Ahad, 1 Februari 2009

29 JANUARI LAGI


29 Januari 2009: Sekarang apabila saya mula menaip, jam Indonesia menunjukkan waktu 5.25 pm. Saya baru sahaja menonton cerita Sang Murabbi bersama-sama Azlan. Di akhir cerita, air mata sedikit menitis kerana keterharuan yang mendesak-desak.

Dalam jam 2 pm tadi, saya dan Azlan diberi penghormatan untuk memberikan sedikit keterangan berkaitan Gamis dan PMN. KAMMI di Indonesia ada kelebihannya, begitu juga Gamis di Malaysia. Saya cuba bercakap seperlahan mungkin agar mereka dapat memahami apa yang saya tuturkan.

Pedulikan. Bukan itu yang mahu saya tuturkan. Saya sebenarnya sudah tidak sabar menjengah hari esok. Hari ini, kami akan mengikut mesyuarat KAMMI. Tetapi esok pasti lebih menarik. Dengan berbekalkan sedikit duit pemberian sahabat baik, saya dan Azlan pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menumpahkan keinginan kami membeli sebanyak mungkin buku. Saya berkira-kira untuk membeli kitab terjemahan manakala Azlan akan membeli buku pemikiran. Beliau seminat dengan saya dalam bab pemilihan buku pemikiran.



Cerita Sang Murabbi menonjolkan watak Ustaz Rahmat Abdullah yang cekal dan teguh dalam jalan dakwah. Isterinya pula muncul sebagai watak pembantu yang tidak pernah menghalang gerak kerja dakwah beliau. Malah Ustaz Rahmat dalam cerita ini digambarkan sebagai sebagai seorang yang peramah dan kaya dengan kesantunan budi bahasa. Beliau akan menegur sesiapa sahaja yang bertemu dengan beliau di jalanan dan menyantuni mereka dengan sebaik-baiknya.

Ustaz Rahmat memulakan dakwah kepada adiknya dengan satu pengajaran dan surat yang sangat memberikan erti. Beliau yang sangat memahami selok-belok dakwah menggunakan kekayaan ilmu dan kemahiran beliau untuk memurnikan agama yang mulia ini. Surat yang ditaip beliau kepada adiknya sangat menyentuh hati sehingga bisa membuatkan adiknya meninggalkan tabiat buruk yang dihidapi selama ini.

Bagi Sang Murabbi, dakwah adalah kehidupan beliau. Beliau akan berdakwah dengan pelbagai cara asalkan orang kampungnya terdidik. Ada dengan cara penuh dengan kerahsiaan. Membuat halaqat ilmu dengan menanamkan rasa cinta kepada ilmu dan dakwah dalam hati penduduk kampung dilakukan dengan penuh kebijaksanaan yang terdidik.

Wajah Sang Murabbi sangat meruntun jiwa. Wajahnya penuh dengan kasih sayang yang terpamer. Saya tidak akan menafikan hakikat ini. Bersih bangat wajahnya. Ustaz Tifatul Sembiring, Presiden PKS dalam memberikan sedikit kupasan berkaitan dengan Sang Murabbi mengumpamakan wajah seri Sang Murabbi dengan satu kata-kata al-Ghazali, “Orang yang paling baik adalah, apabila kita melihat kepadanya kita akan teringatkan Allah”. Begitulah gambarannya wajah Sang Murabbi.

Sebenarnya ahli gerakan Islam di Malaysia juga kaya dengan ahli ilmuan dan tarbawi yang berwibawa. Bahkan Arwah Ustaz Fadzil Nooer sendiri merupakan seorang yang sangat dihormati lantaran kebijakan beliau dalam berpolitik khususnya. Kematian beliau disambut ribuan manusia sehingga hanya kerandanya yang bergerak sedangkan orang ramai tidak mampu berjalan. Jenazahnya telah dimuliakan Allah bukan hanya kerana sikap waraknya malah kerana keikhlasan beliau dalam berjuang.

Saya kira dua tiga Tuan Guru di Malaysia juga begitu. Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Datuk Harun Din bukanlah calang-calang orang. Yang zuhud lagi sangat mendekatkan diri kepada Allah.

Bagaimana pula dengan ahli gerakan Islam kampus? Inilah yang membuatkan saya diserang rasa serba salah. Apakah persediaan yang telah saya lakukan selain daripada membentuk nilai intelektualiti? Bagaimana dengan persediaan ruhiyah saya? Apakah saya sudah bersedia untuk menjadi orang yang benar-benar soleh dan bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar?

Aduh, inilah yang merunsingkan saya. saya menjadi pemimpin anak muda Malaysia yang sangat jauh daripada belaian ketaqwaan. Tulisan artikel ini berakhir jam 5.45 pm waktu Indonesia.

0 Cadangan/Pandangan:

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE