Apabila kita ingin mengenal seseorang, maka tengoklah dengan siapa ia berkawan. Kawan merupakan satu petanda untuk kita mengenal seseorang. Jika elok kawannya, maka eloklah ia. Jika sebaliknya, maka begitulah juga ia.
Ada orang yang membezakan antara kawan dengan sahabat. Kawan dikatakan satu perhubungan biasa sedangkan sahabat merupakan satu ikatan perhubungan yang erat. Saya dalam artikel ini tidak mahu membezakan antara kawan dengan sahabat. Ini kerana saya hanya ingin membicarakan persoalan tentang: Apakah erti kawan sejati dan bagaimana menjadi kawan yang berkuasa, atau mungkin berpengaruh.
Beberapa ulama telah menasihati murid dan anaknya agar memilih kawan yang baik. Kawan yang baik diibaratkan penjual minyak wangi. Ramai juga orang yang terpengaruh dengan kawannya. Yang masuk ke dalam jamaah kerana kawan pun ada.
Antara ciri kawan sejati yang sepatutnya menjadi pilihan kita ialah:
1) Kawan yang suka memberi nasihat kepada kita. Memberi nasihat ialah satu jenis teguran yang semanis dan semolek mungkin dan berusaha daripada menyakiti hatinya. Teguran di hadapan ramai adalah mengaibkan dan itu bukanlah nasihat. Nasihat yang terbaik ialah
• Tidak terlalu berterus terang sebaliknya hanya berkias
• Berpura-pura tidak tahu apa kelemahan kawan kita, semacam kita memberikan nasihat secara umum
• Jika hendak memberi nasihat secara terus terang sekalipun, ia bukan langkah pertama dan bukan di hadapan orang lain
• Memberi nasihat dengan penuh kasih sayang
2) Kawan yang rela membantu kita dalam segenap keadaan. Ia melebihkan kita dalam banyak keadaan dan sentiasa berlapang dada. Malah ia meletakkan kepercayaan yang secukupnya kepada kita
3) Kawan yang menyembunyikan aib kita sebaliknya selalu menceritakan kebaikan kita di belakang. Ia mempertahankan kita apabila orang lain cuba menjatuhkan maruah kita.
4) Kawan yang mendoakan kita dalam doanya dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat kita.
` Secara praktikalnya, kawan yang terbaik ialah yang sentiasa menghantarkan SMS kepada kita, bertanya khabar, mengambil berat tentang keluarga kita, tidak kedekut untuk berbelanja, sentiasa bermanis muka, ringan hati untuk memaafkan kesalahan kita terhadapnya, memberikan kita hadiah dan ringan tulang membantu kita.
Bagaimana ingin menjadi kawan yang berpengaruh? Maka tuntasnya, jawapan untuk menjadi kawan yang berpengaruh telah saya nyatakan secara tidak langsung di atas.
Anda melihatnya seorang yang kurang terurus dari sudut keteraturan masa, maka anda hadiahkan ia planner sebagai pemudah cara baginya.
Anda melihat kawan anda sebagai seorang yang pandai berceramah, maka anda membuka peluang padanya untuk menyampaikan ceramahnya.
Anda melihat kawan anda dari keluarga yang serba kekuarangan, maka anda sentiasa mendahulukan duit anda sama ada ketika makan, bubuh minyak motor dan juga membeli sesuatu barang.
Anda melihat kawan anda seorang yang bermasalah dalam pelajaran, maka anda memberikannya idea untuk menguasai pelajaran, atau anda belajar bersama-samanya.
Anda melihat kawan anda terlalu dibebankan dengan gerak kerja jamaah, maka anda membantunya dari sudut yang termampu.
Kawan yang berpengaruh ialah, kawan yang pandai memujuk hati kawannya ketika dilanda keresahan.
Kawan yang berpengaruh ialah, kawan yang pandai bermanis mulut memuji usaha kawannya sebagai satu daya motivasi.
Kawan yang berpengaruh ialah, sentiasa mendekatkan kawannya kepada rajinnya beribadat seperti membaca al-Quran dan mengerjakan solat.
Tidakkah anda mahu menjadi kawan yang berpengaruh, yang berkuasa? Kawan yang sentiasa memberikan erti dan nilai kepada sebuah kehidupan. Nah, saya yakin kita semua mampu menjadi kawan yang berkuasa dengan syarat, kita mesti bersedia untuk melengkapkan diri kita dengan serba serbi kelengkapan yang telah saya nyatakan di atas.
Anda boleh, saya percaya dan yakin dengan anda…
Keuntungan Lampu Downlight, Hemat Listrik dan Bertahan Lama
5 hari yang lalu
0 Cadangan/Pandangan:
Catat Ulasan