Bukan hanya 10 orang sahabat nabi yang dijamin syurga, malah ramai lagi. Namun 10 orang yang dijamin itu adalah 10 orang golongan elit yang mendapat tempat di hati Nabi SAW.
Abu Bakar adalah sahabat nabi yang paling utama, dan merupakan orang yang paling berpegang teguh dengan segala ajaran nabi. Beliau teguh mempertahankan segala arahan nabi meskipun keadaan meruncing dan ramai yang menentang. Bukan senang dalam era pemerintahan yang ditentang ramai, ramai yang murtad dikepalai oleh Malik bin Nuwairah, namun beliau teguh untuk mengutuskan tentera pimpinan Usamah untuk memerangi tentera Romawi yang terkenal dengan keperkasaan. Malah, beliau dalam masa yang sama mengutuskan 11 kumpulan tentera ke tempat berasingan untuk memerangi golongan murtad.
Nabi menyatakan Abu Bakar adalah orang yang paling dikasihi baginda. Sekiranya nabi boleh mengambil kekasih selain Allah, pasti Abu Bakar akan menjadi kekasih nabi. Apabila nabi menceritakan tentang lapan pintu syurga dan setiap orang masuk ke dalam berdasarkan amalan masing-masing, yang suka berpuasa ada pintu Rayyan, begitu juga golongan Mujahidin, Zahid dan lain-lain, Abu Bakar pula memasuki semua pintu tanpa halangan.
Bakar berasal daripada perkataan ‘Bikr’, iaitu dara. Bermakna Abu Bakar adalah ayah kepada anak dara. Anak Abu Bakar iaitu Aisyah adalah satu-satunya isteri nabi yang dikahwini semasa masih lagi dara. Justeru, beliau mendapat kemuliaan dengan panggilan sebagai Abu Bakar, ayah kepada seorang anak dara.
Bukan senang menjadi wanita bertuah seperti Aisyah. Baginda bermimpi supaya mengahwini Aisyah. Ini bermakna perkahwinan baginda mendapat restu malah merupakan perintah daripada langit. Kita pula sangat berbeza. Ramai kalangan kita yang beristikharah memilih jodoh, sedangkan Bukhari beristikharah untuk memasukkan hadis dalam kitabnya. Ramai juga kalangan kita beristikharah, tetapi tidak pernah mendapat petunjuk daripada langit. Ramai juga kalangan kita, selepas bertunang pun masih beristikharah, walhal istikharah tidak perlu banyak kali, yang perlu dibanyakkan adalah doa dan perancangan.
Aha, jangan lari topik perbincangan. Abu Bakar seorang yang sangat lembut hati. Aisyah tidak bersetuju nabi ingin melantik Abu Bakar menjadi Imam menggantikan nabi kerana beliau sering dan kuat menangis. Dibimbangi solat terganggu jika beliau yang menjadi Imam. Kita pula, tidak pernah terganggu solat kita kerana menangis. Jika kita menjadi Imam, makmum terasa rimas kerana tidak bersetuju dengan akhlak kita dan sebagainya. Jauh sekali perbezaannya, bagai langit dengan bumi.
Maka, kita patut renungi diri kita, jika Abu Bakar boleh memasuki mana-mana pintu syurga yang beliau kehendaki, kita pula, pintu mana yang layak untuk kita lalui? Fikirkanlah…
Apa Pengertian Costumer Journey dalam Bisnis dan Manfaatnya
5 hari yang lalu
0 Cadangan/Pandangan:
Catat Ulasan