Saya mencadangkan agar sistem pendidikan melihat kepada 10 faktor utama, yang saya sifatkan kepada kayu ukur keberkesanan sistem pendidikan. Faktor-faktor tersebut ialah kesejahteraan akidah (salimul aqidah), ibadah yang berkualiti (sahihul ‘ibadah), akhlak yang membekas (matinul khuluq), kesihatan dan kekuatan tubuh badan (qawiyyul jism), pemikiran yang meluas (muthaqqaful fikr), kemampuan mengekang kehendak hawa nafsu (mujahadatun linafsihi), kesungguhan menjaga waktu (harisun ‘ala waqtihi), kehidupan yang tersusun (munazzamun fi syu’nihi), berdikari dan bersedia untuk memberikan manfaat kepada orang lain (nafi’un lighairihi).
Kita boleh menoleh kepada Tamadun Islam yang pernah terbina di Andalus. satu perkembangan ilmu yang rancak berlaku di sana tanpa ternafi. Perhatikan bagaimana William Drapper mengiktiraf Andalus sepanjang 800 tahun di bawah pemerintahan Islam yang ternyata memberikan kesan yang besar kepada perkembangan ilmu di Eropah. Penuntut dari pelbagai negara termasuk Perancis, Jerman dan England turut bertandang ke Andalus untuk memperkayakan kemahiran ilmu di sana.
Saya memetik sedikit contoh. Pada zaman pemerintahan al-Hakam II, terdapat sebanyak 70 lebih buah perpustakaan awam di seluruh Andalus dan 1000 buah institusi pengajian tinggi yang turut memiliki perpustakaan tersendiri. Ini tidak termasuk perpustakaan peribadi yang dimiliki oleh penduduk Andalus. Baginda juga membina hampir 27 buah sekolah yang ditanggung seluruh biaya pengajiannya.
Istana-istana ketika itu juga dipenuhi dengan buku. Banyak pemerintah Islam dalam pemerintahan sebelum itu pun seperti Harun al-Rasyid dan al-Makmun yang menunjukkan minat dan cinta mendalam terhadap ilmu pengetahuan. Sikap pemerintah yang cintakan ilmu ini dicontohi rakyat sehingga ramai yang mengumpul buku koleksi peribadi dan membina perpustakaan mini di rumah masing-masing.
Senario yang terserlah ialah, mereka cinta kepada ilmu dan ilmu mendorong mereka kepada amal. Nabi SAW pernah ditanya, apakah amal yang paling utama. Anehnya, nabi menjawab amal paling utama adalah ilmu, menyebabkan yang bertanya terpinga-pinga. Rupa-rupanya, nabi maksudkan semua amalan hanya akan bermakna jika ia seiring dengan ilmu tetapi sebaliknya sekiranya amalan hanya seiring dengan kejahilan.
Sistem pendidikan yang ada sekarang dikritik oleh Sir Iqbal yang menyifatkan ia hanya menyentuh lapangan otak tetapi tidak melahirkan jiwa yang khusyu’ dan tidak mengalirkan air mata. Jika benar sistem pendidikan itu rabbani, ia pasti bukan hanya melahirkan orang yang pandai menggunakan otak malah juga melahirkan orang yang sentiasa tunduk dan akur kepada Allah. Acuannya, seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Semakin berilmu, semakin nampak kejahilan yang bersarang dalam diri. Semakin otak membesar, semakin iman dan taqwa membengkak. Al-Qaradawi sendiri menegaskan pentingnya mengambil ilmu bukan hanya dengan otak, malah dengan hati.
Sebab itulah Allah menegaskan orang yang paling takutkan Allah terdiri daripada golongan ulama. Mereka mengerti perintah dan larangan Allah, menyebabkan mereka tertunduk akur, sanggup mengetepikan keluasan berfikir mereka apabila bertembung dengan perintah yang jelas daripada Allaha. Mereka memahami, kekuatan akal mereka langsung tidak sebanding walau sekelumit cuma dengan kekuatan wahyu daripada Allah.
Justeru, gagasan saya melihat kepada 10 aspek tadi. Kita timbulkan persoalan. Benarkah sistem pendidikan masa sekarang mampu membentuk akidah sejahtera, yang meletakkan Allah di hadapan di samping memperhitungkan kesudahan hidup mereka selepas kematian hanya akan berakhir di dua tempat sahaja. Syurga atau neraka. Jika benar sistem pendidikan kita menitikberatkan soal pembentukan akidah yang mapan, maka gejala sosial, rasuah, kes buli, pengkid, anak muda yang semakin tinggalkan Islam, akan terhakis dengan pantas dan deras. Kekuatan akidah terbahagi kepada empat komponen utama. Mempercayai keesaan Tuhan tanpa mensyirikkannya dengan pemikiran kita yang dangkal sehingga berani menolak hukum-hakam yang datang dari-Nya, mengimani kekuatan Tuhan sebagai pencipta, mengiktiraf nama-nama dan sifat-sifat Tuhan yang takterjangkauan dan meyakini Allah sebagai hakim yang menurunkan undang-undang dan peraturan hidup kepada kita.
Bagaimana pula dengan kuliti ibadah? Saya melihat kita belum serius menekankan aspek ibadah sehingga ia hanya menjadi aspek sampingan. Benar, menguasai fardhu kifayah seperti kemahiran komputer dan ko-kurikulum penting, namun memahami basis agama lebih penting. Maksud saya, hanya basis, bukan menguasai ranting-rantingnya. Ranting, bukan dahannya. Menyedihkan apabila masih ramai tidak tahu mengucap walhal ia paling basis. Menyedihkan apabila bacaan al-Quran berterabur. Tuntasnya, sejauh mana sistem pendidikan menekankan soal yang sebegini penting?
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dalam perbincangan (brainstorming) baru-baru ini, kami melihat ada cacat dan lompangnya apabila pendidikan agama tidak ditekankan semasa sem pertama dan kedua di IPTA. Walhal bukanlah ia sesukar mana pun, Jika PPSMI boleh diterapkan, maka takkanlah perkara semudah ini tidak mampu untuk diimplementasikan. Sekurang-kurangnya untuk peringkat awal, konseptual dahulu. Boleh dikatakan semua agama menekankan soal ke arah kebaikan kecuali ajaran Talmud yang telah dipesongkan dan mungkin ada satu dua lagi ajaran yang terpesong. Buddha sebagai contoh menekankan Lapan Jalan Mulia, ia tiada masalah. Selari dengan Islam dalam banyak perkara. Maka sekiranya semua kembali mengenali agama masing-masing dan tuntutan yang ada di dalamnya, nescaya masalah sosial yang kian meruncing akan terbendung secara sendirinya.
Baiki sistem pendidikan, ini laungan pertama.
Keuntungan Lampu Downlight, Hemat Listrik dan Bertahan Lama
5 hari yang lalu
0 Cadangan/Pandangan:
Catat Ulasan