Rabu, 21 Oktober 2009

CERPEN MUHASABAH IV

12 Cadangan/Pandangan
Saya berjumpa fenomena menakutkan hari itu. Takkan saya lupakan selama-lamanya. Ia amat menakutkan dan membuatkan saya trauma beberapa ketika. Terngiang-ngiang ungkapan hamba yang menyesali dosa, “Alangkah, lebih baik sekiranya aku menjadi tanah.”

Seorang lelaki berwajah buruk berkulit hitam merangkak-rangkak dengan penuh seksa di lembah kotor itu. Bau hanyir menusuk ke hidung, dengan segera saya meutup hidung. Namun bau itu makin kuat. Lelaki buruk berwajah hitam legam, hingus meleleh di hidung mesipun sudah disapu berkali-kali, dan yang malangnya, ia telanjang bulat tanpa sebarang pakaian.

Ah, ia amat menjelekkan. Bukan hanya ia telanjang, bahkan lelaki yang lain, perempuan, mak nyah, pondan dan tomboi, semua bertelanjang dan sangat menjelekkan. Yang perempuan, air nanah meleleh keluar daripada kemaluan mereka. Yang lelaki, air kencing mereka berdarah dan berketul-ketul. Mereka membuang air kecil dengan penuh seksa dan meraung kepedihan.




Lelaki yang merangkak-rangkak itu dihidangkan makanan. Saya mengintai dari kejauhan. Aduh, hidangannya adalah najis lembu yang masih cair dan dihurungi lalat. Najis hitam itu bercampur dengan air kencing lembu yang kuning-kekuningan. Saya muntah dibuatnya. Lelaki itu mengambil najis lalu disuap ke mulutnya dengan lahap. Ia muntah, namun dimakan terus tanpa henti.

Seksanya, hanyirnya. Tiba-tiba suasana menjadi pegun. Terdengar suara yang penuh garau dan menakutkan, “Wahai manusia terkutuk, tahukah kamu neraka Hawiyah? Itulah neraka yang apinya menjulang-julang.”

Saya terpandang sepasang lelaki dengan perempuan. Si perempuan itu mengumpulkan nanah yang keluar daripada kemaluannya lalu diberikan kepada lelaki. Ia minum dengan rakus, kemudian muntah keluar. Yek, jelek sekali. Kemudian si lelaki bangun berdiri dan kencing sedangkan perempuan itu menadah mulutnya. Wek, saya muntah di situ juga.

“Wahai penzina yang berbangga dengan kemaluannya di dunia, rasakan kamu air nanah dan najis pasangan kamu. Apa yang kamu banggakan di dunia adalah kehinaan di akhirat.”

Sekumpulan manusia bertelanjang berhidung babi dihidangkan dua jenis makanan. Makakan yang baik dan makanan yang jelek. Namun mereka seolah-olah tidak nampak makanan yang baik itu. Mereka menerkam ke arah makanan jelek, yang dihurungi cacing dan lalat. Baunya seperti bau najis ayam. Ia busuk sekali. Mereka makan dengan lahap kemudian bergaduh sesama mereka.

“Wahai pemakan riba, kamu mengetahui bahawa riba merupakan kemurkaan di sisi Allah. Allah telah menyediakan ruang mencari rezeki yang baik untuk kamu namun kamu memilih riba.”

Saya ketakutan. Ya Allah, di alam manakah aku ini sebenarnya. Seketika, saya melihat kejauhan. Seorang yang kelihatan soleh. Wajahnya tampak kuat beribadat. Ia diperintahkan ke sebuah taman yang indah. Namun, baru sahaja ia melangkah, kakinya dipegang erat oleh seseorang.

“Ya Allah, janganlah Kamu masukkan ia ke dalam taman keindahan itu. Ia seorang berilmu, namun ia tidak menyampaikannya kepada kami. Ia seorang naqib, namun ia tidak pernah berusrah dengan kami. Ia seorang pemimpin, namun ia tidak pernah membimbing kami. Ia seorang kuat ibadah, namun tidak pernah menunjuki kami. Masukkan ia ke neraka Ya Allah.”

Saya terus menangis. Seorang naqib? Ya, saya seorang naqib. Apakah seorang naqib seperti saya, yang tidak melakukan usrah akan dicampakkan ke dalam lembah orang telanjang itu? Saya menggeletar ketakutan.

Saya melihat sekumpulan wanita. Mereka sedang mengerumuni satu hidangan. Saya mengintai jauh-jauh. Alangkah, mereka sedang meratah daging mayat manusia. Mereka melapah daging manusia itu hidup-hidup. Siapakah mereka itu Wahai Tuhan?

Saya tambah menggigil apabila melihat salah seorang daripada mereka. Itu adalah saudara saya. Ia seorang yang berbai’ah dengan perjuangan Islam dan mencintai perjuangan. Mengapa ia turut berada dalam kelompok terkutuk itu.

“Itulah kumpulan wanita yang suka mengumpat dan menyebarkan fitnah. Mereka memperjuangkan Islam. Namun dalam masa yang sama, mereka suka sekali menaburkan fitnah dan mengumpat.”

Satu suara menjelaskan kepada saya.

Ya Allah, saya mengerti. Ini kisah benar. Saya mendengar dari rakan saya sendiri. Apabila seorang muslimah berkenan dengan seorang muslimin, dan muslimah itu meminta bantuan daripada rakannya menjadi orang tengah. Malangnya, orang tengah itu bukannya menjalin ikatan bahkan menaburkan fitnah.

Ya Allah, saya berharap cerita ini bukannya mengumpat dan menaburkan fitnah, bukan juga menyebarkan keburukan orang lain.

Seorang ahli pejuang Islam, keluar berdua-duaan dengan muslimah yang turut pejuang Islam. Berpegangan tangan. Menunggang motosikal bersama-sama. Nah, kepada mereka kita ingatkan, Peluklah pasangan kamu itu di atas motor seerat-eratnya, namun harus kamu ingat, yang kamu peluk itulah yang akan menghirup nanah yang keluar dari kemaluan kamu.

Na’uzubillah, Ajirna minannar.

Saya keanehan. Mengapa seorang lelaki boleh mempercayai seorang perempuan yang sanggup menyerahkan tangan untuk dipegang, kulit untuk dibelai menjadi isterinya? Bolehkah perempuan itu dipercayai untuk menjadi ibu kepada anaknya?

“Darah haid,” saya berpaling ke belakang. Seorang tua bertongkat merapati saya. " Darah haid, apa maksud atuk"

Orang tua itu menunjukkan saya ke satu arah. Terbeliak mata saya melihatnya. Sekumpulan lelaki dihidangkan air berupa darah haid yang baru sahaja keluar daripada seorang perempuan.

“Darah haid itu adalah untuk orang yang memuja perempuan sehingga lalai daripada mengingati Allah,”


Read More......

Isnin, 19 Oktober 2009

BAGAIMANA MENGENDALIKAN PROGRAM TARBIAH I

5 Cadangan/Pandangan
Apabila kita melaksanakan program tarbiah, maka sasaran kita sebenarnya ada dua. Sasaran pertama adalah peserta dan sasaran kedua adalah panitia pelaksana program. Saya dalam ruangan yang sempit ini cuba menjelaskan beberapa perkara yang perlu diambil berat oleh semua penggerak tarbiah.

Pertama
Pengarah program mesti dipilih daripada kalangan orang yang paling berkeinginan dalam bidang tarbiah. Tidak boleh diambil pengarah yang hanya bijak mengurus tetapi tidak mempunyai keinginan yang tinggi dalam tarbiah. Perubahan memperuntukkan dua aspek kekuatan iaitu kekuatan fikiran serta perancangan dan kekuatan keinginan serta keazaman.

Pengarah program mesti dibekalkan ilmu dan maklumat yang serba lengkap khususnya untuk menjayakan program tersebut.




Pengarah mesti seorang yang mempunyai semangat untuk mengenali semua peserta dan tingkah laku mereka sekurang-kurangnya secara asas. Jika perlu, dihafal semua nama peserta dan mengetahui kekuatan yang mereka boleh curahkan untuk perjuangan Islam.

Pengarah mesti orang yang berkeupayaan untuk memastikan peserta sentiasa berada dalam kondisi yang terbaik sama ada dari sudut mental, fizikal, keupayaan rohani dan kemampuan merancang.

Pengarah mesti terdiri daripada orang yang boleh mengawal AJK Program sekaligus merupakan orang yang paling berpengaruh kalangan mereka. Dengan itu, pengarah akan mampu untuk mengawal dan mengemudi semua AJK ke arah mencapai matlamat dan wawasan bersama-sama.

Pengarah sebolehnya orang yang mampu mengimamkan solat dan membimbing rohani peserta dan AJK. Tidak mungkin seorang pengarah terdiri daripada orang yang hanya pandai mengurus tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk membimbing rohani peserta.

Pengarah mesti seorang yang bijak membaca suasana dan mampu memberikan keputusan dalam keadaan terdesak tanpa memerlukan mesyuarat. Bahkan pengarah mesti bijak memastkan program sentiasa terkawal dan berkembang dengan pantas.

Pengarah bertugas untuk memastikan semua AJK bergerak dalam adunan masing-masing dan memastikan tiada AJK yang berat dan curi tulang.

Pengarah mesti pandai mengawal suasana program sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti terdapat peserta yang memberontak.

Pengarah mesti dibekalkan dengan sebuah buku atau planner khusus untuk progrm bagi memastikan kelancaran dan kelicinan.

(akan bersambung kelak)



Read More......

AKHIRNYA SAYA BERKAHWIN DENGAN SEORANG PENYIASAT MUDA

36 Cadangan/Pandangan



ASSALAMUALAIKUM WA RAHMATULLAH

SAYA MENJEMPUT KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG SAYA UNTUK HADIR KE MAJLIS WALIMAH SAYA.
BERIKUT ADALAH MAKLUMAT YANG SEPATUTNYA DIKETAHUI AGAR TIDAK TERSILAP MASA DAN TIDAK TERSILAP PERGI KE TEMPAT LAIN.

UNTUK RUMAH MUSLIMAT, AKAN DIADAKAN PADA 29 NOV 2009 HARI AHAD
DATANGLAH UNTUK MAKAN. NAK MINUM PUN BOLEH.
OH YE, RUMAH MUSLIMAT DI BUKIT RUMAH REHAT, TAPAH, PERAK.

RUMH ANA PULA DI PULAI CHONDONG, MACHANG, KELANTAN.
TARIKH PADA 5 DISEMBER 2009, SABTU.

KEDATANGAN TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN AMAT DIALU-ALUKAN. DOAKAN KAMI BAHAGIA KE SYURGA

(GAMBAR DI ATAS ADALAH BAKAL ZAUJAH ANA) Read More......

Sabtu, 17 Oktober 2009

CERPEN MUHASABAH III

19 Cadangan/Pandangan
Selepas Subuh hari itu, saya memerhatikan beberapa ayat al-Quran. Tadabbur dan tafakkur. Khali seketika. Saya amat tersentak apabila memerhatikan makna yang terkandung dalam surah Iqra’.

“Apa yang Abg Dzul dapat daripada surah itu?” adik usrah saya bertanya.

“Surah ini banyak juga membentak Abu Jahal. Apa yang paling menakutkan ialah apabila Allah membuat satu cabaran terbuka kepada bapa saudara nabi yang kufur itu. “Maka panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu)”. Itu cabaran yang dilemparkan oleh Allah,” jelas saya ringkas.

Namun bukan itu yang menakutkan. Saya diam mengumpul tenaga. terasa sebak melanda hati saya, sekaligus membuatkan jiwa saya terperosok ke lembah kedukaan. Saya dapat merasakan seolah-olah saya benci seketika untuk melakukan maksiat.

Rantai keimanan mengikat saya. “Panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu). Kami (Allah) pula akan memanggil Zabaniah.”



Itu yang menakutkan. Allah membuat cabaran akan memanggil Zabaniah untuk berhadapan dengan orang-orang yang sombong. Zabaniah sebagai penjaga neraka yang bengis dan tidak pernah tersenyum setelah melihat penciptaan neraka ditugaskan untuk melayan orang-orang yang sombong.

Dalam neraka itu ada buah zaqqum. Buah yang berbau busuk dan loya, lebih meloyakan berbanding najis yang melimpahi mangkuk tandas.

Dalam neraka itu ada hidangan air bernanah. Seolah-olah nanah yang pecah setelah membesar, lalu dihirup dan dijilat dengan lidah. Itu hidangan ahli neraka.

“Adik-adikku, jauhilah kamu dari zina,” saya berpesan kepada adik-adik usrah saya kalangan muslimah. Mereka mendengar dengan tekun. “Sesungguhnya dihikayatkan dalam satu kisah, buah dada penzina perempuan akan digantung dengan tali neraka,” ada kalangan mereka mula menitiskan air mata.

Pernahkah kita membayangkan bahawa mata kita akan dicucuk dengan besi panas? Atau kuku kita dicabut satu-persatu. Atau kulit kita dilapah-lapah? “Maka adik-adik muslimin, jauhilah kamu dari zina. Sukakah jika kemaluan kamu dicucuk dengan jarum?”

Zabaniah tidak berhati petur. Ia tidak mengenal erti belas kasihan. Jika perlu, ia akan menarik lidah kita lalu dikelar dengan pisau tajam. Jika perlu, ia akan menusuk dubur kita dengan kayu berduri. Jika perlu, ia akan menusuk mata kita dengan jarum tajam.

Aduh, neraka itu tempat yang gelap gelita. Penghuninya berbau busuk sekali, loya dan meloyakan. Penuh dengan muntah dan kencing serta najis yang berlimpahan. Penuh dengan suasana yang trauma dan menakutkan.

Saya ingin melemparkan satu amaran kepada diri saya yang melakukan maksiat.

Sungguh, orang yang mengerti tentang Islam, namun jika ia keluar berdua-duaan dengan yang bukan muhrim atau kekasihnya, maka saya ingin bertanya. “Sanggupkah kamu melihat buah dada kekasih kamu digantung dengan tali neraka?”

“Atau sanggupkah kamu melihat kemaluan kekasih kamu dimasukkan jarum”.

Menangislah, Zabaniah tidak akan peduli.

Sentuhlah babi yang penuh dengan lumpur. Sesungguhnya nabi saw bersabda, menyentuh babi yang penuh lumpur lebih mulia daripada menyentuh kulit perempuan yang bukan muhrim.

Jika kamu ingin melihat salah seorang bakal penghuni neraka, lihatlah kepada orang yang selalu melayan nafsu kamu, keluar berdua-duaan dengan kamu, rela tangannya dipimpin kamu, rela badannya diusap-usap oleh kamu, rela menghabiskan masa dengan kamu, rela bibir dan pipinya dicium kamu, rela menunggang motor bersama kamu, lalu ia memeluk kamu dengan penuh erat. Itulah calon neraka.

“Ustaz, bagaimana ingin menimbulkan rasa benci kepada sikap itu? Suka keluar bersama pasangan, di waktu siang mahupun malam, bersama di atas motor dan kereta.”

Saya menjawab, “Bayangkan jika ibu kamu yang keluar bersama lelaki lain. Apakah kamu akan membenci ibu kamu?”

Ah, Zabaniah tidak peduli dengan raungan dan rintihan orang yang merayu. Zabaniah hanya mengenal erti ‘penyeksaan’.

“Anakku,” guru memangil saya satu ketika. Saya sedikit mendekatkan telinga saya ke bibirnya. “Janganlah kamu hanya menangisi dosa-dosa yang kamu lakukan. Tetapi fikirkanlah juga bagaimana cara menimbulkan benci kepada dosa. Orang yang hanya menangisi kesilapan akan mengulanginya semula. Orang yang menanam rasa benci tidak akan kembali,” saya mengangguk.

“Anakku,” guru masih ingin memberikan nasihat. “Pernahkah kamu merasa air kencing kamu?” saya terus menggeleng. Terasa gei menguasai diri. “Jika kamu ingin merasa air kencing kamu, lakukanlah maksiat. Kelak Zabaniah akan menghidangkan air kencing sebagai hidangan minuman kamu.”

“Anakku,” saya sudah tidak mampu menahan sebak. Sedih. Galau. Takut. Gerun. Semua bercampur-campur dalam hati yang satu. Kamu tahukah apa ibarat neraka itu?” saya menjawab tidak, dalam sebak.

“Umpama tangki tahi. Itulah ibarat neraka,”

« Anakku, jika kamu ingin selamat di akhirat, aku ingin memberikan satu petua. Jika kamu berjaya mengikut petua aku ini, engkau akan selamat, »

« Kamu perlekehkan nafsu kamu. Hina ia. Kamu perlekehkan kehendak dunia kamu. Hinakan ia. Namun ingatlah satu perkara. Semakin kamu memperlekehkan nafsu kamu, maka semakin kuat ia mengejar kamu,” pesan guru dan tiba-tiba kemudiannya guru ghaib.

Zabaniah tidak kenal erti kasih.

Saya berbisik dalam hati, “Tuhan, jauhkanlah Zabaniah daripada hamba-Mu yang penuh dengan maksiat ini,” lalu saya tersungkur di mihrab kerinduan.

Read More......

Jumaat, 16 Oktober 2009

CERPEN MUHASABAH II

7 Cadangan/Pandangan
“Anakku, apakah tujuan utama kamu mengahwini anak perempuan ayah?” Saya masih ingat. Itulah persoalan pertama yang terpacul keluar daripada mulut ayah mentuaku. Ketika itu, saya baru sahaja menunaikan solat Asar bersamanya di Masjid.

Hari itu hari kedua saya di rumah baru saya. Akad nikah semalam agak memenatkan saya. Saya menghabiskan masa dengan berzikir dan bersolat pada malamnya. Saya langsung tidak sempat untuk berbual panjang dengan isteri saya yang tercinta. Kami tidur berasingan. Saya ingin ibadah, ujar saya kepadanya. Harap isteri saya memahami kehendak saya yang semakin kecamuk rindukan zikir.

“Ayah, saya berharap, saya dapat menunaikan amanat Allah, memelihara keluarga daripada sambaran neraka. Saya berharap, perkahwinan kami adalah perkahwinan akhirat bukannya dunia. Perkahwinan hati bukannya nafsu. Perkahwinan kerana menuruti sunnah bukannya mengikuti bisikan syaitan.”



Ayah mentua saya terdiam mendengar ujar saya. Beliau seorang yang sangat pengasih dan cintakan masjid. Beliau seorang yang berilmu dan kasihkan orang yang berilmu. Maka saya harus melengkapkan diri saya dengan pakej sepertinya.

Saya tidak melalaikan isteri saya dengan bujukan-bujukan dunia. Sebaliknya saya mesti melalaikan isteri saya dengan keasyikan beribadah kepada Allah. Sebagai suami, saya dicipta bukan untuk melalaikan mujahidah. Sebagai suami, saya mesti memandu isteri saya mendekati Allah dan saya harus bersabar di atas jalan yang mulia ini.

Saya tidak mampu menjamin kesenangan dunia kepadanya. Namun saya berusaha untuk menjinakkan nafsunya dan tunduk sepenuhnya kepada Pencipta. Kelak apabila Allah bertanya kepada saya, “Apakah makna perkahwinan kamu?” Saya akan menjawab, “Erti perkahwinan kami terletak kepada susah payah kami mencari dan mengejar hakikat diri-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.”

Saya membimbing isteri, isteri saya juga membimbing saya. Kami mesti saling bergerak melangkah ke arah kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat. Pembebasan dari neraka, itu misi utama saya. Itu yang saya tegaskan kepada ayah mertua saya, dengan penuh keazaman.

“Ayah, nafsu mengajak saya agar tenggelam dalam manja seorang isteri saya. Hati saya pula mengajak saya agar jatuh ke haribaan Tuhan. Saya takut di saat saya bergembira dengan isteri saya, kegembiraan itu sebenarnya merupakan tiket ke neraka. Biarlah kami hidup susah payah asalkan kesusahan itu jaminan ke syurga, ayah,” ujar saya, sedikit sebak.

Ramai orang berilmu namun ia angkuh dengan ilmunya. Maka lebih baik orang yang kurang ilmu namun ia berakhlak mulia. Ramai orang yang banyak ibadahnya namun memandang rendah kepada orang lain. Lebih baik sedikit ibadah namun perasaan sangka baik sentiasa menghiasi diri. Ramai yang berkahwin dan menyangka agamanya hampir separuh tersempurna. Walhal sebenarnya perkahwinan tu bakal mengheretnya ke neraka. Wal’iyazabalillah.

Suami itu adalah raja’, harapan isteri untuk menyelamatkannya daripada lembah jahannam. Isteri itu khauf, menjadi ketakutan pada suami sehingga mendesak mereka melakukan amal sebaiknya.
Celakalah seorang isteri yang hanya pandai menarik perhatian suaminya dengan kecantikan zahiriyah. Namun bahagialah seorang isteri yang pandai menarik suami dengan ketinggian Iman. Celakalah suami yang hanya pandai menambat hati isteri dengan harta dan emas. Namun bahagian bagi suami yang pandai menambat hati isterinya dengan limpahan taqwa dan tawakal.

Yang menentukan kebahagian rumah tangga adalah Allah. Bukan suami dan bukan isteri. Maka suami dan isteri yang jauh dari lembah keimanan tidak akan mampu mengecapi kemanisan Iman dalam berumah tangga.

Kata guru saya, sebelum saya menuju alam perkahwinan,

“Ramai berkahwin kerana ingin menjaga keimanan. Tapi tidak ramai yang ingin menjaga keimanan dengan berkahwin.

“Ramai yang sibuk mencari pendapatan untuk berkahwin untuk dijadikan hantaran. Namun tidak ramai yang mempersiapkan Iman untuk menghadapi alam tersebut.”

Nasihat itu, amat menyengat jiwa.









Read More......

Khamis, 15 Oktober 2009

CERPEN MUHASABAH

14 Cadangan/Pandangan
“Anakku, tahukah kamu, dengan apa kamu akan dimasukkan ke dalam syurga dan dengan apa kamu dijauhkan dari neraka?”.

Guru melemparkan persoalan sulungnya dalam munaqasyah hari itu. Ribuan ulama yang hadir di kala itu dan mereka sedang bermuhasabah sesama mereka. Guru mengambil kesempatan untuk melihat sejauh manakah ketajaman makrifat saya kini.

Saya menjawab, “Dengan erti taqwa yang saya sembahkan kepada Allah, saya akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan dengan erti khauf saya dijauhkan dari sambaran api neraka, guru,” saya menjawab dengan penuh keyakinan.

Guru menepuk bahu saya sambil menggeleng kepala. Ia bererti, jawapan saya salah. Zun Nun al-Misri datang dari belakang seraya berkata, “Nampaknya, makrifat anak muda ini masih lemah. Ia menyangka ia memberi kepada Allah. Walhal ibadat yang ia lakukan bukanlah untuk Allah. Taqwanya bukanlah memberikan kebaikan kepada Allah,” saya tidak faham apa yang dimaksudkan.




Guru kelihatan menyalami tangan Zun Nun al-Misri sambil menciumnya. Saya menuruti perbuatan guru. « Anakku, ingat pesan aku. Ibadah yang kamu lakukan sebenarnya hanya untuk dirimu. Taqwa itu hanya untuk dirimu. Khauf dan raja’ itu juga untuk dirimu. Bukan untuk Allah, » ucapan al-Misri menggoncangkan jiwa saya.

Guru tersenyum. Al-Misri meneruskan bicaranya, « Ajarilah muridmu ini, bahawa dakwah juga tidak mampu mengubah manusia. Usrah dan tarbiah juga tidak mampu memberikan apa-apa untuk Islam. Yang menjaga hati manusia dan membersihkannya hanyalah Allah. Kita hanya alat, » ujar al-Misri kemudiannya meninggalkan kami.

Saya kekeliruan. « Guru, telusnya, saya tidak memahami ungkapan al-Misri. Guru menarik saya merapatinya. Sambil guru berbisik, « Anakku, apakah layak taqwa kita yang cetek ini untuk memasukkan kita ke dalam syurgaNya yang seluas langit dan bumi ? Apakah mampu ketakutan yang kita sembahkan kepada Allah memadamkan neraka ? »

Saya terkedu. Teringat satu kalam Allah yang berbentuk ancaman. “Hari yang mana Kami bertanya kepada Jahannam, masihkah ada ruang kosong? Jahannam bertanya balik, “Apakah masih ada manusia yang ingin dilemparkan ke dalamku.”

Neraka ini tempat kotoran. Guru membuat tamsilan. Seolah-olah engkau merapatkan hidungmu ke dalam mangkuk tandas dan menjilat serta menggigit najisnya. Aduh, loya saya mendengarnya.

Seolah-olah, ambil tahi yang kotor dan dilumurkan ke muka engkau. Sanggupkah?

Bahkan neraka jauh lebih teruk berbanding itu. Guru bertanya lagi, “Anakku, sudahkah kamu bersedia menghadapi kehidupan selepas kematian? Sudahkah kamu mendidik adik-adik usrahmu agar bersedia menghadapi saat-saat itu? Saat yang mana tiada guna kelantangan suara kamu menentang kezaliman sedangkan hati kamu kotor.

“Saat yang mana tiada guna perjuangan kamu jika jiwa kamu penuh dengan daki-daki maksiat. Saat itu adalah saat untuk orang yang berhati bersih.”

Sebagaimana firman Allah. Yang berhati bersih itu adalah yang takut kepada Allah ketika ia sendirian.

Guru bertanya lagi. “Apakah kamu pernah menitiskan air mata? Atau kamu hanya banyak ketawa. Anakku, sesungguhnya Allah menyeru agar sedikitkan ketawa dan banyakkan menangis. Hati yang gelap itu mudah menerima kotoran maksiat. Bermakna hati kamu jika tidak dibersihkan, adalah ibarat tandas yang penuh dengan limpahan tahi.”

Saya menangis mendengar kata-kata guru. Ia sangat menusuk hati. Saya tidak mampu lagi menahan esaknya.

“Anakku, Iman dan ilmu yang kamu miliki, tidak mampu memberikan kesan yang besar kepada Islam. Maafkan aku anakku. Aku melihat kamu kuat berjuang namun nafsumu sentiasa kecundang. Namun kamu menyangka kamu telah memberikan sumbangan yang besar kepada Islam. Kamu silap anakku.”

Saya terus memeluk guru sambil memohon ampun kepadanya. “Anakku, jangan mohon ampun dariku. Mohonlah kepada Allah. Bukan hanya dengan solat taubat dan istighfar lidah. Sebaliknya dengan penuh perasaan kesal dan keazaman untuk tidak mengulanginya.”

Pejuang Islam sekarang menurut guru, kuat daya juangnya namun lemah ketahanan imannya. Lantang suaranya menentang kezaliman namun perlahan bisikan hatinya di lembah keimanan. Jasadnya sanggup bersusah payah bersama perjuangan rakyat namun nafsunya sentiasa ingin bersenang lenang.

Solat taubat. Bukan solat taubat yang mendekatkan kita kepada Allah. Tetapi keinginan kita ingin meninggalkan kotoran maksiat dan melakukan taat.

Saya kemudiannya merapati al-Sakandari untuk memohon petunjuknya. Guru yang meminta saya berbuat demikian.

Al-Sakandari melihat saya. Lalu ia menangis. Teringatlah saya kata guru. Jika kamu ngin melihat kepada orang yang sentiasa berasa dirinya penuh dengan maksiat, jiwanya jauh dari taat, maka lihatlah kepada al-Sakandari. Ia sentiasa merasakan dirinya pelaku dosa yang besar.

“Guru, berikanku pesan.”

Al-Sakandari menangis. Ia meraung kuat. « Aduh, hari ini orang memohon nasihat dariku sedangkan diriku sendiri tenggelam dalam lautan kedurhakaan. Aduh, bagaimana hatiku ingin berkilau-kilauan dengan cahaya keimanan sedangkan bayangan duniawi selalu menyelimutiku, » ia pengsan dan saya tergamam.





Read More......

Isnin, 12 Oktober 2009

UNTUK PEMIMPIN PAS

24 Cadangan/Pandangan
Sahabat saya dalam Ilham Center yang dikepalai Saudara Azalan sudah meramalkan kekalahan besar PAS di Bagan Pinang sejak awal-awal lagi. Saya mendapat rumusan tersebut kurang lebih seminggu sebelum mengundi bermula.

Pemberi maklumat dalam satu pertemuan di waktu rembang senja memberitahu saya, “Sekiranya tanpa undi pos, PAS tetap akan kalah besar. Faktor utama kekalahan besar adalah kekuatan Isa Samad. Faktor kedua adalah disebabkan masalah jentera sendiri.”

Saya tidak mahu komen permasalahan kedua. syaa yakin ramai yang tidak senang hati sekiranya perkara tersebut disentuh. Dalam gurau-gurau saya dalam satu kuliah, saya menyatakan, “PAS tidak akan menang sekiranya meletakkan calon berkopiah dan kaki masjid. Tetapi PAS akan menang sekiranya kita meletakkan calon yang suka hiburan dan anti-Islamik.”




Ya, PAS kalah kerana PAS membawa Islam. Siapa pun tidak akan mempertikaikan fakta yang saya kemukakan ini. Orang muda sukakan hiburan. Mereka tidak sukakan masjid. Calon PAS tidak menepati kriteria tersebut.

PAS bencikan rasuah. Namun PAS lupa bahawa ramai tauke dan orang kaya yang hidup atas sumber rasuah. PAS saya katakan, sebagai sebuah parti yang ketandusan pemimpin rasuah. Sudah banyak program tarbiah diadakan oleh PAS namun sampai sekarang PAS tidak mampu melahirkan pemimpin yang pandai menipu dan seuka mencarut. Ini faktor kekalahan PAS yang sangat besar.

PAS tidak ada kaki gaduh. Kalau ada, ia sangat sedikit. Bagaimana PAS ingin menang dengan tindakan yang lembut semata-mata. YB Solahudin sebagai Ketua Jentera bukan kaki gaduh. Jika begini, sampai bila-bila PAS tidak akan menang di Bagan Pinang.

Idea Ilham Centre sangat bagus. Mulakan dengan kempen putih, bukan kempen hitam. Kempen hitam adalah sejenis bentuk kempen merendahkan pihak lawan dengan rasuah, keganasan dan sebagainya. Kempen sebegini tidak akan mampu menarik pihak penyokong UMNO kerana mereka sudah biasa denga kehidupan sebegitu.

Kempen putih bererti, pedulikan apa yang mereka lakukan. Serang ala kadar sahaja. Tidak perlu terlebih garam atau gula. Yang penting adalah tunjukkan siapa kita. Apa yang mampu kita lakukan. Apa yang kita tawarkan. Apa perkhidmatan kita. Ini kerana, apabila kita marahkan ISA Samad sebagai perasuah, maka sebenarnya kita telah menjauhkan pengundi daripada kita.

Saya cadangkan agar PAS mesti berusaha keras untuk melatih pemimpin yang pandai temberang, makan harta rakyat, bermulut manis dan sukakan keganasan. Ini formula kemenangan yang ingin saya berikan.










Read More......

BUAT SETIAUSAHA

4 Cadangan/Pandangan
“Apa tugas utama sebagai setiausaha (SU)?” saya bertanyakan seorang sahabat saya. Beliau telah ditawarkan untuk menjadi SU Dewan Muslimat PAS di sebuah negeri yang ingin saya rahsiakan.

Saya menggesa agar beliau menerima tawaran untuk mnejadi SU. Dalam masa yang sama, beliau turut ditawarkan untuk menjadi prime mover dalam tarbiah negeri. Namun sepenelahaan saya, saya lebih tertarik untuk sedikit memaksa beliau agar menerima jawatan sebagai SU.

SU bukan bertugas untuk menulis minit mesyuarat dan membuat laporan. SU juga bukan bekerja untuk menulis artikel untuk dihantar ke mana-mana akhbar. Itu bukan tugasan utama sebagai SU. Tugas SU adalah jauh lebih besar dan berat.



“SU adalah orang yang akan menentukan apakah hala tuju perjalanan jamaah atau organisasi sudah tercapai atau tidak. Dalam tugasan ini, SU akan sentiasa follow up ketua lajnah untuk memastikan mereka sudah berusaha untuk mencapai misi yang telah ditetapkan atau tidak,” tegas saya dalam telefon pada hari tersebut.

SU juga yang akan sentiasa memperingatkan semua penggerak agar sentiasa bergerak menuju ke matlamat yang telah ditetapkan.

Tugasan kedua SU, SU bertindak untuk memastikan sama ada lajnah telah menjalankan operasi atau belum. Segala laporan, data dan maklumat berada dalam tangan SU. Ini kuasa SU. Apabila SU mengetahui segala data dan perkembangan semasa, maka secara tidak langsung seorang SU telah melengkapkan dirinya menjadi seorang yang sangat bermaklumat dan memudahkannya untuk mengatur strategi secara lebih teliti.

Ketiga, SU akan mengepalai mesyuarat setiap kali ia diadakan. Atau jika bukan ia sekalipun, ia tetap bertugas untuk membantu Ketua atau Pengerusi dalam mengendalikan mesyuarat. Bahkan perjalanan mesyuarat adalah diaturkan oleh SU dan sebaiknya dibincnagkan terlebih dahulu dengan ketua.

Keempat, sebagai tambahan untuk sahabat baik saya itu, saya turut mencadangkan beberapa perkara yang harus beliau laksanakan secara berperingkat sekiranya beliau memegang portfolio tersebut.

1- Saya cadangkan agar beliau mewujudkan budaya kerja cemerlang dalam Jamaah. Budaya kerja cemerlang ini akan menjadi satu ‘doktrin’ yang akan mengimejkan sesebuah organisasi. Sebagai contoh, mungkin boleh beliau letakkan antara budaya kerja yang perlu ada ialah MESRA.
2- Beliau boleh wujudkan Key Performance Indicator (KPI) untuk memastikan segala strategi dan perancangan menjadi lebih tajam dan terfokus. Sebagai contoh, target Dewan Muslimat dalam tempoh setahun adalah untuk menambahkan keahlian sebanyak 30 peratus.
3- Adakan sasaran fokus untuk mencapai target. Kalau saya boleh buat contoh untuk Terengganu; maka saya cadangkan agar beliau menumpukan kepada tiga kawasan utama terlebih dahulu dalam tempoh enam bulan yang pertama. Sekiranya ada peningkatan yang bagus, maka kawasan fokus mesti bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan kemampuan. Pemilihan tmpat juga sangat penting dengan mengutamakan kawasan yang memapu memberikan kesan yang lebih positif kepada jamaah.
4- Latih dan training beberapa tenaga muda. jika boleh, beliau seharusnya meletakkan target untuk melatih 20 tenaga muda dalam tempoh enam bulan yang pertama. Latihan mesti sistematik berdasarkan modul. Sama ada mereka akan dilatih menjadi pendakwah kreatif atau pemimpin atau pentadbir, itu bergantung kepada keperluan semasa dan kehendak jamaah.

Saya doakan agar sahabat saya berjaya dalam perjuangan beliau.





Read More......

Jumaat, 11 September 2009

FATHIYAH IV

11 Cadangan/Pandangan
Teringat saya pesan abah dulu-dulu. Sampai sekarang ia masih terngiang-ngiang dan saya mengharapkan agar pesan abah itu menjadi sumber pahala yang berterusan kepadanya.

Kata Abah, di saat-saat saya bakal menduduki SPM, “Doakan agar hati kita terang untuk menerima ilmu, bukannya doa kejayaan begitu sahaja.” Pesan abah itu luas maknanya. Makna pesan abah adalah, ilmu bukan sekadar untuk dicurahkan ke dalam kertas peperiksaan tetapi adalah sebagai penghias amal kehidupan.

Pesan abah itu, sampai sekarang masih melekat dalam hati. Seperti api, ia terus marak membakar dan seolah-olah tidak akan padam.

“Papa, tok abah dulu garang tak?” Fathiyah bertanya. “Sayang, tok abah tak garang. Tok abah baik. Tok abah yang suruh papa hafal Quran. Tok abah yang nasihat papa agar jadi anak yang soleh. Tok abah yang nasihatkan papa agar jadi pemimpin masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan,” terang saya.



“Papa, along nak tanya papa satu benda, tapi papa janji papa jangan marah along,” ada saja anak sulung saya yang nakal. Entahla bagaimana pula bila Faqih besar kelak. Pasti banyak mulut macam kakak dia. Sekarang pun saya dan isteri sudah tidak larat melayan karenahnya yang macam-macam.

“Kenapa papa pilih mama?” terkejut saya mendengar soalan itu. Namun cepat-cepat saya sembunyikan riak wajah saya yang berubah. Saya perlu menjaga hati anak kesayangan saya ini. “Pada along, mama macam mana?” saya sengaja bertanya balik.

“Mama baik papa. Mama selalu pesan kat along, along along, kalau along nak masuk syurga, along mesti sayang Allah, sayang nabi, sayang mama dan papa,” kata Fathiyah sambil mengajuk cara isteri saya bercakap. Pecah ketawa saya. Fathiyah turut ketawa.

“Lagi, apa lagi mama bilang?” tanya saya lagi. « Erm, mama kata, mamay sayang sangat dengan papa. Sebab, papa yang banyak menanam rasa cintakan akhirat dalam diri mama. Mama kata, mama sayang papa bukan sebab papa orang yang ada nama. Tapi mama sayang papa sebab papa selalu curah ilmu dan ajak mama ingat akhirat,” sayu saya mendengar ulah anak kecil itu.

Saya mencubit pipi Fathiyah. “Along, hidup kat dunia ni tak lama. Along, mama, Faqih, adalah harta papa untuk bertemu Allah kelak. Masa papa pilih mama dulu, mama bagitau yang papa hanya tiket ke syurga. Mama pilih papa dengan harapan papa membimbing ke syurga. Along nak masuk syurga?”

“Nak nak, mestilah along nak masuk syurga papa. Dalam syurga along nak main Barbie. Auntie Aisyah kan suka main Barbie dengan Nabi Muhammad papa?” saya tersenyum mendengar ulahnya.

“Along nak masuk syurga sebab along nak tengok muka Nabi Muhammad. Along nak minta coklat dengannya. Along nak bagitau, Pakcik pakcik, papa tak bagi along makan coklat. Pakcik marah papa pakcik,hihi,” haha, ketawa kami dengan lelucon budak seusia empat tahun itu. macam-macam karenahnya.

“Papa, mama bilang, bau neraka busuk. Penghuni neraka tak dibenarkan mandi. Takde syampoo, takde sabun, takde Barbie. Along taknak masuk neraka. Along nak mandi kat syurga. Papa, kat syurga ada pantai tak?” saya mengangguk-angguk sahaja. Geli hati saya dengan anak yang sebesar itu.

“Ha, papa tak jawab lagi soalan along,” alamak, budak ni masih ingat lagi soalannya. Saya menarik nafas panjang. “Ala, along tidur dulu ye. Nanti esok-esokla papa cerita,” saya berhelah. Fathiyah mula menarik muka masam. “Papa ni,” panjang je muncung mulutnya. Saya tergelak. Bertuah betul budak ni.

« Ha, jangan lupa baca tasbih Auntie Fatimah, » pesan saya sambil menyelimutkan Fathiyah. Saya perlu menyambung pembacaan saya tentang kitab Fathul Bari karya Ibnu Rajab al-Hanbali. sengaja saya ingin mencari titik persamaan dan perbezaan antara metodologi Ibnu Rajab al-Hanbali dan Ibnu Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan Sahih al-Bukhari.

Fathiyah menyalami tangan saya dan mengucupnya, seraya saya mencium pipi dan dahinya. Dalam dahi saya mendoakannya agar benar-benar menjadi hamba sebagaimana Maryam yang memasrahkan hidup untuk berbakti kepada Allah.

Saya mendengar sayup-sayup anak saya itu membaca tasbih Fatimah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar.

Saya ke ruang tamu. Isteri saya masih menelaah buku dan menghafal beberapa keratan hadis. “Belum mengantuk lagi ke sayang?” saya bertanya. Jarang saya memanggilnya begitu. Kadang-kadang saja, untuk mengambil hati dan mencuri perhatian. Kuikui. Biasanya saya hanya memanggil nama.

“Belum bang. saya merenung ayat dalam surah al-Rahman. Mengapa Allah mendahulukan ayat kedua berbanding ayat ketiga. Mengapa mesti Allah menyebut, “Yang mengajarkan al-Quran” terlebih dahulu daripada “Yang menciptakan manusia”. Logiknya, mestilah menciptakan manusia dulu kan?” saya merapatinya. Saya berasa bangga sekali memiliki isteri yang begitu rajin merenung kebesaran Allah.

Setiap kali kami dalam perjalanan jauh, pasti kami menghabiskan masa dengan berbincang tentang ilmu, dakwah, tarbiah, suasana politik dan keadaan umat Islam masa sekarang. Beliau ternyata seorang isteri yang cekal dan tabah.

Isteri saya bukanlah orang yang terbaik. Namun ia adalah orang yang paling berkenan dalam hati saya. Dan saya dapat rasakan isteri saya orang yang paling sesuai dengan saya. Teringat balik saya dengan persoalan Fathiyah tadi.

“Fathiyah, along tak tau bahawa mama along ni seorang muslimah yang sangat istimewa dalam hati papa. Bersama mama, papa berasa iman papa sentiaa meningkat. Itulah keistimewaan mama kamu, anakku,” bisik saya dalam hati sambil menarik hidung telinga isteri saya.

“Adoi, abang ni memang nak kena,” laung isteri saya dan saya mula melarikan diri sambil tergelak ketawa.



Read More......

FATHIYAH III

5 Cadangan/Pandangan
“Hari ni ustaz akan bacakan kalam hikmah Ibnu Ataillah al-Sakandari untuk dijadikan renungan kita bersama,” saya memulakan pengajian Kelas Tafsir bersiri dengan kata-kata sufi sebagi usaha membersihkan diri.

“Bagaimanakah hati boleh bercahaya sedangkan dunia masih melekat dalam hatinya,” saya memulakan dengan ungkapan pertama dengan sedikit perasaan sebak. Alangkah, sekiranya syaitan hanya menyesatkan manusia dengan gula-gula keduniaan, mungkin masih ramai manusia yang mampu bertahan.

Namun yang paling menakutkan adalah apabila syaitan memperdayakan manusia dengan permainan akhirat. Ia telah menyebabkan ramai ulama yang telah tenggelam dan ditewaskan.



“Apa maksud abang dengan syaitan memperdayakan manusia dengan akhirat,” tanya isteri saya suatu hari ketika kami sama-sama bermunaqasyah. “Iaitu, syaitan menjadikan kita leka dengan ibadah. Ibadah banyak namun keimanan tidak meningkat,” saya menjawab seringkas mungkin.

“Saya belum faham apa maksud abang tu,” isteri saya masih mahukan penjelasan yang detail. Saya memegang tangannya erat. “Syaitan cuba sedaya upaya menimbulkan rasa ujub dalam diri manusia itu sendiri. Ini menyebabkan kadang-kadang mereka beribadat kerana ingin menjadi hebat. Ada kalangan mereka beribadah kerana ingin mendapat karomah di sisi Allah. Mereka melihat kepada ibadah namun ibadah mereka tidak mendekatkan diri mereka kepada Allah,” saya tahu isteri saya masih belum memahami sepenuhnya.

Ya, bagaimana hati kita bleh berkilauan dengan cahaya keimanan sedangkan kekotoran dunia masih terlalu melekat dalam diri mereka. Sepatutnya dunia dijadikan tanaman atau ladang untuk akhirat namun sebaliknya yang berlaku.

Teringat saya apabila Fathiyah bertanyakan soalan suatu malam, ketika ia hampir sahaja menutup mata setelah saya membacakan kisah Nabi Daud as yang bertaubat kepada Allah.

“Papa, kenapa kita hidup di dunia?” tanya anak saya seraya menggenggam erat jari telunjuk saya. Saya mencium dahinya. “Along, kita hidup untuk beribadah kepada Allah,” jawab saya perlahan. “Kenapa kita perlu beribadah kepada Allah, papa?”

Belum sempat saya menjawab, anak sulung saya itu terus menjawab persoalan yang dicetuskan olehnya sendiri. “Untuk kita hidup di akhirat dengan baik kan papa?” saya mengangguk-angguk. Sekali saya saya mencium dahinya sambil mendoakannya.

Untuk hidup dengan cemerlang di akhirat. Maka perlu bersifat zuhud. Zuhud itu maknanya tidak melihat dan tidak menoleh ke arah dunia. Dunia adalah tempat persinggahan sementara kita menuju ke sebuah alam yang kekal abadi. Di alam itulah akan ditentukan sam ada kita ke syurga atau ke neraka.
Saya bertemu dengan sahabat-sahabat Fakulti Kedoktoran semalam. Kami bermuhasabah dengan penuh kerdup keinsafan. Saya menyatakan kepada mereka, “Jika kamu mencari pasangan yang berfikrah seperti kamu sahaja, maka pandangan kau amat sempit. Tetapi jka kamu mencari ‘hamba’ untuk meneman hidup kamu, maka pandangan kamu adalah merangkumi dunia dan akhirat,” jelas saya.

“Apakah kita sekadar mencari pasangan hidup yang hanya membolehkan kita pergi usrah? Atau membenarkan kita pergi ke program latihan? Itu pandangan yang masih sempit. Sepatutnya kamu semua berusaha mencari pasangan yang akan menanam jiwa kehambaan dalam diri kamu dan mendekatkan kamu kepada Allah,” mereka semua terlopong mendengar penerangan saya.

Pasangan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah, bukan sahaja akan menjadi pendorong kepada kita untuk aktif berjuang bahkan akan sentiasa memberikan peringatan kepada kita tentang kedahsyatan akhirat dan sentiasa menyiram hati kita dengan air keimanan.

Saya menegaskan sekali lagi di dalam kelas, “Bagaimana hati seseorang itu akan bercahaya sedangkan duna masih melekat dalam hati mereka.”

Read More......

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE