Ahad, 7 Februari 2010

MA'RIFATULLAH

15 Cadangan/Pandangan
Dikatakan Imam al-Ghazali mengeluarkan satu teori, “Awal agama itu ialah mengenal Allah.” Lalu saya juga ingin menegaskan, “Awwalut tarbiah ma’rifatullah.” Saya maksudkan, mengenal Allah dengan lebih mendalam bersumberkan al-Quran dan Hadis.

Tegas Allah dalam firman-Nya, “Bagi Allah itu, nama-nama yang indah. Maka pohonlah dengan nama-Nya.” Jika kita ingin memohon ampunan daripada-Nya, barangkali kita akan berdoa, Ya Ghafur (Wahai Yang Maha Pengampun). Jika kita inginkan keluasan rezeki, kita akan berdoa, “Ya Razzaq Ya Fattah Ya ‘Alim Ya Basit.”

Tarbiah mesti mengenalkan kepada Allah secara sedikit mendalam.

Lalu yang ingin melakukan maksiat akan ketakutan lantaran Allah telah menegaskan, “Khabarkan kepada hamba-hambaKu, bahawa Aku Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Namun azab-Ku adalah azab yang pedih.”





Read More......

Selasa, 2 Februari 2010

KEPADAMU ALLAH

10 Cadangan/Pandangan
Saya tidak mampu untuk menahan sedih dalam hati. Galau rasanya dalam hati ini, ditambah dengan bisikan syaitan dan desakan ammarah. Namun jiwa yang sedih bertuhan. Allah tuhan kepada jiwa yang sedih ini.

Lalu ada satu doa yang bagus untuk jiwa yang sedang bersedih semacam saya.

Ya mnqzal gharqa (Wahai yang menyelamatkan orang yang tenggelam)

Wa ya munjiyal halka (Wahai yang menyelamatkan yang binasa)

Wa ya shaahida kulli najwa (Wahai yang menyaksikan setiap aduan)

Wa ya muntaha kulli syaqwa (Wahai yang menamatkan segala penderitaan)

Wa ya daaima ma’ruf (Wahai yang berterusan kebaikannya)

Wa ya qadiimal ihsan (Wahai yang berkekalan ihsan)

Hanya kepada Allah kita mengadu. Apa lagi buat masa sekarang, saya tidak punya sesiapa yang mampu mengubati resah ini melainkan Tuhan saya. Read More......

Khamis, 14 Januari 2010

SERONOKNYA KAWEN

22 Cadangan/Pandangan
Saya berkahwin akhirnya, dengan muslimah yang paling sesuai dengan saya pastinya. Perkara yang paling menyeronokkan dalam berkahwin ialah dapat berbincang perkara yang bersifat ilmiah dengan isteri.

Saya beruntung dapat menjadi menantu sebuah keluarga yang bahagia bagi saya. Ayah mentua baik orangnya, serta mempunyai peribadi dan karismatik tersendiri. Beliau memiliki semangat kepimpinan yang luar biasa.

Saya masih ingat pesan ma, sebelum kami berkahwin, “Ngah akan kawen dengan orang yang ngah sendiri pilih. Jadi ngah kena harungi kehidupan dengan dia dan jangan menyesal.”




Alhamdulillah saya tidak menyesal kerana perkahwinan saya ini mendekatkan diri saya kepada Allah. Saya terasa nikmat berhubung dengan Allah sekarang.

Saya ada beberapa target yang mesti saya capai. Antaranya, isteri saya mesti menghabiskan bacaan 30 juzu’ dengan saya. Saya berkira-kira, dalam tempoh dua tahun Insya-Allah akan tamatlah 30 juzu’ itu.

Saya kini berteman ke kuliah-kuliah Maghrib. Sengaja saya membawa isteri bersama agar ia turut mendengar pengisian yang disampaikan saya. Lalu pengisian itu sebenarnya bertujuan untuk mendidik hati saya, isteri dan masyarakat masjid.

Jika isteri saya wajib mentaati saya, maka saya wajib berbuat baik kepadanya. Jika isteri wajib berwangi-wangian untuk suami, suami juga wajib berwangi-wangian untuk isteri. Jika isteri tidak boleh meninggikan suara (berkeras) dengan suami, maka suami juga begitu lakunya.

Saya memilih isteri saya sekarang bukan kerana ia muslimah yang terbaik. Dan ia memilih saya bukan kerana saya muslim terbaik. Masing-masing mengakui kelemahan. Cuma kami memilih pasangan hidup yang paling sesuai dengan keadaan diri kami.

Yang paling seronok ialah, saya dapat menjadikan perkahwinan sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Alangkah ruginya perkahwinan kami sekiranya kami sibuk bersama untuk bermesra tetapi perkahwinan kami akan bermakna jika kami bersama untuk mengingati Allah.

Read More......

Khamis, 7 Januari 2010

TAHNIAH DPPP

4 Cadangan/Pandangan
Saya menyatakan rasa bangga yang memuncak atas tindakan inovatif dan bijaksana yang telah diambil oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang telah merangka pertemuan dengan paderi bagi membincangkan isu kalimah Allah. Jika begini tindakan yang diambil, maka ini menunjukkan satu skala kematangan DPPP dalam menangani isu secara berhemah.

Perjuangan gerakan Islam yang tulen adalah untuk memperkenalkan orang kepada keindahan Islam sekaligus menjadi kuasa magnet untuk menarik mereka memeluk agama yang mulia ini. Saya melihat fasa atau marhalah yang perlu ditempuh oleh pejuang Islam masa kini di Malaysia adalah membentuk satu persekitaran masyarakat Islamik yang kondusif dengan mengetepikan dahulu marhalah membentuk Negara Islam. Negara Islam tidak akan terbentuk dengan baik sekiranya masyarakat belum mengenal dan menerima Islam dengan sepenuh hati mereka.




Saya telah menyatakan dalam surat yang sudah, bahawa Ketua DPPP adalah seorang yang berilmu dan beliau harus menerapkan budaya mencintai ilmu kalangan masyarakat khususnya pejuang Islam. Alhamdulillah saya difahamkan beliau telah menubuhkan sebuah akademi ke arah itu namun ia masih belum mencukupi. Fasa membentuk ahli gerakan Islam yang mencintai ilmu mesti diteruskan secara aktif dan luar biasa agar kelak akan lahir sekumpulan pendokong Islam yang bergerak atas nadi kefahaman yang menyerlah.

Mudah kata, kita mahu lahirnya Muaz bin Jabal yang mempunyai keberanian untuk berijtihad dengan pandangannya tersendiri. Dalam masa yang sama, DPPP mahupun DMPP juga harus menekankan beberapa bentuk kemahiran yang perlu dikuasai. Saya tidak ingin menyentuh soal kemahiran menggunakan teknologi tetapi saya ingin menyentuh berkaitan kemahiran berdakwah, menjawab persoalan berkaitan perbandingan agama dan sebagainya.

Tarbiah Qur’aniah, itu yang harus ditekankan. Pertama, pejuang Islam mesti rajin membaca al-Quran sekurang-kurangnya lima muka surat setiap hari. Kedua, pejuang Islam mesti memperbetulkan bacaan al-Quran dari masa ke masa sehingga fasih dan betul membacanya. Ketiga, pejuang Islam mesti cuba memahami isi kandung al-Quran. Satu persoalan yang pernah ditimbulkan oleh Adun Demit, YB Ust Mustafa Mohamad ialah, “Siapa kalangan kita yang pernah membaca terjemahan al-Quran sebanyak 30 juzu’?”

Seterusnya, pejuang Islam mesti cuba menghafal beberapa ayat al-Quran untuk dijadikan hujjah dan dibaca dalam solat sunat khususnya tahajud. Seorang ulama yang apabila mengetahui muridnya tidak menghafal al-Quran, beliau terus menangis teresak-esak seraya merintih, “Alangkah malangnya muridku. Ia tidak menghafal al-Quran, maka bagaimana ia mampu mencapai kenikmatan tahajud.”

Kelima, budaya al-Quran mesti diterapkan sehingga menjadi pengamalan dalam hidup sehari-harian. Keenam, al-Quran mesti dibaca sehingga ia menjadi bacaan massa. Ketika itu, kita mengimpikan setiap ahli gerakan Islam membawa mashaf untuk dibaca di mana-mana sahaja. Program DPPP mahupun DMPP mesti bermula dengan semua membaca al-Quran bukannya hanya mendengar bacaan al-Quran. Yang terakhir, budaya al-Quran mesti dilanjutkan sehingga ia menjadi sumber perundangan Negara.

Saya berkeyakinan DPPP mampu merealisasikan perkara ini. Saya mewakili Pemuda Persatuan Ulama Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menyatakan sokongan ke atas himpunan aman yang diadakan oleh DPPP sebagai satu protes besar-besaran terhadap tindakan buntu dan dungu kerajaan Mesir. Namun yang lebih penting daripada itu ialah, DPPP dengan semua NGO lain termasuklah kami dari Pemuda PUM harus memainkan peranan yang signifikan untuk menerangkan isu kebiadaban Mesir ini kepada massa agar massa tidak bingung.

Dalam kesempatan yang ada, saya turut ingin memberikan cadangan kepada pihak penerbit Harakah agar mempertimbangkan balik tentang penulisan saudara Faisal Tehrani yang nampaknya mempunyai kecenderungan tersendiri yang memualkan. Saya bukanlah bertujuan untuk meremehkan soal intelektual dan tolak ansur dalam bidang keilmuan, namun saya sangat bimbang tulisannya akan mempengaruhi massa yang tidak ketahuan.

Tulisan berbaur Syiah. Saudara Faisal Tehrani juga begitu berani merendah-rendahkan Tuan Guru Mursyidul Am, maka mengapa harus kita memberikan peluang kepadanya untuk terus beraksi dalam lapangan umum sebegitu.

Harakah, mohon ambil perhatian…

Read More......

Khamis, 29 Oktober 2009

TEATER ISLAM MKDT

10 Cadangan/Pandangan
Saya mewakili Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) akan mengadakan Teater Islam, anjuran bersama dengan Yayasan Amal WP dan Nisa’ Lembah Pantai. Teater tersebut akan diadakan pada 30 Januari dan budget keseluruhan menjangkau RM 11200.

Tujuan yang paling besar ingin saya capai pada hari itu ialah memasyarakatkan ulama. Ingin saya menaikkan semula martabat ulama. Namun ini hanya usaha dari sudut program. Yang paling besar adalah usaha dari sudut aktivisme. Turun ke masyarakat, membantu dan mentarbiah dan sebagainya.




Tempat cadangan program adalah di Dataran Angkasa berdekatan Kerinchi. Program yang Insya Allah bermula jam 9 malam ini akan diserikan dengan kehadiran Azhan Atan, kumpulan Abang Man Bueger, cabutan bertuah untuk 100 orang, anugerah khas dan yang paling utama adalah persembahan teater oleh kumpulan Abang Dinsman yang bertajuk Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).

Di peringkat aktivisme, saya dan sahabat-sahabat dalam Pemuda PUM berkira-kira untuk membuka satu ruangan Info Islam di sebuah Super Market untuk peringkat permulaan. Sekiranya projek ini berjalan baik dalam tempoh sebulan dua, Insya Allah ia akan dikembangkan ke tempat-tempat lain pula.

Banyak lagi perancangan yang ingin kami laksanakan. Mungkin para pembaca boleh melawat satu laman web baru yang akan diuruskan sendiri oleh Pemuda PUM yang memfokuskan soal Info Islam dan soal jawab agama.

Saya amat bercita-cita kami memiliki dana yang besar sehingga memungkinkan kami untuk membayar gaji dan elaun kepada pekerja PUM. Jika jadi begitu, beberapa orang aktivisme dalam Pemuda PUM tidak perlu lagi mencari kerja lain. Bahkan sekarang sudah ada sahabat saya menawarkan diri untuk menjadi kaunselor Pemuda PUM. Doa kami agar berjaya dalam rencana memartabatkan Islam dan golongan ulama.





Read More......

MEMPERKASAKAN PAS DENGAN MEMBINA AKAR BARU

15 Cadangan/Pandangan
Saya tidak sejauh mana kebenarannya, namun saya melihat tarbiah kepimpinan dalam PAS dan beberapa perkara lain termasuk dakwah sedang berhadapan dengan kemelut dan permasalahan. Permasalah itu boleh saya klasifikasikan kepada beberapa bentuk.

Pertama, PAS berhadapan dengan masalah terpaksa bertembung dengan UMNO dalam banyak perkara khususnya dalam PRK. Siri-siri PRK yang kerap telah menyebabkan fokus PAS terhadap dunia dakwah, ekonomi dan juga tarbiah sedikit terganggu. Begitu juga perbalahan dan pergaduhan yang berlaku di Perak dan Terengganu. Perkara ini bukan sahaja menimpa pada masa sekarang, bahkan pada zaman Nabi saw sendiri. Maka apakah strategi yang harus dipraktiikan oleh PAS untuk memastikan agenda-agenda lain selain menentang musuh berjalan.




Kedua, kesediaan pimpinan dan ahli untuk berada dalam program peningkatan jati diri, percambahan maklumat dan yang berkaitan dengannya. Meskipun ahli UMNO bermasalah dari sudut tarbiah, namun meeka memiliki instrument yang pelbagai untuk membantu mereka di samping duit dan kewangan mereka yang sangat kukuh.

Ketiga, PAS belum mempunyai satu group pendakwah professional yang khusus untuk menarik non-muslim mengenali Islam. Jika kumpulan dakwah dapat diaktifkan dengan baik dan sistematik, saya rasa ia dapat mengimbangi kuasa politik yang sedang mencengkam. Mungkin Lajnah Dakwa sudah boleh mula memikirkan secara serius untuk turun ke gereja dan kuil dalam operasi menyebarkan Islam itu sendiri.

Di peringkat DPPP, mereka meletakkan target menjadi pemimpin negara dan negarawan. Namun setakat ini ia masih hanya merupakan satu mimpi yang khayali. Telah lama muktamar berlangsung, suara berdegar memohon agar tarbiah kembali diperkasakan, dan itulah rutin muktamar, namun kesannya belum terlihat sampai sekarang.

Justeru, saya dahulunya meminta agar nama Dewan Ulama diubah. Gerak kerja kumpulan ulama juga mesti diperluaskan dan diaktifkan. Namun saya sedar, jika saya menyebut perkara ini, pasti ada juga suara yang ingin mempertahankan diri. Masih ada suara mempertahankan bahawa Dewan Ulama PAS bergerak baik walhal sekarang kewujudannya tidak dirasai.

Maka tiada satu suara yang bersepadu kalangan ulama berkaitan isu sebatan arak melainkan statement media yang boleh dibuat sambil bersembang di kedai kopi. Bukan menjadi satu prioriti untuk mengajar di surau dan masjid, tetapi menjadi prioriti bagi Dewan Ulama untuk turun ke masayarakat dan mendidik mereka secara serius selain memberikan penerangan berkaitan agama dengan baik.

Maka saya mencadangkan agar nama itu mungkin Dewan Ulama dan Intelektual. Agar hanya jangan yang memakai kopiah dan berilmu syariah sahaja berada di sana. Tetapi biarlah yang intelektual, menguasai bidang sains dan Matematik boleh berada dalam satu barisan dan merangka strategi.

Saya bersuara sebagai ahli biasa. Dan saya turut bekerja untuk mencapai matlamat tersebut. Namun jika saya dan yang lain-lain bekerja, namun kesedaran di peringkat atasan belum muncul dan terbit secara benar dan telus, maka gerak kerja tetap akan perlahan dan merugikan. Tetapi jika dasar dan akar berjaya diubah, digantikan dengan akar yang baru, saya dapat merasakan satu gerakan yang lebih laju akan berjaya digembleng.


Read More......

Selasa, 27 Oktober 2009

BAGAIMANA MENGENDALIKAN PROGRAM II

3 Cadangan/Pandangan
“Abang Dzul, bagaimana kita nak mengendalikan program tarbiah dengan cemerlang?” adik usrah saya bertanyakan saya. Saya bagaikan seorang pakar program pula, haha. Lalu saya membalas dengan bersahaja, “Borang penilaian.”

“Ha, borang penilaian? Macam mana tu pula abang Dzul?” saya tersenyum. Hari ini saya mahu mengajar satu teori dalam menjayakan sesebuah program. “Ha tula demo. Demo denga molek kawe nak ajar nih,” saya mula bercakap Kelantan. Sudah penat saya bercakap bahasa standard sehingga berbelit lidah namun aroma budu menyeluruhi udara sehingga menjejaskan peredaran oksigen.

“Demo agakla, gapo tanda kejaya’e’ program?” adik-adik usrah saya mula menggaru kepala. Bukan tidak tahu jawapan, tetapi pening dengan bahasa Kelantan saya. Mungkin selama ini ramai yang tidak menyangka saya orang Kelantan. Orang Kelantan adalah orang gedebe namun semangat setiakawan sangat tinggi.



“Tanda kejayaan program adalah apabila peserta merasai satu keinsafan dan merasakan diri mereka mahu berubah,” saya mengangkat ibu jari seraya mengatakan, “baguuuuus”.

Namun ramai yang tidak tahu kepentingan borang penilai. Bahkan ramai yang tidak memahami konsep borang penilai bagaimana. Ada orang beranggapan cukuplah ada borang penilaian program. Ada juga memahami borang itu sebagai bornag menilai peserta.

Yang saya ingin dedahkan hari ini ialah borang penilaian peserta dan apakah ciri yang perlu ada dalam borang tersebut. Dan juga bagaimana kita membuat penilaian terhadap borang itu.

“Apa dia ciri yang perlu ada abang Dzul?” banyak tanya betul budak ni. Nak je aku sekeh kepala dia. “Baik, antara ciri yang perlu ada ialah seperti, jeng je jeng,

1- Kesungguhan
2- Disiplin (menepati masa dll)
3- Intelek atau cendekia atau pengetahuan
4- Ibadah
5- Kekuatan Fizikal & Mental
6- Bakat kepimpinan

Lalu, pihak panitia meletakkan tiga bentuk gred untuk dibuat penilaian seperti

- A : Memuaskan
- B : Tahap sederhana
- C : Perlu peningkatan

Pada akhir boring itu, hendaklah diletakkan ruangan komentar. Sebagai contoh, seorang peserta bermasalah dari sudut pengetahuan. Maka fasi yang bertanggungjawab menulis di ruangan tersebut, “Peserta harus diberi perhatian dari sudut pengetahuan berkaitan isu-isu semasa.” Itu sebagai contoh.

“Adik-adik, penilaian ini hendaklah dibuat dari semasa ke semasa. Bukan hanya pada pengakhiran program baru diisi. Tidak. Bukan juga pada akhir program baru dibentang. Tidak. Tetapi penilaian dan pembentangan hasil penilaian hendaklah dari semasa ke semasa,” jelas saya. Adik-adik usrah saya ternganga mendengarnya. Kalau lalat terbang masuk baru tau.
Sebagai contoh, kita andaikan program akan dibuat selama tiga hari. Maka bilakah penilaian akan dibuat? Program dikatakan bermula pada hari Jumaat petang dan berakhir pada Ahad tengah hari.

Penilaian Pertama : Pagi Sabtu
Penilaian Kedua : Sabtu Hujung Malam
Penilaian Ketiga : Penghujung Program

Apabila penilaian dibuat banyak kali, barulah satu analisis dapat dibuat dengan baik dan panitia akan berusaha untuk mengatasi masalah jika wujud dan meningkatkan upaya jika ada.

“Tak fahamla abang Dzul. Abang takpela, abang pandai. Kami tak faham,” adik usrah saya merengek pulak. Memang nak kena budak bertuah ni.

“Ok la, ok la, abang tau abang pandai, tapi jangan puji lebih-lebih, hehe,” seloroh saya.

Kita buat satu contoh. Seorang yang bernama Mahathir.

Mahathir Mohamad mungkin seorang yang berkepimpinan tetapi lemah dari sudut ibadah. Maka fasi akan meletakkan di ruangan komen, "Peserta berada di tahap yang sangat lemah dalam bab ini. Sebagai contoh, beliau tidak tahu cara mengerjakan mandi wajib."

Contoh yang lain. "Peserta ada bakat kepimpian semulajadi namun kepimpinannya dilihat sedikit keras dan beliau sukar mendengar pandangan orang lain."

Saya berkata, "Maka pengarah, MT Program dan Fasi akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah Mahathir sebelum program berakhir. Ada faham?" sergah saya.

“Oh, baru faham abang Dzul. Tadi bila abang Dzul terang, kami nampak samar-samar je,” alhamdulillah, kus semangat. Baru faham budak-budak ni.

Persoalan seterusnya, siapakah orang yang paling bertanggungjawab untuk menjadi penilai kepada peserta?

Tidak dinafikan lagi, individu yang harus terlibat ialah:

I- Pengarah dan MT Program
II- Fasi
III- Unit Peserta
IV- Unit Disiplin

“Sekadar itulah untuk hari ini, babai,” fuh, saya dah penat menaip.


Read More......

Isnin, 26 Oktober 2009

NGAH RINDUKAN NENEK

5 Cadangan/Pandangan
Saya lupa wajah nenek saya macam mana. Kata ma, neneklah yang menjaga saya sejak saya kecil. Neneklah yang menjaga makan minum saya apabila ma dan abah ditukarkan mengajar di kawasan pedalaman Gua Musang.

Hari raya itu, tok ayah memberikan gambar pasport nenek. Kata tok ayah, “Muloh mak lawa. Takdok soghe pun anak-anak dia hok boleh lawe dio.” Selalu saja tok ayah memuji nenek, katanya lawa.

Saya rindukan arwah nenek. Apa lagi nenek yang menjaga saya. Bermakna, saya cucu kesayangan nenek. Jika nenek masih hidup, saya rasa saya akan manja dengannya. Saya akan selalu melawat nenek dan memicit-micit belakang badannya. Saya akan mengurut-urut bahunya.

Cerita ma, “Dulu kami orang susah. Ma dulu menorah getah. Tok ayah pula bukannya nak bagi duit. Bila ma sambung belajar ke UM, ma hanya mampu tengok orang beli makanan sedap-sedap.” Saya sedih dengar cerita ma. Ma menyambung lagi, “Ma bertekad taknak tengok anak-anak ma hidup susah. Cukuplah ma yang melalui semua itu.”



Saya ingat sikit-sikit, saya mengiringi nenek pergi menorah dengan lirikan mata, jauh-kejauhan. Saya masih ingat apabila nenek dikapankan dan diletakkan di tengah-tengah khalayak.

Ma di bilik menangis. Ayah su (adik bongsu ma) yang masih kecil hanya terkebil-kebil. Dia tidak tahu bahawa emaknya sudah meninggalnya buat selama-lamanya. Saya juga tidak tahu apa-apa, sebab saya lebih kecil berbanding ayah su.

Malam itu hujan. Orang membaca Yaa Siin. Saya tidak faham apa yang mereka buat. Saya tidak tahu bahawa nenek sudah meninggal dunia. Dan saya tidak tahu bahawa itulah hari terakhir saya melihat nenek.

Hujan berhenti apabila majlis pengebumian berlangsung. Tiada sebarang masalah. Alhamdulillah. Saya mengiringi sampai ke liang lahad namun saya tidak memahami. Saya langsung tidak tahu-menahu bahawa kubur itu tempat tinggalnya orang yang sudah meninggal.

Maka semasa kecil, saya tidak tahu bahawa kematian penamat kehidupan. Saya tidak pernah kenal erti takut kepada mati. Bahkan saya tidak tahu bahawa adanya malaikat yang akan bersoal jawab di kubur kelak. Saya tidak tahu bahawa kubur adalah taman kepada syurga dan juga parit kepada neraka.

Ma bercerita, “Dalam kampong kita dulu-dulu, hanya ada beberapa orang yang pandai membaca. Antaranya arwah mak.” Sambung ma lagi, “Arwah mak dan tok ayah, dengar je bunyi azan, terus bergegas ke masjid. Itulah rutin kehidupan mereka. Tidak kira walau penat macam manapun.”

Saya rindukan arwah nenek saya. Saya sentiasa mengharapkan agar saya dapat menatap wajahnya dan bermanja dengannya. Saya yakin, pasti saya cucu kesayangannya. Saya dapat rasa, pasti saya sangat sayangkan nenek.

Malam itu, saya tidak faham kenapa ma menangis. Namun pernah ma bercerita, “Sepanjang hidup ma, hanya ada tida sebab yang membuatkan ma banyak menangis. Antaranya kematian arwah mak.”

Ayah su, umurnya tiga tahun lebih daripada saya. Kami rapat sejak kecil. Adik-beradik saya menganggap ayah su semacam abang kandung sendiri. Jadi, kami tidak pernah menganggap anak ayah su sebagai sepupu kami. Kami merasakannya sebagai anak saudara kami sahaja.
Ma yang menjaga ayah su selepas pemergian nenek. Sejak kecil lagi, kami tidur sebilik. Pernah juga kami bergaduh. Ingat lagi saya peristiwa ayah su membaling batu dan terkena kepala saya. Dan saya meraung menangis.

Pernah, ma dan abah mengambil saya daripada pangkuan nenek. Dibawanya saya ke Gua Musang. Ayah su menangis sambil meraung. Ia berkata, “Jangan ambil ngah aku, jangan ambil ngah aku.” Saya sebetulnya sudah tidak ingat kisah itu. Namun apabila ma dan abah mengulanginya semula, kami tertawa kecil. Malu memenuhi perasaan kami.

Nenek, ngah mohon maaf atas segala silap salah ngah selama ini. Ngah amat rindukan nenek. Jika ada peluang, ingin sekali ngah berjumpa nenek di syurga dan kita nikmati kehidupan bahagia bersama.

Tapi, jika kita bertemu di syurga Insya-Allah, pasti lucu kan nenek.

Mesti masa tu wajah nenek dah jadi muda dan cantik. Silap-silap, ngah yang mengorat nenek pula, haha. Hurm, ngah rindukan wajah tua nenek.














Read More......

Ahad, 25 Oktober 2009

TAHI BERCAMPUR AIR KENCING

5 Cadangan/Pandangan
Seseorang dibawa ke tandas. Lalu kepalanya dimasukkan ke dalam tandas dan diflash. Apabila diangkat kepalanya, penuh dengan kekotoran dan bau busuk yang amat. Rupanya kelihatan buruk sekali dan baunya bengit. Saya menutup hidung.

Busuknya busuk sekali. Kemudian seorang yang lain dibaringkan dan tangannya diikat. Kakinya dirantai. Lalu seorang yang berupa bengis menuangkan air panas lalu dituangkan ke dalam matanya. Menggelepar ia. Matanya hancur menahan panas air. Ia meronta-ronta cuba membebaskan diri namun tangannya diikat kuat.

Lalu seseorang yang lain dibawa ke tengah-tengah khalayak. Ia dibentak dan diterajang. Terdengar suara berkata, “Bawalah Abu Jahal itu ke tengah-tengah khalayak. Tuangkan air panas ke atas kepalanya.”




“Guru, saya seorang pencinta maksiat. Layakkah saya menginap syurga yang indah?” Guru terdiam. Seorang pencinta maksiat mahu masuk ke syurga? “Anakku, syurga hanya tempat orang yang mencintai akhirat dan takutkan azab seksa.”

Seorang murabbi yang bergelumang dalam tarbiah. Ia boleh masuk ke neraka apabila ia berasa kagum dengan kejayaannya. Kata guru, “Kamu sebagai murabbi, sebelah kakimu dalam neraka dan sebelah kakimu di syurga. Namun peluang kamu ke neraka lebih luas kerana kamu terdedah dengan rasa sombong dan ujub.

Seorang yang bertaubat boleh terdedah kepada dosa. Kata guru, “Dalam bertaubat, mengingati dosa yang kamu lakukan, air mata yang mengalir, tiba-tiba kamu terasa nikmat dosa.” Saya kurang memahami, bahkan tidak memahami. Guru menjelaskan, “Kamu teringatkan dosa, lalu kamu terasa nikmatnya dan indahnya dosa itu. Lalu Iblis mencampakkan rasa cinta kepada maksiat lalu taubatmu tidak berguna.”

“Apa tujuan kamu?” Saya bertanyakan adik-adik usrah saya. “Apa tujuan kamu melakukan program PMI?” Adik-adik usrah saya menjawab, “Kami melakukan program untuk melonjakkan nama PMI dan menjayakan misi kepimpinan.” Saya menggeleng-geleng kepala.

“Alangkah rendahnya impian kamu, adik-adikku. Sepatutnya tujuan kamu melaksanakan program adalah kerana kamu ingin mengajak yang lain mencintai syurga dan merinduinya.”

Kawan saya seorang motivator berjumpa saya. Saya bertanya, “Apa tujuan anta membuat program motivasi?” Ia menjawab, “Meningkatkan kekuatan emosi dan memberikan keyakinan.”

Saya turut menggeleng-geleng kepala. Impiannya juga rendah. “Akhi, sepatutnya program motivasi dibuat agar dirinya semakin bersemangat untuk melakukan amal ibadah dan berasa benci dengan kegiatan dosa.”

Ramai yang bercinta. Namun tidak meletakkan matlamat yang tinggi dalam bercinta. Cinta mereka hanyalah, agar dapat mereka membina rumah tangga yang bahagia. Sedangkan saya ingin berpesan kepada semua, “Bercinta adalah untuk memastikan pasangan kamu bersedia dengan bekal Iman yang tinggi dan bersedia untuk berkahwin dengan akhirat sebelum berkahwin dengan kamu.”

Maka pasangan yang bercinta itu, jika mereka berkahwin dengan akhirat, maka mereka bertambah seronok bertahajud. Mereka akan tambah gembiar membaca al-Quran. Mereka akan tambah ghairah berzikir kepada Allah.

Maka hantaran kahwin mereka adalah zikir kepada Allah. Bukan hantaran mereka mashaf al-Quran, tetapi mereka sendiri adalah al-Quran. Orang yang menghadiahkan al-Quran, mereka hanya memberikan mashaf namun ramai yang tidak berusaha menjadikan dirinya al-Quran yang bergerak.

Seorang naqib yang berjaya, setiap kali kakinya melangkah ke usrah, ia akan berdoa dan berdialog dalam diri, “Ya Allah, aku melaksanakan usrah agar kami akan bertambah cinta kepada-Mu ya Allah.” Cinta kepada perjuangan adalah konsep yang sempit. Ini kerana ramai yang cinta dengan perjuangan tetapi bibirnya malas sekali berzikir. Hatinya gelap daripada bertafakur. Ia hanya cinta kepada perjuangan bukannya Tuhan kepada perjuangan.

Lalu apabila saya berhadapan dengan masalah, saya ada pesan kepada diri saya. Saya sebutkan kepada rakan seusrah, “Jika saya berhadapan dengan masalah, saya tau bahawa itu bermakna saya bermasalah dengan Allah.”

Orang yang bermasalah dengan Allah, akan bermasalah dengan manusia.

“Kenapa begitu Bang Zul?” Adik saya bertanya. “Ini kerana Allah benci kepada pelaku maksiat. Maka seluruh makhluk akan turut membencinya.”

Tahi yang bercampur dengan air kencing. Itulah hidangan ahli neraka.


Read More......

Sabtu, 24 Oktober 2009

WAHAI ADIKKU, MUNGKIN KITA DIPANGGANG NERAKA

15 Cadangan/Pandangan
Seorang adik menghubungi saya baru-baru ini. Ia mengadu masalah seorang sahabatnya yang hampir berzina. Saya tidak terkejut sangat mendengarnya meskipun sahabat itu adalah seorang ahli gerakan Islam. Bagi saya, ahli mahupun tidak, ia tidak terlepas daripada buruan syaitan dan bisikan nafsu. Semakin merapat ia kepada Allah, semakin syaitan berusaha menjatuhkan keimanannya dalam lembah maksiat.

Adik saya itu kelihatannya tidak tenang. “Ustaz Dzul, ana tidak dapat tidur semalaman memikirkan perkara itu. Ana sangat sedih.” Begitulah lebih kurang mesejnya. Saya menyedari kesedihan menguasai dirinya menyebabkan emosinya agak kurang tenang.

Saya bertanyakan beberapa persoalan kepadanya. “Dik, agak-agaklah, siapa lebih mulia, enta ke dia? Boleh tak enta sebut pada ana, adakah enta masuk syurga dan dia masuk neraka?” Adik saya itu terdiam dan kemudian memberikan respon. “Masya Allah ustaz, dia lebih mulia daripada ana.”



Saya tidak mahu memberikan jawapan yang panjang lebar kepada dia. Saya hanya meminta agar adik itu menuntun kehendak nafsu sahabatnya. Seseorang yang tenggelam dalam lembah maksiat, kemungkinan akan mengakhiri hidup di lembah keimanan.

Bak kata saudara saya Zahiruddin, “Yang kita bimbang adalah kesudahan hidup kita.” Ya, ketakutan orang siddiq adalah su’ul khatimah. Mungkin ia merupakan orang yang mulia dalam hidup tetapi penghujungnya adalah buruk.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai suatu pedoman,

“Jika kamu bertemu dengan orang tua, bisikkan kepada hatimu. Sesungguhnya ia orang tua, pasti pahalanya banyak bertimbun.

“Jika kamu bertemu orang muda, maka bisikkan kepada hatimu. Ia masih muda, dosanya pasti lebih kurang berbanding aku.

“Jika kamu bertemu dengan orang alim, maka bisikkan kepada hatimua. Ia orang alim, pasyi ia lebih mulia berbanding aku.

“Jika kamu bertemu dengan orang jahil, maka bisikkan kepada hatimu. Ia orang jahil, ia melakukan maksiat kerana kejahilan sedangkan aku melakukan maksiat dalam keadaan aku mengetahui.

“Jika kamu bertemu pelaku maksiat, maka bisikkan kepada hatimu. Ia mungkin orang maksiat, namun aku tidak tahu apakah kesudahan penghujung hidupku. Mungkin ia mati dalam keadaan bertaubat dan taat sedangkan aku tidak tahu kesudahanku.”

Maka sahabat, apa guna kita berlagak sombong, dengan jawatan dan aktifnya kita. Ingin saya berpesan kepada adik-adik dan sahabat-sahabat saya,

“Janganlah sombong jika kamu aktif dalam berusrah. Mungkin banyak orang yang kamu latih, tetapi belum tentu ia menyelamatkan kamu dari sambaran neraka. Orang yang berusrah rajin, kadang-kadang dihinggapi penyakit sombong. Ia merasakan jamaah kuat kerananya. Ia merasakan ramai orang yang Berjaya dilatihnya. Walhal ia hanya melatih fikrah, tetapi tidak menuntut hati agar membenci kehendak nafsu dan menjauhi dunia.”
Alangkah, saya teringat pesan saya kepada sahabat-sahabat yang mengambil bidang kedoktoran.

“Jika kamu memilih pasangan hidup kerana fikrah, maka pandangan kamu sangat sempit. Misi perkahwinan yang terbesar bukanlah dengan kamu mendapat pasangan hidup yang mengizinkan kamu aktif dalam jamaah. Tetapi tujuan yang terbesar adalah mencari pasangan yang menanamkan rasa rindu kamu kepada akhirat dan takut kepada neraka.”

Read More......

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE