Saya mengembara lagi pada malam yang seterusnya. Bertemu dengan guru pada hari itu benar-benar mengocakkan keinsafan dalam diri. Tidak pernah saya begitu pilu dan galau. Guru telah membuatkan hati saya amat resah.
“Apakah ertinya nafsu itu, guru?” saya bertanyakan guru sambil menyalami tangan beliau yang lembut. Guru sedang asyik berzikir memelukku erat. Guru memberikan isyarat untuk menghabiskan zikir. Saya sudah tidak sabar untuk mendengar nasihatnya yang mampu meruntun jiwa.
“Nafsu itu bererti, ia memberikan kamu berasa enak dengan ibadah sedangkan nilai imanmu entah di mana. Sebutkan kepadaku wahai anakku, apakah engkau bermunajat semalam?” Tanya guru. Aku mengangguk kecil.
“Apakah imanmu dan keyakinanmu kepada Allah meningkat atau masih dalam tahap biasa? Apakah engkau berasa tenang dengan tahajudmu semalam?” Tanya guru lagi. Saya serba salah untuk menjawabnya kerana saya tahu, pasti ada saja buah kilasnya yang akan menjerut saya.
“Guru, saya tenang sekali bila bertahajud. Saya berasa tahajud memberikan keenakan dan ketenangan dalam diri saya,” saya menjelaskannya dengan ketenangan. Guru menggenggam erat tangan saya sambil mengusapnya. Guru meniup-niupku ubunku kemudiannya.
“Anakku, apa yang memberikanmu ketenangan?” Tanya guru lagi.
“Tahajud, guru,” saya menjawab. Guru tersenyum, semacam tidak suka mendengar jawapanku. Guru menggeleng-geleng kepala seolah-olah tidak bersetuju dengan jawapan saya. Saya tidak keruan dibuatnya.
“Anakku, bacalah kalam hikmah Ibnu Ataillah berkenaan sikap seseorang apabila melakukan dosa.”
Saya berfikir sekejap. “Antara tanda orang bergantung kepada amal dan berkurangnya rasa pengharapan kepada Allah ialah apabila ia melakukan dosa.”
Serentak, baru saya terperasan dengan maksud guru. Guru hanya tersenyum. Benar, saya hanya bergantung kepada tahajud. Saya menyangkakan tahajud yang memberikan ketenangan kepada saya. Walhal yang memberikan ketenangan abadi kepada saya ialah yang menyuruh saya bertahajud.
Mungkin hati saya tenang dengan tahajud, tetapi apakah mata hati saya semakin terbuka? Mungkin saya asyik berzikir tetapi apakah mata saya mengeluarkan air mata ketakutan kepada Allah? Mungkin saya ralit mengungkapkan kalimah cinta kepada Allah tetapi apakah ia benar lahir daripada isi hati saya yang dalam? Atau saya hanya leka dengan kalimah cinta sedangkan hati saya jauh daripada kalimah cinta?
Iman itu bukan dengan solat sahaja. Iman itu bukan dengan zikir semata. Iman itu adalah kekuatan hati dan kepercayaan yang teguh. Iman semakin kuat dengan pertolongan Allah bukan dengan solat. Solat hanya wasilah. Yang terpenting ialah inti pati solat.
Inti pati solat ialah, melahirkan rasa tawakkal yang tinggi memuncak kepada Allah sehingga segala keluh-kesah hanya diadukan kepada Allah.
Aduhai, jika boleh, mahu saja saya meluahkan kekecewaan yang terbuku dalam hati saya ini. Ingin saja saya berkongsi dengan adik-adik saya, apakah kesilapan yang telah kita lakukan selama ini.
Jika benar kita cintakan Rasulullah, apa yang telah kita lakukan? Apakah kita telah meletakkan Allah sebagai penyelesai masalah?
“Guru, berikan nasihatmu,” pinta saya.
“Anakku, aku tidak mampu menyelesaikan masalahmu. Yang mampu menyelesaikannya hanya Allah. Perbanyakkan taubat dan mengharap kepadanya, bukan kepada tahajudmu itu,”
1 Cadangan/Pandangan:
banyak sungguh yang kita lalai,
inshaALLAH , kita masih ada masa, manyak lagi rahsia2 yang boleh kita terokai.
Catat Ulasan