Orang kata, orang perempuan ni banyak membebel. Membebel je kerjanya, mungkin itu satu hobi yang sihat bagi mereka. Senaman mulut barangkali.
Apabila mereka membebel, mereka akan bercakap tanpa henti-henti. Orang dengar ke tau tidak dengar, peduli apa, yang penting membebel. Tak kira, sama ada suami dia orang besar atau orang biasa, dia tetap akan membebel. Sedangkan Umar yang garang pun, isterinya berani membebel kepadanya, apalagi orang biasa macam kita.
Kadang-kadang, orang perempuan ni membebel dengan mencekakkan tangannya ke pinggang. Kadang-kadang sambil buat kerja mereka membebel. Ya, membebel, itu mungkin satu tabiat yang sihat bagi mereka. Aku pun tidak faham sebenarnya.
Nak marah orang perempuan membebel, tak boleh. Tabiat semulajadi dan itu bakat mereka yang terlatih, takkan hendak dihalang. Lagipun ini adalah skill mereka yang terpelihara dan sentiasa diasah hari demi hari, maka takkan nak ditinggalkan. Ala, membebel je, bukannya benci pun. Saje-saje nak membebel.
Membebel ni timbul apabila orang perempuan ni terlalu penat, atau terlalu letih. Sama ler tu. Bila mereka dah sangat penat, si lelaki pula sibuk ternak lemak kat perut, ha, mana taknye si perempuan ni akan membebel. Mulalah diungkit semuanya walau semasa bercinta dulu, Engkaulah segala-galanya. Ala, bukannya benci pun, sekadar memenuhi tuntutan fitrah. Lagipun senjata perempuan ni dua je, menangis dan, membebel lah, apa lagi. Kan kita sedang bincang tentang membebel ni.
Kadang-kadang manis juga si perempuan ni membebel. Hari-hari dengar mereka membebel. Dalam SMS pun mereka membebel. Dalam telefon pun mereka membebel. Ada kesempatan jumpa walau sekejap pun, mereka membebel. Ha, kalau tak dengar mereka membebel walau sehari, alamat kiamat dunia. Sunyi je, lengang sangat, bosan pula ye. Ha, masa tu mula lah rindu nak dengar mereka membebel.
Membebel ni sebenarnya nasihat. Anehnya, tak ramai orang perempuan boleh memberi nasihat di depan khayalak semacam Dr Masyitah. Dr Masyitah tidak membebel, tetapi ia memberi nasihat. Membebel dengan memberi nasihat ni beza, kerana membebel tidak perlukan kepada pembacaan dan pengetahuan, ia berlaku secara spontan. Ya, spontan sahaja idea membebel itu keluar tanpa perlu banyak berfikir. Bila mereka penat, mereka berhentilah membebel.
“Kenapa orang perempuan suka membebel?” tanya aku pada Abang Zamzuri satu ketika. Abang Zamzuri ni, puitis orangnya, baru sahaja memenangi anugerah yang berkaitan kesusasteraan dan mendapat tempat kedua. Tahniah. Tetapi, bila aku mendengar hujjah Abang Zamzuri, alahai, dia pun macam membebel. Aku naik boil dibuatnya, orang perempuan membebel, Abang Zam pun membebel. Bukan ke membebel ni anugerah Allah kepada wanita dalam menghadapi suaminya?
Jadi, kenapa Abang Zam pun membebel? Aku semakin bingung, kepala aku pecah memikirkannya. Aku cuba mencongak-congak dalam benak kepala, membebel sama dengan perempuan, tetapi Abang Zam juga membebel, bermakna Abang Zam adalah elemen bebelan dan elemen bebelan adalah perempuan, maka Abang Zam juga perempuan? Eh, betul ke? Apasal hari tu aku tengok banyak je bulunya kat kaki. Orang perempuan bukan begitu. Apasal suaranya kasar semacam je, macam suara aku, orang perempuan suaranya halus.
Eh, Abang Zam bukannya perempuan. Ha, aku baru teringat. Namanya Zamzuri bin Mustafa, bukannya binti. Orang yang ada bin ni orang lelaki, bukannya perempuan. Jadi, Abang Zam adalah lelaki bukannya perempuan. Habis tu, mengapa Abang Zam pun suka membebel?
“Abang Zam , saya nak tanya. Abang ni lelaki ke perempuan?” aku bertanya satu hari. Hadiahnya, kepala aku yang kena lekuk. Aku mengadu kepada Nik Affendi. Aku makin pening, bingung dan keliru. Aku minta penjelasan daripada Nik tentang identity Abang Zam, mungkin dia lebih mengetahui. “Kamu ni pun satu, mestilah dia lelaki, kalau tak, takkan kamu panggil dia abang?” jelas Nik.
“Tapi Nik, kenapa dia suka membebel. Membebel kan sikap orang perempuan. Nik kaget. Dia mula terkial-kial untuk menjawab. Aku mula meragui identiti sebenar Abang Zam. Aku tetap berpegang teguh dengan konsep bahawa orang perempuan sahaja yang membebel, orang lelaki tidak. Maka sahlah Abang Zam ni perempuan. Ha, mungkin nama sebenarnya Zamzuriah. Patutnya aku panggil dia kak saja.
Sejak kecil lagi aku tengok orang perempuan je membebel. Emak aku pun membebel kerjanya. Kadang-kadang geli hati aku tengok mak aku. Lepas penat dia membebel, dia ketawa sorang-sorang. Aku jadi pelik, tadi membebel, ni gelak pula. Oh, patut pun, adik aku yang lain buat lawak, jadi mak aku gelaklah. Lepas tu, sambung membebel balik.
Jadi membebel ni bukannya perkara yang pelik sangat pun. Ia adalah caj positif. Nak membebel, membebellah. Bila aku besar, bergaul dengan orang perempuan, aku masih tetap mendengar mereka membebel. Si Syuhada’ membebel, si Husna pun membebel, si Aniza membebel dalam SMS, macam-macam si lagilah yang membebel. Jadi sebab itulah aku membuat kesimpulan membebel ni perempuan dan perempuan ni membebel.
Aku tidak pernah dengar Alan membebel. Umar pun tidak, Afifi pun tidak, Na’im pun tida, Amin loyar buruk ada la, tapi tak pernah aku dengar orang lelaki membebel. Sebab itulah kepercayaan aku bahawa hanya orang perempuan membebel semakin menebal.
Apa ye maksud membebel? Aku cari dalam kamus, hurm, tak jumpa. Oh, patut pun, aku cari dalam kamus Melayu-Inggeris, sampai bila nak jumpa. Bila orang membebel, mulutnya bergerak laju. Aku tidak sempat nak rekod berapa kelajuan yang dicatatkan semasa membebel. Tetapi aku yakin ia bergantung kepada keupayaan seseorang. Orang yang biasa membebel pasti sangat tangkas dan cepat mengeluarkan senjata air liurnya itu. Siap-siap, tangan pun naik sama. Orang lelaki pula mesti buat donno, kalau lelaki membebel, alamak kiamat dunia.
Hari tu, aku jumpa Abang Zam sekali lagi dan bertanya kepadanya, “Abang, abang ni lelaki ke perempuan”. Dan Abang Zam mula membebel…
Tips Cegah Gangguan Pencernaan dengan Kebiasaan Berikut Ini
3 hari yang lalu
2 Cadangan/Pandangan:
(bébél); membebel 1. mengeluarkan kata-kata secara yg tidak tersusun atau yg sukar difahami, mengomel; 2. berleter;membebelkan membebel tentang;bebelan kata-kata yg dikeluarkan oleh orang yg membebel, omelan.
(Disalin dari http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/ka_rujukan_kamus_dbp.aspx?KataKunci=BEBEL&Type=1)
Membebel barangkali salah satu bentuk manifestasi idea pascamoden.
Harus juga enta tahu apa yang dibebelkan. Tentang bahasa, tentang sastera yang dipancung fungsinya, tentang adat yang menunjukkan ketololan bangsa pengamalnya. Tentang manusia yang menganggap semuanya mesti hitam atau putih.
Dzul, takkanlah dah nak merajuk sebab ana dah lama tak lepak di rumah enta? Insya Allah, ada rezeki ana mampir di sana. Nak cerita tentang jiran sebelah rumah Kak Sidah pengasuh enta. Sebuah kisah motivasi.
Salam Ramadhan wahai Saiful, eh maaf, Dzul.
POTRET DIRI
di kaca malam
yang disalut oleh raksa rusuh
terlintas wajah diri
jauh dan separuh sedia.
dengan apakah akan kubaca bayang?
dengan kata-kata songsang atau selari
dari perbendaharaan musuh atau kawan,
atau kelip percaya
yang mencipta api?
dengan gema tuduh
terbina latar hina,
meleleh percik prasangka
mataku tajam seperti tasik
yang melontarkan matahari.
akhirnya bayang berubah dakwat.
dengan puji
atau puas diri
cerah turun pada mata
ditambah warna dari gembira.
ada bintang di gunung,
nyanyian burung di jendela.
tapi ada juga yang tidak dirubah bahasa
warna masih menyata sifat
dan suara pernah berdoa.
aku mati berhari-hari
dibunuh bayang sendiri,
tapi segera dibangunkan kembali
dengan renjis hayat dan darah
panggilan anak dan jemputan tetangga.
kerana aku penyair
aku harus berdiri di depan cermin
dan menerima setiap tanda.
26 september 1985
-sasterawan negara prof. dr. muhammad haji salleh-
Disalin dari http://www.geocities.com/ayahanda_m/
Catat Ulasan