Merujuk kepada cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim supaya rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara amat dialu-alukan. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) melihat bahawa penggunaan undang-undang tersebut menggambarkan minda kelas pertama yang cuba digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia sukar berjaya lantaran minda terbelenggu oleh idea tiruan.
Malaysia yang berada diambang kemerdekaan kali ke-50 tahun sepatutnya mampu berdiri sendiri dengan keupayaan idealisme asli rakyat tempatan tanpa terlalu bergantung kepada orang luar. Apatah lagi, idea yang diguna pakai tersebut berasal dari golongan yang pernah menjajah bumi tercinta. Kita memahami bahawa tidak semua idea asing yang tidak boleh digunakan. Namun, dalam konteks Malaysia kini, penggunaan undang-undang tersebut memperlihatkan kesan penjajahan sistem yang mengatur manusia.
Common Law dibangunkan daripada penyiasatan di England pada kurun ke-12 dan ke-13. Ia merupakan undang-undang kuno yang tidak wajar diiikuti lagi dalam konteks dunia kontemporari kini. Common law kini adalah sebahagian daripada undang-undang negara-negara England dan lain-lain negara yang pernah dijajah olehnya seperti Wales, Ireland Utara, Republik Ireland, negeri-negeri Amerika Syarikat (kecuali Louisiana), Kanada (kecuali Quebec), Australia, New Zealand, Afrika Selatan, India, Sri Lanka, Malaysia, Brunei, Pakistan, Singapura, Hong Kong dan negara komanwel yang lain.
Pada hakikatnya, semua negara yang pernah pada satu ketika menerima pengaruh British mempunyai unsur-unsur common law dalam kehakiman mereka kecuali negara-negara yang pernah menerima penjajahan negara Barat lain pada sebelumnya seperti provins Quebec yang mengikuti sistem kehakiman Perancis dan Afrika Selatan yang mengikuti sistem kehakiman Dutch-Roman. Sistem common law di India digabungkan dengan pengaruh undang-undang Hindu tempatan manakala sistem common law di Malaysia juga mengira adat Melayu dan Islam.
Namun, penggunaan ini masih menandakan kesinambungan penjajahan yang tidak putus-putus terhadap Malaysia. Hakikat ini memang tidak dapat diterima sama sekali sekali gus memerlukan anjakan baru dalam sistem perundangan negara.
Malaysia yang jelas mempunyai rukun negaranya tersendiri, antaranya keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang memang perlu lepada perubahan ini. Seperti yang dicadangkan, pengamal undang-undang barangkali boleh merujuk lepada keputusan-keputusan perbicaraan mahkamah negara ini yang berdasarkan undang-undang tempatan di samping memberi prioriti kepada situasi negeri-negeri di Malaysia. Bahkan, dilihat kini adalah masa yang amat sesuai untuk diambil alternatif terbaik dengan menterjemahkan perundangan Islam dalam undang-undang negara.
Hasilnya, timbul keseimbangan dan keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang Islam. Malaysia yang masih memiliki majoriti umat Islam, adalah tidak salah untuk memberi peluang kepada undang-undang tersebut di samping undang-undang sivil kepada golongan bukan Islam. Inilah keadilan yang wajar diwujudkan. Biarlah kita berada di dalam situasi perundangan 'menang menang'. Justeru, keharmonian akan terhasil.
Sangkaan yang mengatakan perundangan seperti ini tidak adil tidak timbul lantaran masyarakat masih belum didedahkan penjelasan tentang kerahmatan dan kelebihan perundangan Islam secara serius. Golongan bukan Islam juga diseru agar tidak berasa jemu atau culas untuk memahami perundangan tersebut kerana pencarian perkara-perkara yang terbaik adalah perlu dan wajar dibudayakan.
Akhirnya, sempena kemerdekaan ke-50 tahun negara dengan tema baru 'Negaraku Gemilang', rakyat Malaysia di bawah kepemimpinan Perdana Menteri kali ini perlu bertindak serius untuk memerdekakan minda, hati dan perlakuan daripada dominasi imperialisme atau kolonialisme yang masih berbaki di negara kita.
0 Cadangan/Pandangan:
Catat Ulasan