Rabu, 12 September 2007

Aspirasi Pro Mahasiswa.


Hampir 400 mahasiswa sebuah Intitut Pengajian Tinggi (Ipt) berdemonstrasi bagi membantah penyelewengan dalam Pilihan Raya Kampus (Prk) baru-baru ini. mereka juga telah membuat beberapa tuntutan bagi memasikan perjalanan Prk akan berjalan dengan baik, telus, dan adil. bagi saya secara peribadi, ini merupakan satu kejutan yang bukan sahaja membuatkan pihak aspirasi terkejut, malah saya di pihak Gamis sendiri teruja dengan tindakan mereka yang ternyata berani secara mendadak setelah lama menyepi.

Ketika itu, kami di peringkat pimpinan mahasiswa menghantar memorandum kepada pihak Suhakam selepas solat Jumaat yang dihadiri hampir 250 orang pada perkiraan rambang kami.

Kalaulah dikatakan Prk berjalan dengan telus dan adil, maka mengapakah begitu ramai mahasiswa yang mengadakan tunjuk perasaan membantah skema perjalanannya? Apakah mungkin umat Muhammad berhimpun atas nama kesesatan dalam bilangan yang banyak, sedangkan hal ini dinafikan sendiri dalam satu hadis nabi SAW yang mulia.
Malah, bukan sekadar mahasiswa, yang sudah menamatkan pengajian dan menjawat jawatan dalam kerajaan pun masih mempertikaikan perjalanan pilihan raya. Yang menentang juga bukan sekadar pimpinan-pimpinan yang dilabelkan anti-establishment yang terkenal dengan laungan student power, malah yang berada di blok membisu pun turut mengadakan protes secara senyap. Ternyata, roh yang inginkan dan cintakan kedamaian serta keadilan tidak pernah padam dalam hati mahasiswa yang bernyala-nyala.
Dunia pengajian akan terencat tanpa pengalaman berpersatuan atau pengalaman mencabar. Ungku Aziz sendiri menyebut, belajar tanpa mencabar ibarat pohon pisang yang terjuntai. Ia tidak mampu membawa makna yang besar sebaliknya hanya memberikan keuntungan untuk dirinya sahaja, bukannya untuk ummah seluruhnya. Ada yang berpesan agar tidak terlibat dalam politik supaya dapat menumpukan masa sepenuhnya dengan dunia pengajian, namun saya menolak pandangan sebegini berdasarkan beberapa sebab.

1-Ilmu tidak akan berkembang baik dan luas jika hanya didapati dalam bilik-bilik kuliah atau seminar-seminar sahaja. Sebaliknya penglibatan dalam dunia yang lebih luas akan meluaskan ufuk pemikiran kita dan mengembangkan horizon kecerdikan kita.
2-Politik bagi kami ialah satu perjuangan mendaulatkan islam dengan menggunakan uslub-uslub yang terbaik. Maka alangkah ruginya jika kita hanya menghabiskan masa dengan belajar sedangkan meninggalkan gerak kerja dakwah dan tarbiah dalam melahirkan golongan muda-mudi yang mempunyai integriti yang bersepadu.

3-Menjadi tugas kita untuk memperbaiki keadaan ummah yang kian bobrok dan dihinggap candu hiburan melampau. Dakwah merupakan satau kewajipan dan kita beranggapan bahawa dakwah ialah satu proses menganjak pemikiran dan kehidupan manusia ke satu sistem dimensi yang lebih berkualiti. Sekiranya kita hanya menunggu masa belajar tamat, maka kita akan mendapati akan lahirlah sebilangan besar mahasiswa yang tidak mempunyai nilai dan wawasan.

4-Berjinak-jinak dalam bidang politik seawal mungkin adalah satu pendedahan yang baik. Mahasiswa yang masih lagi baru dan boleh dilentur-lentur perlu dididik dalam dunia politik dalam keadaan terpandu supaya pimpinan masa depan bukannya pimpinan yang kaku dan kelu serta tidak berani.

5-Keadaan mahasiswa yang bacul dan pengecut serta hanya bertindak sebagai pak angguk sebenarnya merugikan kerajaan masa depan. Biasanya yang berani bersuara dan berani membantah, mereka muncul sebagai pemimpinan yang tegar dan tegas mempertahankan maruah negara.

Ya, pimpinan tidak semestinya hanya lahir dalam bilik-bilik kuliah malah lahir di medan-medan cabaran yang menguji keupayaan dan upaya. seterusnya, melahirkan mahasiswa yang kreatif dan bijaksana serta berfikir tidak hanya dengan satu jalan yang sempit.
Saya ke Mesir baru-baru ini untuk mengikuti sidang bengkel pemuda-pemuda Islam untuk membincangkan bagaimanakah caranya untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman kuku besi Yahudi. Bengkel atau multaqa yang dihadiri hampir seratus pemuda Islam daripada pelbagai negara menyaksikan satu perbincangan yang cukup baik dan berkesan. Saya dan sahabat saya saudara Syaari (Su Gamis) tertanya-tanya, sampai bila kita mampu untuk melahirkan barisan pemuda yang seberani mereka dan selantang mereka.


Pemuda-pemuda Arab memiliki keberanian dan kesungguhan dalam memberikan idea dan pandangan mereka, malah mereka begitu berani untuk mengkritik pandangan yang dikemukakan oleh penceramah termasuklah ketua yang menjadi penganjur program tersebut. Mereka juga apabila membentangkan hasil resolusi berkumpulan, berani untuk mempertahankan pandangan mereka meskipun dikritik pemerhati.

Kami ada simpulkan bahawa ini merupakan satu mimpi di siang hari kerana mahasiswa di Malaysia diternak bukan dididik, dibelai bukan ditarbiah.

Beberapa orang exco Majlis Perwakilan Mahasiswa (Mpm) sebuah kampus mengadu kepada saya kelembapan dan ‘keculasan’ sebilangan besar exco mereka dalam melaksanakan gerak kerja. Saya terkejut apabila beberapa rakan menceritakan Ydp Mpm yang terpaksa berhempas-pulas untuk menggantungkan banner di waktu malam sedangkan exco mereka entah berada di mana. Saya memikirkan alangkah dhaifnya pemikiran dan tindakan mereka yang mempunyai jawatan tetapi menggunakan jawatn sebagai tasyrif bukannya taklif.

Kedinginan majlis-majlis ilmu dan perbincangan intelektual agak ketara di mana-mana kampus sekalipun. Satu forum ilmiah berkenaan di Palestin kedengarannya dibatalkan di saat-saat akhir oleh pihak pentadbiran di sebuah kampus. Satu forum kemerdekaan yang dihadiri oleh dua orang profesor terkenal pun tidak mendapat sambutan bahkan jumlah mahasiswa lebih ramai berbanding mahasiswi dan ini merupakan satu kepelikan dan keajaiban jika dilihat kepada nisbah bilangan antara siswa dengan siswi.

Begitu juga diskusi buku tentang perjuangan ulama dalam sorotan sejarah kemerdekaan yang sangat dingin sekalipun . Apabila sebuah fakulti mengadakan persidangan melibatkan dua buah negara jiran iaitu Malaysia dan Indonesia, jumlah mahasiswa yang melibatkan diri boleh dibilang dengan jari. sebaliknya, jumlah pensyarah dan student pastgraduate lebih ramai berbanding undergraduate meskipun sepatutnya yang lebih muda patut untuk gilakan ilmu.

Kebekuan ini sangat mengancam dan menakutkan. Mahasiswa tidak berminat lagi untuk berbincang isu-isu yang berat dan memerlukan fakta dan kajian. Sekarang, antara fenomena yang membuktikan kelesuan ini ialah apabila manifesto calon untuk Pru yang biasanya digunakan untuk menunjukkan komitmen yang bakal calon pamerkan di samping menjadi satu penanda aras keintelektualan mahasiswa tidak lagi menjadi satu perkara yang mustahak dan penting. Yang menjadi calon hanya menggunakan manifesto yang kurang bermutu dan jika bermutu sekalipun, itu hanyalah sebagai retorika dan daya penarik. Yang mengundi pula langsung tidak memicingkan mata terhadap manifesto bahkan hanya mengganggap perkara tersebut simbolika semata-mata.
Gejala kebekuan dan kedinginan ilmu ini digeruni oleh beberapa orang tokoh cendekiawan dan bijaksana negara. Malah beberapa tokoh politik yang saya temui sendiri menggeruni perkara ini. Ketakutan mereka terserlah di riak wajah mereka. Saya simpulkan ada dua perkara pokok yang menyebabkan kegerunan itu timbul iaitu:
1-Kebimbangan melampau terhadap siapakah yang boleh diharap untuk menjadi pimpinan negara yang berkualiti dan mampu membawa agenda negara suatu masa. Apatah lagi Tun Dr Mahathir secara peribadi menyatakan kepada saya dan beberapa pimpinan bahawa wawasan 2020 hanyalah igauan yang tidak mungkin tercapai dengan suasana keilmuan dan jati diri rakyat yang rendah dan merendah.

2-Gejala hedonisme melampau sehingga mengalihkan pandangan mahasiswa daripada terfokus kepada akademik. Politik mungkin boleh mengajar dan mendidik mahasiswa, namun hedonisme hanya melahirkan orang yang menyusahkan kerajaan sahaja.

Ilmu era sekarang bagi saya melihat kepada personaliti yang menyampaikannya. Mungkin ramai memenuhi dewan untuk mendengar tokoh seperti Dr Fadzilah Kamsah, Syukri Abdullah, Rosyam Noor dan sebagainya. Saya sendiri di Tahun Pertama di universiti pernah berforum bersama seorang artis terkenal dan ternyata artis tersebut yang menjadi daya penarik meskipun isi keilmuannya kurang. Ia hanya berbual-bual kosong dan kemudiannya menyanyi tetapi ternyata ramai yang teruja. Maaf, agak keras kenyataan ini namun perlu didedahkan.
Ya, satu lagi bukan sahaja personaliti yang menyampaikan, malah tajuk dan isu juga mesti dipilih berdasarkan cita rasa dan kehendak pendengar. Saya tergelak seorang diri apabila Dr Fadzilah Kamsah yang mempunyai kelebihan pengalaman dan motivasi ‘bergerak’ tetapi dijemput untuk menyampaikan pengisisan berkaitan cinta. Kenapa cinta dipilih? Ia bagi saya merupakan satu signal bahawa mahasiswa sekarang lebih memilih cinta, cinta, dan cinta. Saya ulangi, lagi-lagi cinta.
Saya terfikir lagi. Berapa ramai yang menyertai forum keamanan yang dianjurkan di peringkat internasional oleh Global Peace, Tun Dr Mahathir? Berapa ramai pula tertarik dengan seminar dinar-Dirham yang dihadiri oleh tokoh-tokoh terkemuka masa kini dan membincangkan isu ekonomi negara, malah dunia? Ya, mungkin ada kekangan masa dan akademik. Cuma persoalan pokok yang ingin saya lontarkan ialah, berapa ramai yang tertarik dan cenderung untuk membincangkan isu-isu berat dan kritikal? Hal inilah yang membuatkan para bijaksana negara menggelengkan kepala berkali-kali. Akhirnya, mengupah budak-budak sekolah untuk menjadi penonton yang terpinga-pinga.

Ya, saya hampir terlupa satu perkara. ketika dunia dikejutkan dengan isu karikartur menghina nabi, satu forum melibatkan pimpinan-pimpinan kampus dibuat dan ditayangkan secara langsung (atau mungkin rakaman) dalam televisyen. Pastinya ia disaksikan oleh ramai orang dan ia membawa dua aplikasi mungkin. Satu: Masyarakat akan memandang golongan mahasiswa sebagai golongan intelektual dan akademik yang boleh diharap-harapkan. Dua: Mahasiswa hanay mahasiswa, kosong, lesu, beku, tidak mencampah, dan kontang daya minda serta kekeringan daya fikir.

Pastinya isu karikartur disentuh. Saya sekali lagi tergelak melihat hampasnya pandangan seorang tokoh pimpinan mahasiswa kononnya. Beliau menyatakan, umat Islam jangan mudah melatah dengan karikartur menghina Muhammad kerana karikartur itu berkemungkinan bukan menghina nabi Muhammad sebaliknya menghina Muhammad yang lain. Ini kerana orang bernama Muhammad itu ramai, bukan hanya seorang sahaja.

Saya tergelak terbahak-bahak, meluahkan perasaan kecewa terhadap pemikiran yang sangat cetek, tohor, dan dan mundur ke belakang. Alangkah malunya saya sebagai mahasiswa.
Namun saya kembali tidak hairan dengan pandangan sebegini apabila seorang pemimpin besar kerajaan rupanya memiliki pemikiran yang sama.

Ketika seluruh dunia kecoh dengan filem Evan Almighty yang menghina ketuhanan dan Nabi Isa, seorang menteri bingkas membentak. Katanya dengan ideanya yang melucukan: Umat Islam usah mudah melatah dengan propaganda musuh-musuh Islam. Beliau meluluskan penayangan filem tersebut dan meminta agar umat Islam tidak berasa bimbang dengan hanya sebuah filem. Beliau berkata: Takkan umat Islam boleh tergoyang akidah dengan hanya sebuah filem. Lagipun sekiranya kita menyekat filem tersebut, orang lain boleh mendapatkan melalui internet.

Ah, karut sekali. Saya dan beberapa sahabat lantas menghantar surat bantahan. Saya dalam siri-siri kuliah saya di sekitar Kl dan Selangor cuba sedaya upaya memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kebekuan ini. Alasan menteri tersebut dangkal sekali. Bukan sekadar kami yang sudah meingkat muda tidak boleh menerima, malah plajar sekolah menengah yang baru hendak mengenali dunia sebenar pun tergelak dengan alasan yang beku ini.
Almaklum, bapa borek anak rintik, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi…

1 Cadangan/Pandangan:

akumahasiswa berkata...

SATU TULISAN YANG AGAK PENTING UNTUK SEDARKAN MAHASISWA..
dan yang saya sangat setuju dengan abg dzul adalah berkaita dengan budaya hedonisme yang menusuk kuat ke dalam minda mahasiswa termasuk juga yang mengaku mereka ni aktivis-aktivis Islam!

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE