Saya sedang asyik membaca karya Muhammad Ahmad al-Rasyid ketika anak saya Fathiyah bertanyakan soalan, “Papa, mengapa papa dan mama selalu bangun pagi-pagi hari untuk solat? Papa dan mama tak mengantuk ke?”
Saya tersenyum melihat telatah anak saya yang baru memanjat usia empat tahun. Ia gemar sekali bertanya. Macam-macam yang ditanya. Pernah juga anak kesayangan saya bertanya dari mana adiknya Faqih keluar. “Mama tak sakit ke masa perut mama dibelah untuk ambil adik?” Saya dan isteri hanya mampu tertawa mendengar soalan anak kami yang tidak pernah putus dengan soalan.
“Along rasa papa dan mama mengantuk tak?” saya bertanya balik. Saya sendiri masih dalam proses belajar menjawab persoalan kanak-kanak kecil agar sesuai dengan citarasa saya. Pernah abah dulu marahkan saya sebab tidak pandai melayan karenah adik saya Sumaiyah ketika dia berumur umur enam tahun.
“Along rasa tak. Mesti papa dan mama seronok kan. Tapi kan papa…” anak sulung saya terdiam. Berkerut-kerut dahinya, semacam ingin bertanyakan sesuatu. “Kenapa along?” saya bertanya mendapatkan kepastian.
“Kalau along tanya, papa jangan marah ye. Papa, papa janji jangan marah ye,” macam-macam karenah anak kesayangan saya ni. Saya mengangguk-angguk kecil sambil menghulurkan jari kelingking ke jari kelingkingnya. Kami tersenyum. Isteri saya yang sedang menelaah al-Quran memasang telinga dari kejauhan.
“Tadi along tengok papa dan mama nangis. Kenapa papa dan mama nangis? Allah marah papa dan mama ke?” terkejut saya mendengar pertanyaaan sebegitu. Astaghfirullah, berat sungguh persoalan tu. Saya langsung tidak menyangka anak sulung kami itu mengintai kami dari jauh. Isteri saya kelihatannya turut tersentak.
“Along tengok ke?” saya bertanya balik. Fathiyah mengiyakannya. “Tiap-tiap malam along tengok. Papa sebut, Ya Allah, kami banyak berdosa pada-Mu. Papa dan mama buat banyak dosa ke? Along taknak papa dan mama masuk neraka. Along nak kita semua masuk syurga. Sebab tu along baca quran banyak-banyak. Along nak doa pada Allah supaya Allah masukkan papa dan mama masuk syurga. Along masuk neraka takpe, asal orang yang along sayang masuk syurga.”
Dan saya terdiam seketika.
Teringat saya ketika saya berbincang dengan isteri suatu hari, di awal-awal perkahwinan kami. “Kalau awak, awak mahu anak yang macam mana?”
Isteri saya berfikir sejenak. Kami gemar sekali berbincang. Biasa bagi kami untuk mengulang al-Quran bersama-sama. Sebelum tidur, paling kurang dua kali dalam seminggu saya akan menceritakan kisah para anbiya’ dan kisah-kisah teladan lain kepadanya.
Dalam dua kali seminggu juga, saya akan mengajarkannya kitab tafsir, hadis dan sedikit berkaitan tazkiyah jiwa. Yang lain, saya terpaksa menghabiskan masa dengan masyarakat. Isteri hanya sempat mengikut saya menyampaikan kuliah berdasarkan kelapangan yang ada.
Beliau juga ada tugas tersendiri. Rumah kami juga telah dijadikan kelas fiqh Wanita yang dikelolakan oleh isteri saya sendiri. Hidup kami sarat dengan ilmu dan ibadah serta jihad. Kami tidak mahu menyia-nyiakan hidup kami dengan bercinta semata-mata. Itu adalah asas untuk kami bergerak lebih laju dan mantap dalam mengejar redha dan ampunan Allah.
“Saya mahukan seorang anak yang berilmu dan takut melakukan maksiat,” kata isteri saya dengan penuh harapan. Isteri saya sendiri sebenarnya seorang yang sangat takutkan maksiat. Acap kali saya melihat ia menangis dalam munajatnya. Saya sendiri terdidik dengan akhlak isteri saya itu.
“Abang juga mahukan anak kita seorang yang sangat rajin melakukan ketaatan kepada Allah, takut melakukan maksiat dan berilmu. Impian kita adalah sama,” kami tersenyum.
Anak kita mesti menghafal al-Quran dan hadis. Ia mesti dididik dengan tawadhu’ dan takutkan Allah. Maka jika kita mahukan anak yang begitu, kita mesti rajin bertahajud, berdoa, menjaga makanan, menjaga hubungan dengan orang alim dan masyarakat dan sebagainya.
“Papa, mengapa papa diam je? Along tanya ni,” saya terjaga dari lamunan. Fathiyah masih menanti dengan penuh harapan. Saya menarik tangan anak saya ke ribaan dan memeluknya erat. Sambil mencium ubun-ubunnya, saya berbisik perlahan,
“Papa dan mama takutkan Allah, nak,” dan saya tidak mampu menahan deraian air mata.
5 Cadangan/Pandangan:
waa,, best la ustaz. takde sambungannyer ke?
salam ust. zul.cerita yg memang sangat menarik.Ada gaya penulis ni..jadi saya syorkan ustaz tulis buku cerpen plak..
Salam. cerpen yang baik. yang tersirat telah tersurat. teruskan menulis. moga mendapat keluarga sakinah, ustaz. =)
salam abg, insyirah ker?
abg nih, bahaya tul kalo budak2 ynag x tahan bace entri nih,.....
salam ustaz zul..cerita yg bagus..tergamam sy membcnye..
Catat Ulasan