“Kenapa umat Islam di Gaza mesti dibunuh, abi?” tanya anakku sambil memelukku. Berita yang memaparkan pengeboman di Gaza benar-benar menghiris dan mengusik hati anakku. Air mata mengalir deras keluar dari kolam matanya, menitis membasahi tanganku yang kekar memeluknya. Aku menghembus nafas ke ubun-ubunnya agar dengan itu ia mendapat sedikit kekuatan. Sayu dan haru, tapi perjuangan memerlukan hati yang kental.
“Abi, along bencikan Zionis, mengapa mereka mesti membunuh orang Islam. apa dosa kita abi? Apa dosa kita?” anakku masih lagi sukar melupakan paparan tadi. Ya, ia sangat menghiris jiwa. Aku yang melihatnya turut mengalirkan air mata. Hati sebak, sebak sekali. Isteriku menoleh ke arah kami. Aku tahu, ia turut sendu. Sudah seminggu tidur kami tidak lena. Asyik-asyik, isteriku mengigau tentang Gaza. Katanya, ia melihat dalam mimpi kanak-kanak menderita , menjadi yatim tidak berbapa. Isteriku memang begitu, sensitif orangnya walau lahirnya nampak keras.
Saban malam juga kami berbincang dan bermuhasabah. Isteriku sebagaimana biasa, mencatit apa yang kami bincangkan. Katanya, ada juga bukti untuk ditunjukkan di hadapan Allah kelak. Kami menggariskan beberapa kelemahan umat Islam, semestinya itu juga kelemahan kami. Kemudian, kami berdiskusi bagaimana ingin melahirkan generasi yang cintakan jihad dan syahid. Semestinya, kami menjadikan Fasihah dan Faqih, dua cahaya mata kami sepanjang perkongsian kami tiga tahun sebagai generasi mujahid masa depan.
“Fasihah, mereka bencikan Islam kerana Islam menyeru ke arah kebaikan sedangkan hati mereka penuh dengan kebusukan,” terangku, ringkas sahaja. Mungkin isteriku akan marah, kerana bahasaku tidak selaras dengan kanak-kanak kecil. Mereka mungkin juga sukar mengerti apa yang kulafazkan. Isteriku, malah sahabat handaiku beberapa kali menegurku kerana laras bahasaku berbunga-bunga kata mereka, kompleks dan berantai-rantai. Fasihah menggigit jarinya, masih cuba menahan sendu. Faqih yang masih 10 bulan, menangis-nangis di buaian. Mungkin mahukan susu, atau mungkin ia juga bersedih menangisi penderitaan kawan-kawannya di Gaza.
Semasa aku menyampaikan kuliah satu malam, seseorang yang berwajah cerah memberikan pandangan. Cukup mulus. “Ustaz, saya melihat kelemahan ketara umat Islam ialah meninggalkan kebersihan hati sebaliknya hanya menjaga kebersihan luaran. Hati mereka kotor dengan dosa-dosa yang mereka kerjakan dan mereka menganggap dosa-dosa tersebut sebagai perkara biasa yang terlazim”. Aku mengangguk-angguk tanda bersetuju. Ya, ia salah satu sebabnya.
“Sebab itulah abang tidak mahu semalam pun terlepas tanpa kita menunaikan qiamullail. Abang rindu sekali meratah buah tahajud bersama awak, kemudian kita berzikir dan berwirid, berdoa dan bermunajat, mengangis bersama-sama. Sejak hari pertama kita diijabkabul, sehingga membawa ke tiga tahun, alhamdulillah tidak sampai tiga hari kita terlepas tahajjud. Dan tiga malam itu, merupakan igauan ngeri buat abang,” ujarku kepada isteriku.
“Saya juga begitu bang. Saya berterima kasih kerana abang mendidik saya mencintai Tuhan, lebih daripada diri abang sendiri. Dulu, saya rindukan kepulangan abang setelah berhari-hari mengadakan tamrin dan ta’dib, tetapi sekarang saya rindukan abang semata-mata ingin berimamkan abang dalam tahajjud kita. Doa yang abang bacakan, meruntunkan jiwa saya, dan, ia sangat menginsafkan. Benar kata abang, suami bukan tujuan tetapi hanya tiket ke syurga. Sebab itu saya relakan abang pergi berjuang, biar saya mendidik anak-anak kita. agar kelak, mereka menuruti jejak langkah ayah mereka yang tekal,” isteriku berbahasa. Aku bahagia sekali, lalu kucium ubun-ubunnya, mendoakan agar ia jadi isteri termulia.
Cita-cita kami, sewaktu kami awal-awal berkenalan yang membawa kepada ikatan yang sah ini, kami ingin menjadikan rumah kami sebagai tempat yang mendapat rahmat, munawwarah. Sebagaimana Madinah yang bercahaya. Akan kami bina perpustakaan mini, menghidupkan malam dengan air mata dan rintih sayu kami. Menghidupkan hati kami dengan zikir dan istighfar. Mengabsahkan budaya keilmuan. Biar sahaja rumah kami ini sebagai tempat penginapan cuma, dalam perjalanan ke akhirat. Selalu juga aku berpesan kepadanya, kita adalah musafir, dunia pula ibarat sebuah rumah. Kita masuk pintu depan, keluar pintu belakang, itulah dunia. Kemudian, kita akan menuju akhirat yang kekal abadi.
“Fasihah, along menangis?” tanyaku. Anakku yang comel itu lantas menyeka air matanya. Ia cuba menahan sebak. Umurnya tiga tahun, tapi jiwanya besar. Berkali-kali ia menyebut kepadaku, “Abi, Ummi, saya nak berbakti kepada agama Allah bila besar nanti. Harap abi dan ummi jangan menghalang saya. Saya ingin jadi seperti Maryam yang mempesrahkan diri kepada kekasihnya,”.
Anakku, sejak dikau belum lahir lagi, abi dan ummi sentiasa impikan Maryam yang soleh. Setiap kali sebelum tidur, aku akan bercerita kepada isteriku. Kami jarang bersama, kerana aku sentiasa di luar memenuhi ruang program yang sarat dan padat. Jadi, masa yang ada kami peruntukkan sebaiknya. Aku menceritakan kepahlawan Asim bin Amru, Nukman bin Muqrini yang dikasihi Umar al-Khattab, al-‘Ala’ bin al-Khadrami yang berjalan di atas air, Musa bin Nusair yang merendah diri, panglima Zul Kila’, Hassan al-Basri yang sentiasa takutkan Allah, al-Misri yang karam dalam cinta. Kisah anbiya’ semestinya. Kami hadamkan dalam hanya sebulan pertama kami bersama. Kamudian anakku, umi-mu selalu menyebut kepada abi, “Abang, saya rela jika anak-anak meninggalkan kita kerana cintakan ilmu seperti al-Jailani. Saya juga ingin jadi seperti Asma’ yang redha dengan anaknya Ibn Zubair untuk berjuang. Kerana, anak-anak hanya barang pinjaman Allah, sedangkan kita hamba yang tertakluk dengan kuasa-Nya”.
“Abi, along menangis bukan kerana along lemah, tetapi ini tanda kasihnya along kepada kakak-kakak dan abang-abang along kat Gaza abi,” aku tersentak. Alhamdulillah, benar-benar Engkau mengurniakan aku zuriat yang menjadi penyejuk mata aduhai Tuhan.
Bagaimana ingin mendapat anak yang akan berbakti kepada agama? Kami bincangkan beberapa kali. Isteriku mencadangkan agar kami menghidupkan suasana al-Quran di rumah. Lalu, hampir setiap masa aluan al-Quran didendangkan melalui corong radio dan lap top. Hampir setiap masa, walau ada ketika perlahan, ada ketika kuat. Setiap pagi, jika aku tidur di rumah, sebelum Subuh kami akan membaca al-Quran bersama-sama. Bagi kami, konsep dakwah nabi adalah, membacakan al-Quran kepada umatnya, menyucikan hati umat dengan al-Quran, mengajarkan inti pati al-Quran dan hikmah dan mengajarkan apa yang umatnya tidak ketahuan.
Biah Quraniah. Ada masa kosong, bukan hanya untuk bermesra sesama suami isteri. Bergurau hanya manusiawi, tidak boleh terlalu berlebih-lebih, sebaliknya yang terpenting adalah kami membina hubungan Rabbani dengan pencipta. Aku katakan kepada isteriku, “Jika kita ingin bergurau dan bermesra banyak, pastikan kita banyak bermesra dengan Allah di dunia. Di akhirat kelak, kita boleh bermesra semahu mungkin insya-Allah”.
Sekarang kami mesti ubah Biah Quraniah kami. Ubah sedikit rentaknya. Cerita tentang Gaza, mesti dimuatkan di rumah kami. Aku meminta isteriku yang mahir dalam bidang komputer agar mencari gambar-gambar tragis tentang Gaza dan Palesti untuk ditampal di rumah kami. Poster-poster yang memaparkan semangat jihad dan sokongan juga dibuat. Qunut Nazilah dibaca setiap rakaat akhir dalam solat setiap waktu. Lagu-lagu tentang jihad dan Palestin dikumandangkan di rumah, hampir setiap pagi. Aku pula, merata berceramah menerangkan isu Gaza di samping membuat kutipan derma. Isteriku sendiri mengeluarkan RM 1000 untuk derma Palestin. Aku terharu sangat, di saat kami kesempitan wang, isteriku tetap memahami. Apa guna jika kita lenang sedankan ibu-ibu kita di Palestin kebuluran.
Aku malu, jika anakku sekecil Fasihah ada jiwa, maka aku juga mesti mempunyai jiwa yang hidup.
Inilah Teknik Seni Bela Diri di Avatar, The Last Airbender
Sehari yang lalu
1 Cadangan/Pandangan:
susahkah untuk kita meluangkan walau 5 minit menadah tangan mendoakan saudara islam kita di palestin
janganlah setakat merasa sedih
tapi tidak langsung berdoa untuk saudara2kita di sana
ada je ornag macam tu
sedih bukan main
tapi sejauh mana diri boleh merasai darah yang mengalir dalam diri kita sama dengan darah yang mengalir dalam tubuh saudra saudara kita
adakah kita dapat rasa betul2 nilai persaudaraan antra kita dengan mereka?
tepuk dada tanya iman,periksa hati
berdoalah dari lubuk hati kita
semoga dngan keikhlasan doa kita
Allah mendengar dan membantu saudara2 kita di sana
Amin
Catat Ulasan