ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WA BARAKATUH,
Ke hadapan Rasulullah SAW yang saya kasihi lagi rindui…
Terlebih dahulu saya menyampaikan rasa takzim dan ihtiram saya buat Engkau ya Rasul, dengan hati yang sebak dan sendu saya menulis warkah ini buatmu. Saya tidak dapat menahan perasaan rindu yang membuak-buak dalam hati ini terhadapmu, dan saya buktikan dengan selawat yang sentiasa saya panjatkan buatmu.
Ketika ingin duduk, saya berselawat. Ketika bangun, saya turut berselawat. Ketika ingin memulakan apa sahaja pekerjaan, saya berselawat. Saya lakukan semua itu kerana cinta padamu, meskipun saya sendiri tidak tahu, apakah engkau turut mencintai saya.
Aduhai Rasulullah,
Siapa yang tidak berasa menyesal kerana tidak dapat bersamamu di dunia. Hati ini terasa kesalnya, namun ia hanya terpendam dalam hati, dan sesekali saya melaung sekuat hati, Aku Cinta Padamu Ya Rasul…
Saya membaca dan meneliti sunnahmu. Kata periwayat, jalan hidupmu merupakan suri taulan yang mulia. Tiap inci langkahmu diikuti. Hatta air luirmu sekalipun menjadi rebutan untuk disapu ke muka dan tubuh. Orang mengatakan, wajahmu berseri-seri bak bulan purnama, tutur katamu lembut menawan.
Rasulullah,
Sungguh mulia budi pekertimu. Seorang yang berani dan mengasihi. Seorang yang kuat semangat dan kental hati. Seorang yang penyabar dan penyayang. Saya ada mendengar, betapa engkau tidak pernah kisah terhadap segala cacian dan celaan, malah engkau menngampuni mereka setulus hati.
Rasulullah,
Apakah aku layak menjadi umatmu? Persoalan ini sentiasa menghantui aku. Apakah aku layak untuk berdampingan denganmu? Apakah boleh aku menatap wajahmu di syurga kelak? Atau aku hanya menjadi bahan untuk menyalakan api neraka. Ya Rasul, aku sungguh-sungguh berasa takut.
Aduhai nabiyallah, apakah engkau senang menatap wajah umatmu yang banyak dengan dosa ini? Aku sentiasa gentar bila memikirkan soal ini. Engkau punya Abu Bakar, Umar, Abu Ubaidah, Salman, Hassan al-Banna, Nik Aziz, Haji Hadi, sedangkan siapalah aku jika dibandingkan dengan mereka semua.
Aduhai kekasih Allah, dalam ribuan umat yang mencintaimu, apakah engkau akan memegang tanganku yang penuh dengan kekotoran ini? Aku bimbang sekali, jika kelak bukan sahaja tanganku, malah wajahku sendiri pun engkau meluat untuk melihatnya. Aku tidak menafikan, betapa aku umatmu yang dina dan banyak dengan kantung dosa.
Engkau orang yang mulia, sedangkan aku orang yang hina. Aku sedar, hanya mulutku berbicara menyatakan cinta, tapi perbuatan aku jauh sama sekali. Aku bukannya benar-benar berjihad menyebarkan dan memperkukuhkan agama ini. Aku bukan benar-benar mengingatimu dalam erti kata sebenar. Aku bukannya kaki ibadah yang sentiasa melazimi zikir dan istighfar. Aku bukannya orang yang sentiasa menatap dan mentadabbur makna dan isi kandungan al-Quran.
Ya Rasulullah Ya Habiballah,
Walau aku menyedari aku bukanlah orang yang baik, namun ingatkah engkau, terhadap seorang budak yang ketika kecil, sentiasa menangis di waktu malam, rindu untk menatap wajahmu? Ingatkah engkau kepada budak yang sentiasa inginkan engkau menjelma dalam mimpinya, memberi nasihat dan pesanan agar ia menjadi insan bertaqwa? Ingatkah engkau kepada seorang budak yang sentiasa mendoakan kebaikanmu dan menyebut-nyebut kebaikanmu?
Sekarang budak itu semakin dewasa. Ia masih lagi lagi menyintaimu dan tidak pernah melupakanmu. Namun mengapa engkau tidak pernah hadir walau seketika menziarahinya walau hanya dalam mimpi?
Maafkanlah budak itu Ya Rasul.
Rasulullah, izinkan aku bertanya khabarmu di sana. Oh ye, pasti sekarang engkau berada di syurga yang penuh sejahtera, menikmati segala panorama indah yang tidak terbayang dek mata. Pasti bidadari melayanimu dengan penuh kehormatan. Pasti kekasihmu akan memberikanmu segala macam kebaikan.
Rasulullah, kalau engkau ada di sisi, izinkah engkau kepadaku untuk mengucup dahimu, juga kedua pipimu? Kalau aku ingin memelukmu sepenh hati, izinkah engkau. Kalau aku ingin meminjam serbanmu untuk diikat di kepala, berikah engkau?
Rasulullah, hanya sekadar ini sahaja surat yang ingin aku utuskan buatmu. Panjang lagi untuk aku mencoretkan pelbagai perasaanku terhadapmu. Aku harap sekali doa darimu ya Rasul, agar aku dikuatkan tekad dan semangat juang untuk memastikan kemenangan Islam di muka bumi ini.
Oh ye Rasulullah, tidak lama lagi kami akan berpilihan raya. Doakan kemenangan Islam di sini. Moga-moga, berkat doamu, Islam akan kembali tertegak di bumi Malaysia dan segala kejahatan akan dapat dinyahkan.
Kelak, aku akan menulis surat yang lebih panjang kepadamu, wahai kekasih...
Dari yang merinduimu...
1 Cadangan/Pandangan:
ana paling suka artikel ni.sangat sebak.kalau orang macam akhi pun rasa macam tu, apatah lagi ana.ana harap ana syahid dulu sebelum akhi =)..,harap-harap dapat merasa pengalaman zainab al-ghazali sebelum pergi..ana pun nak jumpa Rasulullah,nak lihat senyuman baginda.nak bercakap dengan baginda.rindu sangat juga padanya.Tapi, mesti ramai umat baginda berpusu-pusu mengejar baginda.baginda perasan tak ana ye?..tambah2 seorang muslimat..=(
salam perjuangan dari insan biasa.
Catat Ulasan