BUDAYA TERBALIK
ANTARA TAHU DAN MAHU
_________________________________________________________________________
Pernah heboh rasanya isu berdoa selepas solat Jumaat. Saya jadi teringat balik isu ini apabila seorang haji menegur saya yang tidak berdoa selepas solat Subuh satu pagi. Isu ini tidaklah terlalu penting untuk dibicarakan. Kalaulah saya sebut, ada yang kata saya salafi atau pendokong sunnah.
Rasanya kritikan Us Zamihan terhadap salafi terlalu keras dalam satu seminar. Seolah-olah salafi merupakan golongan yang asyik membid’ahkan orang dan ’menerakakan’ orang. Salah bagi saya pandangan sebegitu. Beliau tidak habis-habis mengaitkan salafi dengan Rasul Dahri, walhal Rasul Dahri dan salafi adalah dua entiti berbeza. (sdra Nawawi jangan marah pulak).
Saya ada pandangan tersendiri. Siapa mahu berdoa selepas solat, atau tidak mahu, terpulang kepada mereka. Bukan itu ukuran keimanan. Malah menjadi satu kesilapan apabila seseorang berdoa dalam Bahasa Arab tetapi tidak difahami. Atau sambil berdoa, sambil tersenyum. Atau seorang Imam berdoa terlalu panjang, seolah-olah ia berhajatkan semua benda dalam satu masa sehinggakan makmum terasa lenguh-lenguh tangan.
Ibn Qayyim agak lembut dalam hal ini. Katanya, tiada nas yang warid daripada nabi, bahawa nabi berdoa selepas solat, tetapi barangsiapa yang mahu berdoa, maka itu merupakan amalan tambahan baginya. Lalu Ibn Qayyim mengajarkan beberapa adab dalam berdoa seperti memulakan doa dengan puji-pujian dan selawat kepada nabi.
Saya melihat beberapa orang, malah ramai sebenarnya. Oleh kerana sibuk mengejar masa, selepas sahaja solat, terus ia berdoa. Kemudiannya ia beredar dari situ. Bagi saya ini satu kesilapan walau ia bukan satu kesalahan. Kesilapan dalam beramal tetapi bukan satu kesalahan malah insya Allah mendapat pahala di sisi Allah SWT.
Ada juga kononnya pendokong salafi, selesai solat, ia terus beredar tanpa berdoa, malah tanpa berzikir, kerana doa bukan warid dari nabi. Ia beredar begitu sahaja, mengerjakan solat sunat di belakang atau di tempat tersebut, kemudian beredar. Solat sunatnya ringkas tidaklah lama, sekadar menunaikan tuntutan sunnah. Ia juga satu kesilapan, tetapi bukan satu kesalahan.
Nyatanya, sunnah nabi adalah berwirid selepas solat. Jadi mengapa tergesa-gesa sehingga tidak sempat wirid tetapi sempat pula berdoa. Wirid adalah warid daripada nabi sedangkan doa tidak warid daripada nabi. Saya tidak katakan ia bid’ah tetapi ia satu kesilapan.
Sedangkan hadis menyebut, barangsiapa yang disibukkan dengan zikir kepadaku sehingga terlupa untuk berdoa, maka Aku akan kurniakan apa yang ia tidak minta. Berzikir lebih besar daripada berdoa. Ini kerana apbila kita berdoa, kita memohon untuk kita, sedangkan apabila kita berzikir, kita memuji Allah SWT. Maka zikir itu lebih utama.
Salafussoleh ada sebab mengapa ia tidak berdoa. Ia telah menjadikan seluruh solatnya sebagai doa. Dalam al-Fatihah ada doa. Semasa ruku’ dan sujud ada doa. Semasa i’tidal ada doa. Semasa duduk antara dua sujud ada doa. Kemudian ia berwirid dengan wirid yang datang dari nabi dan juga amalan khususiah yang menjadi amalannya seperti al-Mathurat ataupun hizib. Kemudian mereka bangkit untuk solat sunat. Dalam solat sunat, ia tidaklah seketat solat fardhu. Solat fardhu menuntut kita membaca apa yang warid daripada nabi SAW sahaja, sedangkan dalam solat sunat, ia agak bebas. Lalu memanjangkan solat sunat. Ruku’nya lama, sujudnya panjang, qiamnya bagai pokok yang tidak ditiup angin. Mereka tenggelam dalam kelazatan bersolat dan berdialog dengan Allah SWT.
Tampaknya ia berbeza dengan kita. Mereka memahami bahawa Allah dekat dengan mereka ketika mereka sujud, jadi mereka memanjangkan sujud. Kita pula hanya memanjangkan sujud akhir. Di luar solat, mereka melazimi doa dalam setiap perkara. Setiap masa mereka adalah bergantung kepada Allah, jadi mereka berdoa setiap masa dan ketika. Jadi, tidak timbul persoalan mereka tidak berdoa selepas solat kerana kehidupan mereka sentiasa bergantung kepada Allah SWT. Sangat berbeza dengan kehidupan kita yang hanya berdoa selepas solat.
Kita mahu, tetapi kita tidak mahu. Saya ingin bertanya, mana lebih baik orang berdoa selepas solat atau orang berdoa dalam solat? Orang berdoa selepas solat sahaja atau orang yang berdoa dalam setiap gerak kerja dan perkara? Orang berdoa selepas solat tetapi tidak berzikir atau orang berzikir tetapi tidak berdoa.
Khatib tahu orang mengantuk semasa mendengarnya berkhutbah, tetapi ia tetap mahu memanjangkan khutbah. Lalu orang terlena sehingga iqamat. Mana lebih baik, berkhutbah pendek dalam 5-7 minit atau memanjangkan khutbah sehingga 15 minit sehingga orang mengantuk? Ini semua persoala. Mengapa khutbah tiap-tiap minggu tetapi maksiat adalah tiap-tiap hari. Khutbah modalnya air liur ke, atau khutbah modalnya jiwa yang bersih?
Keuntungan Lampu Downlight, Hemat Listrik dan Bertahan Lama
5 hari yang lalu
3 Cadangan/Pandangan:
ana agak setuju dengan sebahagian besar penulisan ini... tetapi ana sangat kurang terkesan dengan pertikaian2 cabang... yang ana sangat sedih... golongan yang langsung tidak sembahyang ini... bagaimana akhi??... serius ramai sekali!!... biarlah mereka berdoa selepas sembahyang atau berdoa dalam sembahyang... hakikatnya mereka telah semhbahyang... itulah fardunya... oh akhir zaman... solat ditinggal2kan...
as-Salaamu 'alaikum... ai... ada sebut nama-ku juga?
Ustaz ku pun ada?
- Nawawi...
Catat Ulasan