Rabu, 25 Julai 2007

Modal Insan Dan Budaya Keilmuan

1 Cadangan/Pandangan
oleh:Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor

Istilah modal insan pada mulanya dipercayai pertama kali dibincangkan oleh Arthur Cecil Pigou (1877-1959) dalam karyanya, A Study in Public Finance pada tahun 1928. Kemudiannya diikuti tokoh-tokoh seperti Jacob Mincer dalam artikelnya Investment in Human Capital and Personal Income Distribution pada tahun 1958 dan Gary Becker dalam Human Capital pada tahun 1964. Pada aspek yang tertentu, idea mereka menyamai idea Karl Marx (1818-1883) iaitu konsep labor power.

Bagi definisi Barat, pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Menurut perspektif mereka, mereka begitu memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat.

Sebaliknya, pada perspektif Islam, modal insan dilihat tidak sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional bahkan melibatkan pembangunan spiritual. Islam melihat modal insan sebagai suatu konsep yang amat luas dan lebih terperinci tanpa terdapat lompang-lompang yang tidak dihuraikan. Definisi yang komprehensif ini dapat menjelaskan betapa pentingnya sumber ini kepada sesebuah negara khususnya umat Islam.
Persoalan modal insan dalam konteks pembudayaan ilmu dapat dikesan dalam Falsafah Pendidikan di Malaysia iaitu suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.
Modal insan ataupun sumber manusia (human resource) yang menjadi pemacu kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah tamadun yang wujud di dunia perlu dititikberatkan dalam kaca mata pembudayaan ilmu. Perkara ini begitu penting terutamanya apabila disentuh siapakah pewaris khazanah dan amanah negara? Sudah pasti akan terbayang di mata bahawa pewaris terbaik yang paling hampir untuk menerajui negara ialah golongan mahasiswa di seluruh negara. Golongan ini perlu diasuh dan diberi latihan mencukupi bagi memantapkan elemen-elemen sumber manusia.

Sekiranya pembentukan ini terbantut, sudah pasti harapan menggunung terhadap mereka akan turut hancur. Mereka perlu diberi kefahaman yang jelas berkaitan ilmu dan maklumat. Manusia yang berkualiti ialah mereka yang memiliki ilmu dan nilai ilmu yang berkualiti. Ilmu dapat memandu mereka berfikir dan bertindak. Tiada ilmu, maka tiadalah ketamadunan yang didambakan selama ini. Mereka sudah pasti tidak akan dapat mengubah kualiti hidup mereka kepada yang lebih baik.

Menurut Ibnu Khaldun dalam Mukadimahnya iaitu, ‘’kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah serta makna kepada manusia dan bangsa tersebut’’. Ilmu tunjang kepada kekuatan dan kemajuan kemanusiaan. Ia telah pun dititikberatkan sejak zaman Greek lagi di tangan tokoh-tokoh penentang golongan Sophis iaitu golongan yang menggelar diri mereka sebagai golongan yang bijak tapi sebenarnya mereka tidak layak kerana ilmu mereka lebih bermatlamatkan ganjaran.

Walaupun begitu, selaku umat Islam kita percaya bahawa sebelum kewujudan golongan Sophis dan ahli falsafah Greek, telah muncul agama Hanif iaitu agama Tauhid atau agama Islam yang berasaskan pancaran ilmu wahyu yang lebih berautoriti di samping ilmu akal. Antara zaman yang paling dekat dengan zaman Greek menurut kajian ialah zaman Nabi Sulaiman, putera Nabi Daud yang perkasa dan dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai kebolehan termasuk keagungan kerajaannya yang sudah pasti berasaskan kepada ilmu berkualiti bersalut pancaran tauhid ketuhanan kepada Allah.

Dalam konteks mahasiswa, mahasiswa merupakan antara entiti terpenting dalam sesebuah negara yang memerlukan pengganti berkualiti. Begitu juga apabila disentuh berkaitan universiti, mahasiswa dan universiti sepersis irama dan lagu yang tidak akan dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling memerlukan dan mempunyai perhubungan yang begitu rapat. Universiti merupakan institusi pendidikan yang kaya dengan khazanah keilmuan dan sarat dengan pembudayaan ilmu seperti membaca, menulis, berfikir, menyelidik, berhujah dan seumpamanya. Di sini berkumpulnya ribuan sarjana, ilmuwan dalam kepelbagaian bidang yang diceburi.

Hubungan unik antara universiti dan mahasiswa akan kelihatan luar biasa dan ganjil sekiranya elemen pembudayaan ilmu tiada dan semakin hari kian merudum. Keganjilan ini dirasai lantaran merasai bahawa terdapat perbezaan ketara antara institusi ini dengan institusi pada peringkat bawah jika kedua-duanya sama sahaja mutunya. Sesungguhnya universiti adalah tempat pembudayaan ilmu secara formal yang paling ideal. Tiga fungsi utamanya ialah pemindahan ilmu, penyumbang ilmu dan penggunaan ilmu. Tiga fungsi inilah dianggap sebagai teras kepada falsafah dan matlamat penubuhan universiti.

Namun tiga fungsi ini tidak akan bermakna apabila mahasiswa sendiri tidak menepati ciri-ciri yang sepatutnya. Terdapat persoalan yang memungkinkan kita memahami permasalahan ini. Adakah mahasiswa yang lulus cemerlang PNGK tetapi tidak dalam akhlaknya, layak universiti banggakan? Atau adakah mahasiswa yang berpeluang menjawat jawatan besar dalam sesebuah syarikat terkenal namun besar juga penyelewengannya layak dibanggakan? Atau patutkah universiti berasa bangga dengan mahasiswa yang lebih mengenali para artis berbanding para pensyarahnya? Atau mahasiswa yang rajin membaca komik, majalah hiburan, majalah picisan, dan seumpamanya berbanding jurnal, buku ilmiah, majalah Dewan Masyarakat, Majalah I dan sebagainya yang patut dibanggakan?

Sekurang-kurangnya persoalan tersebut dapat memberi gambaran umum berkaitan perbezaan budaya Ilmu di kalangan mahasiswa. Apatah lagi jika kita ingin mencari mereka yang cenderung kepada budaya berhujah, budaya menyelidik, budaya berfikir, budaya bertanya, budaya menulis dan seumpamanya. Siapakah sebenarnya mahasiswa yang benar-benar menepati gagasan modal insan yang disebut selama ini. Patutkah mahasiswa yang tidak memenuhi ciri-ciri budaya keilmuan layak diklasifikasikan sebagai golongan intelektual yang menepati tuntutan modal insan atau sumber manusia ini?

Pemerkasaan budaya berilmu patut diteruskan tanpa mengenal rasa penat membanting tulang. Bayangkan terdapat ulama yang meninggal sewaktu bukunya masih di sisinya. Terdapat juga yang sudah nazak namun masih lagi menyuruh pembantu atau rakannya mengambil alat tulis kerana ingin menulis idea yang muncul ketika itu. Komitmen mereka terhadap ilmu dan keilmuan amat mengagumkan. Mahasiswa khususnya muslim, sepatutnya komited dengan proses pembelajaran mereka. Amat memalukan jika golongan bukan Islam sentiasa berkepit dengan jurnal serta buku sedangkan mahasiswa dan remaja Islam sering berkepit dengan teman lelaki atau wanita tanpa segan silu.

Siapalah kita tanpa ilmu. Ilmu ibarat cahaya yang menerangi kegelapan malam. Kegelapan atau kemalapan lambang kejahilan yang menjadi musuh masyarakat, negara dan agama. Harapan menggembleng sepenuhnya modal insan atau sumber manusia tentu tidak kesampaian jika elemen keilmuan diabaikan dan tidak menjadi sebagai faktor utama dalam membina tamadun kemanusiaan yang berasaskan nilai-nilai murni. Tanpa ilmu, menurut Imam Ghazali, manusia dalam keadaan tanpa pakaian. Manusia sebegini sepatutnya harus malu dengan sikap sendiri. Sikap tidak mementingkan modal insan, bahkan yang lebih teruk, bersikap endah tidak endah dengan budaya keilmuan. Read More......

Selamat Hari Ibu

0 Cadangan/Pandangan
Keberadaan ibu dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat tidak dapat dinafikan lagi keistimewaan mereka. Ibu dianggap salah satu daripada unit masyarakat yang begitu bernilai. Darjat, pangkat, kedudukan dan penilaian yang eksklusif telah tersedia untuk mereka. Segala penetapan ini sudah pasti antara lain merujuk kepada pengorbanan mereka dalam hidup.

Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat ke 15 yang bermaksud: Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula).

Al-Tha'alabi dalam tafsirnya, al-Jawahir al-Hisan Fi Tafsir al-Quran menjelaskan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah wajib dan berdosa besar sekiranya menderhakai mereka. Mereka bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita sebagai anak mereka. Segala pengorbanan mereka memang tiada tandingan lagi.

Firman Allah dalam surah al-Isra', ayat ke 23, bermaksud: maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor dalam bukunya yang bertajuk Imam Malik: Sejarah Dan Pemikiran, menyentuh pendapat Imam Malik bin Anas yang menggunakan kaedah mafhum al-muwafaqah dalam memahami kata 'ah' di atas dengan memberi erti segala perkataan dan perbuatan yang dapat menyakiti hati, perasaan dan fizikal ibu bapa, bahkan termasuk yang lebih teruk daripada itu lagi.

Kita bertanggungjawab berbakti kepada mereka. Tanggungjawab berbuat baik kepada mereka boleh dikatakan lebih penting daripada berjihad pada satu-satu ketika.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dr. Mohd Muhiden bin Abd. Rahman, salah seorang pakar hadis Universiti Malaya menerangkan bahawa taat dan berbuat baik kepada ibu bapa juga dianggap berjihad di jalan Allah. Beliau juga menambah perang jihad yang tidak diisytiharkan oleh kerajaan kepada seluruh rakyat, maka anak-anak perlu memohon kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa mereka.
Dalam hadis yang sama, riwayat Ahmad dan Abu Daud, ditambah: Pulanglah meminta izin daripada mereka, jika diizinkan maka boleh, jika tidak maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.
Penjelasan ini sahaja telah jelas bahawa kedudukan mereka khususnya ibu amat tinggi dan menjadi kewajipan kepada kita untuk berbakti kepada mereka. Cuba bayangkan kepentingan mereka hampir sama taraf dengan berperang dan berkoban nyawa di medan pertempuran dalam menegakkan kalimah kebenaran.
Sebagai tambahan, bagi membezakan kedudukan ibu dan bapa, hadis riwayat Bukhari menjelaskan: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah yang lebih berhak untuk dibuat baik? Jawab Nabi SAW: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Jawab: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Sabda: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Sabda: Kemudiannya bapamu.
Darjat ibu memang istimewa sehinggakan dikatakan bahawa syurga terletak di bawah terlapak kaki ibu. Jika mereka tidak meredai kita, maka jangan harap Allah akan meredai kita tatkala kita menyakiti hati mereka. Sabda SAW bermaksud: Reda Allah terletak pada reda ibu bapa, kemarahan Allah juga terletak pada kemarahan ibu bapa. (Riwayat Tirmidzi, dan disohihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.)
Tanggal 13 Mei, dianggap Hari Ibu. Namun, tidak patut jika hanya menjadikan hari ini sahaja sebagai hari mengingati pengorbanan ibu. Tidak wajar menjadikan tarikh ini sahaja barulah kita mendapat reda mereka. Adakah hari itu sahaja kita diredai Allah sedangkan hari lain kita akan dimurkai Allah apabila dikaitkan dengan hadis di atas?
Kempen untuk memberi kesedaran agar menyayangi, mengasihi, menghormati dan berbakti kepada mereka memang dialu-alukan. Ibu memang tiada sesiapa pun yang layak mengganti mereka. Mereka begitu istimewa. Malangnya ramai anak yang menderhaka. Semoga mereka mendapat anak yang soleh yang akan mendokan mereka kelak. Siapa lagi jika bukan kita orangnya. Marilah sama-sama menjadi anak yang berguna kepada mereka. Read More......

PMIUM bantah UM berpindah tapak

0 Cadangan/Pandangan
Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM) dengan tegas membantah sebarang cadangan untuk memindahkan Universiti Malaya (UM) ke mana-mana lokasi baru seperti kawasan Sepang yang diuar-uarkan sebelum ini.

Kami mewakili semua mahasiswa UM menyokong penuh keputusan Lembaga Pengarah UM untuk mengekalkan lokasi kampus di Kuala Lumpur dan membantah sebarang cadangan mengenai usaha memindahkannya ke mana-mana tempat. Kami juga meminta Suruhanjaya Sekuriti menjelaskan kepada warga kampus berhubung hasrat syarikat hartanah, Guocoland (M) Berhad untuk memajukan tapak universiti itu.

Kami bersetuju dengan tindakan Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan kakitangan UM dalam mendesak pihak berwajib untuk menolak segala perancangan tersebut.

Bahkan kami merayu agar pihak yang bertanggungjawab mengambil kira pandangan tokoh-tokoh sarjana negara seperti Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Aziz, Dr Rozaidah Talib dan Profesor Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang tegas mempertahankan lokasi UM selama ini.

Usia emas UM KL yang hampir sama umurnya dengan kemerdekaan negara memberi nilai sejarah dan tradisi kesarjanaan yang begitu berharga kepada negara. UM yang melahirkan pelbagai tokoh yang sebahagiannya pernah berada di dalam rahim PMIUM seperti Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Dr. Mohamed Khir Bin Toyo, YB. Senator Dr Fuad Zarkasi, YB. Ahmad Shabery Chik dan Dato’ Dr. Siddiq Fadhil.

UM dan lokasinya mempunyai perhubungan yang begitu erat umpama ikan dan air yang dikira sukar dipisahkan. Jika dipisahkan nescaya perasaan terhadap suasana UM akan berubah dan menjadi umpama universiti lain. UM Kuala Lumpur kini tidak akan sama sekali sama dengan UM di Sepang nanti.

Lokasi kini yang terletak di tengah-tengah kesibukan bandaraya KL wajar dikekalkan bertujuan mengimbangi situasi materialistik yang begitu mendominasi di samping turut menyumbang ke arah penjanaan budaya ilmu di kalangan warga kota dari sudut semangat, emosi, sentimental dan praktikal.

Hasrat membangunkan tapak kampus itu sekarang sebagai pusat komersial dan perumahan, menerusi projek dianggarkan bernilai RM10 bilion dianggap dipengaruhi budaya materialistik yang tidak mengambil kira kepentingan sejarah dan tradisi ilmu di situ seperti yang dibimbangi oleh Profesor Datuk Dr. Khoo Kay Kim. Bahkan keindahan alam sekitar UM dikhuatiri akan turut tercemar atas alasan pembangunan semata-mata.

Berhubung dengan hasrat Guocoland (M) Berhad, dicadangkan pihak terbabit cuba mengambil langkah sebaliknya dengan berani memajukan kawasan Sepang sebagai mewujudkan bandar satelit yang akhirnya dapat menyebarluaskan kawasan maju dan lengkap infrastrukturnya secara seimbang. Kejayaan yang diperolehi sudah pasti akan dihargai. Read More......

Jerut Anak: Gambaran institusi kekeluargaan yang kian parah?

0 Cadangan/Pandangan

Kes menjerut dua orang anak sendiri amat menggemparkan. Difahamkan bahawa tindakan tersebut berlaku berikutan tidak dapat menerima hasrat si suami yang ingin berkahwin lagi. Tanpa menafikan kemungkinan terdapat kesalahan yang dilakukan suami, perilaku menjadikan anak sebagai mangsa sama sekali tidak dapat diterima. Apatah lagi hingga tahap membunuh.

Kita pernah mendengar anak sering terkena tempias kemarahan ibu bapa. Kes seperti didera, dipukul, dicucuh rokok, kesan seterika, ditendang dan sebagainya menjadi amalan negatif di kalangan ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi dan kemarahan. Pergaduhan di antara suami dan isteri, ibu dan bapa, jika tidak dikawal selia dengan baik dengan melibatkan juga orang ketiga sebagai perantara, memungkinkan terjadinya impak negatif yang lebih berlarutan.

Ibu bapa selaku ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan, keharmonian, budaya keilmuan dan kerohanian keluarga secara 'live'. Di samping peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah secara formal, tanggungjawab terhadap anak-anak lebih ditekankan atas ibu bapa di rumah. Ibu bapa yang ideal akan meningkatan peratusan anak-anak untuk menuruti jejak langkah mereka sebagai 'role model'. Jika sebaliknya, maka hasil yang dilihat sudah pasti sebaliknya.

Anak dalam institusi kekeluargaan umpama kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapa mereka masing-masing. Jika corakan itu serabut maka begitu jugalah anak-anak yang akan terhasil. Anak-anak ini jugalah yang bakal menerajui negara kelak. Bapa borek, anak rintik, begitulah pepatah melayu yang menggambarkan kebiasaan anak yang akan mengikuti perangai ketua keluarga.

Dalam hal ini, pernah dua ahli psikologi Perancis, Itard dan Sanguin meneliti anak-anak asuhan serigala. Mereka menemui dua orang bayi manusia yang dipelihara oleh sekelompok serigala yang memperlihatkan perilaku serigala juga seperti suara, bergerak secara merangkak, minum secara menjilat dan sebagainya. Tindakan tersebut tidak seperti yang dilakukan manusia secara sepatutnya. Begitulah pengaruh pengasuh dan penjaga.

Bagi mencapai tahap kesempurnaan alam rumah tangga, ibu bapa juga sewajarnya mendapatkan pakar kaunseling kekeluargaan. Situasi persekitaran yang pelbagai ragam mampu mengakibatkan ketidakseimbangan emosi, minda, rohani dan fizikal. Ketidakseimbangan ini boleh mendatangkan perilaku-perilaku yang tidak sepatutnya seperti penceraian, pergaduhan, menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak-anak dan sebagainya. Justeru, penyelesaian melalui khidmat kaunseling perlu berkala.

Namun, kesukaran mendapat khidmat ini juga kadang-kadang dapat difahami. Walaupun begitu, komitmen mencapai institusi keluarga yang bahagia tetap diteruskan. Lantaran itulah, dalam Islam, ditekankan keperibadian calon pasangan yang sesuai. Kita diseru untuk memilih pasangan yang baik keturunan, stabil pendapatan, baik rupanya dan yang paling penting hebat agamanya. Pasangan yang ideal ialah pasangan yang terbaik nilai kerohanian dan tindakannya.

Pembinaan institusi keluarga yang baik bermula dari pemilihan pasangan lagi. Kesilapan mencari pasangan yang sesuai akan menyebabkan pelbagai masalah susulan kelak. Kita dapat melihat remaja kini bersikap acuh tidak acuh terhadap kualiti pasangan mereka. Nampak sahaja yang cantik, terus pilih tanpa mengambil kira soal kualiti nilai. Lebih buruk lagi, remaja tidak segan silu bergaul bebas walaupun baru sahaja kenal. Ini jugalah antara punca berlaku kes rogol dan zina.

Setelah berkahwin, mereka masih lagi ada tanggungjawab yang perlu dilakukan sebagai syarat untuk membina keluarga bahagia. Bermula ketika hamil lagi, ibu perlu berkelakuan yang sepatutnya sehinggalah melahirkan anak. Setelah lahir, anak perlu diiqamatkan dan diazankan, mulut dibelah, rambut dicukur, diberi nama dan dikhatankan. Begitulah antara amalan yang perlu dilakukan.
Setelah itu, dalam mendidik anak-anak, ibu bapa perlu peka dengan peringkat-peringkat pendidikan yang seharusnya. Sebagai contoh, seperti yang dijelaskan dalam surah al-Hadid ayat 20, manusia akan berada dalam 5 peringkat seperti la'ibun (kanak-kanak), lahwun (peralihan kanak-kanak ke remaja), zinatun (remaja), tafakhur (dewasa) dan takathur (alam perkahwinan). Setiap peringkat ada kriteria-kriteria tersendiri yang perlu difahami untuk memberi pendidikan yang sesuai.

Mereka yang inginkan keluarga bahagia, perlulah membuat persediaan untuk membina keluarga masing-masing. Mendirikan rumah tangga bukanlah perkara main-main, tetapi memerlukan komitmen ampuh dalam menunaikan tanggungjawab kekeluargaan. Keretakan rumah tangga dan kehancuran institusi kekeluargaan adalah berpunca dari tonggak keluarga itu sendiri di samping faktor-faktor sampingan yang memerlukan jatidiri utuh suami dan isteri. Mudah-mudahan kejadian penderaan, pembunuhan anak-anak dan pergaduhan ibu bapa tidak kedengaran lagi walaupun ia kedengaran agak sukar.
Read More......

Takziah dari PMIUM

0 Cadangan/Pandangan
oleh: Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor
Saya mewakili mahasiswa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ulama Nusantara, Wan Muhammad Shaghir Abdullah atas pemergian ulama tersebut. Beliau dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak baru-baru ini kerana serangan angin ahmar.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam khususnya di rantau Nusantara. Inisiatif beliau melalui Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji) telah banyak menyumbangkan kepada pengumpulan, pemeliharaan dan mengangkat martabat khazanah Islam di Nusantara. Laman web bagi persatuan yang berkaitan boleh dilayari di http://www.pengkaji.org/.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Pulau Midai, Riau, Indonesia telah mengkaji banyak Ulama. Antaranya ialah Wan Ismail al-Jambui al-Fathani, Datuk Mufti dan Hakim Besar Johor, iaitu Datuk Paduka Mahkota Johor Abdullah bin Musa, Syeikh Wan Ali Kutan (Guru para ulama Melayu) dan Syeikh Abdul Lathif Tambi (Ulama gigih dan Dermawan).

Beliau begitu komited dengan kajian terhadap khazanah Ulama Melayu tersebut dan telah banyak menyumbang melalui pembentangan kertas kerja dan penulisan di akhbar Utusan pada setiap Isnin dan Berita Harian pada setiap Selasa. Hasil kerjanya, antara lainnya lebih 100 sudah pun diterbitkan di dada akhbar memang patut menjadi bahan rujukan para pelajar universiti, penggiat sejarah dan profesional dari dalam dan luar negara.

Karya klasik dilihat amat penting. Menurut pensyarah Akademi Pengajian Islam, UM, Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, teks tulisan ulama begitu berharga kerana ketika membacanya, pembaca seolah-olah sedang berinteraksi dengan penulis teks tersebut. Saya juga beranggapan bahawa pembaca seolah-olah dapat pergi ke zaman penulis karya tersebut dan dapat memahami kondisi Ulama tersebut.
Semangat beliau perlu menjadi role model kepada generasi baru dalam melakukan kajian ilmiah berkaitan karya-karya klasik. Beliau yang seawal usia 12 tahun lagi telah mula mengembara ke Kepulauan Riau dan Sumatera untuk membuat penyelidikan dan mengikuti pengajian di beberapa pondok di sana sepatutnya menyentuh hati kecil rakyat Malaysia, khususnya mahasiswa dalam meneroka ilmu secara berterusan dan bermotivasi tinggi.
Beliau dengan gigih menjejaki beberapa negara asal ulama tertentu seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan beberapa wilayah di Pattani dan Kalimantan Barat sebagai inisiatif untuk meneroka dan mencari bahan-bahan ulama Nusantara. Kegigihan beliau ini memberi gambaran betapa pentingnya usaha tanpa putus asa dalam mencari ilmu. Penuntut ilmu digalakkan senantiasa mengembara umpama tradisi Ulama zaman kegemilangan Islam terdahulu. Dalam konteks pelajar, khususnya mahasiswa, mahasiswa tidak seharusnya menganggap ilmu hanya diperolehi melalui kelas semata-mata. Mahasiswa perlu mencari alternatif tambahan untuk menambah ilmu di dada.
Mahasiswa digalakkan menghadiri forum, seminar, kuliah dan ceramah sama ada di dalam kampus mahupun di luar seperti dewan orang ramai dan masjid. Dengan cara ini, tradisi Ulama terdahulu tidak terputus dan ia akan berterusan dalam konteks keilmuan. Mudah-mudahan, akan muncul pengganti Allahyarham Wan Muhammad Shaghir Abdullah dalam meneruskan usaha beliau yang terhenti sekarang ini. Read More......

Sokong basmi keganasan

0 Cadangan/Pandangan
Oleh: Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor,
Saya salah seorang daripada ribuan mahasiswa Islam menyeru rakyat Malaysia khususnya mahasiswa Islam agar senantiasa bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menentang segala keganasan yang dilakukan oleh mana-mana pihak terutamanya Israel. Baru-baru ini Malaysia telah meminta Majlis Keselamatan PBB campur tangan untuk memastikan Israel menghentikan kerja-kerja penggalian di timur Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Hasrat murni ini adalah hasil dari keprihatinan umat Islam di Malaysia khususnya terhadap situasi sukar yang dihadapi oleh masyarakat di Palestin. Beliau yang juga pengerusi OIC sehingga kini telah memberitahu anggota tetap Majlis Keselamatan serta Setiausaha Agung PBB, Pan Ki Moon bahawa tindakan menghentikan kerja-kerja pembinaan sekitar masjid Al-Aqsa adalah 'perlu'. Beliau juga memberitahu penggalian oleh Israel sebagai 'tidak bertanggungjawab', serta berharap Majlis Keselamatan memandang berat isu ini dengan mendesak pemerintah Israel menghentikan kerja-kerjanya di sana.PM Malaysia menambah bahawa dia akan menghantar surat kepada pemimpin-pemimpin Arab dan ahli anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), supaya memberi tekanan terhadap Israel untuk memberhentikan kerja-kerja penggaliannya. Dalam pada itu, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) memberi amaran ketegangan lebih serius antara Palestin dan Israel akan meletus jika rejim Zionis itu meneruskan kerja pembinaan laluan ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.Sebenarnya, Masjid Al-Aqsa telah menjadi salah satu faktor utama pertempuran antara rakyat Palestin dan regim Israel. Sekitar 80 rakyat Palestin pernah terbunuh apabila Israel membuka sebuah terowong pada 1996, manakala arus pemberontakan Palestin berterusan hingga tahun 2000 terhadap pemimpin Israel, Ariel Sharon ketika membuat lawatan di masjid tersebut. Keadaan ini menggambarkan betapa bermaknanya masjid suci tersebut kepada umat Islam di sana sehingga mereka sanggup bergadai nyawa.Berhubung dengan penggalian tersebut, Pakar arkeologi Israel, Meir Ben Doff mendakwa tugas penggalian rejim Zionis berhampiran Masjid Al-Aqsa adalah bagi pembinaan sebuah kuil Yahudi di pekarangan kompleks masjid berkenaan dan bukannya projek pembaikan jambatan lama seperti digembar-gemburkan Israel. Malah beliau mendakwa mempunyai dokumen bagi menyokong dakwaannya itu dan memberi amaran, pembinaan kuil itu boleh menyebabkan Masjid Al-Aqsa runtuh. Senario ini, amat menggemparkan dan menambahkan lagi keperitan masyarakat Islam di sana.Saya mengharapkan semua negara Islam perlu konsisten memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan kerja-kerja itu. Tekanan juga barangkali dapat diberikan melalui saluran kerjasama bersepadu pertubuhan dunia dan Parlimen seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel menghentikan keganasan mereka. Pada minggu lalu, saya rasa berbangga kerana Malaysia mempunyai peranan dalam Persidangan Antarabangsa 'Dedahkan Jenayah Peperangan-Jenayahkan Perang' yang telah berjaya menubuhkan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur anjuran Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mudah-mudahan, usaha untuk mempertahankan hak milik rakyat Palestin di tanah air mereka dapat diteruskan melalui inisiatif komprehensif seumpama itu. Di samping itu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif OIC dicadangkan agar diadakan pada 22 Februari depan di Jeddah, Arab Saudi bagi membincangkan perkara itu. Justeru, segala bentuk perbincangan sesama negara umat Islam perlu diberi fokus sewajarnya untuk menyelesaikan permasalahan penting seperti ini.Tindakan Israel memulakan projek pembinaan laluan ke Masjid Al-Aqsa pada 6 Februari lalu, menimbulkan bantahan besar-besaran penduduk Palestin dan umat Islam di seluruh dunia. Melalui perkembangan ini, kita mendapati umat Islam seluruh dunia amat prihatin dengan kondisi yang dihadapi masyarakat Palestin. Namun, bantahan yang dipamerkan itu perlu digembleng dan diadakan secara sebaik mungkin. Bantahan secara sistematik dan terancang perlu diatur dan diperbincangkan terutamanya melalui OIC, PBB dan pertubuhan seumpamanya agar Israel dapat merasai tekanan besar melalui bantahan seluruh dunia.Pada awal tahun ini juga, PM Malaysia telah bersetuju dengan inisiatif yang dirintis oleh negara Pakistan dalam merangka plan rundingan bagi menyelesaikan konflik Asia Barat. Melalui plan ini juga yang walaupun masih awal, saya melihat kemungkinan ada peluang agak luas untuk berpadu tenaga sesama negara Islam untuk menyelesaikan persoalan tersebut dan sekaligus membuka mata masyarakat dunia agar memberi perhatian serius terhadap isu ini.

Akhirnya sekali lagi, saya mewakili suara mahasiswa Islam dan masyarakat Malaysia di dalam ruangan ini ingin menyeru semua yang memiliki jiwa yang tulus dan ikhlas agar terus bersama-sama dengan hasrat pemimpin negara tercinta ini dalam membantu sesiapa sahaja khususnya rakyat Palestin untuk menghadapi segala pencerobohan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel dan sekutu-sekutunya. Read More......

'Dedahkan Jenayah Peperangan-Jenayahkan Perang

0 Cadangan/Pandangan

Oleh:Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor

Saya merujuk kepada Persidangan Antarabangsa 'Dedahkan Jenayah Peperangan-Jenayahkan Perang' pada 7 Februari baru-baru ini yang telah sebulat suara menubuhkan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur anjuran Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai satu inisiatif yang amat berjaya. Tahniah diucapkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah berjaya mempengerusikan persidangan seperti ini.

Walaupun ia masih di peringkat permulaan, namun usaha yang bermakna ini wajar diberi perhatian sewajarnya oleh pelbagai pihak. Suruhanjaya tersebut akan berfungsi selaku badan yang akan meneliti dakwaan jenayah yang dilakukan oleh tiga pemimpin utama iaitu Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, Perdana Menteri Britian, Tony Blair dan Perdana Menteri Australia, John Howard setelah menerima petisyen dari mangsa perang.

Manakala berhubung dengan pihak Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur yang kini masih lagi di peringkat penajaan, penelitian terhadap setiap dakwaan akan dibuat dan kemudian akan membuat keputusan sama ada ketiga-tiga pemimpin itu bersalah atau tidak. Walaupun tidak ada tindakan undang-undang yang akan dikenakan tetapi pandangan tribunal itu boleh mempengaruhi masyarakat dunia. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekiranya suruhanjaya mendapati terdapat kes prima facie atas dakwaan itu, pihaknya akan menyerahkan kepada pihak tribunal tersebut.
Berdasarkan dengan asas itu, diharapkan penubuhan tribunal ini adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang negara dan antarabangsa. Manakala pandangannya dihormati dan tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak lantaran terdapat autoriti yang tersendiri. Suruhanjaya diketuai Tun Dr. Mahathir bersama lima anggota lain iaitu peguam Datuk Dr. Yaacob Hussain Merican; bekas Presiden Persatuan Peguam Malaysia, Musa Ismail; Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Akram Shair Mohamed dan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya, Prof. Gurdial Singh Nijar.
Manakala tribunal pula dianggotai sembilan pakar perundangan dengan dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Abdul Kadir Sulaiman. Anggota yang lain adalah peguam Tunku Datuk Dr. Sofiah Jewa; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Saari Yusoff; Profesor Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Prof. Shad Faruqi dan peguam Mohamad Ariff Md. Yusof. Turut menganggotai tribunal itu ialah peguam Mohd. Noor Yahya; peguam Datuk Abu Mansor Ali; pakar perundangan, Prof. Francis A. Boyle dan peguam Prof. Salleh Buang.
Dalam pada itu, beberapa mangsa perang antaranya dari Iraq, Palestin, Afghanistan dan Lebanon telah menyerahkan patisyen kepada suruhanjaya untuk diteliti oleh suruhanjaya sebelum diserahkan kepada pihak tribunal. Suruhanjaya tersebut juga telah mendengar sembilan pertuduhan terhadap ketiga-tiga pemimpin tersebut berkaitan penderitaan yang ditanggung rakyat Iraq, Lebanon dan Palestin. Di samping tiga negara tersebut, suruhanjaya itu juga turut akan menerima aduan atau dakwaan dari seluruh negara berkaitan kekejaman tersebut.
Berhubung dengan hal ini, saya selaku mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya yang turut menghadiri persidangan tersebut mencadangkan agar diadakan persidangan seperti ini atau seumpamanya di IPT khususnya Universiti Malaya agar kesedaran berkaitan jenayah perang ini akan dapat disemai di dalam hati sanubari mahasiswa yang rata-ratanya akan menyambung perjuangan negara tercinta. Justeru, diharapkan terdapat pihak yang berautoriti yang akan menjemput Tun Dr. Mahatir yang mengetuai suruhanjaya tersebut dan Perdana Menteri Malaysia selaku pengerusi OIC untuk menjelaskan perihal jenayah perang tersebut di hadapan pelajar IPT khususnya UM kelak.
Harapan yang diutarakan ini adalah hasil daripada rasa teruja saya yang berpeluang menghadiri persidangan tersebut di PWTC baru-baru ini. Peluang ini sekaligus memberi idea kepada saya agar dapat diusahakan satu persidangan seumpama ini di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan dan yang sedang diusahakan ini akan memberi pulangan berharga dan bermakna kepada seluruh umat manusia yang inginkan keamanan, kesejahteraan, keadilan dan kedaulatan kebenaran di muka bumi ini.
Read More......

Isnin, 23 Julai 2007

SEDEKAH

0 Cadangan/Pandangan
Oleh: Mohd Dzul Khairi bin Mohd Noor Al-Hafiz (0129520741)
Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Syaitan sering menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan sehingga mereka berasa takut untuk bersedekah (Ayat 268: Al-Baqarah). Manusia pula, apabila diberi segunung emas, ia inginkan segunung emas lagi (Hadis). Mereka lebih melihat kepentingan dunia, tetapi tidak bersedia dengan tanaman akhirat. Terdapat manusia terlalu kedekut tanpa menyedari bahawa segala-galanya datang daripada Allah SWT (Katakan: Semuanya datang daripada Allah). Mereka dikuasai perasaan kedekut sehingga melupakan erti persaudaraan sesama manusia. Maka, kertas ini akan membincangkan kelebihan bersedekah untuk menerbitkan semangat suka bersedekah di kalangan kita.

1- Kelebihan bersedekah

1.1- Amal digandakan sehingga 700 kali ganda

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai; Seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Al-Baqarah: 261)

Ia merupakan satu bukti bahawa Allah SWT berkuasa menggandakan amal kebaikan kita kepada 700 kali ganda. Ini juga dijelaskan dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri r.a:

“Apabila seseorang masuk Islam, kemudian Islamnya menjadi baik, nescaya Allah SWT menghapus segala kejahatannya. Sesudah itu setiap kebaikan dibalas 10 hingga 700 ganda. Sedangkan kejahatan dibalas hanya setimpal dengan kejahatan itu, kecuali pula kalau Allah SWT memaafkannya”.
(Riwayat Al-Bukhari)

Firman Allah SWT dalam ayat yang lain: Siapakah orang yang mahu memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya. Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan Yang Meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nya kamu semua dikembalikan. (Al-Baqarah: 245)

“Siapakah orang yang mahu memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya. Dan selain itu ia akan memperoleh pahala yang besar”. (Al-Hadid: 11)

Manakala hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a

”Barangsiapa yang bersedekah dengan tamar hasil daripada usahanya yang bersih dan sememangnya Allah hanya menerima hasil yang baik sahaja dan sesungguhnya Allah menerima dengan tangan kanan-Nya, kemudian dipelihara-Nya untuk yang seperti kamu memelihara seekor binatang ternak, sampai membesar seperti bukit”. (Riwayat Al-Bukhari)

1.2- Bersedekah amalan mulia

Nabi s.a.w. pernah menjelaskan kemuliaan orang yang bersedekah melalui satu hadisnya yang masyhur.

“Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang meminta-minta”. (Riwayat Al-Bukhari)

Malah, dalam hadis yang lain, nabi s.a.w. menyatakan sedekah mampu memadamkan kejahatan yang dilakukan.

“Puasa itu perisai, dan sedekah memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api”

Telah disebut dalam satu kisah seseorang yang hampir dimasukkan ke dalam neraka Namun kemudiannya terselamat kerana beliau pernah bersedekah. Malah, seorang perempuan yang kudung kembali bertangan gara-gara sikapnya yang suka bersedekah. Kisah lain pula menunjukkan seorang anak terselamat daripada serangan harimau kerana ibunya merupakan seorang yang bermurah hati untuk bersedekah. Kita juga boleh merujuk sikap murah hati Ali dan isteri beliau Fátimah yang terkandung dalam surah Al-Insan.

1.3- Rezeki dimurahkan Allah SWT

Apabila kita merujuk kepada makna zakat daripada sudut bahasa sekalipun, ia membawa makna ‘Bertambah’. Orang yang pemurah biasanya dimurahkan rezeki oleh Allah SWT kerana Allah SWT redha dengan sikap pemurahnya itu. Dalam satu hadis riwayat Abu Hurayrah r.a. yang telah dimuatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab Sahihnya, nabi s.a.w. ada bersabda:

“Tidaklah berpagi-pagi seorang hamba melainkan akan turunlah dua orang malaikat yang turun dan berkata: Ya Allah, Engkau berilah kepada yang memberi dan Engkau halanglah kepada yang kedekut”.

Firman Allah SWT: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (Al-Talaq:2-3)

1.4- Sunnah nabi s.a.w. yang mulia dan perbuatan para sahabat r.anhum

Nabi s.a.w. diriwayatkan sangat pemurah seumpama angin yang berlalu. Pernah nabi s.a.w. tergesa-gesa selepas solat gara-gara tidak tenang apabila teringatkan ada harta di tempat tidur baginda s.a.w.

Manakala Uthman r.a. dan Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. pula diibaratkan khazanah Tuhan di muka bumi kerana sikap pemurah mereka.

1.5 Sedekah mampu mengubah sikap seseorang

Sedekah menjinakkan hati supaya tidak cintakan dunia yang menjadi punca kelemahan umat Islam masa sekarang. Sedekah juga membuatkan persaudaraan erat terjalin. Terdapat satu hadis riwayat Abu Hurayrah (Al-Bukhari) yang menceritakan seseorang telah bersedekah kepada pencuri, pelacur, dan orang kaya. Ringkas cerita, sedekah itu diharapkan dapat menyedarkan ketiga-tiga golongan tadi.

1.6 Nabi s.a.w. memuji orang yang suka memberi

“Dua amalan yang mulia. Memberi makan, dan memberi salam kepada sesiapa sahaja sama ada yang dikenali atau tidak”.

2- Allah SWT melalui lisan nabi-Nya mencela orang yang kedekut

“Tiga pemusnah: Syuhhun yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan perasaan bangga diri”

Syuhhun : Kedekut yang melampau; melebihi Bakhil

3- Jangan menyakiti hati orang yang meminta sedekah (Ayat 263: Al-Baqarah). Perbuatan menyakiti hati orang dan menunjuk-nunjuk boleh menghapuskan pahala bersedekah (Ayat 264: Al-Baqarah). Namun dibenarkan untuk mempamerkan sedekah dengan tujuan untuk dicontohi. Menyembunyikannya adalah lebih baik lagi bagi mengelakkan perasaan riya’ itu timbul. (Ayat 271: Al-Baqarah). Bahkan menyembunyikan sedekah adalah sikap terpuji dan pelakunya termasuk daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT kelak berdasarkan hadis.

4- Kita hendaklah menolak permintaan si peminta dengan baik (rujuk kisah nabi s.a.w. yang meminta supaya peminta meminta daripada anaknya Fatimah r.anha kerana ketika itu baginda s.a.w. sendiri tidak berduit) dan memaafkannya sekiranya mereka berlaku agak kurang sopan ketika meminta sedekah (Ayat 263: Al-Baqarah).

5- Bagi orang yang tidak berharta, mereka masih ada jalan lain untuk bersedekah. Berdasarkan hadis-hadis nabi s.a.w., dapat kita simpulkan, bahawa orang yang tidak berduit bolehlah melakukan perkara-perkara seperti berikut:

Ø (Hadis Abu Hurayrah r.a. riwayat Al-Bukhari dan Muslim) “Setiap tulang daripada manusia, ke atasnya sedekah pada setiap hari tenggelamnya matahari. Merapatkan hubungan antara dua orang yang bergaduh adalah sedekah, mengangkat orang naik kenderaannya atau mengangkat barang orang tersebut ke atas kenderaannya adalah sedekah, melafazkan kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju ke masjid adalah sedekah, membuang sebarang benda yang menyakitkan di tengah-tengah jalan adalah sedekah”.

Ø (Hadis Abu Hurayrah r.a. riwayat Al-Bazzar daripada Abu Salih) “Bagi setiap manusia ada 360 tulang (atau anggota) yang menjadi sedekah ke atasnya pada tiap-tiap hari. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Ia menyuruh kepada kebaikan dan melarang keburukan. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Ia boleh membuang tulang di jalan. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Hendaklah ia menolong orang-orang dha’if. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Hendaklah ia berhenti daripada melakukan kejahatan kepada manusia lain”.

Ø (Hadis Muslim) “Manusia telah dicipta dengan 360 sendi, pada setiap sendi ada sedekahnya”.

Ø (Hadis Muslim riwayat Abi al-Aswad al-Dailami) “Maka tiap-tiap tasbih sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil sedekah, mencegah kejahatan sedekah. Dan memadai daripada yang demikian itu dengan solat sunat Dhuha dua rakaat”.

Ø (Hadis riwayat Abu Dhar r.a) “Bahawasanya segolongan sahabat nabi s.a.w. berkata kepada nabi s.a.w.: Ya Rasulullah, orang lebih kaya berbanding kami mendapat pahala lebih daripada kami. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa sebagaimana kami puasa Namur mereka mampu bersedekah dengan harta yang merka miliki. Rasul s.a.w. berkata: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu sedekahkan? Sesungguhnya tasbih itu sedekah, takbir itu sedekah, tahmid itu sedekah, tahlil itu sedekah, amar ma’ruf sedekah, nahi mungkar sedekah, danpa ada kemaluan kamu pun ada sedekah. Berkata sahabat: Ya Rasulullah, apakah salah seorang daripada kami yang menggunakan syahwatnya dan baginya pahala? Rasul s.a.w. bersabda: Apakah pendapat kamu kalau ia digunakan pada benda haram, apakah dosa baginya? Maka demikian juga kalau ia digunakan untuk yang halal. Maka baginya sedekah”.

Ø (Hadis Abu Musa al-Asy’arie r.a riwayat al-Bukhari dan Muslim) “Maka jika beliau tidak melakukannya, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan maka itu adalah sedekah”

6- Memberi sedekah perlu melihat kepada keutamaan dan kepentingan

Ø Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih baik, malah isteri dibenarkan bersedekah kepada suami. Meninggalkan anak-anak dalam keadaan berduit lebih baik daripada membiarkan mereka meminta-minta dengan orang lain. (Rujuk kes Sa’ad bin Abi Waqqas yang meminta pandangan nabi s.a.w. ketika ingin memberikan wasiat)

Ø Bersedekah kepada program membina Insan lebih baik daripada bersedekah kepada masjid-masjid apatah lagi jika masjid itu adalah masjid besar. Namun ia perlu melihat juga ke arah manakah duit yang pihak masjid laburkan kerana kemungkinan pihak masjid menggunakannya untuk menampung program-program ilmu. Ini berdasarkan kata-kata Al-Qaradhawi (mafhumnya): Membina manusia lebih baik daripada membina batu-bata.

Ø Memberi sedekah untuk penuntut ilmu lebih mulia berbanding memberi makan di waktu Ramadhan kerana mengisi dada supaya sarat dengan ilmu lebih baik daripada mengisi perut dengan makanan.

Justeru, dapatlah kita simpulkan bahawasanya sedekah itu terbahagi kepada dua: Lahir dan Batin. Setiap orang berkuasa untuk bersedekah mengikut kondisi masing-masing. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah SWT.

*Kuliah Maghrib di Surau ’Ubuduiyah di sri Gombak pada 21 Mei 2007 bersamaan hari Isnin Read More......

JANGAN MARAH

0 Cadangan/Pandangan
Oleh: Mohd Dzul Khairi bin Mohd Noor al-Hafiz (0129520741)
Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Sifat marah merupakan sifat fitrah yang dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya. Ia ibarat dadah; jika diguna dengan baik mendapat pahala, jika disalah guna akan mendapat dosa. Ia juga merupakan kunci segala kejahatan sebagaimana dinyatakan oleh Jaafar bin Muhammad. Sebab itu nabi SAW menganjurkan kasih kerana Allah SWT, begitu juga marah kerana-Nya. Ali r.a sebagai contoh terbaik apabila beliau tidak jadi membunuh lawannya kerana terkena ludahan lawannya.

Marah adalah daripada syaitan sebagaimana disebut oleh nabi SAW: “Sesungguhnya kemarahan itu berasal daripada syaitan dan syaitan daripada api, dan api dapat dipadamkan dengan air. Apabila kamu sedang marah, hendaklah kamu berwudhu”.

Perlu difahami marah daripada syaitan adalah marah yang tidak bertempat, sedangkan (telah disebut di atas) ada juga marah kerana Allah SWT dan mendapat pujian daripada Allah SWT. Kertas ini akan membicarakan perihal tentang marah dan cara-cara untuk mengatasinya.

HADIS TUMPUAN

Telah datang seorang pemuda menemui Rasul SAW, dan berkata kepada nabi SAW: Berilah pesan kepadaku. Berkata nabi SAW: Janganlah kamu marah. Lalu diulanginya beberapa kali: Janganlah kamu marah.

Ulama berselisih pendapat siapakah orang yang datang berjumpa nabi SAW. Terdapat dua pendapat:

1- Yang mengatakan beliau adalah Abu Darda’ berdalilkan satu hadis lain yang lebih kurang dengan hadis di atas dan ia diriwayatkan oleh Abu Darda’: Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga. Berkata nabi SAW: Janganlah kamu marah, bagimu syurga”.

2- Al-Qistallani dalam “Syarh al-Bukhari” menyebut orang tersebut ialah Jariah bin Qudamah, bapa saudara kepada Ahnaf bin Qais berdasarkan satu hadis yang telah diriwayatkan oleh beliau : Aku telah mendatangi nabi SAW dan berkata kepadanya: Sebutkan kepada saya satu pesanan, dan biarlah ia ringkas sahaja, agar mudah untuk aku mengingatinya. Maka berkata nabi SAW: Janganlah kamu marah. Aku berasa kurang puas hati lalu mengulangi pertanyaan yang sama. Tetapi nabi SAW tetap berkata: Janganlah kamu marah.

PETANDA MARAH

Mukanya menjadi merah padam, matanya berkunang-kunang, telinganya marah dan mula tidak mahu mendengar nasihat atau peringatan. Air mukanya kelihatan bengis, kaki dan tangannya menjadi gementar.

Nabi SAW bersabda: Jagalah dirimu daripada marah. Sesungguhnya marah itu laksana bara api yang menyala di dalam hati anak Adam. Cubalah perhatikan (ketika seseorang sedang marah), lehernya kembang, dua biji matanya merah.

MENAHAN MARAH IALAH SEBAIK-BAIK PERANGAI

Allah SWT menyifatkan orang yang mampu menahan perasaan marah sebagai salah satu pencirian orang yang bertaqwa kepada-Nya.

“Iaitu orang yang memberikan infaq ketika lapang dan sempit, serta menahan kemarahannya dan memberi kemaafan sesama manusia. Dan Allah menyukai orang-orang yang melakukan kebaikan”.

Allah SWT juga memuji golongan ini di dalam ayat yang lain: Dan ketika marah, mereka memberikan kemaafan.

Pernah orang bertanya kepada nabi SAW tentang amal yang paling utama. Nabi SAW menjawab Husn al-Khuluq (baik perangai). Beliau bertanya lagi dan nabi SAW menjawab dengan jawapan sama. Apabila diulangi kali ketiga, nabi SAW berkata: Kenapakah kamu masih tidak faham? Baik perangai ialah kamu jangan marah jika kamu mampu.

MENAHAN MARAH MENGELAKKAN KEMURKAAN ALLAH SWT

Pernah ’Amr bin al-’As bertanya: Bagaimana agar saya tidak dimurkai oleh Allah SWT? Maka nabi SAW bersabda: Janganlah kamu marah.

MENAHAN MARAH MEMUDAHKAN PROSES DAKWAH

Ini dapat difahami melalui sifat dan dakwah nabi SAW yang bersifat penyantun dan tidak mudah melepaskan amarahnya. Kita boleh merujuk dalam beberapa kisah menarik bagnda SAW seperti kisah peminta hutang yang berkasar, wanita tua Yahudi yang sering mencerca baginda SAW, kejahatan Abu Sufyan dan pemuka-pemuka Mekah yang lain, pengkhianatan Abdullah bin ’Ubay bin Salul, dan lain-lain. Kisah dakwah nabi SAW di Thaif juga merupakan satu klimaks mempamerkan kesabaran nabi SAW yang tiada tara. Ini disebut oleh Allah SWT

“Maka dengan rahmat daripada Allah, maka kamu berlemah lembut terhadap mereka. Jika kamu bersikap keras nescaya mereka akan menjauhi kamu. Maka berilah kemaafan kepada mereka dan memohon ampunan buat mereka dan bermesyuarat dengan mereka dalam apa jua urusan. Maka apabila kamu telah berazam, hendaklah kamu bertawakl kepada Allah. Sesunguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya”.

ORANG YANG MAMPU MENAHAN MARAH MERUPAKAN ORANG TERKUAT

Orang yang mampu menahan marah dianggap sebagai orang yang kuat dan mendapat pujian khusus daripada nabi SAW. Justeru, bertepatanlah dengan apa yang disebut oleh Hassan al-Banna bahawa menahan marah merupakan antar lima ciri orang yang berani. Ini dijelaskan dalam hadis nabi SAW.

“Apakah yang kamu anggap kuat dalam berjuang? Sahabat berkata: Orang yang tidak dapat dikalahkan dalam perjuangan. Nabi SAW menerangkan: Bukan demikian sebaliknya ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah”.

“Orang yang paling kuat kalangan kamu ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. Dan orang yang paling lembut ialah orang yang memberi kemaafan sedangkan beliau mampu untuk membalasnya”.

GANJARAN BIDADARI

“Barangsiapa yang dapat menahan kemarahannya padahal ia dapat meluahkannya, nescaya Allah SWT memanggilnya di hadapn khayalak ramai untuk dipersialakn memilih bidadari yang dikehendakinya”.

ALLAH MELINDUNGI ORANG YANG MENAHAN MARAH

Ibn Abbas r.a. ketika mentafsirkan ayat: Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya berkata: Sabar menahan marah, memaafkan di saat diganggu. Barangsiapa yang berbuat demikian, akan dilindungi Allah dan musuhnya akan ditundukkan.

ILMU YANG BERGUNA

Nabi Isa a.s. berkata kepada sepupunya Nabi Yahya a.s.: Saya akan mengajar kamu satu ilmu yang berguna iaitu jangan marah. Nabi Yahya a.s. bertanya: Bagaimana saya tidak aakn marah? Nabi Isa a.s. berkata: Bila ada orang yang mengatakan kesalahan kamu, maka katakan itu memang dosa saya tetapi saya tidak ingat dan kerananya saya memohon ampunan daripada Allah SWT. Dan jika ada orang mengatakan suatu perkara yang tidak dilakukanmu, maka bersyukurlah kepada Allah kerana orang tersebut telah membuat kebaikan kepadamu dengan menghinamu.

NABI MUSA A.S. SEBAGAI CONTOH TERBAIK

Nabi Muhammad SAW pernah terasa marah apabila dituduh berlaku tidak adil dalam pembahagian harta ghanimah, namun kemudiannya baginda SAW bersabda:

“Semoga saudaraku Musa a.s dirahmati Allah. Sebenarnya baginda a.s lebih disakiti berbanding diriku namun baginda a.s terus bersabar”

Kesabaran Nabi Musa a.s terbukti apabila baginda a.s terus cekal berdakwah meskipun kaumnya terlalu banyak menyakiti hati baginda a.s termasuklah ketika baginda a.s mengajak kaumnya berjihad untuk memasuki kota Palestin. Mereka menempelak Nabi Musa a.s dengan menyuruh baginda a.s berjihad bersama dengan Tuhannya sedangkan mereka hanya berehat menantikan keputusan.

Malah Nabi Musa a.s diminta untuk berlembut ketika menyampaikan dakwah kepada Fir’aun yang zalim: Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Fir’aun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka serulah dia dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia akan sedar dan takut”.

Umar al-Khattab juga pernah marah apabila dituduh berlaku tidak adil dalam pembahagian ghanimah namun kemudiannya beliau ditegur oleh seorang sahabat yang membacakan kepada beliau sepotong ayat al-Quran yang berbunyi: Berilah kemaafan dan suruhlah yang ma’ruf dan menjauhi kehidupan jahiliyah.

CARA MENGATASI MARAH

1- Berwudhu’ (atau mandi)

“Sesungguhnya kemarahan itu berasal daripada syaitan dan syaitan daripada api, dan api dapat dipadamkan dengan air. Apabila kamu sedang marah, hendaklah kamu berwudhu”.

2- Ubah posisi kedudukan: Jika berdiri, hendaklah duduk. Jika duduk, hendaklah baring. (berdasarkan anjuran nabi SAW)

3- Berlindung dengan nabi SAW dengan membaca ta’awuz

4- Berzikir kepada Allah SWT: Barangsiapa yang ingat kepada-Ku ketika marah, nescaya aku ingat kepadanya ketika Aku marah, dan tidak akan aku hilangkan rahmat-Ku sebagaimana orang-orang yang Aku binasakan atau hilangkan rahmat-Nya.

5- Ingat kebaikan orang dan melupakan keburukannya. Juga ingat keburukan kita dan lupakan kebaikan yang kita lakukan.

6- Sentiasa berprasangka baik dan tidak merasakan diri kita lebih mulia berbanding orang yang kita marahi. “Janganlah kamu merendahkan satu kaum yang lain kerana boleh jadi ia lebih mulia berbanding kamu”.
Seorang raja yang pemarah, menulis sepucuk surat dan diberinya kepada menterinya. Baginda berpesan supaya menterinya memberikan surat itu kepadanya apabila beliau dalam keadaan marah.

“Letakkan belas kasihanmu kepada orang-orang yang ada di bumi,
Nescaya engkau akan dikasihi Tuhan yang ada di langit.

Awas, wahai raja yang ada di atas bumi terhadap Tuhan di langit,
Awas, wahai pemerintah yang ada di atas bumi terhadap pemerintah di langit.

Ingatlah kepada-Ku ketika engkau sedang marah,
Nescaya Aku akan ingat kepada engkau ketika Aku marah”.

KONKLUSI

Imam al-Ghazali menyatakan beberapa sikap manusia:

1- Ada yang cepat marah tetapi cepat hilang marahnya
2- Ada yang lambat marah tetapi lambat hilang
3- Ada yang lambat marah tetapi cepat hilang. (Ini yang terbaik)
4- Ada yang cepat marah dan lambat hilang. (Ini yang terburuk)

Maka, hendaklah kita selaku muslim yang hidup bersaudara untuk menjauhi sikap marah yang dikutuk dalam agama. Dalam masa yang sama, kita juga hendaklah belajar untuk marah kerana Allah SWT.

Janganlah kita marah sehingga melupakan kebaikan orang terhadap kita selama ini. Ibarat kata orang, marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Doa nabi SAW: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kalimah yang benar ketika aku sedang marah dan ketika redha.

-Kuliah di Surau Desa Taqwa, Seksyen 7 (bersebelahan UNISCEL), Shah Alam pada 12 Mei 2007 Read More......

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE