimewa. Malangnya ramai anak yang menderhaka. Semoga mereka mendapat anak yang soleh yang akan mendokan mereka kelak. Siapa lagi jika bukan kita orangnya. Marilah sama-sama menjadi anak yang berguna kepada mereka. Read More......

Archive

Labels

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE