Selasa, 18 Mac 2008

KISAH SURI TELADAN


KISAH 1 (Seorang Pakcik Di Terengganu)

Saya bertemu seorang pakcik di sebuah masjid di Terengganu. Wajahnya bersih amat, dan terpamer ketengan sejati hasil simbahan amal ibadat di raut wajahnya. Katanya kepada saya, ”Saya pernah keluar bersama Tuan Guru Nik Aziz. Pada malamnya, syaa tersedar dua pagi, saya lihat Tuan Guru sedang solat. Tiga pagi lebih, Tuan Guru masih bersolat.

Esoknya saya tanyakan Tuan Guru secara berbisik-bisik. Tuan Guru minta saya merapatinya sehingga lutut kami berlaga. Lalu saya tanyakan apakah rahsia kekuatan beliau sehinggakan dalam keadaan penat pun masih mampu untuk berjaga sepanjang malam dengan hanya sedikit sahaja tidurnya.

Kata Tuan Guru, “Dunia ini bukan tempat untuk tidur. Kalau kamu nak tidur, ha, nanti tidur sepuas-puasnya di akhirat kelak.”

Pakcik itu kelihatan tenang sekali menceritakan hal tersebut kepada saya, seraya memberikan sedikit signal yang mudah saya fahami, bahawa dia juga sentiasa berjaga malam bermula jam tiga pagi. Saya pegang cerita tersebut dan semat dalam hati, seraya beristighfar kepada Allah sambil menginsafi kelemahan diri.

KISAH 2 (Nasihat Ayah Nik)

Ayah Nik memanggil saya untuk mencurahkan sedikit nasihat. Bapa saudara saya ini memang seorang yang agak disegani dalam keluarga kami. Banyak butiran kata yang terpancul dari mulutnya sebagai satu bekalan tersimpan untuk saya.

Katanya, kenapa dilaungkan takbir empat kali sewaktu azan. Rahsianya adalah, setiap takbir itu adalah bertujuan menyeru kepada empat elemen penting dalam badan manusia iaitu HATI, URAT, DARAH dan DAGING supaya semuanya tunduk kepada kekuasaan Allah dan mengerjakan solat.

Tambahnya lagi, setiap kali kita mengambil wudhu’, kita mesti memahami rahsia wudhu’. Dibasuh tangan, agar Tuhan membersihkan tangan daripada kekotoran dosa, dibasuh mulut untuk membersihkan mulut daripada kotoran mengumpat dan mencela dan begitulah seterusnya. Saya teruja jadinya, lalu saya dapat merasakan dosa bagaikan gunung besar menghempap diri saya lalu lumatlah saya ditndih dosa yang tidak kunjung padam.

KISAH 3 (Bertemu Tuan Guru Haji Hashim)

Haji Hashim adalah guru besar Pondok Terusan di Pasir Tumboh. Satu kali kami menjemputnya ke Nilam Puri untuk bersolat hajat dan mendoakan agar Nilam Puri akan kembali aman daripada angkara kecurian yang banyak sekali. Esoknya HP yang baru sahaja hilang dicuri telah ditemui di satu tempat yang tersembunyi sehingga menimbulkan tanda tanya kalangan kami.

Saya sempat bertemu beliau dalam satu petang yang indah. Saya mengambil kesempatan singgah di pondok dan bersua muka dengan beliau selepas Asar. Lalu saya pohon agar saya dihadiahkan satu doa untuk saya amalkan.

Beliau ringkas sahaja menyebut kepada saya, agar saya amalkan doa: Tuhan, berilah kami kebaikan di dunia jua di akhirat, serta jauhkan kami daripada zazb neraka. Saya terkesima, lalu akhirnya tiga tahun kemudian, baru saya mengerti kekuatan doa tersebut.

KISAH 4 (Rezeki Yang Mencurah-curah)

Saya dijemput untuk menyampaikan kuliah di satu tempat. Saya berbicara tentang sedekah lalu saya menyebutkan beberapa ayat al-Quran, hadis dan juga kisah-kisah sebagai motivasi kepada khayalak untuk melazimi semangat bersedekah.

Fathi menemani saya ketika itu. Malamnya, saya membawa Fathi dan beberapa kawan saya untuk makan bersama-sama. RM 30 melayang malam tersebut untuk belanja mereka makan sebagai tanda kasih.

Fathi menepuk bahu saya seraya mengajuk kata-kata saya dalam kuliah. “Takpe, satu akan dibalas 10 kali ganda”. Saya hanya sekadar tersenyum.

Esoknya, saya mendapat rezeki yang di luar sangkaan. Hampir RM 500 duit diberikan kepada saya dengan hanya menyampaikan dua ceramah sahaja. Saya bersujud syukur kepada Allah.

KISAH 4 (Kelebihan Solat Isyraq)

Saya beramal dengan solat Isyraq sebelum meninggalkannya beberapa ketika. Sehinggalah satu hari, saya benar-benar kehabisan wang untuk belanja hidup. Setelah tidak tahan begitu untuk beberapa tempoh, saya mengambil keputusan untuk solat Isyraq dan terus mengadu kepada Allah secara direct tentang masalah kewangan saya.

Paginya, seorang ustaz menghulurkan saya RM 20 untuk belanja hidup dan pada petangnya saya mendapat lagi dalam RM 30. kepada Allah sahaja saya bersyukur. Sesungguhnya benarlah Dia yang mengaturkan rezeki kita dan benarlah bahawa Dia mendengar segala keluh kesah kita.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE