Orang fiqh dan orang hadis nyata berbeza pendekatan dan bentuk kefahaman mereka. Saya ketika berbincang dengan seorang teman menyebut, orang fiqh membincangkan tentang halal dan haram, orang sufi berbincang tentang berguna atau lagho, manakala orang kaunseling pula tentang hati dan perasaan. Semua ada pendekatan masing-masing.
Sebagai contoh, barangkali, orang fiqh menyatakan barangsiapa yang meninggalkan perkara sunat, maka tidak mendapat pahala dan juga tidak mendapat dosa. Namun orang sufi pula berkefahaman, meninggalkan perkara sunat adalah rugi dan melakukannya adalah untung.
Pernah al-Ayafei berdebat dengan Imam Ahmad. Kata Ahmad, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah kafir, tetapi al-Syafei hanya menyifatkannya sebagai kufur nikmat. Ahmad adalah orang hadis, al-Syafei pula orang fiqh. Lalu Ahmad mengeluarkan seberapa banyak hadis yang menerangkan perkara tersebut, namun al-Syafei hanya mengeluarkan satu sahaja persoalan. “Jika ia dianggap kafir, maka bagaimana ingin kebali kepada Islam?” Ahmad menjawab, ia perlu mengucap. Namun al-Syafei membalas balik, kenapa ia mesti mengucap sedangkan hatinya memang mengakui keesaan Allah dan kerasulan Muhammad, Cuma ia hanya malas mengerjakan solat.
Begitulah adanya. Maksudnya, setiap orang ada pendekatan. Apabila A. Samad Said menulis novel Salina, ramai membantah kerana tampaknya ia lucah. Bagi orang biasa, perkataan dan jalan cerita yang kurang senonoh adalah lucah dan lucah adalah kotor dan kotor tidak wajar dipersembahkan. Bagi sasterawan adalah lain. Mungkin benar lucah adalah kotor namun ia harus dipersembahkan demi menggambarkan perasaan dan inti pati. Bukan untuk permainan tetapi untuk realiti. Ramai menentang A.Samad Said namun Prof Zulkifli Muhammad memperjuangkan novel beliau sehingga mendapat pengiktirafan negara.
Begitu juga Hamka yang pernah dikritik kerana novel cinta.
Saya teringat ketika membaca kisah ulama. Ada ulama sedemikian kerasnya. Berjumpa dengan orang yang tidak bertudung, dimarahinya depan-depan. Baginya, maruah orang tidaklah terlalu penting jika dibandingkan dengan kemuliaan Allah itu sendiri. Namun bagi Hamka, apabila seorang perempuan seksi menyatakan ia berminat dengan Islam yang moderat, Hamka turut menyatakan persetujuannya terhadap Islam yang moderat. Alangkah, jauhnya perbezaan tindakan mereka.
Ustaz Elyas atau Paksuli, dalam perbincangan saya dengan belau. Bagi beliau, Islam yang utama, maka janganlah diraikan orang semata-mata untuk menarik perhatian mereka sehingga mengabaikan ajaran Islam. Sebagai contoh, orang yang memakai seluar pendek, jangan diizinkan memasuki pertandingan futsal. Jangan semata-mata meraikan dan cuba menarik mereka, lalu diabaikan ajaran Islam itu sendiri. Namun saya pula lain. Saya lebih memilih pandangan meraikan orang untuk menarik mereka kepada orang yang mencintai Islam, sekaligus menarik mereka kepada ajaran Islam. Ya, ia merupakan pendekatan yang berbeza.
Umar ingin membunuh Abu Sufyan, tetapi Ibnu Abbas mempertahankannya. Abu Bakar ingin memerangi Malik bin Nuwairah namun majoriti sahabat besar menolak pandangannya. Apabila Abu Bakar memarahi orang perempuan menyanyi di rumah Nabi, Nabi pula senang mendengar nyanyiannya. Ada sahabat mengembangkan Islam dengan kekayaan, dalam masa yang sama ada yang mengembangkannya dengan syair dan gurindam.
Umar juga pernah memarahi Abu Ubaidah yang mula mengenakan pakaian dan tempat tinggal yang mewah ketika berada di Rom, namun Abu Ubaidah sebenarnya ingin menampilkan kekuatan Islam. Abu Dzar mengkritik dasar pemerintahan Saidina Uthman kerana metodenya tidak sesuai dengan sifat zuhud Abu Dzar.
Perbezaan kefahaman dan metode, apapun, ia rahmat dan ia berkat. Masing-masing cuba mencari pendekatan yang paling sesuai dan diterima ramai. Jika keras tidak diterima, maka kelembutan digunakan. Jika lagu dianggap meluat, maka bacaan al-Quran didendangkan. Jika ramai memeluk Islam kerana tertegun dengan al-Quran, ada juga memeluk Islam kerana terpegun dengan keindahan seni tarian silat. Ia sangat luas, seluas lautan dan samudera. Terbanglah setinggi mana pun, asalkan cahaya mentari yang engkau cari, bukan malapetaka kilat yang digapai. Berenanglah sejauh mana sekalipun, asalkan engkau pandai berenang.
Mungkin Ibn Umar keras, namun Ibn Abbas lembut. Mungkin Khalid seorang pendekar, namun Abdullah bin Rawahah seorang penyajak. Mungkin Abu Dzar seorang pengkritik, namun Umar seorang pemimpin. Mungkin Abdul Rahman bin Auf menggunakan kekayaan untuk dakwah, namun Mus’ab bin Umair meninggalkan kekayaan. Musa AS keras dalam tarbiah, namun Harun meihat dengan pandangan jauh. Pembesar Saba’ cuba mengalahkan Sulaiman dengan peperangan, namun Ratu Saba’ cuba menewaskannya dengan rasuah. Tengok, masing-masing ada cara tersendiri.
Sebagaimana luasnya Islam, maka seluas itulah kamu haru meneroka…
Inilah Teknik Seni Bela Diri di Avatar, The Last Airbender
Sehari yang lalu
1 Cadangan/Pandangan:
subhanallah...sewajarnya kita meraikan perbezaan2 ini, Islam tidak dibangunkan dgn cabang-cabang kompleks melainkan untuk kita fahami...bhw Islam Is The Way Of Life...Kaulah yg mencorakkan hidupmu, coraklah dengan warna apa sekalipun, pasti jalan yg lurus akan kau temui, jika kau pegang Sunnah Nabi dan Qalam Ilahi..
Catat Ulasan