Isnin, 27 Ogos 2007

Selamat Menyambut Hari Merdeka


Mohd Dzulkhairi B Mohd Noor
Presiden GAMIS 07/08
Saya mewakili kepimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan kepada seluruh warganegara, anak bumi Malaysia yang dikasihi sekalian. Kemerdekaan yang bakal kita sambut ini sememangnya sentiasa diharapkan dapat menjadi batu loncatan ke arah menganjakkan idealisme dan sinegri kita supaya sentiasa energetik. Malah, kita amat mengharapkan kemajuan kita sentiasa progresif dalam usaha meningkatkan pacuan langkah kita dan menambahkan tenaga enjin gerakan kita.
Saya telah menghantar surat peribadi saya kepada Perdana Menteri kita, Abdullah Badawi. Dalam surat tersebut, saya menyatakan sokongan saya terhadap segala upaya PM dalam usaha menghidupkan Islam dan menyuburkannya di bumi bertuah ini, malah dalam masa yang sama saya telah menggesa beliau untuk menghapuskan segala budaya dan gejala kuning yang sedang bertapak sekarang. Dalam warkah tersebut juga, saya menyatakan bahawa mahasiswa sedia bersama kerajaan sekiranya kerajaan bersedia untuk mengubahkan segala dasar kerajaan yang bersendikan kolonialisme dan mengekalkan dasar-dasar Islamik.
Kemerdekaan bagi saya ialah sebuah negara bebas sepenuhnya daripada segala bentuk penjajahan yang dikenakan secara paksa oleh pihak penjajah. Kita menerima dan mengakui ada benarnya pandangan kebanyakan ulama bahawa serangan dan bentuk penjajahn yang terbesar era sekarang ialah penjajahan pemikiran. Meskipun kita sekarang mungkin bebas daripada penjajahan dalam bentuk fizikal, namun kita masih lagi dijajah dengan gaya pemikiran barat, malah gaya budaya juga. Serangan westernisasi ini terlalu berat dan bersimpang-siur menyebabkan ramai kalangan anak Melayu yang tumbang tersungkur dalam penjajahan sebegini.
Kemerdekaan dalam konteks kita juga ialah apabila sesebuah kerajaan menjadikan Islamisasi sebagai agenda terpenting. Undang-undang mesti Islam. Perlembagaan mesti Islam. Institusi-institusi mesti Islam. Islam adalah agama yang luas sebagai yang disebut Sa’id Hawwa. Budaya hidup dan pemikiran juga mestilah Islam. Islam adalah agama yang merdeka. Bahkan Islam memerdekakan ala mini seluruhnya.
Islam mengajar kita supaya berlaku baik dan ihsan terhadap semua makhluk, tanpa mengira sama ada manusia ataupun tidak. Gamis berpandangan, inilah erti merdeka yang ingin kita kecapi. Bukannya merdeka yang hanya dilaungkan secara lantang dan bersemangat semata-mata, malah dengan laungan hati yang dimanifestasikan melalui perbuatan dan tingkah laku yang mulia dan berteraskan ajaran Islam.
Justeru, saya ketika berforum bersama pejuang kemerdekaan, Pak Wan Khazim dan Haji Ishak Surim menyatakan dengan tegas, mahasiswa akan berusaha sedaya upaya dan akan melakukan apa sahaja aksi dengan bertujuan memerdekakan pemikiran mahasiswa daripada kongkongan penjajah. Malah, Gamis juga bertegas untuk membebaskan seluruh rakyat Malaysia daripada bentuk penjajahan yang melampau ini.
Kerajaan mesti menjaga kebajikan rakyat. Janganlah kita hanya berbangga dengan negara berbilang kaum melalui kebudayaan semata-mata, sebaliknya juga kerajaan mestilah serius untuk menjaga kebajikan rakyat.
Kerajaan mesti menyahkan budaya kuning walau apa cara sekalipun. Jangan hanya berteriak dalam media sedangkan tindakan sifar. Budaya ketagih rokok sejak lapan tahun. Murid tahun dua melakukan hubungan seks dalam kelas, ibu bapa yang tidak melarang anaknya bersedudukan dengan lelaki bukan mahram, ketagihan dadah, dan lain-lain membuatkan nama negara buruk dan tercemar.
Kerajaan mesti serius menghapuskan jenayah kolar putih. Rasuah, pecah amanah, penyelewengan, dan sebagainya ttelah banyak merugikan Negara. Sesebuah kompeni boleh jatuh jika jenayah kolar putih ini tidak dibendung seberapa segera.
Kerajaan mesti melaksanakan perlemabagaan berteraskan Islam. Kita mesti menjelaskan secara terperinci peri pentingnya, malah kewajipan kita dalam menjadikan Islam sebagai perlembagaan tertinggi negara.
Kerajaan juga janganlah sesekali memperalatkan dan mempolitikkan mahasiswa dan juga janganlah sekali-kali menghalang mahasiswa berpolitik kerana ia hanya bakal merncatkan proses pembinaan jati diri bakal pimpinan negara.
Inilah erti kemerdekaan yang sebenar. Terlalu banyak untuk saya nyatakan di sini. Jadi, saya mengira cukuplah saya menyebut beberapa perkara yang dikira penting sahaja di ruang yang ada di sini.
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (Smm) yang telah mengadakan beberapa siri demonstrasi membantah penipuan Pilihan Raya Kampus (Prk) termasuklah demonstrasi di Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada gerakan mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (Ukm) yang telah berjaya mengumpulkan hampir 500 orang untuk menghantar memorandum kepada pihak pentadbiran tentang penyelewengan dalam Prk.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (Pmium) yang telah berjaya mempelbagaikan kegiatan dakwah di kapus dengan mengadakan Temasysa Sukan dengan kerjasama kumpulan Nasyid Raihan, malah telah berjaya mengadakan Forum Wanita dan 50 Tahun Kemerdekaan.
Tahniah buat semua. Kita akan terus-menerus meningkatkan usaha dengan mempelbagaikan metod untuk menggapai hakikat kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Akhir kata, selamat berjuang dan jangan sesekali mundur ke belakang, teruskan aksi-aksi dan upaya untuk menegakkan agama kita.
Memacu Kebangkitan Merintis Kemenangan!!!

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE