Rabu, 2 Januari 2008

PROfesional MAHASISWA: Di Celah 2008 dan Semester Baru.


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh. Apabila difikirkan, ia benar-benar 'menghina diri', 'mempersenda diri', dan menginsafkan diri bagi mereka yang beri peluang untuk insafkan diri.
Tertarik dengan tulisan mantan Yang Dipertua PMIUM merangkap Presiden GAMIS, Us. Zaharuddin b Abd Rahman di website beliau iaitu:
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=632&Itemid=72.
Di bawah tajuk Fenomena Malas, Susah & Suka Melompat, senario di menara gading memang tidak dinafikan seringkali berlaku perkara tersebut. Bahkan ia berterusan.....

PROfesional MAHASISWA: Fikrah Anjakan Paradigma.

Dengan ruangan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 kepada semua warga Universiti Malaya dan semua para pembaca sekalian. Ini bermakna tahun 2007 telah meninggalkan kita dengan seribu satu macam kejadian sama ada ia manis mahupun pahit. Sempena kedatangan sesi semester baru juga, semangat baru perlu dipacu.


Saya sebenarnya ingin menjadikan sesi baru ini sebagai batu loncatan kepada kejayaan kita yang berterusan dan gilang-gemilang. Sepatutnya, sebagai mahasiswa yang sejati, kita perlu senantiasa bersemangat dan berkeyakinan tinggi untuk menghadapi zaman dan keadaan yang mungkin berbeza dari sebelumnya. Tetapi tidak salah untuk kita membuat postmortem atau muhasabah diri sepanjang tahun yang telah berlalu itu. Kemudian, menjadikan tahun yang berikutnya sebagai ‘mangsa kegeraman’ kita akibat kesalahan dan kelemahan yang dilakukan. Biarlah tahun berikutnya menjadi ‘mangsa kejayaan’ yang diimpikan. Justeru, ia dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk berubah dan menjadi yang terbaik dalam hidup secara istiqamah. Maka, kita dapat menebus kembali ‘kekalahan’ yang telah pun menjadi sejarah hitam peribadi.

Sesi baru seolah-olah mencabar kewibawaan kita selaku seorang mahasiswa yang menuntut pelbagai ilmu yang sudah pasti berbeza corak pembelajaran dan metode capaian ilmu jika dibandingkan dengan tahap sekolah rendah mahupun menengah. Kita di sini, akan berfikir sendiri, mengurus masa sendiri, mencari ilmu sendiri dan kejayaan mahupun kegagalan adalah di tangan sendiri. Ia memberi erti bahawa masa depan bergantung pada usaha yang dicurahkan tanpa menafikan peranan takdir dan doa yang tersirat rahsia tersendiri. Pokoknya adalah usaha dan pasrah. Mampukah kita di sesi baru ini?

Mahasiswa di dalam dunia kampus bagaikan masyarakat kerdil yang terhimpun padanya segala macam aktiviti, keterlibatan mahasiswa, kaedah pendidikan dan pembelajaran kuliah dan sebagainya. Tidak lupa juga pengalaman berharga melalui percaturan Pilihan raya Kampus (PRK) yang benar-benar mengujakan. Namun, sedarlah bahawa semua itu hanyalah wasilah (alat) bukan ghayah (matlamat) dalam kehidupan di laman kampus ini. Tetapi kepentingannya tidak dapat dinafikan. Jadikanlah dunia kampus sebagai dunia budaya ilmu yang berbeza dari sebelumnya. Kampusnya sama, tetapi usahanya berbeza dari yang lama.

Mahasiswa yang berkualiti ialah mereka yang menjadikan ilmu sebagai makanan dan darah daging mereka, menjadikan kitab-kitab sebagai akhbar dan komik-komik mereka, menjadikan perpustakaan sebagai rumah serta tempat tidur mereka, menjadikan semua pensyarah sebagai ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan dan 'kekasih' mereka dan menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupan mereka. Pada minda mereka, tidak terfikir pun kereta besar, wang besar, rumah besar, pengaruh besar, pujian besar, isteri mahupun suami besar (cantik) dan sebagainya. Bagi mereka, biarlah minda mereka tepu dipenuhi dan diisi dengan ilmu dan pengetahuan yang sangat besar. Bahkan, sepenuh mana pun ilmu di minda dan di dada, tidak akan habis ilmu yang dicipta dan dimiliki Allah. Terfikir juga, apalah sangat ilmu yang dimiliki kini jika dibandingkan dengan banyaknya jilid-jilid kitab tafsir yang belum dibaca, kitab hadis yang belum diselidik, kitab fiqh yang belum difahami dan kitab pemikiran dan sebagainya yang belum diterokai.

Barangkali inilah 'Profesional Mahasiswa' yang sewajarnya. Sebagai mahasiswa yang rapat dengan budaya kesarjanaan. Selepas ini, tiada lagi budaya kuning, budaya hedonisme, budaya lepak, budaya barat, budaya pemikiran dan akidah songsang. Semuanya bersih sempurna lantaran wujudnya hati luhur dari peribadi mahasiswa-mahasiswa yang benar-benar membuatkan para malaikat serta makhluk bumi dan langit mendoakan kejayaan mereka dunia dan akhirat. Allah pula sudah pasti berasa bangga dengan menyebut-nyebut nama 'Profesional Mahasiswa' ini di kalangan para malaikat. Wahai kawan-kawan mahasiswa, izinkanlah diri kita menjadi 'Profesional Mahasiswa'. Percayalah, kita akan berjaya Insya Allah.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE