Saya lupa wajah nenek saya macam mana. Kata ma, neneklah yang menjaga saya sejak saya kecil. Neneklah yang menjaga makan minum saya apabila ma dan abah ditukarkan mengajar di kawasan pedalaman Gua Musang.
Hari raya itu, tok ayah memberikan gambar pasport nenek. Kata tok ayah, “Muloh mak lawa. Takdok soghe pun anak-anak dia hok boleh lawe dio.” Selalu saja tok ayah memuji nenek, katanya lawa.
Saya rindukan arwah nenek. Apa lagi nenek yang menjaga saya. Bermakna, saya cucu kesayangan nenek. Jika nenek masih hidup, saya rasa saya akan manja dengannya. Saya akan selalu melawat nenek dan memicit-micit belakang badannya. Saya akan mengurut-urut bahunya.
Cerita ma, “Dulu kami orang susah. Ma dulu menorah getah. Tok ayah pula bukannya nak bagi duit. Bila ma sambung belajar ke UM, ma hanya mampu tengok orang beli makanan sedap-sedap.” Saya sedih dengar cerita ma. Ma menyambung lagi, “Ma bertekad taknak tengok anak-anak ma hidup susah. Cukuplah ma yang melalui semua itu.”
Saya ingat sikit-sikit, saya mengiringi nenek pergi menorah dengan lirikan mata, jauh-kejauhan. Saya masih ingat apabila nenek dikapankan dan diletakkan di tengah-tengah khalayak.
Ma di bilik menangis. Ayah su (adik bongsu ma) yang masih kecil hanya terkebil-kebil. Dia tidak tahu bahawa emaknya sudah meninggalnya buat selama-lamanya. Saya juga tidak tahu apa-apa, sebab saya lebih kecil berbanding ayah su.
Malam itu hujan. Orang membaca Yaa Siin. Saya tidak faham apa yang mereka buat. Saya tidak tahu bahawa nenek sudah meninggal dunia. Dan saya tidak tahu bahawa itulah hari terakhir saya melihat nenek.
Hujan berhenti apabila majlis pengebumian berlangsung. Tiada sebarang masalah. Alhamdulillah. Saya mengiringi sampai ke liang lahad namun saya tidak memahami. Saya langsung tidak tahu-menahu bahawa kubur itu tempat tinggalnya orang yang sudah meninggal.
Maka semasa kecil, saya tidak tahu bahawa kematian penamat kehidupan. Saya tidak pernah kenal erti takut kepada mati. Bahkan saya tidak tahu bahawa adanya malaikat yang akan bersoal jawab di kubur kelak. Saya tidak tahu bahawa kubur adalah taman kepada syurga dan juga parit kepada neraka.
Ma bercerita, “Dalam kampong kita dulu-dulu, hanya ada beberapa orang yang pandai membaca. Antaranya arwah mak.” Sambung ma lagi, “Arwah mak dan tok ayah, dengar je bunyi azan, terus bergegas ke masjid. Itulah rutin kehidupan mereka. Tidak kira walau penat macam manapun.”
Saya rindukan arwah nenek saya. Saya sentiasa mengharapkan agar saya dapat menatap wajahnya dan bermanja dengannya. Saya yakin, pasti saya cucu kesayangannya. Saya dapat rasa, pasti saya sangat sayangkan nenek.
Malam itu, saya tidak faham kenapa ma menangis. Namun pernah ma bercerita, “Sepanjang hidup ma, hanya ada tida sebab yang membuatkan ma banyak menangis. Antaranya kematian arwah mak.”
Ayah su, umurnya tiga tahun lebih daripada saya. Kami rapat sejak kecil. Adik-beradik saya menganggap ayah su semacam abang kandung sendiri. Jadi, kami tidak pernah menganggap anak ayah su sebagai sepupu kami. Kami merasakannya sebagai anak saudara kami sahaja.
Ma yang menjaga ayah su selepas pemergian nenek. Sejak kecil lagi, kami tidur sebilik. Pernah juga kami bergaduh. Ingat lagi saya peristiwa ayah su membaling batu dan terkena kepala saya. Dan saya meraung menangis.
Pernah, ma dan abah mengambil saya daripada pangkuan nenek. Dibawanya saya ke Gua Musang. Ayah su menangis sambil meraung. Ia berkata, “Jangan ambil ngah aku, jangan ambil ngah aku.” Saya sebetulnya sudah tidak ingat kisah itu. Namun apabila ma dan abah mengulanginya semula, kami tertawa kecil. Malu memenuhi perasaan kami.
Nenek, ngah mohon maaf atas segala silap salah ngah selama ini. Ngah amat rindukan nenek. Jika ada peluang, ingin sekali ngah berjumpa nenek di syurga dan kita nikmati kehidupan bahagia bersama.
Tapi, jika kita bertemu di syurga Insya-Allah, pasti lucu kan nenek.
Mesti masa tu wajah nenek dah jadi muda dan cantik. Silap-silap, ngah yang mengorat nenek pula, haha. Hurm, ngah rindukan wajah tua nenek.
Read More......