Sabtu, 8 September 2007

Pengaruh Pemikiran Serta Situasi Mahasiswa


Lothrop Stoddadrd (gambar kanan) dalam "The New World Of Islam" menegaskan sudah tiada lagi unsur-unsur atau tenaga yang sihat di inci muka bumi ini. Hal ini diperakui sendiri oleh tokoh ulama ulung dunia Islam iaitu Abul Hassan 'Ali al-Nadwi (gambar kiri) yang menjelaskan bahawa umat Islam sejagat telah mengalami kebekuan pemikiran dan rohani.

Saya tertarik apabila bendahari Gabungan Mahaiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), saudara Farhan menjelaskan betapa sejarah ini tercipta melalui dua jalan. Adakala sejarah tercipta secara kebetulan dan adakala sejarah dicipta melalui perancangan yang teliti. Hal ini disebut sendiri oleh Dr Sulaiman Noordin dalam buku beliau "Sejarah Pemikiran".

Saya amat bersetuju terdapat banyak juga sejarah yang dicipta melalui perancangan. Lenin yang menggantikan Ricardo dalam komunisme (beliau juga terkenal dengan gagasan penguasaan revolusi secara profesional) sebagai contoh menyebut bahawa imperialisme ini merupakan fenomena ekonomi semata-mata yang memalingkan manusia lepada berkiblatkan kapitalisme.

Cecil Rhodes (Gambar kanan bawah-bapa Imperialisme moden Inggeris) berkata: "Kita adalah ras yang tertinggi di dunia, makin luas bumi yang kita duduki, maka makin baik untuk kesejahteraan manusia". Seterusnya, Maryam Jameelah menegaskan fenomena modenisme sebagai satu pemberontakan terhadap agama dan nilai roana yang subur pada abad ke-18, terutama di France pada era Enlightenment.

Kampus-kampus baik dalam negara dan luar juga mengalami situasi yang sama. Saya secara peribadi cukup yakin dengan adanya grand design yang rapi dan terancang bertujuan melemahkan gerakan-gerakan Islam termasuklah gerakan mahasiswa Islam itu sendiri. Agenda pragmatisme dan Darwinisme yang berorientasikan undang-undang rimba dipraktikkan di kampus-kampus supaya suburlah fahaman-fahaman yang bersimpang-siur dengan kerosakan budi.

Tujuannya, hanyalah nihilis. Grand design cuba menghancurkan peribadi individu, menyahkan unit keluarga, dan menghapuskan apa sahaja nilai yang berkait dengan agama. Nihilismo berobjektifkan duniawi dengan mengetepikan ukhrawi. Nihilis bertujuan merosakkan peribadi mahasiswa muslim yang kaya dengan akhlak untuk digantikan dengan sistem kebinatangan yang dijunjung oleh sesetengah pihak yang berajakan nafsu kesombongan.

Saya tidak berniat untuk memburukkan mana-mana kampus sepanjang penulisan saya dalam ruangan ini, kecuali jika sangat-sangat perlu sebagai satu fakta bukannya rekaan. Boleh dikatakan maklumat semua kampus secara asasnya ada dalam genggaman saya, malah perancangan pihak aspirasi dalam mendominasi kampus dalam pilihanraya kampus (PRK) yang bakal dijalankan juga berada dalam genggaman saya. Tidak, hanya genggaman tangan kanan sahaja.

Mana-mana sahaja universiti di dunia, semuanya bermatlamatkan keilmuan dan mendokong aktiviti dan aspirasi keilmuan. Agenda melahirkan intelektual yang sarat dengan pandangan dan ilmu pengetahuan di dada tetap menjadi agenda terpenting dalam meneruskan tradisi human capital yang berjiwa.

Malah saya sangat tertarik dengan adanya usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat intelektual dengan wujudnya Universiti Malaya. Malah, telah banyak universiti dalam dan sekitar Kuala Lumpur. Ia boleh kita katakan sebagai satu usaha yang murni meskipun saya jauh sudut hati menyatakan itu sebagai satu mimpi di siang hari. Sehingga sekarang, saya tidak pasti malah tidak tahu sama sekali apalah sangat sumbangan golongan intelektual yang berkampung dalam universiti.

Bukan semua orang jumud pemikiran dan bejat pandangannya. Tidak semua, tetapi ia berlaku dalam jumlah yang agak besar. Kita ingin menjemput mana-mana yang tidak bersetuju dengan pandangan ini untuk datang sendiri ke kampus untuk menyaksikan fenomena kebejatan moral kalangan mahasiswa yang dikatakan sebagai rumpun bangsa ini.

Kita tidak dapat memahami dengan segelintir mereka, malah pimpinan, bukan, Yang Di-Pertua (Ydp) sendiri yang asyik berkepit dengan pasangan ke mana-mana. Mereka rasa janggal berpeluk lelaki perempuan secara berhadapan di khayalak ramai, tetapi setiap hari mereka berpeluk di atas motor dengan siswi merapatkan tubuh semahu-mahunya ke belakang siswa.

Ydp pula seolah-olah sudah tiada kerja lain sehingga masih punya masa yang sangat banyak untuk bersama dengan pasangannya. Sedangkan pimpinan-pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam (Pmium), termasuklah ahli sendiri tidak punya masa untuk berbuat demikian lantaran terbeban dengan gerak kerja yang banyak dan tidak pernah putus.

Hedonisme ternyata agak berjaya menarik sebilangan besar minat mahasiswa. Lihat sahaja 'Gegar U'; persembahan seorang siswi dengan berpakaian singkat dan ketat, menyanyi sambil menggerakkan tubuh badannya untuk menjadi tontonan dan jamahan mata liar kaum Adam. Saya tertanya-tanya, tidakkan mereka malu, sekurang-kurangnya dengan diri sendiri dengan mengenakan pakaian yang diibaratkan membalut nangka, mempamerkan apa yang tidak sepatutnya. Ini bukan siswi Chinese, tetapi siswi Melayu yang beragama Islam.

Program Ilmiah ternyata malap. Mereka lebih tertarik untuk membeli-belah di gerai yang menyediakan makanan-makanan dan lain-lain yang berada berdekatan dengan dewan berlangsungnya program ilmu tersebut. Saya tidak takut untuk menyatakan, fenomena ini sama sahaja dengan perhimpunan Parti pembangkang sama ada ketika muktamar atau ceramah apabila kebanyakannya datang untuk membeli-belah bukannya mendengar ceramah. Penjaja-penjaja makanan dan minuman pula sibuk mencari rezeki di saat majlis ilmu berlangsung. Bukan sahaja parti Pembangkang, malah hal ini berlaku sama sahaja di mana-mana tempat dan dalam mana-mana program sekalipun. Sekarang, mahasiswa pula yang sedang mengikuti jejak langkah dan tradisi nenek moyang mereka yang ternyata tidak bertamadun ini.

Mungkin agak keras, namun kita sepatutnya berlapang dada menerima kritikan sebegini. Saya secara peribadi agak bersimpati dengan Vise Cancelor Um yang terpaksa berhempas pulas menghadapi golongan-golongan yang berfikiran hiburan semata-mata ini dengan membelakangkan tradisi keilmuan.

Siapa yang mampu menutup mata apabila dua mempelai kononnya ditangkap sedang berkhalwat dalam surau pada pukul 3 pagi? Siapa yang sanggup menutup mata melihat pasangan muda berpelisiran di malam hari. Apakah mereka berbincang soal pelajaran dan masalah akademik dalam kereta di malam hari secara berdua-duaan? Berpeluk-pelukan, malah bercium-ciuman dengan gaya yang meluatkan dan memualkan. Dua pasangan yang ditangkap dalam keadaan seluarnya sudah tertanggal cukup memalukan.

Mungkin yang tidak berada dalam kampus akan terkejut. Saya yang sentiasa menerima maklumat daripada pelbagai kampus sudah lali dengan kejijikan bak najis ini. Jangan terkejut jika saya katakan adanya kumpulan 'Sodom' yang berorientasikan lelaki suka lelaki dan perempuan suka perempuan. Mungkin mereka ada yang berjaya dalam akademik tetapi apakah orang semacam mereka yang kita hendak lahirkan.

Izinkan saya untuk membongkar sedikit demi sedikit kebobrokan yang sedang menimpa dari sudut keruntuhan sistem sosial masyarakat terlebih dahuku. Kelak, saya akan dedahkan lagi dengan lebih luas tentang kebobrokan yang berlaku dalam sistem pilihan raya kampus dan sebagainya.

Cuba tanya mana-mana ibu bapa, siapa kalangan mereka yang boleh menerima anak mereka yang diharapkan untuk membantu keluarga terdiri daripada kalangan manusia di atas. Saya secara peribadi sendiri mendapat maklumat seorang kawan saya hampir digoda untuk melakukan hubungan sejenis. Masya-Allah, saya tidak lena tidur memikirkan keadaan yang kian menghimpit ini. Seolah-olah, dunia sekarang, malah kampus banyaknya dihuni oleh binatang bukan lagi manusia. Pastinya, binatang yang bertopengkan manusia.

Yang tahu banyak juga membisu. Yang melihat, banyak juga yang menutup mata. Pedulikan. Jangan ambil peduli hal ehwal orang lain. Jangan jaga tepi kain orang. Masing-masing ada kubur masing-masing. Inilah fahaman yang menular tanpa sedar. Akhirnya, terpaksalah persatuan-persatuan Islam yang menggunakan pelbagai nama untuk mengelakkan daripada serangan orang yang bencikan kebangkitan Islam bertindak untuk membersihkan kekotoran yang makin melantai ini. Gamis sendiri tidak akan membisu bahkan kita telah merancang untuk melakukan operasi pembersihan secara besar-besaran dengan teratur dan sistematik.

2 Cadangan/Pandangan:

Tanpa Nama berkata...

yup, bersihkan generasi kita dari segala kekotoran ini.jom bertindak.

Tanpa Nama berkata...

sukala artikel ni

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE