Motor yang kupinjamkan daripada tok ayah kubawa ke Nilam Puri (NP). Ramai yang meminjam motorku untuk dibawa ke mana-mana. Motor yang baru akhirnya kelihatan usang dan buruk, apatah lagi bertuankan aku yang tidak suka memandikannya.
Hari itu, hari cukup bersejarah dalam hidupku, juga merupakan kenangan manis yang sangat menggamit jiwa. Aku akan berprogram bersama dengan sahabat-sahabat seperjuangan di satu tempat, dan program itu sangat aku nanti-nantikan.
Aku membawa motorku pulang ke rumah pagi itu. Seperti biasa, aku memandu laju semahu hatiku, sambil melihat panorama indah di sekeliling. Pesanan ayah datang menyinggah di benak, pesannya: “Bawa motor perlahan-lahan, supaya tidak kemalangan”.
Aku semat pesan ayahku. Kelajuannya kuperlahankan. Aku mula menerawang dan berfikir tentang pelbagai perkara. Yang pastinya, keseronokan untuk berprogram.
Gelap kemudiannya...
Aku tidak tahu apa yang telah menimpa aku. Yang pasti, apabila aku membuka mata, aku dapat merasakan bahagian kepalaku sangat sakit. Aku nampak adikku Sumaiyah di hadapan terkulat-kulat melihatku. Aku hanya mampu menyebut-nyebut nama Allah menahan kesakitan. Rupa-rupanya aku kemalangan.
Kakak memelukku sepenuh hati. Ia menangis teresak-esak sambil meraung. Aku berasa sangat sayu, ternyata yong merupakan kakak yang penuh dengan kasih sayang. Aku mengadu betapa aku sangat sejuk. Kakak terus memelukku erat. Datang pula Ma, datang memelukku. Ma kelihatan cuba menahan sabar dan resah di hati. Itu yang dapat aku rasakan.
Aku tidak sedar bagaimana aku dibawa masuk ke ambulans. Aku langsung tidak perasan. Ambulans bergerak perlahan apatah lagi sirennya tidak berbunyi. Ma jadi sangat gelisah.
Menurut Shahir, mukaku membengkak, darah mengalir banyak dan keluar juga dari mata. Setibanya di hospital USM Kubang Kerian, beberapa doktor terus menerpa ke arahku untuk memeriksa keadaanku. Mereka bimbang sekiranya darah yang keluar itu asal dari telinga, yang pastinya akan memberikan satu natijah yang sangat menakutkan.
Kemudian seorang doktor memeriksa mataku. Alangkah, aku agak terkejut mendapati rupanya mata sebelah kiriku tidak lagi mampu melihat. Aku hanya nampak cahaya dan kelibat bayang-bayang doktor yang bergerak. Aku semakin kebingungan. Apa yang menimpa mataku. Perasaan cemas mula hinggap di hati.
Aku langsung tidak mampu bergerak. Aku sangat lemah ketika itu. Hal ini berlanjutan hampir empat hari lamanya. Beberapa orang yang terus datang melawat termasuk Ustaz Mukhlis, Ustaz Mad Sabu Gamis, Ustaz Fadhli Shaari dan lain-lain tidak mengecam wajahku. Paling menyayat hati apabila sahabat-sahabat Borneo yang kebetulan belum pulang bercuti turut datang melawat.
Aku tidak mampu mengangkat kepala, hanya diangkat sedikit tangan untuk bersalaman. Mulutku terasa sakit, rupanya rahangku sudah tidak kuat. Aku diminta bersedia untuk dibedah, dan ia bergantung kepada keputusanku sepenuhnya. Aku menyatakan kesediaan dibedah dalam keadaan yang sangat cemas.
Aku masih ingat. Sedar sahaja daripada kemalangan, aku terus teringatkan program. Aku memujuk-mujuk hatiku, bahawa aku hanya tinggal di hospital empat hari paling lama, kemudian akan mengingati program tersebut. Rupanya jangkaanku meleset apabila aku terpaksa menginap di penjara putih itu selama dua minggu lamanya.
Beberapa hari yang pertama, aku bergantung sepenuhnya kepada kakak, ibu, dan juga sesiapa sahaja yang ada untuk membuang air. Semestinya di atas katil, dengan bekas yang dihulurkan. Semasa aku dimasukkan ke bilik pembedahan, baru aku mengetahui bahawa yang terlibat kemalangan dengan aku adalah seorang makcik yang kemudiannya meninggal dunia. Rasa sedih singgah di jiwa.
Selepas sahaja pembedahan, aku berasa sangat sejuk. Lama sekali aku di bilik pembedahan, tetapi pembedahan tidaklah memakan masa yang lama. Keluar sahaja, aku mengadu kesejukan. Sangat sejuk, tidak dapat aku bayangkan. Baru sahaja aku berehat seketika, datang pula doktor bahagian gigi untuk membetulkan gigiku.
Hanya Allah mengetahui betapa sakitnya aku ketika doktor tersebut memasukkan dawai-dawai dalam gigi dan kemudiannya merapatkan gigi atas dengan gigi bawah. Bermakna, aku tidak dapat makan lagi kerana gigiku sudah diikat rapat.
Keluar sahaja, aku masih mengadu kesakitan. Kebetula Ustazah Khadijah datang melawat bersama Fakhrul anaknya dan juga sahabat baikku. Aku terus menangis teresak-esak, bukan hanya kerana sakit malah sangat terharu melihat wajah ustazah yang kurindui.
Akhirnya, aku mengetahui bahawa mata kiriku sudah rosak. Kantanya terkoyak. Setiap hari di hospital, aku terpaksa melalui rawatan yang sentiasa untuk mata sehingga aku berasa sangat bosan. Ibu, kakak, setia menemaniku. Tiap petang, keluargaku datang melawat, sambil membawa juadah untuk berbuka puasa. Ya, aku terlupa menyatakan bahawa kejadian itu berlaku dalam bulan Ramadhan.
Terdapat sedikit besi dimasukkan di bahagian pipi kiriku. Samapi sekarang ia masih kekal. Begitu juga sedikit jahitan di kepala berdekatan telinga kiriku. Mata pula, sampai sekarang tidak jelas dan aku sering sakit apabila terkena silauan cahaya matahari dan lampu sehingga menjejaskan mood aku untuk belajar dengan baik. Kesannya, aku kerap juga ponteng kelas kerana sakit yang tidak tertanggung.
Tiap hari, ada sahaja yang datang melawat. Jururawat-jururawat pelatih dari Kusza juga melayanku dengan baik dan mereka akrab sekali denganku. Kawan-kawan baikku juga datang melawat setelah program berakhir dan aku berasa sangat sayu. Hari Jumaat sanagt letih buatku kerana terpaksa melayan orang dari pagi ke malam. Nasib baik peristiwa ini menimpa di waktu cuti. Kalau tidak, aku sendiri tidak dapat membayangkan betapa letihnya aku terpaksa melayani kerenah ramai orang.
Pimpinan-pimpinan PMIUM juga datang melawat. Abang Ramadhan, Kak Khadijah, Abang Shahrulzaman, dan lain-lain, mereka membuatkan aku semakin sayu.
Aku rasa ingin menghabiskan cerita tentang pengalaman ini, yang sering membuatkan ibu berduka dan abah melalui hidup yang tidak ceria. Aku brernuhasabah, apa sangatlah mataku yang tidak dapat melihat dengan baik ini jika dibandingkan dengan kasih sayang yang jelas ditunjukkan oleh Ma dan kakak yang sentiasa menemaniku (kebetulan dua adikku yang lain berada jauh), Abah yang sentiasa prihatin terhadap sakit mataku, adik-adik yang lain, Sumaiyah yang sentiasa teringatkan ambulans yang membawaku, sahabat-sahabat yang lain, kak khadijah dengan suratnya, kak ein dengan kad rayanya, ustaz mad dengan kepekaannya, cikgu nazeli dan ustaz wan syamsuri yang kukasihi sepenuh jiwa, dan lain-lain.
Moga kalian semua sukses di dunia dan akhirat.
Keuntungan Lampu Downlight, Hemat Listrik dan Bertahan Lama
5 hari yang lalu
2 Cadangan/Pandangan:
salam'alayka ya ustaz,
dari sini, ana kira ustaz memang suka berkongsi kisah dengan sesiapa hatta yang baru kenal kan?ustaz memang seorang yang baik.sangat baik .ALlah akan menjaga ustaz walau apa berlaku.sukar manusia nak marah atau kecil hati dengan insan sebaik ustaz.Apapun, pasal artikel kahwin, kenduri nikah nanti jangan lupa umum kat blog ye. Walau tak dijamin dapat hadir,sekurang2nya doa dapat dikirim..=)
Catat Ulasan