Ahad, 4 Januari 2009

AMPUNI DAKU DUHAI TUHAN


Karam dalam rindu. Adawiyah karam dalam merindui Allah. Baginya, Allah adalah segala-galanya. Tiada guna hidup jika Allah tiada redha. Bezanya, kita karam dalam bercinta dengan manusia, sedangkan Adawiyah karam dengan perasaan yang sukar kita fahami.

Kata ustaz, “Kita masuk syurga atas rahmat dan keampunan Allah, dan jika kita masuk neraka, ia adalah kerana keadilan Allah”. Bagaimana neraka itu? Panas, pedih, perit, hitam pekat, ada bintang berbisa, baunya busuk, banyak duri, ada besi panas pencucuk mata, ada lembah dalam, nanah seluruh badan, besi panas, malaikat berwajah bengis, panas, panas, panas. Masuk nerakalah siapa yang menderhakai Allah.

Pernah disengat lipan? Lipan neraka lebih berbisa. Bayangkan yang mudah, ambillah jarum, tusuk ke mata. Atau masukkan ke dalam kemaluan kamu. Aduh, ia sangat pedih. Jadi, kenapa kamu degil? Kamu ambil dunia, tinggalkan akhirat. Kamu menanam tanaman syurga dengan benih neraka. Kamu lupakah asal kamu? Air mani yang hina lagi menjelekkan, tetapi kamu alpa dan sombong. Bukan, tapi kamu bodoh sombong.

“Apa ciri penghuni syurga, ustaz?,” aku bertanya kepada guruku. Beliau tersenyum sahaja. “Anakku, ciri penghuni syurga adalah, sentiasa merasakan dirinya hina walaupun sebenarnya ia mulia di sisi Allah. Ia mungkin tidak dikenali di alam dunia, tetapi namanya menjadi sebutan penghuni langit,”.

« Apa pula petanda kita dicintai penghuni langit ustaz ? » tanyaku lagi. « Anakku, petanda orang itu dicintai penghuni langit ialah, apabila orang melihatnya, orang akan teringatkan Allah, » jelas guruku mudah.

Maksud mudahnya, orang akan menyegani kita, menghormati dan jatuh kasih kepada kita. Mereka berasa belas dan rapat dengan kita. Seseorang yang kasih kepada Allah, maka penghuni bumi dan langit akan kasih kepadanya. Apabila seseorang itu takutkan Allah, maka binatang buas pun takutkannya. Tetapi kita, lalat pun berani mempermainkan kita.

Kalau begitu petandanya, maka jauhlah aku daripada hakikat cinta itu. Buktinya, bukan ramai pun kasihkan dan belaskan aku. Nyamuk dan lalat pun mempermainkan aku. Orang yang cintakan Allah, asal dari air mani yang hina, tetapi berubah menjadi manusia yang mulia. Aku pula, asal air mani yang dina, tetapi kemuliaan langsung tidak bertambah. Entahlan apa pandangan orang soleh terhadapku.

Mungkin Malaikat Maut pun sudah tidak sabar nak mencabut nyawa aku. Mungkin Raqib Atid pun sudah bosan berdampingan dengan aku. Mungkar Nakir tidak sabar menyoal aku di alam barzakh. Entahlah, aku rasakan bumi sudah loya dengan adanya manusia seperti aku yang masih berjalan di atas perutnya. Aku manusia sombong, terasa diri alim, terasa orang lain bodoh, pandangan orang lain aku perlekehkan, aku marah dengan orang yang tidak menghormati aku, aku hidup bermewah-mewah sedangkan kawanku yang lain menderita, aku seorang yang tamak, aku, aku, aku, ah, banyaknya keburukan dan kebusukan pada diriku.

Tuhanku, aku takutkan amarah-Mu, namun aku mengharapkan kelembutan usapan maghfirah-Mu.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE