Selasa, 13 Januari 2009

BERSAMA ULAMA HATI MENJADI TENANG


Sepanjang menjadi mahasiswa, saya pernah berjumpa dan berbincang dengan beberapa pemimpin besar dalam dunia politik. Dengan Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana yang gah. Tok Guru Haji Hadi di rumahnya yang dha’if dan seakan-akan rumah orang kampung yang miskin. Tun M yang tampak tua, melayani kami anak muda dengan baik. Begitu juga dengan Tok Guru, yang bersemangat dalam menjawab persoalan saya dan kawan-kawan.

Tun M dikagumi kerana otaknya yang bijak, manakala Tok Guru dikagumi kerana jiwanya yang bersinar-sinar. Kedua-duanya pemimpin unggul, berlainan ideologi dan berprinsip. Saya juga mengenali ramai orang yang saya tanpa segan menganggap mereka sebagai guru-guru yang saya hormati dan kasihi.

Ustaz Azhar Abdullah seorang aliran pondok yang modenis dari sudut pembawaan. Beliau bukan sahaja guru yang alim tetapi juga seorang motivator yang profesional. Ada beberapa nilai pemikiran beliau yang menarik perlu diperhalusi. Meskipun beliau seorang pensyarah di sebuah kolej Islam dan membesar dalam aliran pondok dan Mesir, bekerja di Kelantan yang jauh dari dunia pertempuran intelektual (Kuala Lumpur),tetapi beliau sentiasa segar dengan pemikiran barunya. Antaranya beliau menganggap tidak perlu sesuatu institusi itu dilabelkan Islam, seperti Negara dan Bank. Bank Islam, tidak di’Islam’kan.

‘Sheikh’ Wan Shamsuri masih muda, kini merupakan Pengetua Pondok Moden di Bachok, Kelantan. Tangannya besar dan kekar, tanda pernah terlibat serius dalam silat. Beliau beraliran salafi dan meminati salaf, namun beliau juga mencedok aliran pondok, beramal dengan hizib di samping menghormati mana-mana tokoh yang alim sama ada aliran salafi seperti Maulana Asri dan aliran Khalafi seperti Nuruddin al-Banjari. Sifatnya tawadhu’ dan merendah diri. Menghormati orang alim, itu tradisi kehidupan beliau. Beliau pernah menyarankan agar sistem pengajian di sekolah tahfiz janganlah mengikut sekolah agama yang lain sebaliknya menekankan pengajian kitab. Pemikiran ini, kerana agak baru dan difikirkantidak berkembang, maka ia ditolak. Sheikh seorang yang sangat wara’. Ke mana sahaja,mulutnya terkumat-kamit membaca al-Quran. Terasa karomahnya dan kepala kami menunduk apabila berbincang dengannya.

Ustaz Yahya Othman haraki orangnya.bersederhana, dan kelihatan tuanya menghalang beliau untuk seaktif orang muda. Keinginannya muda, namun jasadnya sudah menua. Bagi Ustaz Yahya, jika ada program anak muda, beliau tidak akan menolaknya sama sekali. Walau demam sekalipun. Setiap kali bertemu beliau, beliau akan menyambut saya sebaik-baiknya dan nasihatnya sentiasa tidak pernah kering dari bibirnya.

Begitu juga dengan YB Mohamad Mustapha yang sangat lembut dan menyenangkan. Beliau melayan orang, seolah-olah kita adalah YB dan beliau adalah rakyat kebiasaan. Ilmunya memuncak tetapi tawadhu’nya memekar. YB Zaki meskipun serius, lantang bersuara, namun apabila berbual dengannya, ternyata beliau seorang yang sangat merendah diri. Pengalaman berprogram selama 14 hari di Kelantan, berkenalan dengan ramai orang alim yang tawadhu’ benar-benar membuka pintu kejiwaaan.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE