Hari itu aku menziarahi Sahur. Sudah lama aku tidak menziarahinya. Rasanya sebelum Ramadhan masuk, aku sudah lama tidak menjenguk Sahur. Ada la dalam beberapa hari sebelum Ramadhan menyapa, aku sempat menziarahi Sahur. Sahur nampaknya kian tenat dan penat. Badannya semakin kurus dan mengecut. Kesian aku melihat Sahur dalam keadaan begitu. Dulu-dulu, aku ingat Sahur gemuk juga, nampak sihat dan berisi. Tetapi kenapa sekarang badannya kurus kering, mukanya cengkung, pucat lesi je aku tengok. Aku semakin dipanjat kebimbangan.
“Assalamualaikum Sahur. Kenapa ana tengok enta penat semacam?” sapa aku penuh kerisauan. Maklumlah Sahur merupakan sahabat baik aku. Jika apa-apa terjadi pada Sahur, aku tumpang bersedih. Aku telah berjanji dan bertekad tidak akan membiarkan sesiapa pun mengusik Sahur yang aku kasihi.
“Waalaikumussalam. Ana ingat enta sudah lupakan ana akhi. Mengapa sudah lama enta tidak menziarahi ana, sedangkan dulu enta selalu memberikan ana air mata ketakutan. Enta lihat sekarang, badan ana kekeringan kerana sudah lama ana tidak menghirup air mata ketakutan kepada Khaliq,” rintih Sahur kepada aku. Aku serba-salah dibuatnya. Bukannya aku tidak mahu memberikan air mata tersebut kepada Sahur, tetapi aku sekarang pun sudah lama kemarau dan kegersangan air mata itu. Perigi mataku sudah kering rasanya, tidak lagi memancutkan sumber untuk dikongsi dengan Sahur. Aku berasa sangat bersalah.
“Maafkan ana Sahur, ana sendiri tidak kehabisan sumber untuk dikongsi,” jawab aku jujur. “Enta ternyata sudah tidakkan jinakkan hati enta untuk takut dan mengharap kepada Allah. Mana mungkin sumber itu kehabisan. Atau sekurang-kurangnya, enta hadiahkan ana buah- buahan Tahmid dan Tasbih, boleh juga ana meratahnya. Tetapi nampaknya enta datang dengan tangan kosong. Buah-buahan zikir, takkan sudah habis dijual?” nampaknya Sahur sangat berkecil hati dengan aku.
Aku tidak dapat menyembunyikan kekesalan hati. Sudah lama aku tidak menziarahi Sahur, maka layaklah Sahur berkecil hati. Sahur sebenarnya hanya mahukan sedikit buah-buahan tasbih, tahmid dan takbir, juga tahlil jika ada beserta air mata ketakutan dan pengharapan, namun aku datang dengan tangan kosong. Sahur juga perlukan makanan istighfar. Istighfar menjadi selera utama Sahur. Acap kali Sahur kegembiraan apabila dihidangkan dengan makanan istighfar.
“Dulu-dulu, ana rasa seronok. Ana sering dihidangkan dengan air mata khasy’yah Sufyan bin Uyainah dan Sufyan al-Thauri. Mereka sering menjamu ana dengan air mata itu. Beberapa kali juga Zun Nun al-Misri dan Hassan al-Basri menghadiahkan ana buah khusyu’ dan zuhud. Oh ya, buah zuhud itu manis sekali rasanya. Sekali ana merasa, ana inginkannya berkali-kali,” Sahur berkongsi kisah yang sudah banyak kali diperdengarkan kepada aku.
Kata Sahur, pernah dia melihat makanan munajat Ibrahim bin Adham dan Abu Yazid al-Bustami. Makanan munajat mereka sangat lazat. Begitu juga makanan rintihan hati Ma’ruf al-Karkhi. Kadang-kadang, Sahur bertemu dan berbincang dengan Ibn ‘Ataillah yang asyik menulis karya Hikam dan Abdul Qadir Jailani yang tenggelam dalam Fath al-Rabbani. “Sampai sekarang, ana tidak dapat melupakan kemanisan air mata Rabi’ah al-Adawiyah yang merayu dan mengungkapkan kalimah cinta yang indah dan tersusun rapi kepada sang Khaliq. Ia merupakan bait syair yang sangat indah.
Aku terkesima. Aku akui sukar mencari orang serajin Imam Ahmad dalam beribadah, atau orang setekun al-Syafei yang menghabiskan masa bersama Sahur dengan kepekaan ilmu dan tafaqquh yang mendalam. Sahur juga sering memuji-muji Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Katanya, Tuan Guru sering ‑
memberikannya makanan doa yang tidak putus-putus. Bahkan Sahur pun jatuh malu untuk sentiasa meminta dengan Tuan Guru yang besar itu.
“Semalam ana berjalan-jalan. Ana melihat beberapa pemuda yang berbai’ah dengan gerakan Islam sedang berbincang. Ana ingin sekali melihat apakah hidangan makanan yang tersedia, rupakanya hanya perbualan kosong. Makanan umpat, minuman lagho, itu yang terhidang. Adu Sahur kepada aku, dia juga ada yang mengintai-intai aku semalam tetapi katanya aku juga hanya menyediakan hidangan dengkuran kepada dia. Aku tertunduk, alangkah malunya aku kepada Sahur.
Sebelum Sahur berlalu, sempat Sahur menyindir aku dengan sinis sekali. “Ana harap buahan zikir yang enta ingin hadiahkan kepada ana ini bukan hanya dalam bulan Ramadhan. Ana juga perlukan makanan di bulan yang lain. Dalam bulan Ramadhan, mungkin akan kekenyangan, tetapi di bulan yang lain, ana disisihkan dan mimpi yang dilayan,” kata Sahur seraya memberikan salam kepadaku.
Alangkah, pedihnya hati aku terkena sindiran Sahur. Ternyata Sahur sudah membenci aku. Aku menangis seorang diri. Aku teringat kalam Allah yang penuh hikmah, “Dan mereka beristighfar di waktu sahur”.
“Lambung mereka jauh daripada tempat tidur, mereka merayu kepada kepada Tuhan mereka dengan penuh perasaan takut dan tamak (tamakkan pahala) dan memberi memberikan infak daripada sebahagian rezeki”.
Nabi SAW juga ada bersabda, “Kamu hendaklah melazimi Qiamullail kerana sesungguhnya ia merupakan warisan orang soleh sebelum kamu”..
Sahur, maafkan aku kerana aku hanya hipokrit selama ini. Tampaknya aku hanya mengejar pahala bukan mengejar cinta orang yang memberikan pahala kepada aku. Ternyata cinta aku selama ini adalah kosong, munajatku hanya tipuan semata, air mata yang mengalir hanya mainan syaitan, perasaan khusyu’ hanya dibuat-buat, maka maafkan Sahur. Maafkan aku, maafkan aku.
Lain kali, aku berjanji akan menziarahimu setiap hari, sahabatku.
Inilah Teknik Seni Bela Diri di Avatar, The Last Airbender
Sehari yang lalu
0 Cadangan/Pandangan:
Catat Ulasan