Saya ada bertanyakan kepada peserta dalam program, apa yang mereka faham tentang naqib. Macam-macam pendefinisian yang diberikan oleh mereka. Mungkin bagi sesetengah orang tidak menganggap penting definisi sesuatu istilah sehingga mereka boleh memaafkan istilah Islam Hadhari sebegitu sahaja. Tapi beberapa golongan ilmuan termasuklah yang mempelajari mantiq, mereka menganggap pendefinisian sangat penting kerana ia melambangkan sesuatu perkara. Juga menjadi tunjuk arah perkara tersebut.
Sama jugalah dengan apa yang saya bincangkan dengan beberapa sahabat saya semalam semasa brainstorming tentang Kongress Pendidikan. Kami berbincang tentang penggunaan istilah integriti. Kemudian saya mempersoalkan pula istilah Rabbaniyah. Dulu-dulu, saya juga secara ilmiah tentang mempertikaikan penggunaan istilah Tarbiah Rabbaniyah yang digunakan pada zaman PMIUM di bawah kepimpinan Ustaz Nazree.
Bagi orang umum, tidak mengapalah. Tetapi bagi ilmuan, mereka tetap merasakan perkara itu sangat penting. Sekiranya hal tersebut direndah-rendahkan, maka dikhuatiri ia merenggut jati diri ilmuan dan maruah keilmuan itu sendiri. Maka kembali kepada perbincangan asas, apa pendefinisian bagi perkataan Naqib.
Ada yang menyatakan naqib adalah pemudah cara. Ada pula yang menyebut pembimbing. Ada menyebut sebagai orang yang mampu berkongsi rasa. Apapun, kesemua istilah yang diberikan itu bagi saya berteraskan dua sumber yang boleh dipertikaikan.
Sumber Pertama: Pandangan orang-orang terdahulu. Maksud saya, ia merupakan definisi warisan orang-orang tua. Orang-orang tua ini, meskipun banyak yang memandu, tetapi ada juga yang menyongsang. Sumber Kedua: Pandangan peribadi yang dipungut melalui pembacaan dan pengalaman. Jika begitu definisi yang diberikan oleh mereka,maka ia menampilkan satu bentuk pemikiran yang terlahir daripada pembacaan yang kurang atau tidak meluas dan juga pengalaman yang tidak mengembang. Maaf jika saya agak terkasar.
Warisan yang melahirkan taqlid amat menakutkan saya. Saya bukan mahu mengetepikan segala peninggalan ‘salaf’, tetapi sepatutnya kita menyaring pandangan terdahulu dengan ijtihad yang baik. Saya amat berpegang dengan pandangan al-Qaradawi dalam hal ini, “Kami adalah salafiah, namun kami berijtihad pada zaman kami sebagaimana mereka berijtihad pada zaman mereka”. Pernah juga al-Qaradawi menegaskan, “Ibnu Taimiyah adalah ulama yang paling kami sayang namun kebenaran lebih kami sayang berbanding beliau”.
Definisi lahir daripada world-view yang luas. Pandangan alam ini merangkumi semua konsep yang terangkum dan tercangkum. Ia bersifat horizontal dan vertikel, implisit dan eksplisit. Sekiranya kita menyebutkan definisi bagi naqib adalah sebagai pemudah cara, maka kita telah menyempitkan definisi tersebut malah kita telah memberikan satu jawapan yang tidak tepat. Tugas memudah cara secara praktikalnya hanya berlaku dalam halaqah dan halaqah hanya medan berbincang. Bahkan halaqah itu bukanlah pengertian usrah dalam konteks sebenarnya.
Hal ini telah lama disebutkan oleh al-Banna dengan pengertian yang cukup mendalam dan mendasar. Naqib adalah umpama seorang ayah yang menjaga anak-anaknya, seorang guru yang mengajarkan murid dan bagaikan seorang sheikh yang mengasuh muridnya (tasawuf).
Pandangan world-view al-Banna sangat jelas. Ia sama ketika beliau menerangkan ahli Ikhwan sebagai seorang guru yang alim, ahli sukan yang cergas, orang yang sangat menjaga kebajikan, ahli ibadah yang selera bersujud kepada Allah dan juga pemimpin yang bertaqwa. Lebih kurang sebegitulah.
Maka pandangan saya, yang telah saya lemparkan kepada peserta; Naqib ialah murabbi yang bijaksana. Sikap murabbi adalah ta’lim (mengajar), ta’dib (mendidik) dan tazkiyah (penyucian jiwa). Mengajar perlukan kepada ilmu. Ta’dib memerlukan kepada keteguhan. Tazkiyah memerlukan kepada penyucian jiwa.
Murabbi juga bermaksud, dialah motivator dan dialah kaunselor. Motivator mampu bercakap dan kaunselor pendengar yang setia. Motivator mampu membangkitkan ghairah dalam diri untuk terus menjadi yang terbaik dan bangkit daripada rebah, atau bangkit selepas rebah. Kaunselor pula, mampu menguraikan permalahan yang membelit meskipun hanya dengan mendengar. Inilah kekuatan seorang murabbi.
Ustaz Ramadhan pernah menegaskan. Kita jangan sekadar menjadi mutarabbi (orang yang dididik), malah kita mesti menjadi murabbi (pendidik). Kita jangan sekadar menjadi orang muta’allim (orang yang belajar) malah mesti menjadi mu’allim (pengajar). Kita jangan berhenti setakat sifat soleh malah kita mesti menjadi muslih (orang yang mengelokkan).
Maka sekarang, apabila menyentuh soal pendefinisian, saya teringat kepada PAS. Sebelum ini, mereka menggunakan istilah Membangun Bersama Islam. Sekarang ia bertkar kepada Membangun Menurut Islam. ‘Ala kulli hal, semua ini adalah mutaghayyirat bukannya thawabit.
Mutaghayyirat adalah elemen yang boleh berubah-ubah seperti tema, objektif dan pembawaan. Banyak lagila elemen mutaghayyirat. Manakala thawabit adalah perkara yang tetap dan tidak boleh berubah. Masalahnya ialah, kadang-kadang kita pun tidak mampu membezakan antara mutaghayyirat dengan thawabit.
Keuntungan Lampu Downlight, Hemat Listrik dan Bertahan Lama
5 hari yang lalu
0 Cadangan/Pandangan:
Catat Ulasan