Rabu, 25 Julai 2007

Takziah dari PMIUM


oleh: Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor
Saya mewakili mahasiswa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ulama Nusantara, Wan Muhammad Shaghir Abdullah atas pemergian ulama tersebut. Beliau dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak baru-baru ini kerana serangan angin ahmar.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam khususnya di rantau Nusantara. Inisiatif beliau melalui Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji) telah banyak menyumbangkan kepada pengumpulan, pemeliharaan dan mengangkat martabat khazanah Islam di Nusantara. Laman web bagi persatuan yang berkaitan boleh dilayari di http://www.pengkaji.org/.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Pulau Midai, Riau, Indonesia telah mengkaji banyak Ulama. Antaranya ialah Wan Ismail al-Jambui al-Fathani, Datuk Mufti dan Hakim Besar Johor, iaitu Datuk Paduka Mahkota Johor Abdullah bin Musa, Syeikh Wan Ali Kutan (Guru para ulama Melayu) dan Syeikh Abdul Lathif Tambi (Ulama gigih dan Dermawan).

Beliau begitu komited dengan kajian terhadap khazanah Ulama Melayu tersebut dan telah banyak menyumbang melalui pembentangan kertas kerja dan penulisan di akhbar Utusan pada setiap Isnin dan Berita Harian pada setiap Selasa. Hasil kerjanya, antara lainnya lebih 100 sudah pun diterbitkan di dada akhbar memang patut menjadi bahan rujukan para pelajar universiti, penggiat sejarah dan profesional dari dalam dan luar negara.

Karya klasik dilihat amat penting. Menurut pensyarah Akademi Pengajian Islam, UM, Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, teks tulisan ulama begitu berharga kerana ketika membacanya, pembaca seolah-olah sedang berinteraksi dengan penulis teks tersebut. Saya juga beranggapan bahawa pembaca seolah-olah dapat pergi ke zaman penulis karya tersebut dan dapat memahami kondisi Ulama tersebut.
Semangat beliau perlu menjadi role model kepada generasi baru dalam melakukan kajian ilmiah berkaitan karya-karya klasik. Beliau yang seawal usia 12 tahun lagi telah mula mengembara ke Kepulauan Riau dan Sumatera untuk membuat penyelidikan dan mengikuti pengajian di beberapa pondok di sana sepatutnya menyentuh hati kecil rakyat Malaysia, khususnya mahasiswa dalam meneroka ilmu secara berterusan dan bermotivasi tinggi.
Beliau dengan gigih menjejaki beberapa negara asal ulama tertentu seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan beberapa wilayah di Pattani dan Kalimantan Barat sebagai inisiatif untuk meneroka dan mencari bahan-bahan ulama Nusantara. Kegigihan beliau ini memberi gambaran betapa pentingnya usaha tanpa putus asa dalam mencari ilmu. Penuntut ilmu digalakkan senantiasa mengembara umpama tradisi Ulama zaman kegemilangan Islam terdahulu. Dalam konteks pelajar, khususnya mahasiswa, mahasiswa tidak seharusnya menganggap ilmu hanya diperolehi melalui kelas semata-mata. Mahasiswa perlu mencari alternatif tambahan untuk menambah ilmu di dada.
Mahasiswa digalakkan menghadiri forum, seminar, kuliah dan ceramah sama ada di dalam kampus mahupun di luar seperti dewan orang ramai dan masjid. Dengan cara ini, tradisi Ulama terdahulu tidak terputus dan ia akan berterusan dalam konteks keilmuan. Mudah-mudahan, akan muncul pengganti Allahyarham Wan Muhammad Shaghir Abdullah dalam meneruskan usaha beliau yang terhenti sekarang ini.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE