Ahad, 15 Februari 2009

KEMBARA KU


Guruku mengajakku pada malam itu. Kali ini, mengembara lagi. Katanya, ke tempat yang lain. Guru berjubah putih bersih. Serbannya juga putih, dililit kemas di kepala.

Siapa tidakkenal Mutawalli al-Sya’rawi. Mufassir terkenal kelahiran Mesir. Disegani kawan dan digeruni lawan. Malah Husni Mubarak menggeruni beliau. Beliau kadang-kala saja singgah dalam mimpiku. Jika ia datang, pasti ada hajat yang sangat besar.

Malam itu kata guru, kami akan ke muhasabah para sufi. Undangan utama malam itu ialah al-Ghazali. Saya sangat teruja. Kami berterbangan dalam alam maya yang sukar untuk saya ta’rifkan. Saya mohon izin untuk tidak menceritakan kepada khalayak demi mengelakkan fitnah akibat kurang kefahaman dan kejelasan.

Kami menerobos angin begitu pantas. Guru begitu tenang membilang tasbih. Memuji Allah sepanjang masa. Banyaknya guru akan menghabiskan masa untuk membaca dan merenung kitab suci al-Quran. Selebihnya digunakan untuk menuntut ilmu meskipun guru antara yang paling alim pada zamannya.

Saya mendakap erta guru. Jika rohani saya tidak kental, saya akan lenyap dalam pengembaraan tersebut. Guru berkali-kali meminta saya berzikir, Ya Hayyu Ya Qayyum. Berkali-kali saya mengulangnya. Sedikit demi sedikit , saya berjaya menyahkan kegusaran yang bersarang dalam diri saya.




Kami tiba di sebuah tempat. Di tepinya, terdapat sebuah kolam yang sangat indah. Rumahnya kecil sahaja, tempat yang akan diadakan muhasabah pada hari tersebut. Yang datang, serba keputihan. Masing-masing berwajah jernih. Saya tersipu-sipu melihat wajah bersih Zun nun al-Misri. Jangan ditanya saya sebersih manakah wajahnya kerana tidak tergambarkan.

Mereka menyembunyikan karomah. Mereka bukan penggila kemasyhuran. Bagi mereka, tidak penting nama mereka dikenali di dunia, lantaran mereka tersohor adanya di Negara langit. Mereka sudah tidak mempedulikan kesenangan dunia kerana mereka gering mencari nikmat perkampungan akhirat.

Al-Ghazali memulakan majlis. Janggutnya panjang. Wajahnya tampak seorang ilmuan terbilang. Juga ia sukar sekali digambarkan. Banyak kerut di dahinya. Tajam pandangan matanya. Serius sekali orangnya. Namun dada saya sebak bila saya bertembung matanya. Terasa saya dicucuk-cucuk. Terasa mata saya tidak tertahan dengan cahayanya. Rohani saya nyata tidak tertahan dengan kekuatan rohani a-Ghazali.

“Nak, pergi berwudhu’ dan tunaikan solat taubat dua rakaat. Mungkin ada salah kamu menyebabkan dada sesak sekali aku nampak,” pesan guru seraya menyentuh bahu saya. Saya malu keseorangan.

Saya segera beredar, tajdid wudhu’ dan solat dua rakaat. Dalam firasat, saya dapat merasakan bahawa ada suara meminta agarsaya janganmasuk ke dalam majlis tersebut. Saya mengerti, rohani saya belum mencukupi untuk saya bersama mereka. Mereka arif billah, mengenal Allah dengan mata hati mereka. Saya pula, mengenal maksiat dan jauh dengan nilai taat.

Jika saya terus bersama mereka, saya akan lebur. Usai saja solat, saya memejamkan mata sambil berzikir khafi,memohon ampunan kepada Allah secara diam-diam. Setenang sungai yang mengalir. Saya mula merasakan kedamaian.

Selepas itu, saya mula memusatkan perhatian saya kepada mata hati. Saya mula mengarahkan ma’rifat saya untuk mendengar perbualan para sufi. dan perbualannya, membuatkan saya terfana.
“Kecelaruan ummah adalah kerana maksiat mereka. Kes pelacuran, penyalahgunaan dadah, zina dan sebagainya semakin bertambah-tambah. Mereka menganggap dosa-dosa tersebut kecil walhal ia merupakan dosa yang terkutuk,” kata Ibrahim Adham.

“Benarlah kata Jabir bin Abdullah, umat akhir zaman melihat dosa besar sebagai enteng sahaja sedangkan para sahabat melihat dosa kecil sebagai pemusnah diri,” al-Ghazali mencelah.

“Berdasarkan fakta kekecohan dunia masa sekarang, ana merumuskan bahawa ia berpunca daripada kezaliman pemerintah dan kelemahan ulama. Ana sendiri telah bertanyakan al-Sya’rawi, ternyata ramai ulama yang lebih menjaga periuk nasi mereka dan berdalihkan bahawa itulah dakwah nafas panjang,” al-Karkhi memulakan bicaranya.

Semua yang ada terduduk. Mereka beristighfar lama sambil menangis. Kuat bunyinya. Guru turut menangis. Zikir munajat beralun-alun di udara. Mereka dengan kerendahan hatimemon ampunan kepad Allah. Ilaahi, ampunkan kami jika kesilapan manusia semua ini disebabkan dosa-dosa kami selama ini.

Suasana muhasabah itu sangat mengharukan. Saya tidak mampu memusatkan ma’rifat saya untuk mendengarnya. Rohani saya belum mencukupi. Mungkin anda tidak memahami, biarkan. Saya hanya bercerita sebagai suri dan taulan.

“Apa kesimpulannya guru?” saya bertanya kepada guru dengan penuh rasa mengharap.

“Ada tiga kesimpulan penting. Pertama, bina semula keizzahan al-Azhar sebagai institut melahirkan para ulama. Kedua, membaiki semula sturuktur pengajian di beberapa universiti terpilih dengan memasukkan subjek Pemerintahan Islam. Ketiga, satu konvensyen besar-besaran kalangan mujahidin terdahulu akan diadakan tiga bulan dari sekarang. Menariknya, al-nursi dan Abdullah Azzam akan membentangkan kertas kerja”.

Begitulah lebih kurang pengembaraan kami. Kembara ini sederhana sekali bagi saya. Tuan Guru Haji Abdul Hadi, saya dengar-dengar, pernah bermimpi berjumpa Rasulullah tiga kali. Saya pula, belum pernah meskipun selipar rasul.

Mahukan nabi bertandang dalam mimpi saya sedangkan saya seorang yang tercemar?

Pernah beberapa kali saya kepingin bertemu dalam mimpi. Apabila ada suara mengajak saya untuk bertemu nabi, saya terus terjaga. Sampai sekarang, saya sudah tidak mengharap kerana acap kali saya tenggelam dalam kemaksiatan.

Buat saya malu sahaja jika bertemu nabi.

Oh ye, mungkin kalian tertanya-tanya kenapa saya tidak tertahan dengan renungan firasat dan ma’rifat al-Ghazali. Tuntasnya, saya belum mempunyai kekuatan rohani yang kuat untuk bersama dengan mereka.

Dan al-Ghazali tidak mahu saya akan berasa sombong kerana dapat bersama dengan orang-orang yang soleh dalam usia semuda saya.



2 Cadangan/Pandangan:

Muhammad Zaki Omar on 15 Februari 2009 pada 8:57 PG berkata...

ainul basiroh kita masih lemah..

maksiat masih menghijab cahaya ruhiyyah dari tersinar..

zikrullah dan guru mursyid sahaja selayaknya membantu pengemis cinta..

selebihnya berserah kepada Tuhan Pemilik Cinta

Tanpa Nama berkata...

subahanallah...
kalaulah semua manusia mengenali apa itu ilmu tarekat,nescaya mereka akan berlumba2 untuk mempelajarinya...selamat bersuluk.
perjalanan sebuah rohani,hinga sampai ke alam malakut...moga bukan suatu fiksyen cerita semata2.berhajat rasanya bertemu dengan insan2 seperti itu...teruskan pengembaraan...

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE