29 Januari 2009: Saya difahamkan Subuh akan menjengah bumi Jogja pada jam 4 pagi. Lalu saya mengunci jam pada jam 3.40 dengan harapan dapat juga menunaikan Tahajjud walaupun sekejap. Saya dan Azlan merebahkan badan di perkamaran dalam jam 11 lebih dalam serba serbi kepenatan yang menusuk-nusuk. Serasanya, tidur kali ini lebih khusyu’ berbanding solat pertama kali di Masjidil Haram pada tiga empat tahun yang sudah.
Saya terjaga dalam jam 3.30. Terasa sangat seronok kerana dapat menunaikan tahajjud. Selepas saya membasahkan diri agar dapat bersegar-segar, Azlan terjaga dan kelihatan terpinga-pinga. Ia kehairanan melihat saya yang berkemas seawal pagi. “Zul, pukul berapa sekarang?” tanya Azlan seraya bangun melihat jam. “Jam 3.40 pagi Lan, bangunlah, boleh solat Tahajud”. Balas saya. Azlan yang bangun melihat jam tersenyum-senyum.
“Nta ni Zul. Subuh masuk jam 4 ikut waktu Indonesia bukannya Malaysia. Sekarang baru jam 2.40 pagi”. Saya tersentak. Alamak, aku terlebih wara’ rupanya. AstaghfiruLlah, rupanya wara’ pun tidak boleh terlebih. Nasib baik saya tidak bangun dan terus menunaikan solat Subuh kerana menyangka masanya sudah berlabuh.
Esoknya sahabat KAMMI mengajak kami berdua bermain Futsal. Mereka silaplah, gerutu saya dalam hati. Mereka belum mengenal saya dengan Azlan. Azlan yang terkenal dengan kepantasan berlari arnabnya merupakan seorang yang lincah. Pernah mewakili Negeri Sembilan dan kami berdua pernah sepasukan sewaktu kami menjulang Piala Pengelola di Nilam Puri suatu ketika. Mereka nyatanya mesti diajar dengan kelincahan kami.
Saya pula, meskipun hampir dua tahun tidak bermain bola mahupun futsal masih seorang yang pandai menggelecek dan tangkas menipu. Selaku bekas pemain pertahanan terakhir yang turut digelar Last Man, ternyata saya bukan calang-calang orang. Mungkin ramai menganggap saya dilahirkan untuk menulis tetapi andaian itu kurang tepat. Saya bukan seorang penulis yang pandai bermain-main dengan lenggang lenggok bahasa, malah saya ditakdirkan lahir sebagai seorang pemain yang diigau-igau.
Pakaian saya ditaja Amika semestinya. Kasut dan seluar Amika. Baju, baju sayalah. Namun saya berkeyakinan penuh, bahawa kehebatan saya bukanlah disebabkan seluar dan kasut Amika. Tetapi kehebatan saya adalah bersifat natural.
Sepanjang dalam perjalanan ke gelanggang Futsal, saya melayan khayalan yang datang menerpa. “Matilah kalian, nanti Presiden Gamis akan mengajar kalian cara bermain futsal yang sebenarnya. Nanti, barulah kamu tahu apa erti futsal, hikhik,” gerutu saya dalam hati sambil tertawa jahat.
Pelbagai strategi telah diatur sepanjang atas motor. Boleh saya katakan, sebelum perlawanan sebenar bermula, kami telah bertarung dalam alam minda. Bunyi irama lagu yang menyeramkan kedengaran. Saya menggelecek pantas, membawa bola ke depan, lalu saya merembat dengan hanya menggunakan 30 peratus kekuatan menyebabkan penjaga gol hanya terpaku. Kalian tahu apa itu terpaku. Terpaku bermakna, kaki pihak lawan telah dipaku ke tanah dengan satu paku maya menyebabkan mereka terdiam dan tidak mampu bergerak. Terpaku juga lahir hasil ketakjuban yang menampar. Keterpakuan merupakan satu fenomena yang sangat indah dan memukau. Fenomena ini lahir hasil kekaguman yang datang secara spontan dan menampar dengan sepenuh tenaga. Terpaku merupakan satu gejala rohani bukannya gejala sosial.
Melalui pertarungan minda, saya telah mencapai kemenangan yang mengagumkan. Mereka terpaku dan terpaku. Keterpakuan itu berlalu beberapa minit. Ia menakutkan. Sekejap lagi, akan tibalah masanya untuk saya mempamerkan aksi yang telah ditakdirkan. Apakah akan berlaku ribut taufan yang maha dahsyat apabila saya menonjolkan kebolehan sebenar saya. Ah tidak boleh, saya harus menyembunyikan kekuatan dan kebolehan sebenar saya. Saya tidak mahu Manchester City mengenal pasti bakat saya sedangkan saya harus menumpukan perhatian yang pejal kepada gerak kerja Islam dalam Gamis.
Saya sedaya upaya menyembunyikan kebolehan saya. Ada satu aksi, saya menghantarkan bola kepada Arif, Arif melontarkannya kepada Sahrul yang kemudiannya dilorongkan terus kepada saya. saya tunggu apa lagi. Tendangan Tanpa Bayangan, laung saya sambil melepaskan satu sepakan yang pasti tidak keterlupaan.
Terkaget. Itulah suasana yang mengusik hati pemain futsal yang lain.
Saya kira, sepakan yang pasti akan dikenang-kenang ialah satu bentuk tendangan yang sangat pantas saya lepaskan. Ia tidak terus masuk ke dalam gawang sebaliknya mengena tiang terlebih dahulu sebelum terkena penjaga gol dan terus menerjah ke dalam gol. Wow, ia mengagumkan.
Kumpulan saya telah mencapai kemenangan 21-13. Saya sendiri menjaringkan hampir 13 gol peribadi. Beberapa gol yang saya jaringkan terkena tiang sebelum menerjah ke dalam gol dengan penuh kemesraan. Maafkan saya sahabat-sahabat, saya terpaksa menunjukan sedikit kemampuan saya untuk mencapai kemenangan yang berprestij ini.
Akhirnya, kekecewaan meraut wajah pihak lawan. Namun saya cukup yakin, kekecewaan mereka terubat apabila melihatkan aksi saya yang didatangkan khas daripada Malaysia. Azlan menobatkan saya sebagai Man Of The Match, satu gelaran yang mempesonakan.
Hari itu, mereka kecewa. Saya berpuas hati. Peluh keluar dengan progresif. Sebagaimana pantasnya kegembiraan saya berlari, begitulah kepantasan peluh jantan yang keluar tanpa segan silu. Saya terasa sedikit sihat dan segar. Terasa sedikit kurus. Fuh, kekurusan yang telah lama meninggalkan saya kini bertandang kembali.
Namun baliknya, saya dijamu makan sebanyak dua kali…
3 Cadangan/Pandangan:
Fuhh...terpaku ana m'baca tulisan ustaz ni...
Salam'alaik... tak sangka, rupa-rupanya ustaz dzul yang dilihat wara' rupanya memiliki kebolehan dalam arena sukan futsal....bukan setakat Man. City minat, striker MU, Berbatov pun tergugat. Tergugat dek takut Alex Ferguson beli sekaligus tersenarai dalam kesebelasan utama mengetepikan pemain berjersi 9 tu. huhu
Senang-senang, Ustaz datang la Skudai, kita bertarung main futsal antara GAMIS Pusat dengan GAMIS Selatan.....disampin dapat eratkan silaturrahim antara pusat dgn cawangan
assalamualaikum
kelakar juga ust ni ye
dr-pasarmalampj
Catat Ulasan