PERSOALAN
Saudara mengatakan bahawa tajuk Ta’addud Jamaah sudah tidak perlu dibincangkan lagi dalam usrah dan tamrin. Boleh tolong jelaskan?
Alhamdulillah wabihi nasta’in.
Benar pesan Ustaz Ramadhan, penjelasan ana perlu lebih daqiq dalam menyampaikan sesuatu idea. Ana juga sepatutnya memhon maaf kerana tidak menjelaskan sesuatu idea ana dengan baik dan terang.
Orang yang membaca artikel ana biasanya ada lima golongan:
a) Golongan yang tidak faham
b) Golongan yang kurang faham
c) Golongan yang memiliki manhaj dan nature pemikiran yang berbeza
d) Golongan yang terbuka dan menerima
e) Golongan yang tersalah faham
Maka saya tegaskan, ini adalah pandangan peribadi saya yang boleh dipertikaikan dan kita berkhilaf dengan cara yang baik. Saya harap suasana Adabul Ikhtilaf akan wujud dan tiada sebarang prasangka yang tidak bertepi dan akan hapuslah tafsiran yang tidak berdaratan.
Jelasnya, menghapuskan kertas kerja Ta’addud Jamaah itu adalah cita-cita ana. Ia tidak boleh disembunyikan lagi. Maka di manakah perbincangan berkaitan jamaah?
Perbincangan tentang Jamaah adalah terkandung dalam tajuk “Madhkal atau Pengenalan Kepada Jamaah-jamaah Islam di Malaysia”. Atau mungkin kita boleh gagaskan satu tajuk yang lebih berat iaitu”Format Gerakan Yang Ideal.”
Baik, dalam tajuk Pengenalan Jamaah, ahli gerakan akan diberikan pendedahan berkaitan semua jamaah Islam di Malaysia tanpa sebarang prejudis. Mengenalkan ABIM sebagai sebuah Jamaah yang bervisikan Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah.
Maka tidak boleh dilupakan kesungguhan ABIM dalam membawa agenda perjuangan mereka ke peringkat antarabangsa, jauh mengatasi Gamis. Maksud saya, dari sudut antarabangsa.
JIM pula bermatlamatkan perlaksanaan Islam menjelang tahun 2020 berdasarkan kajian dan gerak kerja mereka. Maka tidak boleh dilupakan jasa JIM yang telah melahirkan ramai pemimpin besar yang berfikiran besar.
PAS pula sebagai Jamaah yang bermatlamatkan perlaksanaan Islam yang lengkap. Maka PAS adalah gerakan massa yang paling terkehadapan dari sudut mobilisasi. Semuanya mempunyai kekuatan masing-masing. Kesemuanya syumuliah dan waqi’iyah.
Cukuplah tiga yang besar. Yang lain, saya tidak masuk campur. Maka setelah pembentangan secara objektif dibentangkan, kita membuka ruang kepada ahli untuk memilih intima’. Memilih JIM adalah memilih perjuangan Islam. Begitu juga jika dipilih ABIM dan PAS.
Cukuplah berprejudis. Penganut mazhab dulu pun berprejudis. Mereka bertelingkah sesama mereka bahkan ada yang membunuh. Maka sudah tiba masanya untuk kita membentangkan tajuk Jamaah secara objektif dan kita berlapang dada.
Dalam GAMIS, kita menggalakkan ahli mengenali PKPIM dan KARISMA tanpa sebarang prasangka. Saya sendiri dalam GAMIS, memilih PAS sebagai wadah saya dan menganggap PAS yang terbaik. Namun saya tidak pernah menafikan gerakan yang lain.
Jika ditanya kepada Abang Hilmi, beliau akan mengatakan bahawa ABIM yang terbaik. Begitu juga jika ditanya kepada Abdullah Omar, semestinya beliau lebih cenderung memilih JIM.
Ini adalah sunnah. Mungkin saya lahir dalam satu kerangka dan nature, maka saya lebih cenderung kepada PAS. Namun saya tidak boleh memaksa orang lain untuk bersama saya.
Saya tidak berminat jika seseorang masuk ke dalam GAMIS tanpa hujjah yang kukuh dan kuat. Kerana didoktrin, maka ia join ke dalam GAMIS. Walhal paksaan berbentuk doktrin hanya melahirkan ahli yang tidak kukuh dari sudut tajarrud.
Saya paling marah apabila orang mengatakan PAS tidak mengambil berat isu dakwah. Ini kerana saya sudah mendengar penerangan daripada Tuan Guru Presiden, ternyata PAS menjadikan dakwah sebagai kehidupan dan kematian mereka.
Semua jamaah bersetuju untuk menguatkan PAS dalam politik. PAS juga mesti mendokong jamaah lain dari sudut yang lain. Alhamdulillah, Tuan Guru menyebut, PAS memang tidak pernah sangsi dengan jamaah lain bahkan sentiasa bersikap terbuka. Saya amat senang dengan penerangan Tuan Guru.
Saya tidak suka dengan orang yang menohmah ABIM dan JIM. Terus terang, saya amat tidak suka. Namun saya amat suka jika pimpinan bersikap semacam Tuan Guru, tidak menyalahkan jamaah lain tetapi pendirian tetap teguh.
Mungkin orang akan berkata, “Pandangan saudara boleh menyebabkan kecelaruan fikrah apatah lagi buat ahli yang baru ingin mengenali jamaah.”
Saya katakan, bahawa saya menyebut perkara ini adalah kerana kecintaan saya kepada jamaah.
1- Saya sudah serik melihat ada ahli yang menarik diri daripada jamaah kerana mereka tidak memahami jamaah dalam konteks yang sebenar. Selama ini mereka masuk dalam jamaah adalah kerana doktrin dan semacam paksaan.
2- Tajarrud hanya akan terbentuk dengan kefahaman bukan dengan doktrin. Biarlah kita menjelaskan semua jamaah yang wujud di Malaysia dengan nada terbuka dan irama objektif dan biarlah ahli membuat pilihan mereka sendiri. Barulah tajarrud akan terbentuk.
3- Saya mahu membuang prejudis dan sangka buruk sesama jamaah. Du Juma’ah Amin Abd Aziz menegaskan, Ikhwan tidak pernah memaksa orang lain mengikuti Ikhwan. Bahkan al-Banna membuat penerangan jelas tentang Ikhwan kepada Telmisani dan memberikan beliau pilihan.
4- Zaman sekarang orang sudah cerdik dan proses doktrinisasi adalah tidak elok sama sekali. Orang sudah tidak suka dipaksa dan didoktrin sebaliknya orang lebih suka kepada proses penerangan dan membina kefahaman dengan baik.
Biarlah kita bahu membahu antara satu sama lain. Kita tidak menganggap bahawa kita adalah Jamaatul Muslimin sebaliknya kita hanyalah Jamaah minal Muslimin ataupun Jamaah min Jamaatil Muslimin.
Yang jelas, semua jamaah mesti membantu PAS dari sudut politik.
Seterusnya, apabila wujudnya fenomena sebegini, maka saya merasakan barulah persaingan sihat akan berlaku. Saya sendiri menegaskan kepada Presiden PKPIM dan KARISMA, bahawa GAMIS akan menggandakan usaha untuk menarik dan mengkaderkan seberapa ramai ahli dan dalam hal ini, kita akan bersaing secara sihat. Saya akan menjelaskan apakah wadah perjuangan kami secara sihat dan baik, jauh dari unsur prasangka dan dengki.
Salahlah wujudnya banyak jamaah? Tidak salah. Namun jika wujud banyak jamaah dari sudut politik di Malaysia, maka saya berani mengatakannya adalah salah. Saya tetap mengatakan hanya PAS yang boleh mendokong perjuangan politik, yang lain mesti membantu.
Baik, saya bersedia menerima sebarang kritikan dan saya rela menerima teguran. Cuma saya mengharapkan agar, yang tidak faham dan yang tidak jelas, agar bertanya bukannya berprasangka.
Saya mahu konklusikan:
1- Saya tidak berkata bahawa saya bersetuju dengan konsep Jamaah Centric. Bagi saya, setiap orang mesti memiliki intima’ kepada sebuah jamaah dan mencurahkan ketaatan dengan sepenuhnya.
2- Saya hanya mahu semua ahli masuk ke dalam mana-mana jamaah dengan kefahaman bukannya doktrinisasi. Kefahaman yang akan meneguhkan kita.
3- Saya tetap berpandangan bahawa secara global, PAS tetap jamaah yang terbaik dan saya memilih untuk mencurahkan ketaatan kepada PAS. Saya amat bencikan orang yang menolak perjuangan politik yang didokong PAS dan saya amat tidak menyukai orang yang mengatakan PAS tidak aktif dalam dakwah.
4- Sebagaimana saya mengharapkan ahli Gamis mendapat pendedahan yang baik tentang jamaah lain agar pilihan dapat dibuat secara baik, maka saya turut menyeru agar jamaah lain turut bersedia untuk mendengar penerangan tentang Gamis. Di peringkat yang lebih tinggi, tentang PAS itu sendiri.Saya juga mahukan ahli anda mengenal Gamis dengan lebih terperinci dan saya rela bersoal jawab dalam mempertahankan mengapa saya memilih Gamis. Bahkan mengapa saya memilih PAS.
5- Saya juga mengharapkan agar semua ahli jamaah untuk turut mengenali UMNO dengan baik. Biar pimpinan UMNO sendiri yang menceritakan. Jangan kita menolak UMNO kerana kejahilan dan doktrinisai.
6- Menolak UMNO bukan bermakna saya tidak mahu bekerjasama dengan UMNO. Gamis bukannya parti politik. Saya tetap akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO kerana Gamis hanyalah gerakan mahasiswa atau anak muda yang ada dinamika tersendiri. Bahkan kita berpandangan, banyak juga kebaikan dalam UMNO.
Sekali lagi saya tegaskan, saya menolak fahaman jamaah centric cuma saya menggesa agar kefahaman tetap dijadikan benteng dan tiang pertahanan yang utama.
7 Cadangan/Pandangan:
ayuh,
menuju wahdah
kembalikn 'izzah
sepatutnya dah lama saudara kena tulis kenyataan ini.
kenyataan ini membuatkan kita matang. bahu membahu antara jemaah tanpa prejudis.
Paling sedih melihat orang ditarbiyyah semasa alam kampus lebih longlai daripada pencacai di kampus.
mamat.com
Assalamualaikum ustaz dzulkhairi
secara jujurnya, sy termasuk golongan yg tidak faham langsung ataupun kurang faham penulisan2 ustaz.
sy ahli gamis, dan saya masuk gamis kerana secara automatik. Ustaz faham2 la maksud sy.
Saya rela berada dalam gamis, walaupun saya kurang faham. Ustaz mungkin tidak suka ahli seperti sy, yg macam 'main masuk jer' tapi kurang kefahaman.
Tapi ingin saya katakan, jika saya tak masuk gamis, lagi lah saya tidak akan faham apa itu gamis. Dan sekarang sy sudah faham sedikit demi sedikit kerana saya suka gamis, jadi saya mahu faham apa itu gamis. Saya ada usaha ke arahnya.
Malangnya bagi saya, saya kurang pendidik. Sya jauh dari ahli gamis yg berpotensi untuk menjadi "GAMISIAN" yg sebenar & berkaliber macam ustaz dan MT Gamis yg lain. Jadi sy sukar utk bertanya apa yg sy tidak faham. Jadi di blog ustaz inilah sy menggali ilmu. Dalam diam, entah mengapa, walaupun ustaz langsung tidak mengenali saya, tetapi ustaz telah pun sy anggap macam abang sendiri. Saya rasa dekat dengan ilmu yang ustaz curahkan. Saya mendapat manfaat, dan saya ada praktikkan. Tapi mana yang saya tidak faham, sungguh, saya tinggalkan. Kerana saya merasakan terlalu tinggi ilmu itu untuk saya gapai.Tapi sy sering mengimpikan untuk memahaminya.
Berdasarkan tulisan ustaz kali ini, saya tidak faham banyak maksud perkataan. Alangkah saya gamisian yang tidak berkualiti. Apa itu tajarrud? intima'? doktrin? mobilisasi? Maaf, sy bukan ahli gamis yg baik kerana sy cetek ilmu. Saya telah mencuba membina tarbiyah sendiri dan sya tidak akan berputus asa. Sya akan baca blog ustaz selalu dan sy akan baca banyak-banyak buku.
Jutaan maaf dari saya kepada ustaz sebab adanya ahli Gamis seperti sy. InsyaAllah saya akan berusaha menjadi ahli gamis seperti yg ustaz impikan.Dalam gamis, sy berharap akan memberikan sekelumit jasa saya. saya hanya menanti masa.
salam hormat dan maaf,
Adik GAMIS
adik gamis, tolong hubungi ana di 0132968703. sms pun takpe
Assalamualaikum, ustaz dzul..
Alhamdulillah, syukran kerana menyusun dengan kemas tentang apa yang bermain dikepala ana dalam isu yang ustaz terangkan dalam posting ini...
ANa setuju dan begitulah pandangan ana dalam hal taadud..
Mohon tunjuk ajar...
musuh2 islam berganding fikrah (organisasi atau pertubuhan) untuk menjatuhkan islam...ahli jemaah pulak duk leka dengan taadud jemaah dlm usrah.
Sepatutnya jemaah lain dijadikan 'teman seperjuangan' dalam menegakkan Islam, bukan saling tuduh menuduh. Bukankah Islam tertegak dikala ramainya yg perjuangkan Islam?
salam ustaz. saya juga berkongsi misi yang sama sewaktu di Ireland, dan apabila sudah pulang di Malaysia. ada beberapa siri dialog yang saya inginkan berlaku sewaktu di Ireland, tetapi tidak berjaya. saya juga banyak bertanya pimpinan sewaktu mereka di Ireland. ada jawapan yang berbeza. kesimpulan yang saya buat, pimpinan-pimpinan yang pro kepada muqabalah UMNOlah, yang dahulunya cenderung kepada menolak jemaah2 lain di Malaysia, atas dasar PAS ialah satu-satunya jemaah Islam di Malaysia. yang saya hairankan, mengapa pimpinan ini pula yang cenderung kepada UMNO, apabila saya sudah pulang ke Malaysia. jika tak keberatan, boleh ustaz jelaskan?
Catat Ulasan