Rabu, 9 September 2009

THALATHUN MUHLIKAT


Ada satu pesan yang aneh dari Nabi saw. Gunanya, sebagai pengajaran buat kita semua yang lemah lagi hina. Hadis tentang tiga perkara ‘muhlikat’ dan tiga perkara ‘munjiat’. Perkara ini telah saya bawakan dalam tazkirah Ramadhan saya di Surau Khalifah Umar Abdul Aziz di Damansara Damai hari ini (9 Sept).

Apakah perkara yang mengundang ‘muhlikat’ atau pemusnah/penghancur dan apa pula perkara yang mengundang ‘munjiat’ atau penyelamat? Inilah yang menjadi suatu teras dalam beramal kepada Allah sekaligus menjadi satu benteng kepada anak adam daripada dihembus bisikan penipuan syaitan dan belitan Iblis.

Kata Nabi saw, “Tiga perkara muhlikat. ‘Syahih’ yang ditaati. Nafsu yang dituruti. Rasa ujub seseorang terhadap dirinya sendiri.”



Syahih bermakna kedekut melampau, melebihi tahap bakhil. Mungkin orang bakhil kedekut untuk mengeluarkan sedekah. Orang syahih pula jauh lebih teruk apabila ia kedekut untuk mengeluarkan duit meskipun untuk anak beranaknya sendiri. Mungkin Haji Bakhil dalam cerita P.Ramlee lebih tepat jika dipanggil Haji Syahih kerana tahap kedekutnya yang melampau. Mungkin lebih mudah jika saya katakan Encik Crab dalam cerita Sponge Bob sebagai contoh terbaik orang yang syahih.

Nafsu terbahagi kepada tiga. Ini adalah pembahagian pada tahap biasa merangkumi nafsu ammarah, lawwamah dan mutamainnah. Nafsu Ammarah adalah sejenis nafsu yang sentiasa mendorong ke arah keburukan. Nafsu lawwamah pula sentiasa mencela kelemahannya sendiri yang tidak mampu menahan diri daripada melakukan maksiat. Nafsu mutmainnah adalah sejenis nafsu yang tenang dan senang dengan amal kebaikan serta membenci kekotoran maksiat.

Ujub adalah ketakutan bagi abid. Penyakit orang alim dan abid adalah ujub. Ujub lahir setelah seseorang itu mempunyai kekuatan tersendiri. Orang abid ujub dengan amalannya. Orang alim ujub dengan ilmunya. Orang kaya ujub dengan kekayaannya. Maka ujub itu suatu gesaan buruk hati yang sukar sekali ditepis. Sehingga Khalifah Islam Umar Abdul Aziz yang tidak berdaya menahan gejala ujub berdoa, “Ya Allah, aku berlindung pada-Mu daripada keburukan diriku.”

Maka timbul satu persoalan khas untuk ahli jamaah. Jika kita pernah berbincang tentang bagaimana menegakkan Islam secara optimum, maka pernah atau tidak kita mengadakan perbincangan atau wacana kecil-kecilan atau apa sahaja yang membincangkan tentang bagaimana menundukkan keinginan hawa nafsu?

Kita semua sukar menentang nafsu. Ia adalah anjing liar yang sentiasa mencakar hati dan jiwa kita. Anjing liar itu sentiasa membuang kotoran najisnya dan kencing dalam takungan Iman kita. Nafsu itu sukar sekali dibendung. Ia kencing merata-rata tempat dan membuang najis sesuka hatinya.

Bagaimana mengawal nafsu? Ia sukar sekali. Adalah menipu jika seseorang (selain anbiya’) mendabik dada mengatakan ia mampu mengawal nafsu. Ini kerana nafsu sangat kuat. Nafsu adalah virus yang tiada ubatnya. Hanya ada vaksin untuk mengawal sekejap, kemudian ia bangkit dan merebak kembali.

Maka perlu dipelajari vaksinnya. Saya akan meneruskan perbincangan di lain masa berkaitan dengan tiga perkara ‘munjiat’ pula, Insya-Allah.





1 Cadangan/Pandangan:

Tanpa Nama berkata...

salam.
terima kasih atas perkongsian ilmu.

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE