Ahad, 4 Januari 2009

ANEKDOT


Sejak dilantik menjadi Ketua Tarbiah Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Halim seolah-olah tidak keruan dibuatnya. Bebanan tugas itu terlalu berat menurutnya, menyebabkan berkali-kali beliau meminta untuk beruzlah seketika mencari ketenangan. Hidupnya yang sepatutnya makin terurus menjadi sebaliknya. Halim melihat tanggungjawab itu sangat berat sedangkan dirinya sendiri belum cukup tarbiah. Rasanya, hatinya masih kotor dan cemar, jadi bagaimana boleh dia memegang jawatan sebesar itu. Terdetik juga dalam hatinya untuk menarik diri daripada memegang jawatan tersebut namun apabila ia menyuarakan kepada pihak atasan, terus sahaja suara hatinya ditolak.

Maslida pula menjadi penggerak dakwah di kolej. Dalam masa yang sama, Maslida memegang jawatan sebagai Timb Pengarah Program Memperingati Palestin anjuran PMIUM. Dia juga terlibat sebagai koordinator dalam Minggu Interaksi Jabatan. Kebetulan beliau ada melibatkan diri sebagai Fasilitator Program Motivasi yang akan berjalan dua minggu lagi. Dalam masa yang sama, Maslida aktif di Fakulti sebagai Wakil Fakulti dan turut menjalani latihan intensif debat untuk menghadapi pertandingan yang akan diadakan dalam sebulan lagi. Apa sahaja tawaran kerja tidak akan ditolak oleh Maslida. Bagi Maslida, kerja Islam sangat penting dan dia mesti serius dalam melaksanakan tugasan yang ditawar. Jangan tolak kerja, ini prinsip Maslida.

Setelah terlibat dengan PMIUM, prestasi pembelajaran Amin di kelas semakin merosot. Sebelum ini, Amin merupakan pelajar cemerlang yang sentiasa menyiapkan assignment dalam masa yang ditetapkan. Amin telah dihadapkan dengan banyak tugasan oleh persatuan sehingga pelajaran beliau agar terganggu. Akhirnya, Amin memutuskan untuk keluar daripada rantaian persatuan dan menumpukan perhatian kepada pembelajaran sepenuhnya. Akhirnya, keputusan peperiksaan Amin meningkat semula. Amin sedar, di kampus adalah tempat belajar bukannya untuk berpersatuan.

Apa pandangan umum anda terhadap tiga kisah yang saya paparkan? Cuba kita analisis dari pandang sudut yang pelbagai.

Kisah yang pertama memaparkan seorang yang ditaklifkan sebagai penggerak utama tarbiah dalam sebuah persatuan Islam. Halim menghadapi krisis kepemimpinan apabila tidak mampu untuk menanggung tugasan yang dianggap sangat berat bagi beliau. Beliau merasakan hatinya sangat kotor dan perlu kepada pembersihan yang rapi sebelum menerima tugasan tersebut.

Kisah kedua pula, seorang aktif yang bernama Maslida. Maslida sanggup menerima apa jua jawatan dan tugasan yang dihulurkan. Kisah ketiga pula menunjukkan satu kisah ahli persatuan Islam yang tertekan dengan bebanan tugas sehingga pengajiannya terabai. Setelah beliau melepaskan tugasan yang diikatkan ke tengkuknya, barulah beliau dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada pengajian dan berjaya meningkatkan semula prestasi pengajian beliau.

Ini kisah yang biasa berlaku dalam mana-mana persatuan. Cuba kita mendalami permasalahan ini. Pertama, apa kesilapan yang telah dilakukan oleh ketiga-tiga individu dalam tiga kisah ini? Kedua, apa pula kesilapan yang telah dilakukan oleh pimpinan? Ketiga, apa yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan konflik yang tidak terancang ini?

Pertama, kita membincangkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh ketiga-tiga individu dalam kisah ini.

(1) Halim tidak menyedari bahawa beliau sebenarnya telah dipilih melalui satu keputusan majoriti yang besar. Mungkin pembuat keputusan tidak mengetahui tingkah laku terpencil beliau; soal kekotoran hati sebagai contoh, namun ia bukanlah satu perkara yang perlu diketahui umum. Jadi, sepatutnya Halim tidak berasa terlalu merendah diri sebaliknya menjadikan jawatan sebagai landasan untuk memperelok tingkah laku. Sepatutnya beliau terus tegar memegang jawatan, kerana majoriti kuasa pembuat keputusan mempercayai beliau.
(2) Maslida melakukan satu kesilapan yang tidak disedari ramai orang. Menerima semua jawatan yang diberikan bukanlah satu bukti komitmen sebaliknya itu bukti keghairahan tidak bertempat. Sepatutnya kita memahami, sekiranya hanya kita melakukan banyak kerja, maka hanya bakat kita terasah, manakala bakat orang lain tidak dapat diasah dan digosok sebaiknya. Ia merugikan masa depan gerakan yang memerlukan orang berbakat yang ramai. Dalam masa yang sama, penumpuan hanya akan menjadi tumpul lanatarn simpang-siur kerja yang pelbagai.
(3) Amin juga melakukan kesilapan apabila menganggap jamaah dengan akademik sebagai dua perkara berbeza. Pemimpin yang berkesan adalah orang yang paling pandai mengatur masa malah kebiasaan diri dengan kepadatan jadual tambah-tambah akan mengajar mereka untuk lebih berdedikasi dengan masa. Mereka juga mesti pandai membina hubungan peribadi dengan pensyarah dan kawan-kawan yang cemerlang dalam akademik. Teknik dan kaedah pengajian berkesan meskipun sedikit mesti dikuasai sepantas mungkin. Menyalahkan persatuan sebagai penyebab kelemahan dalam bidang akademik merupakan satu kesilapan.

Kemudian, kita membicarakan pula kesilapan pimpinan dalam bab ini. Perlu difahami, tujuan artikel ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya ia hanya sebagai satu bahan muhasabah bersama, agar kita saling mencermati dan memperhalusi.

(1) Pimpinan seharusnya meletakkan seseorang sesuai dengan potensi masing-masing. Terdapat beberapa individu berbakat tetapi ‘mati’ apabila berada dalam posisi yang tidak sesuai dengan kemampuan mereka. Dalam masa yang sama, pimpinan semestinya melihat kesediaan seseorang untuk menerima tanggungan. Disebabkan itulah pimpinan sepatutnya menyediakan satu sistem untuk melatih pimpinan masa depan agar mereka bersedia di samping sentiasa mencanaikan kepada ahli agar bersedia untuk memegang tampuk kepimpinan pada bila-bila masa.
(2) Dalam kes Maslida, pimpinan sepatutnya meletakkan had memegang jawatn kepada ahli. Masa yang terluang perlu ada, gunanya untuk mempertingkatkan kualiti keilmuan dalam diri. Memegang jawatan yang banyak akan menyesakkan jadual kehidupan. Kesannya, masa untuk menambahkan ilmu akan berkurangan dan ini akan merugikan mereka pada masa akan datang. Malah, seseorang yang biasa memegang jawatan kadang-kadang perlu direhatkan buat sementara agar ia tidak terlalu leka dengan jawatan. Sahabat nabi yang acap berperang pun ada masa direhatkan untuk melembutkan hati yang biasa dengan pertumpahan darah. Tidak perlu masa yang lama. Sebulan, mungkin. Dua minggu juga, mungkin. Agar ada masa bersama ilmu, juga ibadah yang terfokus.
(3) Apabila menoleh kepada kes terakhir, pimpinan mesti menyediakan kaedah pengajian yang berkesan kepada ahli. Motivasi dan kaunseling juga penting. Presiden bertindak sebagai seorang motivator yang pandai mengatur nasihat dan juga kaunselor yang setia mendengar permasalahan ahli. Kaedah pengajian sambil melaksanakan dakwah dan tarbiah perlu dikonseptual. Usrah dengan cara belajar berkumpulan, tarbiah sambil belajar, lawatan sambil belajar, ceramah sambil belajar, dalam tamrin ada belajar, dalam program ada belajar, maka kita dapat melaksanakan dua tugas dalam satu masa.

Saya sediakan contoh usrah sambil belajar secara ringkas:

- 2 minit yang pertama: Tazkirah ringkas.
- Kemudian belajar.
- Dalam belajar, selitkan perbincangan usrah. Sebagai conroh, kita ingin membincangkan soal akidah. Kita menyampuk semasa belajar, “Payah betul soalan ni, kalau bukan dengan bantuan dari Allah, kita tidak mungkin mampu mnjawabnya. Sebab tu kita kena rapat dan membulatkan keyakinan kita kepada Allah supaya Allah membantu kita”, atau mungkin kita menyebut, “Soalan ini lebih payah berbanding soalan di Padang Mahsyar, tetapi soalan ni mampu kita jawab tetapi di Padang Mahsyar, kita tidak akan dapat menjawabnya kerana mulut kita terkunci. Yang bercakap adalah tangan kaki kita, juga kulit kita. Astaghfirullah, banyak dosa kita ni”.
- Sudahi dengan membuat kesimpulan ringkas tentang akidah dalam 5-10 minit. Ia sedikit, tetapi kesannya sangat terasa.

Maka, jangan payahkan yang mudah. Mudahkan pula yang payah.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE