Sabtu, 10 Januari 2009

AL-MUNZIRI


Alhamdulillah, saya bersyukur sepenuhnya kepada Allah setelah menamatkan kuliah pada malam itu. Kitab al-Taghib wa al-Tarhib tulisan al-Hafiz al-Munziri menjadi pilihan saya untuk kuliah. Di Surau sekitar Sri Gombak, saya memilih kitab al-Kaba’ir yang dikarang oleh al-Zahabi. Di surau AU 4 Taman Permata, saya memilih kitab al-Munziri. Saya berkira-kira untuk memilih kitab Asbabun Nuzul oleh al-Suyuti untuk surau Taqwa.

Metode yang saya gunakan semasa menyampaikan kitab al-Targhib itu mudah sahaja. Cukup bersahaja, tetapi saya kira manfaatnya meluas dan mengembang. Saya memilih banyak hadis untuk dibaca kemudian dikupas sedikit cuma. Jadi, apabila saya memulakan pengajian dalam bab yang pertama iaitu bab Ikhlas, saya telah membaca hampir sembilan hadis. Ya, sembilan hadis dalam satu malam. Setiap kali habis satu hadis, saya memberikan sedikit kupasan.

Pondok kilat. Ya,mungkin pondok kilat. Habiskan dalam masa yang cepat dan pantas.

Sebenarnya saya ada ringkasan kitab tersebut yang disusun oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ia sangat ringkas berbanding kitab asal yang tebal. Itulah kerja para ulama terdahulu. Apabila ada kitab yang terlalu tebal, maka datanglah ulama yang meringkaskannya. Apabila ada kitab yang sudah sedia tebal, ada pula yang mensyarahkannya khususnya dalam bidang hadis. Bidang fiqh juga begitu. Bila syarahnya terlalu panjang, datang pula kitab yang hanya memuatkan matan.

Pengarang itu namanya ‘Abdul ‘Azim bin ‘Abdul Qawiy bin ‘Abdullah bin Salamah Ibn Sa’d. ringkasnya, Abu Muhammad al-Munziri al-Syami. Beliaudilahirkan di Ghaza pada bulan Sya’ban tahun 581 hijrah. Ramai gurunya, antaranya al-Imam Abul Qasim ‘Abdul Rahman bin Muhammad al-Qurasyi al-Warraq, Abu ‘Abdullah al-Aryahi, ‘Abdul Habib bin Zahir, Muhammad bin Sa’id al-Ma’muni, al-Mutahhar bin Abu Bakar al-Baihaqi, Rubay’ al-Yaman al-Hafiz dan juga Ibn al-Fadhl al-Muqaddasi.beliau meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun empat Zulqaedah dalam tahun 656 hijrah.

Beliau telah membuat syarah kepada kitab al-Tanbih, menyusun Mukhtasar (ringkasan) Sunan Abu Dawud dan juga hawashnya, ringkasan kitab Sahih Muslim di saming beliau turut memiliki sebuah Mu’jam Kabir. Antaranya muridnya ialah al-Hafiz Abu Muhammad al-Dimyati, Taqiyuddin bin Daqiq al-‘Id dan juga ‘Izzuddin.

Dalam kitab yang mulia ini, beliau telah membicarakan hadis-hadis galakan dan ancaman dalam beberapa sudut iaitu dalam bab Ilmu, Taharah, Solat, Nawafil, Solat Jumaat, Sedekah, Puasa, Dua Hari Raya dan Korban, Haji, Jihad, Membaca al-Quran, Zikir dan Doa, Jual Beli atau Mu’amalah, Nikah dan apa yang berkaitan dengannya, Pakaian dan Perhiasan, Makanan dan Selainnya, Kehakiman, Hudud, Berbuat Baik dan Menyambungkan Silaturrahim, Adab, Taubat dan Zuhud dan juga berkenaan Jenazah.

Sebagaimana beberapa tradisi ulama, beliau memulakan penulisan dengan menyebut hadis-hadis asas berkenaan Ikhlas, menjauhi riya’ yang boleh memamah amalan yang dilakukan, galakan mengikuti sunnah dan melakukan amal kebaikan. Semua ini adalah sebagai permulaan, mungkin sebagai peringatan kepada dirinya agar ikhlas dalam menulis kitab dan dalam masa yang sama sebagai peringatan kepada para pembaca.

Ada satu hadis riwayat Mu’az bin Jabal. Ia hadis yang menarik. Mu’az meminta nasihat daripada Nabi SAW semasa beliau diutuskan ke Yaman. Nabi SAW berpesan, “Hendaklah kamu ikhlas dalam agamamu, maka memadailah amalanmu walau ia sedikit”. Saya tegaskan point ini kepada hadirin bahawa keikhlasan adalah satu faktor terpenting, sehinggakan jika amalan kita hanya sedikit, dia sudah memadai. Yang penting, ikhlas.

Metode penyampaian saya ialah; saya membacakan hadis, menerangkan sedikit biodata sahabat yang menjadi rijal Hadis, kemdian menerangkan terjemahan hadis tersebut dan akhirnya memberikan sedikit kupasan. Di akhir kuliah, saya akan memberikan bebrapa kesimpulan yang harus dipegang bersama. Kesimpulan adalah satu penegasan. Itu penting, malah saya tegaskan, kesimpulan sangat penting, bahkan terpenting.

Kitab yang saya pilih, pastilah dalam bahasa Arab. Terasa zuqnya, berbanding Bahasa Melayu yang mematikan mood saya. Jangan salah faham. Bukan saya merendahkan bahasa ibunda kita, sebaliknya saya hanya ingin jelaskan, untuk membaca kitab, mesti dalam Bahasa Arab. Ia memberikan kesan yang mendalam dan membekas.

Saya tidak sangka saya boleh tertarik hati dengan kitab ini. Ia sangat hebat dan memukau. Ia mengumpulkan sekian banyak hadis yang membuatkan saya terus tengelam dan kara dalam satu dunia yang saya sendiri tidak ketahuan. Saya menyebut kepada pendengar, sekurang-kurangnya apabila kita belajar kitab ini, kita dapat satu benda dan kita mesti buat satu benda.

Perkara yang kita dapat adalah, sekurang-kurangnya dalam satu malam, kita mendengar banyak hadis yang mungkin tidak pernah kita dengar selama ini. Maka dapatlah juga pengajaran dalam hadis tersebut. Sekurang-kurangnya, kita pernah mendengar.

Perkara yang mesti dibuat adalah, sekurang-kurangnya kita menghafaz satu hadis dalam setiap bab. Bab Ikhlas, satu hadis. Bab ilmu, satu hadis. Walau hadis yang pendek. Ada juga hadis yang kita hafaz sebulan sekali daripada langsung tidak menghafaznya.

Ini bekalan saya bertemu Allah kelak. Saya harap, saya bukan saya menjadi seorng tenaga pengajar, bukan juga sebagai seorang ahli gerakan ialam, malah juga seorang abang, atau adik, atau suai, atau seorang ayah, atau seorang ahli masyarakat yang berguna dan menabur budi dan bakti. Oh ilmu, aku geram untuk menggenggammu dengan tanganku.

Apapun, Imam al-Munziri, terima kasih atas jasamu…

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE