Rabu, 21 November 2007

Pemikiran Menongkah Arus


Ada beberapa perkara yang menyusutkan benak pemikiran saya. Ia cukup kusut dan menyesakkan dada. Satu pihak mengadakan demonstrasi aman dikatakan ganas dan diumpamakan seperti beruk-beruk di jalan raya sedangkan apabila satu pihak lagi melakukan perkara yang sama malah dalam bentuk yang ganas, maka ia dianggap sebagai perwira.

Apabila ada orang bertindak membakar bendera, maka ia dianggap sebagai penderhaka negara dan diburu. Sebaliknya apabila ada orang menggunakan bendera menutupi anggota badan mereka dengan cara yang mengaibkan, seorang pun tidak bangkit mempertahankan kemuliaan patriotis. Golongan agamawan diminta untuk turun padang bagi menyelesaikan permasalahan yang melibatkan soal gejala sosial dan jenayah sadis, tetapi tazkirah dalam bulan Ramadhan pun disekat, malah khutbah pun di’teks’kan.

Pembangkang dituduh memanipulasikan mahasiswa tanpa bukti alibi tetapi jelasnya kain rentang yang menunjukkan Umno masuk kampus terpampang di kolej kediaman. Jabatan fatwa diwujudkan tetapi semua fatwa mesti berlandaskan ‘mazhab’ pemerintah. Institut Pengajian Tinggi (IPTA) diminta meningkatkan kualiti masing-masing dalam bersaing dengan universiti lain tetapi kongkongan yang pelbagai dikenakan mengikut mazhab baru tadi. Mahasiswa diminta bersedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara suatu masa tetapi hedonis menjadi paparan utama IPTA dan pemikiran mahasiswa disekat dan dibatas-bataskan, seolah-olah lembu yang dicucuk hidung. Dilepas ke padang ia makan, lalu ia berak merata-rata kerana tugasnya hanya makan, makan, dan makan, kemudian tidur.

Ketika Islam dimuatkan dalam satu slogan, jenayah-jenayah sadis kian meningkat. Era Wawasan 2020, jenayah yang berlaku tidaklah begitu sadis dan menyeramkan. tetapi apabila Era Islam dimuatkan dalam kantung slogan, jenayah kian memuncak dan gejala sosial kian menyempitkan. Saya terduduk apabila mendengar kes seorang budak lelaki yang belum baligh berumur 10 tahun melepaskan nafsu kepada budak perempuan seusia lima tahun. Kes buli pula merebak ke sekolah rendah sebagaimana gejala sosial. Masjid-masjid hanya penuh semasa solat Jumaat dan solat raya sedangkan kelab-kelab malam hidup sepanjang masa kecuali dua waktu tadi, seolah-olah suasana tawaf yang hidup di Mekah dan hanya berhenti apabila waktu solat dan ketika pembaikpulihan dilakukan.

Itu pun mereka sudah melupakan dan mengikis ingatan orang ramai terhadap serangan dan pembunuhan kejam yang berlaku di Memali yang menyaksikan seorang guru agama syahid. Era Islam sebagai slogan mungkin tidak menyaksikan kematian golongan agama dengan cara sebegitu tetapi jiwa beragama dibunuh semahu-mahunya, ajaran-ajaran sesat makin bertambah bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan sehingga sukar dibendung. Pemikiran khurafat masih menular dalam masyarakat Melayu, sehinggakan air perigi yang tiba-tiba bertambah dikatakan air berkt lalu dijadikan penawar.

Saya ingin memfokuskan semula penulisan ini tentang mahasiswa. Adalah sangat pelik apabila kerajaan mahu memastikan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara membangun tetapi menghalang mahasiswa daripada berpolitik semasa masih belajar. Alasannya sangat kontang, iaitu supaya fokus itu tidak lari. Tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah, mahasiswa yang minat berpolitik tidak pernah menyimpang daripada fokus mereka bahkan mereka semakin bertambah matang dan berkembang sebaliknya mahasiswa yang hanya menjadi ulat buku tenggelam dalam dunia akademik mereka dan tidak mampu memberikan sesuatu yang bermakna kepada negara.

Apabila mahasiswa disekat daripada berpolitik dalam usia semuda ini, maka bagaimana kerajaan ingin melahirkan ahli politik dan pemimpin yang berwibawa dan berdaya saing? Sepatutnya peluang ini diberikan pada masa sekarang cuma yang paling penting ialah; mahasiswa dan akademik tidak boleh dipolitikkan sebagaimana yang berlaku sekarang.

Gamis sekali lagi memperingatkan mana-mana parti politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang supaya tidak mempolitikkan mahasiswa dan kami di peringkat Gamis bersedia untuk menjadi kuasa penentu dalam Pilihan Raya Umum kali ini. Kita melaungkan amaran kepada kerajaan bahawa sekiranya kerajaan tidak menukar beberapa dasar yang kita kira menyusahkan, maka kita tidak teragak-agak untuk turun ke padang untuk mengubah kerajaan yang sedia ada. Selain itu juga, kita memperingatkan parti-parti pembangkang agar jangan hanya pandai mengkritik sebaliknya mereka sendiri perlu benar-benar bersedia dengan agenda yang dituntut oleh rakyat selama ini.

1 Cadangan/Pandangan:

Zatil Azyyati Mustapha on 3 April 2008 pada 2:01 PG berkata...

salam...
ana dari uia gombak.
TAHNIAH DIUCAPKAN ATAS PENULISAN YANG BERHIKMAH DAN BERNAS...
ana cuma nak minta ust. kongsikan bahan-bahan bacaan (buku & majalah)ust. melaui blog ni.
semoga ust. sudi curahkan ilmu pembacaan kepada kami..
syukran

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE