Rabu, 12 September 2007

Biodata Ust Mohd Dzul Khairi Mohd Noor



Disediakan Oleh:
Ibn Syamaliy,
Setiausaha akhbar,
Bagi Ustaz Mohd Dzul Khairi Mohd Noor.

Pertamanya saya ingin minta izin dari empunya diri untuk disiarkan serba sedikit latar belakang Ust Dzul agar dapat dijadikan contoh Insya Allah...

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor merupakan anak kelahiran Pulai Chondong, Kelantan Darul Naim. Beliau dilahirkan pada 18 Januari 1984 dan merupakan anak kedua daripada lapan orang adik-beradik. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan NGAH di kampung merupakan seorang yang pemalu.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor merupakan satu-satu anak yang cenderung dengan kesusasteraan, berbeza dengan adik-beradik beliau yang lain yang tampak lebih menggunakan keupayaan otak kiri dengan menguasai bidang Matematik dan Sains. Kakak sulung beliau merupakan seorang guru matematik. Dua orang adik perempuan beliau sedang melanjutkan pelajaran di Indonesia dalam bidang kedoktoran manakala seorang lagi sedang menuntut dalam bidang akaun di UiTM Shah Alam. tiga orang lagi bakal menduduki SPM tahun ini, tahun empat dan masih lagi berumur enam tahun.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor mendapat pendidikan di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat (MTAQ) di Pulai Chondong dan berjaya menamatkan hafalan ketika berada di tingkatan lima. Beliau bukan sahaja telah menghafal kesemua al-Quran, malah beliau banyak menghafal hadis-hadis nabi SAW dan kata-kata hukama’. Ini terbukti apabila mulut beliau lancar menyebut ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis serta kalam hukama’ sewaktu beliau menyampaikan kuliah.
Mohd Dzul Khairi Mohd Noor terlibat secara langsung dalam bidang kepimpinan namun keterlibatan beliau dalam kepimpinan adalah secara mengejut bukannya secara bakat semulajadi. Beliau mula mengasah bakat beliau dalam Lajnah Solat dalam Lajnah Dakwah dan Kepimpinan (BDK), satu lajnah yang kecil namun lajnah inilah merupakan platform yang banyak melatih beliau. Secara mengejut, pada tahun kemudiannya beliau terus dilantik menjadi Timbalan Presiden 3 Majlis Pelajar (MP) merangkap Ketua Badan Asrama. Kemudiannya, beliau sekali lagi secara mengejut dinaikkan jawatan sebagai Timbala Presiden 1 MP selaku Ketua BDK.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor telah memenangi beberapa anugerah dalam cerpen dan penulisan ilmiah sepanjang belajar di MTAQ. Namun beliau tidak terus mengasah bakat beliau dalam bidang cerpen sebaliknya masih meneruskan penulisan-penulisan ilmiah. Banyak tulisan beliau dimasukkan dalam akhbar-akhbar dan majalah malah pernah mendapat respon daripada Rancangan Wanita Hari Ini dalam TV3. Malah responsif beliau mendapat perhatian seorang Pengerusi Majlis Belia Malaysia yang memuji beliau sebagai seorang yang ideal dan berpandangan jauh.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor asalnya seorang yang sangat aktif pada awal-awal memasuki UM dan agak lantang sehingga pernah hampir dibuang kolej seminggu pertama berada di UM. Beliau yang mempunyai pengaruh yang luas disebabkan pernah menyandang jawatan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM cawangan Nilam Puri telah dijemput untuk menjadi ahli panel kehormat di Dewan Gemilang 12TH bersama-sama Dayang Nurfaizah. Malah, TNC Hepa, Dato’ Razali sendiri mencemarkan ‘duli’ untuk bertemu beliau bagi memujuk beliau agar tidak terlalu aktif dengan gerakan mahasiswa.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor kemudiannya mengambil langkah membisukan diri bagi memudahkan kerja-kerja dakwah beliau berjalan dengan baik. Beliau telah diharamkan daripada memberikan kuliah di beberapa buah kolej meskipun beliau hanya menyampaikan ilmu bukannya berpolitik. Beliau pernah diugut agar tidak terlibat dengan Pilihan Raya Kampus walau hanya sebagai pendokong malah bilik beliau pernah digeledah meskipun ketika itu beliau masih berada di sem pertama di UM.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor mendapat perhatian beberapa pihak. Boleh dikatakan setiap kali diadakan temuduga untuk pemilihan suksis, pegawai Hepa yang berada dalam suksis pasti bertanya adakah orang yang ditemuduga itu mengenali beliau. Namun beliau tidak pernah berpatah balik daripada perjuangan beliau sebaliknya semakin tegar cuma dengan menggunakan pendekatan yang agak berlainan.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor banyak menyampaikan kuliah-kuliah agama di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, malah di negeri-negeri lain. Beliau dikatakan telah menyampaikan kuliah agama lebih daripada 40 buah tempat berlainan. Malah beliau juga pernah menyampaikan kuliah Zohor di surau Menara Maybank dan Surau Kompleks Kastam. Pengalaman beliau bersama-sama masyarakat bandar dan kampung membuatkan beliau lebih matang dan bersedia untuk mengharungi hidup yang penuh mencabar ini.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor kemudiannya dilantik menjadi Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) dalam satu Annual Grand Meeting (AGM) yang diadakan bagi menggantikan kepimpinan Nazree. Beliau dengan tegas meneruskan pembawaan Nazree yang lebih berdiplomasi dan bersifat dakwah. Beliau pernah mengeluarkan beberapa kenyataan kontroversi termasuklah menyatakan Pmium bersedia untuk mengadakan konsert Rock dan bekerjasama dengan non-muslim dalam menganjurkan program. Apatah lagi kepimpinan sesi beliau memilih tema PMIUM Untuk Semua yang membawa maksud Pmium bukan sekadar untuk mahasiswa yang berjiwa Islamik semata-mata.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor mula dikenali masyarakat negara apabila beberapa kali wajah beliau terpampang dalam akhbar dan media lain. Namun beliau lebih memilih untuk hidup sederhana dan menginsafi bahawa kemuliaan yang utama terletak dalam hati bukannya luaran.
Mohd Dzul Khairi Mohd Noor kemudiannya dipilih untuk memimpin Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis). Antara kejayaan beliau ialah apabila beliau berjaya mengantarabangsakan Gamis. Beliau sendiri bersama-sama SU Gamis pergi ke Ismailiyah, Mesir untuk mengikuti Multaqa Pemuda-pemuda Islam seluruh dunia untuk membincangkan secara teoretikal dan praktikal bagaimana membebaskan Palestin daripada cengkaman kuku besi Zionis.

Beliau lantang menyahut seruan Raja Dr Nazrin untuk memurnikan hakikat kemerdekaan dan kebebasan serta keadilan. Beliau juga membuat kutipan derma kilat untuk membantu saudara-saudara yang kesusahan sehingga dalam satu kes, beliau sendiri turun ke padang secara personal sehingga berjaya mendapat pungutan derma sebanyak hampir dua ribu. Bagi beliau, kesibukan dalam gerak kerja persatuan tidak menghalang beliau melunaskan perasaan kemanusiaan yang sarat dengan kasih sayang.

Namun dalam usaha gigih beliau menggerakkan kerja Islam, ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau menghadapi masalah kesihatan. Beliau yang pernah mengalami kemalangan pada 2004 dalam bulan Ramadhan sedikit sakit pada bahagian mata kiri beliau. Kanta mata yang terkoyak telah digantikan dnegan kanta mata yang palsu menyebabkan mata kiri beliau tidak dapat melihat dengan jelas selama-lamanya (kecuali dengan izin Allah Yang Maha Berkusa) malah beliau sendiri tidak bertahan dengan cahaya-cahaya panas matahari, malah dengan cahaya lampu dan LCD serta OHP. sedikit sebanyak, ia turut menjejaskan tumpuan beliau dalam kelas.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor tidak pernah berbangga dengan jawatan besar yang dipegang oleh beliau. Bagi beliau, jawatan merupakan satu beban bukannya kemuliaan dan kebanggaan. Disebabkan itulah beliau masih belum dapat meninggalkan kerja-kerja teknikal seperti menyusun kerusi, melipat tikar, dan sebagainya. Malah beliau sendiri acap kali mengeluh apabila terpaksa berpakaian skema dan berada di hadapan dalam mana-mana majlis kerana ia menghalang beliau untuk beramah mesra dengan yang lain.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor juga terkenal sebagai seorang pemidato yang lantang dan padat dengan fakta. Acap kali audiens terlopong dengan kepetahan beliau mengungkapkan fakta-fakta baru dan semasa. Pernah beberapa orang di luar yang mendengar kuliah beliau menggelengkan kepala melihat kemampuan beliau berhujjah apabila dibandingkan dengan umur beliau.

“Setiap kali saya menyampaikan kuliah, saya ingatkan diri saya betapa saya ini insan yang kerdil yang sentiasa diberikan peluang oleh Allah untuk memperbaiki kelemahan diri”

“Saya tidak mengharapkan sanjungan dan kasih sayang serta perhatian orang lain,akan tetapi yang paling penting ialah saya mencurahkan perasaan kasih dan perhatian saya kepada orang lain. Cinta itu tidak semestinya dengan kita menerima sebaliknya cinta yang sejati ialah dengan kita memberi dengan dada yang luas dan senang”.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE