Ahad, 1 Februari 2009

28 JANUARI 2009


28 Januari 09: Saya dan Azlan sampai ke Jogjakarta dengan selamatnya, AlhamduliLlah. Kedatangan kami disambut dengan marah-marah yang tidak bertepi oleh penjaga imigresen yang ketidakhaluan. Bagi saya, biarkan jelah. Mungkin adat dan pengurusan di Indonesia dan Malaysia berbeza.

Amika menyambut kami dengan gembira. Kami turut gembira. Menunaikan solat di Masjid Universiti Gajah Mada, ia merupakan satu pengalaman yang tidak keterlupaan. Menarik bentuknya, seperti itu juga menariknya bentuk dan kedudukan tandas di situ. Orang Indonesia mungkin sudah biasa, tapi bagi kami, ia agak luar dari kebiasaan.

Malamnya kami bercanda dengan perkongsian perasaan. Amika menayangkan kami dengan perasaan gembira tentang aktiviti-aktiviti PKS yang acap kali membuka mata kami. Ucapan Anis Matta juga mengetuk minda kami sehingga saya dan Azlan akhirnya membuat satu resolusi yang menggetarkan jiwa.



Ya, di dalam sebuah bilik yang kecil, tanpa kipas yang menyejukkan namun peluh segan-segan keluar, disaksikan tiga bantal dan dua buah komputer, juga sebuah rak baju dan meja belajar, kami akhirnya telah mengopak satu idea yang amat menyentuh perasaan. Idea itu, biarlah anda tidak mengetahuinya kerana kelak, ia bakal menggemparkan negara. Itu pun jika kami teruskan dengan hati yang kering dan tidak basah.

Azlan suka mencipta idea pelik. Kami ada beberapa nilai persamaan yang ketara. Setiap kali kami ingin berbincang, pasti kami menyanyi bersama-sama. Lagunya pasti aneh dan mengulit. Saya dengan suara serak saya yang menyakitkan telinga, manakala Azlan dengan suara yang kedengarannya merdu-merdu katak.

Kami juga sama-sama cintakan reformasi dan revolusi. Kami tidak suka terjerat dalam kesamaran minda yang menyakitkan akal untuk berfikir. Kami ingin kebebasan minda tetapi ia sering terbatas oleh ketuaan. Ketuaan itulah penghalangnya. Kami pula mahukan keremajaan ideologi. Kami sanggup bertentang dengan ketuaan demi mencapai cita-cita kami.

Kedatangan kami ke sini sangat menarik. Tanpa sebarang duit dalam dompet, dan hanya RM 30 dalam bank, nmanakala Azlan pula ada hanya dua tiga ratus sahaja. Malah ia tidak pernah terancang dengan baik. Hanya dalam masa tidak sampai lima minit. Saya mengajak dan Azlan menerima. Lalu kami ke sini setelah saya menge’pau’ bapa saudara saya yang masih terhutang budi kerana saya menghadiahkannya seorang isteri.

Sebetulnya saya sangat cintakan negara saya Malaysia. Sukar sekali saya lupakan udaranya yang segar tetapi terhakis kini. Saya juga sukar lupakan orang di Malaysia. Jangan salah sangka. Namun saya juga sukakan pengembaraan. Kami telah bercadang untuk menziarahi beberapa tempat dan pastinya saya merindui tempat lahirnya karya cinta Ibn Hazm iaitu “Al-Hamamah”. Ya, bumi Andalusia sering kali memanggil-manggil saya dan acap kali saya berkhayal untuk meratah kedamaian yang ada di Bumi Andalusia itu. Saya ingin sekali melihat roh Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair yang telah membebaskan Barcellona dan Sevilla. Jika saya ke sana Insya-Allah, saya cuba pastikan saya ke sana ‘berdua’, bukan lagi ‘berseorangan’ seperti sekarang.

Meremajakan daya berfikir dengan mengasahnya melalui pengalaman sangat penting. Orang yang pendek langkahnya, meskipun ia mengembara lama di tempat-tempat yang indah, mereka mungkin hanya mengaut sedikit pengalaman dan pengetahuan. Tetapi orang yang panjang langkah mindanya akan mengaut sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan serta meratakan ideanya di tempat ia berpijak.

Saya dalam hal pembaharuan, saya langsung tidak kisah apabila ada ketuaan yang cuba menghalang. Mungkin kerana saya belum memahami rempah ratus kehidupan, atau mungkin mereka belum mengenal jiwa dan kejiwaan saya. Sir Iqbal pernah menyebut sebelum wafatnya, “Tatkala ada yang meninggal dunia, pasti ada orang yang menyebut aku kenal si dia, aku tahu siapa si dia. Tetapi orang tidak akan mengenal aku”.

Mengapa orang tidak mengenal Iqbal? Kerana ideanya besar, kepalanya membesar, otaknya berada dalam persempadanan dunia yang lain, maka mana mungkin orang mampu untuk menjangkaui daya berfikirnya yang ternyata di luar kemampuan.

Mungkin saya masih mentah. Tetapi janganlah sampai dibentes kaki saya. Jangalah sampai dikerat-kerat idea yang terbit. Janganlah dicantas dan dipotong kemampuan yang mahu berkembang.

Amika juga membentangkan hasil laporan perjalanan sembilan orang ahli Gamis yang dihantar untuk menerima latihan dulu. Hasilnya agak memuaskan. Muslimat berjaya menghabiskan sebanyak 15 juzu’ al-Quran sepanjang 10 hari di sana manakala muslimin rata-ratanya berjaya menghabiskan 20 juzu’. Mereka banyak bertemu dengan beberapa cerdik pandai untuk berbincang dan berdiskusi serta menimba pengalaman yang mungkin saya tidak mendapatnya.

Namun seperti yang sudah saya bilang. Jika mereka datang dengan pengharapan dan jiwa yang besar tetapi kemampuan minda mereka berada di tahap kebawahan, maka mereka tidak akan dapat melepasi tahap kemampuan minda yang sedia ada. Tetapi sekiranya pengharapan dan jiwa mereka besar, himmah mereka bergegar-gegar, malah mereka memiliki daya intelektualiti dan kekuatan minda yang membukit, mereka pasti akan melangkah jauh ke hadapan serta mampu mencipta perubahan.

Ini cabaran saya. Begitu juga di Malaysia. Bagi yang berjiwa kecil serta tidak berani menempuh risiko, maka mereka akan ditempuh kebekuan. Kebekuan ituah yang paling saya takuti.


0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE