Selasa, 22 April 2008

MAHU JADI MACAM BRUCE LEE

3 Cadangan/Pandangan
Sedikit sebanyak saya mengetahui tentang seni mempertahankan diri. Nama Bruce Lee lagenda kungfu, Datuk Meor pengasas Silat Gayung, General Cheng Hoi pengasas Taekwon-Do, Omar Din Mauju yang unggul dalam Silat Lincah, Ustaz Hanafi dengan Silat Cekak, Park Jung Tae, Cikgu Abdul Majid, dan ramai lagi tokoh handalan dalam dunia seni mempertahankan diri.

Setiap seni ada kelebihan tersendiri. Silat mementingkan seni pertahanan walaupun kemungkinan terdapat juga silat yang bersifat menyerang. Tomoi pula mementingkan kepada kekuatan fizikal dan sangat berbahaya bagi sesiapa yang cuba bertarung jarak dekat dengan pengamal tomoi. Taekwon-Dao pula mengutamakan gerakan kaki berbanding tangan dan ia sangat sesuai untuk pertarungan jarak jauh.

Bruce Lee sebagaimana pengamal kungfu yang lain mula mengasah bakatnya dalam seni Wing Chun, yang melatih kekuatan dan kepantasan tangan. Tangan yang kuat dan pantas amat menakutkan. Kemudian beliau telah mengadakan beberapa upgrade terhadap beberapa seni yang ada lalu mengasaskan satu seni yang baru iaitu Jeet Kune Do, yang sesuai untuk ahli seni bela diri sepeti beliau; yang bergerak pantas dan kuat.

Beberapa kawan saya mempelajari Silat Seni Gayung Malaysia. Mereka kelihatan sangat bertenaga dan berani. Beberapa orang pula mempelajari seni Taekwon-Do. Apabila mereka menendang, kaki mereka begitu tinggi ke atas, ia tampak kurang sesuai untuk golongan feminin.

Sebenarnya seni mempertahankan diri ini, adalah warisan kenabian juga. Suatu ketika, Rukanah mencabar nabi untuk bertarung, atau biasa kita sebut sebagai sparring. Dalam pertarungan tersebut, nabi SAW berjaya mengalahkan Rukanah dalam satu usaha dakwah baginda. Zubayr al-Awwam merupakan orang pertama menghunuskan pedang pada jalan Allah sedangkan ketika itu beliau sangat muda. Dalam seni, terdapat satu seni permainan pedang. Saya lupa namanya, kendo atau apa.

Ninjutsu adalah antara seni yang agak menarik. Pengamal Ninjutsu dilatih berlari cara kijang di dalam hutan yang penuh dengan akar-akar dan duri. Mereka diberi masa untuk berlari pantas. Silambam merupakan permainan kayu yang terkenal kalangan India. India juga terkenal dengan Kalari Payat. Mereka sangat kuat, sesuai dengan gaya kehidupan mereka. Melihat bangsa India dan Kalari Payat, saya terkenang Bilal bin Rabbah yang berjaya membunuh panglima handalam Arab iaitu Umayyah bin Khalaf, bekas tuannya. Sa’ad bin Muaz juga sahabat nabi berkulit hitam yang syahid dan bidadari berebut-rebut mendapatkan jenazahnya sehingga ada yang terselak kain.

Orang muda lebih tertarik kepada Capoera, seni mempertahankan diri yang berasal daripada Brasil, yang lebih kepada gaya-gaya menarik yang pelik. Mark Dacascos antara pelakon dan pengamal yang handal dalam Capoera. Seni yang pelbagai ini lahir hasil pemikiran yang kreatif dan kritis, gaya kehidupan berbeza dan daripada pelbagai tempat.

Orang Parsi suatu ketika, terkenal dengan gaya mengalahkan musuh sebelum bertarung dengan menggali parit. Anak al-Walid pula dilatih dengan kekuatan fizikal dan pemikiran strategis. Hamzah lebih kepada keberanian yang melampau, seperti pemain tomoy atau Muay Thai yang keras tulang dan ototnya. Saad bin Abi Waqqas pemanah tepat, Ali pemain pedang yang handal, Umar ahli gusti yang gagah, Abdullah bin Mas’ud meskipun kecil namun beliaulah pembunuh Abu Jahal, dan begitu juga dengan Ikrimah bin Abu Jahal.

Dalam seni mempertahankan diri, tiada istilah orang berbadan besar akan menang. Saya pernah melihat seorang berbadan kecil menjatuhkan yang berbadan besar dengan satu tendangan jumping back-kick yang menarik. Seorang yang biasa bertumbuk tetapi tidak terlatih dengan kesenian, berdarah hidung dengan satu satu tendangan bebas oleh pemain taekwon-do. Seorang pengamal silat mampu menghadapi beberapa orang yang mengepung dengannya. Tangan kosong bertembung dengan kapak dan pisau.

Ia perkara biasa. Khalid membunuh 5000 ribu tentera Romawi terlatih dalam perang Mu’tah.

Makanya, saya teringat dengan pesanan guru saya, belajar silat merupakan satu kepentingan yang tidak boleh diremehkan... Read More......

SUATU RENUNGAN BERSAMA

2 Cadangan/Pandangan
Banyaknya Solat Istikharah Beliau

Imam al-Bukhari sangat unggul dan merupakan ulama yang paling terkenal dalam bidang hadis. Setiap kali beliau ingin memasukkan mana-mana hadis dalam kitabnya, beliau akan mengambil wudhu’ dan mengerjakan solat istikharah. Ini bermakna, beliau telah mengerjakan ratusan ribu rakaat solat istikharah. Itu baru solat istikharah, bukan lagi solat sunat yang lain.

Rahsia al-Syafei

Al-Syafei juga sangat hebat. Imam Ahmad selalu memuji-muji gurunya ini dihadapan anaknya. Satu ketika, anaknya menggesa Imam Ahmad untuk mengajak Imam a-Syafei menjadi tetamu mereka, agar dapat dipelajari sesuatu daripada ulama yang menjadi sebutan ayahnya. Apa yang aneh ialah, al-Syafei makan banyak sekali apabila dihidangkan makanan dan beliau tidak bangkit untuk menunaikan tahajud pada malamnya. Anak Imam Ahmad berasa aneh. Rupanya al-Syafei makan banyak kerana ingin mengambil berkat daripada Imam Ahmad yang merupakan seorang ulama hadis yang terkemuka. Malamnya pula al-Syafei sibuk memikirkan masalah ummah sehingga satu malam suntuk. Diriwayatkan juga beliau mengkhatamkan al-Quran sekali sehari dan dua kali sehari pada bulan Ramadhan.

Khusyu’nya Ibadat Mereka

Al-Zubayr Ibn al-Awwam ketika mengerjakan solat, bagaikan pokok yang tidak bergoyang walau sedikit. Thalhah bin ’Ubaydullah sangat berani dan handal berperang sehingga diibaratkan Rasul, suaranya sahaja lebih baik daripada 1000 orang tentera. Uthman mati dibunuh sedangkan mushaf al-Quran berada di tangannya. Beliau sangat rajin membaca al-Quran sehingga dikatakan beliau mengkhatamkan satu kali al-Quran dalam satu rakaat tahajud.

Keagungan Pemimpin

Umar al-Khattab meskipun pemimpin tertinggi umat Islam, hanya tidur di atas padang pasir tanpa seorang pengawal. Cicitnya Umar Abdul Aziz pula setiap malam menangis sehingga kedengaran esaknya di waktu sujud. Seorang sahabat nabi mengasingkan diri dalam rumah apabila turun ayat al-quran yang mencela sesiapa yang meninggikan suaranya di hadapan Rasul SAW. Sangka beliau ayat tersebut turun kepada beliau kerana suara beliau kebetulan memang kasar dan kuat. Beberapa sahabat nabi berasakan diri mereka munafiq. Abu Ubaydah Amir al-Jarrah berasakan lebih baik dirinya menjadi seperti kibasy, yang disembelih kemudiannya dimakan daripada bertemu Tuhan pada hari akhirat kelak.

Singa Padang Pasir

Anas bin Nadhr seorang tempang, dibunuh dan dicincang sehingga hanya saudara perempuannya sahaja yang mengenali mayatnya. Khalid al-Walid dalam satu peperangan berjaya membunuh 5000 tentera Rom dan sembilan bilah pedangnya telah patah. Jaafar bin Abu Talib dibunuh namun panji perang tetap berada di tangannya.

Maka Ternyatalah

Apabila kita membaca kisah-kisah mereka ini, barulah kita dapat mengukur sejauh mana sahaja tahap dan kedudukan kita. Ternyata benarlah kiasan, betapa jika dibandingkan dengan debu-debu yang terlekat di tapak kai mereka, ternyata debu-debu tersebut lebih mulia pada perkiaraan Allah.

Mereka Diingati, Kita Pula Dilupakan

Mereka lahir sebagai orang yang sangat mulia, hidup mereka dimuliakan, dan mereka meninggalkan dunia ini dengan penuh kemuliaan. Tulisan-tulisan, nasihat-nasihat dan pusaka-pusaka mereka tetap diwarisi sehingga sekarang. Kita bandingkan, tulisan kita seperti assignment sebagai contoh, tiada orang yang ingin membacanya malah kita sendiri tidak menyimpannya kadang-kadang. Tetapi imam-imam terdahulu, al-Ghazali sebagai contoh, tulisan beliau kekal samapi sekarang, dibaca dan direnung oleh pelbagai lapisan masyarakat, tua mahupun muda, lelaki mahupun perempuan, malah telah diterjemahan ke dalam pelbagai bahasa. Imam Malik sebagai contoh, setelah menyiapkan al-Muwatta’, beliau meletakkan kitab tersebut dalam sungai namun tidak tenggelam, menunjukkan kitab tersebut diberkati Allah.

Nasihat mereka dihafal dan dicatit, sedangkan nasihat kita berapa sahaja orang yang mahu mendengarnya dan berapa sahaja yang mencatit dan mengingatnya. Ternyata kita lebih hina berbanding dakwat-dakwat qalam yang mereka gunakan untuk menulis kitab-kitab mereka.

Sila Bandingkan

Ibn Taymiyah mengarang satu kitab tebal tentang Istiqamah. Saya fikirkan, kalau kita diberi masa untuk menulis tentang istiqamah, berapa muka surat sahaja mampu untuk kita coretkan? Kalau diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja tentang istiqamah, berapa jam atau berapa minit masa yang mampu kita manfaatkan? Masya-Allah, ulama yang terkenal, cukuplah syarahan Basmalah mengambil masa satu jam, belum lagi masuk kepada syarahan yang lain. Syarahannya meliputi aspek bahasa, balaghah, nahu, saraf, tafsir, asbab al-Nuzul, perbahasan ulama tentangnya, cara bacaannya, dan sebagainya.

Bayangkan, al-Syafei mampu mengetahui kesemua berkaitan al-Quran, nombor ayat, berada di bahagian mana, surah apa, juzu’ berapa, di mana dan bila turun, kenapa turun, dan sebagainya.

Bacalah karya Ibn Qayyim, pasti kita terpukau. Beleklah Tafsir al-Zamakhsyari, pasti mulut kita terlopong. Rujuklah al-Tabatabaei dalam tafsirnya yang luas. Bacalah tulisan Ibn al-Jauzi dalam Talbis Iblis dan Ibn Rajab Hanbali tentang hadis 50. kemudian tengok jugalah kitab karya ulama nusantara, Syeikh Daud Fatani sebagai contoh, atau Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi. Perhatikan kehebatan Fakhruddin al-Razi dalam Mafatihul Ghayb. Perbincangannya tentang tafsir dan alam semesta sangat meluas. Atau baca sahaja Ibn Rusyd yang menjawab pertikaian al-Ghazali dalam Tahafut al-Tahafut. Dalam dunia tasauf, tengok sahaja keindahan dan keunikan bahasa Ibn ‘Ataillah al-Sakandari. Kita tidak mampu memahaminya dalam konteks yang sebenar, jika difahami sekalipun, ia hanya dalam konteks yang sangat sempit dan kecil.

Perdebatan Yang Unggul

Semua guru yang mengajar di Masjidil Haram gerun dan tumbang apabila berdebat dengan al-Zamakhsyari. Akhirnya datanglan al-Ghazali lalu berlakulah berdebatan antara mereka berdua. Hari pertama perdebatan berlaku, ia hanya berkisar perkara asas dan semua hadirin mampu memahami apa yang mereka perdebatkan. Hari kedua menyaksikan perdebatan semakin rancak menyebabkan orang-orang biasa selain ulama tidak memahami apa yang mereka perdebatkan. Masuk hari terakhir, semua orang termasuk ulama tercengang mendengar isi dan inti pati perdebatan mereka. Langsung kalangan mereka tidak memahaminya.

Perdebatan itu berakhir dengan kejayaan al-Gahzali yang sebenarnya mendapat ilham dari langit setelah tidak mampu mengatasi kebijaksanaan al-Zamakhsyari, seorang ulama Muktazilah yang pakar dalam bidang bahasa.

Guru Yang Bijaksana

Seorang murid datang berguru dengan dengan seorang ulama yang soleh. Suatu hari mereka keluar mengembara. Guru dilantik menjadi ketua dalam pengembaraan mereka. Dalam perjalanan, hujan turun, lalu guru segera melindungi muridnya dengan pakaian. Muridnya bertanya, ”Kenapa guru yang melindungi saya. Sedangkan sepatutnya saya yang melindungi guru”. Gurunya tuntas menjawab, ”Saya adalah ketua dalam perjalanan hari ini, jadi sebagai ketua, saya mesti melindungi anak buah saya”.

Kemudiannya si murid pula menjadi ketua, dengan azam beliau ingin melindungi dan menjaga gurunya sebagai ketua dalam perjalanan. Tiba satu tempat, mereka berehat tidur. Sedar sahaja daripada jaga, beliau melihat gurunya sedang mengumpulkan kayu api. Lalu ia bertanya, ”Kenapa guru yang bersusah payah mengumpulkan kayu api sedangkan menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua untuk melindungi dan menjaga anak buah saya?”. Gurunya menjawab, ”Sebagai anak buah, saya mesti melindungi ketua saya”. Nah, kita pula, apabila menjadi ketua, kita berasa diri sangat tinggi dan tidak layak untuk melakukan kerja-kerja yang kecil dan remeh. Walhal pada hakikatnya, kita adalah hamba Allah dan mereka juga begitu. Kita tidak pernah dijanjikan syurga oleh Allah, tetapi jawatan telah membuatkan hati kita menjadi gelap dan kita telah mengerahkan dan mengarahkan ahli kita untuk melakukan macam-macam sedangkan kita hanya bersenang-lenang. Fikir-fikirkan. Read More......

Isnin, 21 April 2008

SAJAK KONTROVERSI

3 Cadangan/Pandangan
Seseorang bertanyakan saya tentang sebuah sajak yang agak menarik. Kata penyajak tersebut, Tuhan bukan untuk ditakuti, sebaliknya Tuhan adalah untuk dicintai. Menjadi satu kesilapan apabila melakuan ibadat kerana takutkan Tuhan, kerana sepatutnya seseorang hamba itu mesti beribadat kerana perasaan cinta.

Aduh, saya mengeluh sendirian. Mengapa mesti wujud perbahasan sebegini secara umum. Saya tidak pasti sama ada penyajak itu seorang sufi atau seorang yang terkhilaf dengan bahasa kesufian yang penuh dengan permainan bahasa.

Beribadat kerana takutkan Tuhan, atau kerana cintakan Tuhan, kedua-duanya diterima Allah. Beribadat kerana inginkan syurga dan takutkan neraka, adalah benar. Beribadat kerana cinta juga adalah benar. Manakala martabat tertinggi adalah beribadat kerana syukur sebagaimana jawapan nabi kepada Aisyah.

Ulama telah menyatakan tidak mengapa beribadat kerana takutkan Allah. Sila rujuk surah Al-Insan ayat ke-9. Ali dan Fatimah berkata, "Kami memberi makan kepada mereka (orang miskin, anak yatim tawanan perang) untuk mencari redha Allah, dan kami tidak berharap daripada mereka sebarang pembalasan mahupun ucapan terima kasih". Ayat ke-10 pula berbunyi, "Sesungguhnya kami takutkan Tuhan kami...". Nah, bukankah di sana ada gabungan antara cinta dan takut?

Takut dan harap adalah dua elemen penting dalam beribadat. Saya beramal kerana takut Allah membenci saya, dalam masa yang sama saya berharap Allah menerima amalan saya. Takut adalah satu elemen unuk mengelakkan orang daripada melakukan maksiat manakala pengharapan pula adalah galakan dan motivasi untuk mengelakkan rasa putus asa. Lalu ada ulama mengharmonikan kesemua elemen ini dengan membuat ibarat, bahawa amalan ini umpama seekor burung. Sayap kanannya membawa rasa takut, sayap kiri pula membawa rasa harap manakala burung itu sendiri adalah rasa cinta.

Saya menerangkan serba ringkas melalui sms. Tampaknya ia berpuas hati kemudiannya. Alhamdulillah, segala jawapan adalah hasil ilham Allah jua yang diberikan melalui haba-Nya yang terlalu kerdil. Read More......

Ahad, 20 April 2008

FIKIR-FIKIRKAN

6 Cadangan/Pandangan
Apabila Gladstone menyatakan bahawa al-Quran sebagai sumber kekuatan umat Islam, bangkitlah seorang ahli parlimen mengoyak-ngoyak al-Quran. Perbuatannya ditegur Gladstone, “Bukan itu yang aku maksudkan. Apa yang aku maksudkan ialah mengoyak-ngoyak al-Quran yang ada dalam jiwa umat Islam.

Kita tertipu sebenarnya dengan kisah-kisah silam kehebatan ulama’ kita. Barangkali Barat turut berseronok apabila kita terlalu mengagung-agungkan bijak pandai yang terdahulu. Barangkali Barat juga berasa gembira apabila kita begitu bersungguh-sungguh menyambut tarikh-tarikh penting dalam sejarah umat Islam seperti kelahiran Rasulullah SAW.

Apa maksud saya? Saya mengertikan bicara saya sebegini. Kita terlalu berbangga dengan kehebatan ulama silam dan kita sering mengungkapkan, siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan ulama terdahulu. Rindunya untuk berada pada zaman mereka dan mengecap zaman kegemilangan Islam. Rindunya ketika Islam menjadi kuasa dunia. Malangnya kita hanya mengungkap dan mengungkap, mengenang dan mengenang, mengingat dan mengingat. Tetapi kita lupa bahawa umat Muhammad ini ibarat air hujan, tidak pasti mana yang terbaik, yang awal atau yang akhir. kita lupa dengan dendangan kata-kata, “Bukannya pemuda orang yang menyebut, ini ayahku, ini saudaraku. Tetapi pemuda yang tulen adalah yang mengatakan, inilah aku!”

Kita menyambut hari kebesaran Islam. Ia cukup bagus, tetapi ia menjadi tidak bagus apabila sambutan hanya disambut secara luaran semata-mata. Sekadar bermegah dengan Islam dari sudut tarikh lahirnya Nabi Muhammad, Isra’ Mikraj dan hijrah. Ia disambut saban tahun, tetapi umat Islam tetap berada di bawah. Ada apa pada tarikh nabi kita jika hanya disambut, diberi cuti, dilaksanakan program tetapi dakwah dan perjuangan baginda tidak dihayati. Apabila ada karikartur atau filem menghina nabi, mulalah perasaan marah bergelora, namun ia hanya seketika. Marahkan orang yang membuat karikartur, dalam masa yang sama diri sendiri meninggalkan ajaran baginda. Bagai meludah ke atas lalu terjatuh ke hidung sendiri.

Lalu kita membaca doa tahun baru, tiap-tiap tahun. Bukanlah amalan ini tidak bagus, tetapi secara tidak langsung ia mengajar umat Islam supaya berubah selepas setahun, bukannya berubah ada tiap-tiap hari. Ajaran nabi, doa pagi dan petang. Buat azam baru dan pasang semangat jitu setiap pagi dan petang. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah perubahan mesti dibuat selepas setahun.

Erm, apa nak jadi. Saya sedikit terkejut melihat gambar pelajar perempuan sekolah menengah menghisap rokok, dalam keadaan masih bertudungkan tudung sekolah. Tidak dikira lagi berapa ramai lelaki menjadi perempuan di Lorong Haji Taib, mengalahkan perempuan, dan saya pasti terasa ingin muntah setiap kali melintasi mereka. Ya, sambutan maulid nabi dibuat sekali setahun, Akademi Fantasia lebih daripada itu. Isra’ Mikraj mengenangkan peristiwa aneh sekali setahun, tetapi cerita aneh Saka, Congkak, Akhirat, Malaikat Tepi Jendela, Langsuir, Pontianak Harum, bertambah dan membiak, bagai nyamuk aedes dalam takungan air. Ia lebih pelik dan aneh, diselubungi misteri, malah misteri Isra Mikraj pun barangkali tidak sebanding dengannya.

Inilah westernisasi, hiburan menenggelamkan Iman. Ternyata protokol Zionis berjaya dan kejayannya gemilang sekali. Pernah di Baghdad, umat Islam tenggelam dalam hiburan sehingga terlupa untuk menunaikan solat hari raya, lalu dalam sejarah mencatitkan umat Islam Kota 1001 Lagenda menunaikan solat hari raya menjelang Maghrib. Ia satu rekod yang belum dipecahkan.

Apabila seorang muazzin di Masjidil Aqsa pulang setelah melaungkan azan, makmum bertanyakan ke mana ia mahu pergi. Jawabnya ingin ke rumah, kerana ia seorang Yahudi yang diupah melaungkan azan. Pemuda-pemuda Baghdad hanya berpeluk tubuh menanti tentera wanita Monggolia datang membunuh mereka, dan mereka langsung tidak mempertahankan diri kerana takut yang teramat.

Globalisasi adalah projek langit terbuka, dan menjadian dunia sebuah perkampungan yang berjiranan. Timur berjiran dengan Barat. Dunia di hujung jari, lalu Timur mendapat apa sahaja daripada kampung sebelah iaitu Barat. Barat menyajikan yang terdedah, yang mendedah, sana-sini terbuka, atas terbuka bawah terbuka, lalu Timur terpegun dan tertegun, Timur mula terdedah dan belajar mendedah.
Melayu, ia terus melayu. Bunga yang melayu, tidak cantik. Bangsa Melayu, melayu dan melayu. Lalu si artis yang terdedah dan mendedah mengucapkan syukur alhamdulillah kerana berjaya menggondol trofi kejayaan. Ia sangat terbalik. Perempuan yang telanjang kepala, mengajak orang lain untuk beriman dan meningkatkan taqwa kepada Allah. Orang yang memberi dan menerima rasuah, bercakap soal amanah. Orang yang malas bekerja bercakap soal komitmen dan inovasi. Orang yan menindas dan berlaku zalim, berbicara soal menjaga kebajikan dan sikap membantu.

Ia cukup terbalik. Barat ternyata berjaya menjajah. Apabila kapal-kapal mereka tidak berjaya belayar berdekatan Malaysia, mereka melayarkan pemikiran dan budaya hidup mereka. Apabila mereka tidak berjaya mengaut keuntungan hasil bumi Malaysia, mereka mengaut keuntungan dari sudut keruntuhan sosial yang melampau dan terlampau.

Bukan sahaja terdedah dan mendedah, malah dirakam pula dan disebar. Apabila ada yang cuba menegur, mulalah kemelayuannya timbul, “Jangan jaga tepi kain orang”. Berjayalah Karl Marx untuk menggantikan Tauhid Uluhiyah dengan panggung-panggung wayang. Dalam pangung wayang, gelap, gelap pekat, atau gelap zulumat. Maka lakukan apa yang ingin dilakukan, orang tidak peduli. Mahu tertonggeng-tonggeng, seluk-menyeluk, masuk-memasuk, sentuh-menyentuh, apa sahaja, lakukan, kemelayuan tidak akan menyekat, kerana kemelayuan berkata, “Jangan jaga tepi kain orang”.

Sya terfikir-fikir, ada benar juga teori Darwin dengan sedikit modifikasi, manusia berasal dari beruk. Ataupun, manusia bertukar menjadi beruk?

Jika begitu, beruk berasal daripada manusia!??? Read More......

ERTI UKHUWAH BAGIKU

8 Cadangan/Pandangan
Seseorang menghubungi saya untuk jemputan berceramah. Lagaknya bersahaja. Meskipun umurnya saya kira ada perbezaan sekitar 4-5 tahun, namun seolah-olah dia menjemput orang yang sebaya dan biasa bergurau dengannya. Tidak digunakan bahasa ‘ustaz’ atau ‘abang’, sebaliknya hanya bahasa ‘enta’, yang membuatkan darah saya cukup menyirat.

Ada apa pada bahasa? Saya paling senang dengan adik-adik DQ. Mereka senang memanggil saya abang walaupun ada juga yang memanggil ‘ustaz’. Azan, Awis, Hafizan, dan yang lain cukup rapat di hati saya. Mereka cukup menghormati saya sebagai orang tua, dan saya tidak pernah meminta mereka untuk menghormati saya sebagai Presiden Gamis.

Saya orang yang paling pantang dalam soal penghormatan terhadap orang yang lebih berumur, begitu juga dengan senior dan juga naqib. Bagi saya, hadis nabi yang mewajibkan orang muda menghormati orang tua dan yang tua menyayangi yang muda mesti dihayati dan diamalkan. Apabila saya berjumpa dengan naqib saya, Murtadha namanya, saya cukup menghormati beliau. Umurnya lebih muda berbanding saya dari sudut bulan, tetapi saya menghormati beliau sebagai orang yang mendidik saya. Lalu saya memanggilnya dengan panggilan ‘naqib’ atau ‘ustaz’, bergantung kepada situasi.

Pantang bagi saya meninggikan suara di depan yang tua, bercakap banyak pun tidak saya gemari. Saya lebih rela mendengar mereka membebel, cakap tidak henti-henti dan saya tidak akan menyampuk walau sekali. Lainlah jika saya berdepan dengan abang Hanif yang pendiam, atau ustaz Murtadha yang pandai mendengar. Tetapi jika saya berdepan dengan ustaz Nazree, saya banyak mendengar dan menghormati beliau sebagai bekas ketua PMI, juga senior saya. Suka atau tidak, bersetuju atau tidak, saya tolak ke tepi kerana mendengar pandangan beliau meupakan satu ajaran sunnah.

Saya sangat tidak suka dengan beberapa perkara yang bagi saya menunjukkan adab yang kurang baik:

1- Menggunakan bahasa ‘enta/i’ dengan orang yang lebih tua. Cuma setakat ini saya hanya senang hati dengan Fakhrul Jengka yang berbahasa demikian dengan saya kerana barangkali itu kebiasaan beliau, dan beliau sangat rapat di hati saya.
2- Menyampuk ketika orang yang lebih tua bercakap.
3- Banyak bercakap di depannya. Saya memang mengamalkan ‘suka mendengar’ ketika berhadapan dengan orang yang lebih tua, atau orang yang berilmu, atau dengan ustaz berbanding ‘suka bercakap dan memberi pandangan’. Bagi saya, pandangan kita tidak penting. Jadi saya menggunakan masa sebaiknya untuk mendengar pandangannya. Tetapi saya cukup tertekan jika ada orang yang ‘suka bercakap’ ada di sisi, yang mana akhirnya saya banyak mendengar pandangan yang ‘suka bercakap’ pula.
4- Menepuk bahu atau menggosok bahu orang tua merupakan pantang bagi saya. Menggosok bahu bukanlah amalan orang muda kepada orang tua, sebaliknya amalan orang tua kepada orang muda. Kekadang saya ingin menampar sahaja tangan yang muda menggosok bahu saya.
5- Lalu di belakang orang yang lebih tua, atau ustaz. Ini bukan adab kita untuk melintas di belakangnya, kerana amalan orang Melayu adalah melintas di hadapan sambil menunduk sedikit. Beberapa kali dalam kelas pelajar melintas di belakang guru, bukan satu perbuatan Kemelayuan. Ia bukan satu sikap yang baik. Jika ia ingin melintas sekalipun, keizinan perlu diminta.

Saya tidaklah menyuruh mereka menghormati saya kerana kedudukan saya, tetapi saya mahu mereka menghayati ajaran nubuwah, bukan membelakanginya. Apa yang saya temui cukup terbalik. Orang yang sudah berumur dan tua, pakcik-pakcik di masjid-masjid bila bertemu saya, mereka memanggil saya sebagai ‘ustaz’, bersalaman dengan saya dengan menampilkan wajah yang cukup berseri-seri dan penuh dengan keceriaan, malah ada kalangan mereka yng sudah berumur mencium tangan saya. Tetapi yang muda pula berlagak seolah-olah umur mereka sebaya dengan kita dan seolah-olah kita rakan mainan mereka.

Mereka mungkin menghormati, tetapi tidak pandai cara menghormati. Jadinya, saya terus memadamkan mesej jemputan tersebut dan membisukan diri sehingga datanglah mesej kedua daripada orang lain, yang bunyinya lebih mesra dan menyejukkan hati… Read More......

Khamis, 17 April 2008

KELEBIHAN BERSEDEKAH

4 Cadangan/Pandangan
Syaitan sering menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan sehingga mereka berasa takut untuk bersedekah (Ayat 268: Al-Baqarah). Manusia pula, apabila diberi segunung emas, ia inginkan segunung emas lagi (Hadis). Mereka lebih melihat kepentingan dunia, tetapi tidak bersedia dengan tanaman akhirat. Terdapat manusia terlalu kedekut tanpa menyedari bahawa segala-galanya datang daripada Allah SWT (Katakan: Semuanya datang daripada Allah). Mereka dikuasai perasaan kedekut sehingga melupakan erti persaudaraan sesama manusia. Maka, kertas ini akan membincangkan kelebihan bersedekah untuk menerbitkan semangat suka bersedekah di kalangan kita.

1- Kelebihan bersedekah

1.1- Amal digandakan sehingga 700 kali ganda

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai; Seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Al-Baqarah: 261)

Ia merupakan satu bukti bahawa Allah SWT berkuasa menggandakan amal kebaikan kita kepada 700 kali ganda. Ini juga dijelaskan dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri r.a:

“Apabila seseorang masuk Islam, kemudian Islamnya menjadi baik, nescaya Allah SWT menghapus segala kejahatannya. Sesudah itu setiap kebaikan dibalas 10 hingga 700 ganda. Sedangkan kejahatan dibalas hanya setimpal dengan kejahatan itu, kecuali pula kalau Allah SWT memaafkannya”.
(Riwayat Al-Bukhari)

Firman Allah SWT dalam ayat yang lain: Siapakah orang yang mahu memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya. Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan Yang Meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nya kamu semua dikembalikan. (Al-Baqarah: 245)

“Siapakah orang yang mahu memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya. Dan selain itu ia akan memperoleh pahala yang besar”. (Al-Hadid: 11)

Manakala hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a

”Barangsiapa yang bersedekah dengan tamar hasil daripada usahanya yang bersih dan sememangnya Allah hanya menerima hasil yang baik sahaja dan sesungguhnya Allah menerima dengan tangan kanan-Nya, kemudian dipelihara-Nya untuk yang seperti kamu memelihara seekor binatang ternak, sampai membesar seperti bukit”. (Riwayat Al-Bukhari)

1.2- Bersedekah amalan mulia

Nabi s.a.w. pernah menjelaskan kemuliaan orang yang bersedekah melalui satu hadisnya yang masyhur.

“Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang meminta-minta”. (Riwayat Al-Bukhari)

Malah, dalam hadis yang lain, nabi s.a.w. menyatakan sedekah mampu memadamkan kejahatan yang dilakukan.

“Puasa itu perisai, dan sedekah memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api”

Telah disebut dalam satu kisah seseorang yang hampir dimasukkan ke dalam neraka Namun kemudiannya terselamat kerana beliau pernah bersedekah. Malah, seorang perempuan yang kudung kembali bertangan gara-gara sikapnya yang suka bersedekah. Kisah lain pula menunjukkan seorang anak terselamat daripada serangan harimau kerana ibunya merupakan seorang yang bermurah hati untuk bersedekah. Kita juga boleh merujuk sikap murah hati Ali dan isteri beliau Fátimah yang terkandung dalam surah Al-Insan.

1.3- Rezeki dimurahkan Allah SWT

Apabila kita merujuk kepada makna zakat daripada sudut bahasa sekalipun, ia membawa makna ‘Bertambah’. Orang yang pemurah biasanya dimurahkan rezeki oleh Allah SWT kerana Allah SWT redha dengan sikap pemurahnya itu. Dalam satu hadis riwayat Abu Hurayrah r.a. yang telah dimuatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab Sahihnya, nabi s.a.w. ada bersabda:

“Tidaklah berpagi-pagi seorang hamba melainkan akan turunlah dua orang malaikat yang turun dan berkata: Ya Allah, Engkau berilah kepada yang memberi dan Engkau halanglah kepada yang kedekut”.

Firman Allah SWT: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (Al-Talaq:2-3)

1.4- Sunnah nabi s.a.w. yang mulia dan perbuatan para sahabat r.anhum

Nabi s.a.w. diriwayatkan sangat pemurah seumpama angin yang berlalu. Pernah nabi s.a.w. tergesa-gesa selepas solat gara-gara tidak tenang apabila teringatkan ada harta di tempat tidur baginda s.a.w.

Manakala Uthman r.a. dan Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. pula diibaratkan khazanah Tuhan di muka bumi kerana sikap pemurah mereka.

1.5 Sedekah mampu mengubah sikap seseorang

Sedekah menjinakkan hati supaya tidak cintakan dunia yang menjadi punca kelemahan umat Islam masa sekarang. Sedekah juga membuatkan persaudaraan erat terjalin. Terdapat satu hadis riwayat Abu Hurayrah (Al-Bukhari) yang menceritakan seseorang telah bersedekah kepada pencuri, pelacur, dan orang kaya. Ringkas cerita, sedekah itu diharapkan dapat menyedarkan ketiga-tiga golongan tadi.

1.6 Nabi s.a.w. memuji orang yang suka memberi

“Dua amalan yang mulia. Memberi makan, dan memberi salam kepada sesiapa sahaja sama ada yang dikenali atau tidak”.


2- Allah SWT melalui lisan nabi-Nya mencela orang yang kedekut

“Tiga pemusnah: Syuhhun yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan perasaan bangga diri”

Syuhhun : Kedekut yang melampau; melebihi Bakhil

3- Jangan menyakiti hati orang yang meminta sedekah (Ayat 263: Al-Baqarah). Perbuatan menyakiti hati orang dan menunjuk-nunjuk boleh menghapuskan pahala bersedekah (Ayat 264: Al-Baqarah). Namun dibenarkan untuk mempamerkan sedekah dengan tujuan untuk dicontohi. Menyembunyikannya adalah lebih baik lagi bagi mengelakkan perasaan riya’ itu timbul. (Ayat 271: Al-Baqarah). Bahkan menyembunyikan sedekah adalah sikap terpuji dan pelakunya termasuk daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT kelak berdasarkan hadis.

4- Kita hendaklah menolak permintaan si peminta dengan baik (rujuk kisah nabi s.a.w. yang meminta supaya peminta meminta daripada anaknya Fatimah r.anha kerana ketika itu baginda s.a.w. sendiri tidak berduit) dan memaafkannya sekiranya mereka berlaku agak kurang sopan ketika meminta sedekah (Ayat 263: Al-Baqarah).

5- Bagi orang yang tidak berharta, mereka masih ada jalan lain untuk bersedekah. Berdasarkan hadis-hadis nabi s.a.w., dapat kita simpulkan, bahawa orang yang tidak berduit bolehlah melakukan perkara-perkara seperti berikut:

Ø (Hadis Abu Hurayrah r.a. riwayat Al-Bukhari dan Muslim) “Setiap tulang daripada manusia, ke atasnya sedekah pada setiap hari tenggelamnya matahari. Merapatkan hubungan antara dua orang yang bergaduh adalah sedekah, mengangkat orang naik kenderaannya atau mengangkat barang orang tersebut ke atas kenderaannya adalah sedekah, melafazkan kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju ke masjid adalah sedekah, membuang sebarang benda yang menyakitkan di tengah-tengah jalan adalah sedekah”.

Ø (Hadis Abu Hurayrah r.a. riwayat Al-Bazzar daripada Abu Salih) “Bagi setiap manusia ada 360 tulang (atau anggota) yang menjadi sedekah ke atasnya pada tiap-tiap hari. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Ia menyuruh kepada kebaikan dan melarang keburukan. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Ia boleh membuang tulang di jalan. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Hendaklah ia menolong orang-orang dha’if. Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu? Rasul s.a.w. berkata: Hendaklah ia berhenti daripada melakukan kejahatan kepada manusia lain”.

Ø (Hadis Muslim) “Manusia telah dicipta dengan 360 sendi, pada setiap sendi ada sedekahnya”.

Ø (Hadis Muslim riwayat Abi al-Aswad al-Dailami) “Maka tiap-tiap tasbih sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil sedekah, mencegah kejahatan sedekah. Dan memadai daripada yang demikian itu dengan solat sunat Dhuha dua rakaat”.

Ø (Hadis riwayat Abu Dhar r.a) “Bahawasanya segolongan sahabat nabi s.a.w. berkata kepada nabi s.a.w.: Ya Rasulullah, orang lebih kaya berbanding kami mendapat pahala lebih daripada kami. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa sebagaimana kami puasa Namur mereka mampu bersedekah dengan harta yang merka miliki. Rasul s.a.w. berkata: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu sedekahkan? Sesungguhnya tasbih itu sedekah, takbir itu sedekah, tahmid itu sedekah, tahlil itu sedekah, amar ma’ruf sedekah, nahi mungkar sedekah, danpa ada kemaluan kamu pun ada sedekah. Berkata sahabat: Ya Rasulullah, apakah salah seorang daripada kami yang menggunakan syahwatnya dan baginya pahala? Rasul s.a.w. bersabda: Apakah pendapat kamu kalau ia digunakan pada benda haram, apakah dosa baginya? Maka demikian juga kalau ia digunakan untuk yang halal. Maka baginya sedekah”.

Ø (Hadis Abu Musa al-Asy’arie r.a riwayat al-Bukhari dan Muslim) “Maka jika beliau tidak melakukannya, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan maka itu adalah sedekah”

6- Memberi sedekah perlu melihat kepada keutamaan dan kepentingan

Ø Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih baik, malah isteri dibenarkan bersedekah kepada suami. Meninggalkan anak-anak dalam keadaan berduit lebih baik daripada membiarkan mereka meminta-minta dengan orang lain. (Rujuk kes Sa’ad bin Abi Waqqas yang meminta pandangan nabi s.a.w. ketika ingin memberikan wasiat)

Ø Bersedekah kepada program membina Insan lebih baik daripada bersedekah kepada masjid-masjid apatah lagi jika masjid itu adalah masjid besar. Namun ia perlu melihat juga ke arah manakah duit yang pihak masjid laburkan kerana kemungkinan pihak masjid menggunakannya untuk menampung program-program ilmu. Ini berdasarkan kata-kata Al-Qaradhawi (mafhumnya): Membina manusia lebih baik daripada membina batu-bata.

Ø Memberi sedekah untuk penuntut ilmu lebih mulia berbanding memberi makan di waktu Ramadhan kerana mengisi dada supaya sarat dengan ilmu lebih baik daripada mengisi perut dengan makanan.


Justeru, dapatlah kita simpulkan bahawasanya sedekah itu terbahagi kepada dua: Lahir dan Batin. Setiap orang berkuasa untuk bersedekah mengikut kondisi masing-masing. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah SWT.


*Kuliah Maghrib di Surau ’Ubuduiyah di sri Gombak pada 21 Mei 2007 bersamaan hari Isnin Read More......

HISTORY NEVER END

1 Cadangan/Pandangan
Sahabat saya Naim menulis tentang Etika Global untuk paper project beliau. Antara perkara yang disebut beliau ialah kesedaran-peradaban (civilization consciouness). Hans Kung menyatakan kesedaran-peradaban merujuk kepada manusiawi yang berbeza dengan alam haiwan yang penuh dengan celaru nafsu tanpa akal. Manusia sejak zaman batu digelar spesis Homo Sapiens berbeza dengan haiwan melalui kesedaran-peradaban tersebut.

Sejarah tidak berakhir sehinggalah datangnya penamat dunia yang dijanjikan. Setiap zaman dan detik yang kita lalui adalah penting. G. H. F. Hegel dalam syarahannya pada 18 Sept 1806 menyatakan, “Kita berada di ambang zaman yang penting, zaman yang dipenuhi pergolakan apabila semangat mara dengan pantas, melewati bentuknya yang sebelum ini dan mengambil suatu bentuk yang baru”. Itu pada tahun 1806, bagaimana pula dengan era 2008 yang semakin kecamuk dengan taburan globalisasi mencapah?

Kepekaan sejarah adalah penting, tetapi jangan sampai terperangkap dalam ketakutan sejarah sehingga menimbulkan paranoia tanpa kesudahan. Ya, ketakutan mesti ditamatkan. Bangsa Jepun optimis, mendirikan bangsa di sebalik kekejaman Atom yang menghancur leburkan Hirfoshima dan Nagasaki. 1974 menyaksikan rejim Caetano di Portugal telah digulingkan oleh kudeta tentera. Mario Soares telah dilantik sebagai Perdana Menteri April 1976 menyaksikan era demokratik yang damai bermula. Kolonel yang memerintah Greece sejak 1967 turut digulingkan pada 1974 dan digantikan oleh rejim Karamanlis yang dipilih ramai. Pada 1975, Jeneral Francisci Franco meninggal dunia di Sepanyol lantas membuka jalan bagi peralihan yang tenang menuju demokrasi dua tahun kemudiannya.

Era kekuatan otot-otot digantikan dengan era kekuatan otak. Keterbukaan mesti diteruskan dan diperkasa setiap masa. Mana-mana penguasa yang masih rigid dan mengamalkan dasar pintu tertutup pasti akan kecundang bila-bila masa. Deng Xiaoping dalam ucapannya pada 1982 berkata, “Tiada sebuah negara di dunia ini pun, tidak kira apa jua sistem politiknya, pernah melalui pemodenan dengan mengamalkan dasar pintu tertutup”.

1986, akhbar Soviet sudah berani menerbitkan rencana yang mengkritik perbuatan jenayah dalam era Stalin, suatu perkara yang tidak pernah ditimbulkan sejak penyingkiran Khrushchev pada awal 1960-an. Beribu-ribu pelajar merusuh di Beijing dan menawannya pada musim panas 1989 menuntut agar rasuah ditamatkan dan demokrasi ditubuhkan di China. Pada Feb 1989, tentera Komunis berundur dariAfghanistan. Pada Jan 1990, Perkara Enam Perlembagaan Soviet yang menjanjikan ‘peranan utama’ bagi Parti Komunis telah dibatalkan.

Umat Islam yang unggul juga pernah ditumpaskan dengan teruk, sehinggalah ke zaman sekarang. Monggolia; satu nama yang digunakan untuk menyebut suku dari Asia Tengah dan Selatan Siberia telah bersatu di bawah kepimpinan Genghiz Khan dalam tahun 1206 dan kemudian mengalahkan China di bawah pimpinan cucunya Kublai Khan. Cleopatra dan Mark Anthony membunuh diri dalam tahun 30 sebelum Masihi selepas kekalahan di Actium dalam tahun 31 sebelum Masihi.

Kekuatan Islam terserlah begitu hebat sehingga seorang pujangga pernah mengatakan kepada burung dalam satu syair, Wahai burung, terbanglah ke mana sahaja kamu suka, kamu tetap berada di bawah langit kepunyaan orang Islam”. Namun tamadun gemilangnya musnah sekelip mata melalui kekuatan Monggolia yang tidak tertahan sehingga terpacul dari mulut menyatakan, :Jika kamu mendengar khabar bahawa tentera Monggolia telah dikalahkan, maka janganlah sekali-kali kamu percaya”.

Islam bagaikan singa yang tersedar dari tidur apabila mereka meneroka dunia lebih luas dalam operasi pembukaan dunia Tauhidik. Era Isabella di Sepanyol digantikan dengan era Taqriq bin Ziyad sang penakluk Cordova. Barcellona, Seville dan lain-lain semunya tumbang dan akur dengan kekuasaan Islam yang akhirnya mereka menikmati deruan angin Islam yang sejuk dan damai. Tiada pokok yang tumbuh melainkan di atas tanah yang dikuasasi oleh orang Islam dan hujan tidak turun melainkan turun di bumi hijau orang Islam.

Namun sejarah hanya tinggal sejarah. Kita tetap menantikan kesudahannya dan penamat kepada sejarah itu sendiri dan siapakah manusia terakhir (the end of history and the last man). Sekiranya Nazisme yang terkenal dengan Holocaust boleh tumbang, maka mana-mana kekuasaan yang ada pada masa sekarang juga boleh tumbang pada bila-bila masa sahaja. Karl Marx mencipta sejarah dengan teori komunisme dan sosialisme yang tersemat dalam The Communist Manifest.

Kepedulian tentang sejarah mesti dikembangkan. Kepedulian ini tidak dimaksudkan dengan menghafal dan mengingat tarikh-tarikh, tetapi kepedulian dimaksudkan dengan pengambilan pengajaran dan mengaplikasikan kekuatan sejarah untuk melakar bahkan memahat satu sejarah yang lebih baru dan dinamik. Saya sengaja menyebut beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah dunia, perihal tentang kejatuhan beberapa kuasa besar, kebangkitan Islam, dan juga kekuasaan pelajar sebagai satu bahan pembuka minda kesedaran agar kita dapat menyimpulkan: Aku juga mampu sebagaimana mereka mampu, dan aku akan berhati-hati agar aku tidak mengulangi kesilapan yang telah terpahat dalam sejarah.

Hari ini sejarah pahit masih berulang. Satanisme yang merasuk membuatkan ramai penganut Islam lemas dalam dakapan Iblis. Pergaduhan sesama umat Islam masih terus berlaku seolah-olah tanpa kesudahan membuatkan hadis tentang buih-buih di lautan. Gejala sosial kian bernanah dan kes jenayah kian membarah. Mereka hanya bangkit apabila wujudnya tragedi lucu seperti Fitna dan karikatur. Mereka terasa amarahnya dengan pencipta Fitna tetapi dalam masa yang sama terdapat juga kalangan mereka yang memijak-mijak Islam tanpa dan dalam sedar.

Saya menyatakan kepada sahabat-sahabat yang menonton filem Fitna. Kamu jangan tengok dengan emosional, tetapi kamu hendaklah mengambil input daripadanya. Bagaimana mereka merancang untuk menjatuhkan Islam? (Bagaimana pula kita ingin menerangkan agama kita? Bukankah era Fitna merupakan masa terbaik untuk kita menerangkan tentang agama kita?) Benarkah sebegitu pandangan Barat terhadap Islam? Benarkah mereka melihat Islam sebagai agama terroris, lalu kita menyanggah bahawa kita bukan terroris tetapi dengan cara yang agak ‘terroris’? Apa pula usaha kita untuk menerangkan bahawa Isalm merupakan agama yang damai dan untuk dinimmati semua?

Lalu kita berbicara lagi tentang Sophia. Kita baru perasan baru kecerdasan otak bukan segalanya, sebaliknya kefahaman dan pengamalan agama itu yang terpenting. Namun saya sendiri tidak tahu sejauh mana pihak berwajib akan memainkan peranan untuk menerapkan nilai-nilai murni bukannya lagi mengejar puluhan ‘A’ dalam SPM, apatah lagi cerita ‘Akhirat’ yang panas baru diterbitkan.

Tolonglah, jangan ulangi kesilapan umat Islam di Baghdad, dulu dan kini. Read More......

BUDAYA TERBALIK: ANTARA TAHU DAN MAHU

3 Cadangan/Pandangan
BUDAYA TERBALIK
ANTARA TAHU DAN MAHU

_________________________________________________________________________


Pernah heboh rasanya isu berdoa selepas solat Jumaat. Saya jadi teringat balik isu ini apabila seorang haji menegur saya yang tidak berdoa selepas solat Subuh satu pagi. Isu ini tidaklah terlalu penting untuk dibicarakan. Kalaulah saya sebut, ada yang kata saya salafi atau pendokong sunnah.

Rasanya kritikan Us Zamihan terhadap salafi terlalu keras dalam satu seminar. Seolah-olah salafi merupakan golongan yang asyik membid’ahkan orang dan ’menerakakan’ orang. Salah bagi saya pandangan sebegitu. Beliau tidak habis-habis mengaitkan salafi dengan Rasul Dahri, walhal Rasul Dahri dan salafi adalah dua entiti berbeza. (sdra Nawawi jangan marah pulak).

Saya ada pandangan tersendiri. Siapa mahu berdoa selepas solat, atau tidak mahu, terpulang kepada mereka. Bukan itu ukuran keimanan. Malah menjadi satu kesilapan apabila seseorang berdoa dalam Bahasa Arab tetapi tidak difahami. Atau sambil berdoa, sambil tersenyum. Atau seorang Imam berdoa terlalu panjang, seolah-olah ia berhajatkan semua benda dalam satu masa sehinggakan makmum terasa lenguh-lenguh tangan.

Ibn Qayyim agak lembut dalam hal ini. Katanya, tiada nas yang warid daripada nabi, bahawa nabi berdoa selepas solat, tetapi barangsiapa yang mahu berdoa, maka itu merupakan amalan tambahan baginya. Lalu Ibn Qayyim mengajarkan beberapa adab dalam berdoa seperti memulakan doa dengan puji-pujian dan selawat kepada nabi.

Saya melihat beberapa orang, malah ramai sebenarnya. Oleh kerana sibuk mengejar masa, selepas sahaja solat, terus ia berdoa. Kemudiannya ia beredar dari situ. Bagi saya ini satu kesilapan walau ia bukan satu kesalahan. Kesilapan dalam beramal tetapi bukan satu kesalahan malah insya Allah mendapat pahala di sisi Allah SWT.

Ada juga kononnya pendokong salafi, selesai solat, ia terus beredar tanpa berdoa, malah tanpa berzikir, kerana doa bukan warid dari nabi. Ia beredar begitu sahaja, mengerjakan solat sunat di belakang atau di tempat tersebut, kemudian beredar. Solat sunatnya ringkas tidaklah lama, sekadar menunaikan tuntutan sunnah. Ia juga satu kesilapan, tetapi bukan satu kesalahan.

Nyatanya, sunnah nabi adalah berwirid selepas solat. Jadi mengapa tergesa-gesa sehingga tidak sempat wirid tetapi sempat pula berdoa. Wirid adalah warid daripada nabi sedangkan doa tidak warid daripada nabi. Saya tidak katakan ia bid’ah tetapi ia satu kesilapan.

Sedangkan hadis menyebut, barangsiapa yang disibukkan dengan zikir kepadaku sehingga terlupa untuk berdoa, maka Aku akan kurniakan apa yang ia tidak minta. Berzikir lebih besar daripada berdoa. Ini kerana apbila kita berdoa, kita memohon untuk kita, sedangkan apabila kita berzikir, kita memuji Allah SWT. Maka zikir itu lebih utama.

Salafussoleh ada sebab mengapa ia tidak berdoa. Ia telah menjadikan seluruh solatnya sebagai doa. Dalam al-Fatihah ada doa. Semasa ruku’ dan sujud ada doa. Semasa i’tidal ada doa. Semasa duduk antara dua sujud ada doa. Kemudian ia berwirid dengan wirid yang datang dari nabi dan juga amalan khususiah yang menjadi amalannya seperti al-Mathurat ataupun hizib. Kemudian mereka bangkit untuk solat sunat. Dalam solat sunat, ia tidaklah seketat solat fardhu. Solat fardhu menuntut kita membaca apa yang warid daripada nabi SAW sahaja, sedangkan dalam solat sunat, ia agak bebas. Lalu memanjangkan solat sunat. Ruku’nya lama, sujudnya panjang, qiamnya bagai pokok yang tidak ditiup angin. Mereka tenggelam dalam kelazatan bersolat dan berdialog dengan Allah SWT.

Tampaknya ia berbeza dengan kita. Mereka memahami bahawa Allah dekat dengan mereka ketika mereka sujud, jadi mereka memanjangkan sujud. Kita pula hanya memanjangkan sujud akhir. Di luar solat, mereka melazimi doa dalam setiap perkara. Setiap masa mereka adalah bergantung kepada Allah, jadi mereka berdoa setiap masa dan ketika. Jadi, tidak timbul persoalan mereka tidak berdoa selepas solat kerana kehidupan mereka sentiasa bergantung kepada Allah SWT. Sangat berbeza dengan kehidupan kita yang hanya berdoa selepas solat.

Kita mahu, tetapi kita tidak mahu. Saya ingin bertanya, mana lebih baik orang berdoa selepas solat atau orang berdoa dalam solat? Orang berdoa selepas solat sahaja atau orang yang berdoa dalam setiap gerak kerja dan perkara? Orang berdoa selepas solat tetapi tidak berzikir atau orang berzikir tetapi tidak berdoa.

Khatib tahu orang mengantuk semasa mendengarnya berkhutbah, tetapi ia tetap mahu memanjangkan khutbah. Lalu orang terlena sehingga iqamat. Mana lebih baik, berkhutbah pendek dalam 5-7 minit atau memanjangkan khutbah sehingga 15 minit sehingga orang mengantuk? Ini semua persoala. Mengapa khutbah tiap-tiap minggu tetapi maksiat adalah tiap-tiap hari. Khutbah modalnya air liur ke, atau khutbah modalnya jiwa yang bersih? Read More......

SAAT DAKWAH MEMASUKI DUNIA POLITIK

5 Cadangan/Pandangan
SAAT DAKWAH MEMASUKI DUNIA POLITIK

Hanya sekadar pandangan, dan anda bebas menilai dan mengkritiknya, kerana anda juga, punya akal dan perasaan,..
________________________________________________________________________


Saya teringat perbincangan saya dengan Cikgu Azmi Teras satu ketika. Saya bertanyakan kenapa beliau tidak mencerbukan diri ke dalam dunia politik. Pengalaman dan kekuatan serta pengalaman yang dimiliki oleh beliau, meyakinkan saya bahawa beliau mampu menjadi seorang politikus yang berjaya. Simpulnya beliau berkata, apabila saya berada dalam dunia politik, saya bimbang saya bekerja kerana menjaga nama, bukan kerana ketelusan hati.

Ahli politik kata beliau (bukan semua), ramai juga bekerja dan berjuang kerana menjaga nama, bukan kerana keikhlasan dalam berjuang. Mereka sentiasa berasa resah apabila terdapat kritikan-kritikan terhadap mereka, lalu mereka berfikir apakah cara dan strategi yang perli diaplikasikan demi membersihkan balik segala kritikan yang dilemaprkan kepada mereka. Ya, tapi bukan semua, cuma kebanyakan.

Saya bersetuju. Dunia politik dan dunia dakwah adalah dua dunia yang berbeza. Kedua-duanya Islam, tetapi aplikasi dan gaya persembahannya tetap berbeza. Dalam politik, siapa pantas dan licik, maka dia akan berada di hadapan. Lalu ia penuh dengan penipuan, atau kelicikan, atau kebijaksanaan, atau juga simpang-siur teknikal dan tektikal. Orang yang pandai mengambil peluang atau opportunis akan berada di hadapan meskipun kerjanya sedikit, manakala siapa yang bekerja kuat, serius dan ikhlas sekalipun, sekiranya ia tidak pandai mengambil desempatan atau menangguk di air keruh, ia tidak akan ke mana-mana.

Casparov adalah juara catur. Kepantasan dan kelicikan otak beliau dalam mengatur 10 langkah lebih ke hadapan dalam dunia catur nyatanya tidak memberikan banyak kelebihan untuk beliau mencapai kejayaan dalam dunia politik. Baru sahaja beliau mengorak langkah dalam dunia politik, Putin telah melaungkan ‘Shahmat’ atau ‘checkmate’ yang membuatkan beliau terpinga-pinga. Ternyata catur dan dunia politik adalah dua dimensi yang jauh malah sangat berbeza.

Maafkan saya, saya tidak berniat membezakan antara dakwah dengan politik, cuma saya membezakan antara orang berpolitik dalam dalam dakwah dengan dakwah yang sebenar. Dalam politik, mereka akan mengadakan demonstrasi untuk isu-isu yang menyentuh umat Islam sebagai contoh, menunjukkan rasa marah mereka terhadap kemelampauan menuduh Islam sebagai agama pengganas yang diterjemahkan melalui filem pendek Fitna. Tetapi demo hanya tinggal demo. Mereka hanya berdemonstrasi, yang saya sendiri tidak pasti, berdemonstrasi kerana geramkan isu Fitna atau kerana ingin menjadi juara dalam menguasai isu-isu sensiviti umat Islam.

Politik hanya tinggal politik. Selepas berdemonstrasi, mereka berasa sangat ghairah, melaung dan bersorak, kemudian mereka pulang sedangkan selain Islam tidak mengerti isu tersebut secara jelas. Saya tertanya-tanya seorang diri. Kenapa mesti demo kerana isu Fitna. Bagus, saya tidak nafikan. Kita pantano nabi kita dihina. Akan tetapi kenapa pantang kita itu hanya dipamerkan dengan demo tetapi gerak kerja memberi kefahaman tentang isu tersebut tidak dibuat? Kenapa kita hanya pandai berdemonstrasi, apatah lagi demo itu berlaku di masjid, dalam kawasan yang kecil, ramai yang tidak tahu, apataha lagi non-muslim kerana ia berlaku selepas Jumaat dan di sekitar masjid sahaja, tetapi kita tidak pandai untuk menggerakkan unit-unit penerangan kiat untuk membuat penjelasan?

Maka saya terfikir, berdemonstrasi mencari nama atau membuka ruang dakwah? Berdemonstrasi menunjukkan kekuatan dan jagoan atau memberi kefahaman? Bagaimana pula dengan pandangan orang awam, apakah ia menyemarakkan rasa cinta nabi atau semakin hairan dengan umat Islam yang mudah melatah dan meluahkan ‘kemelatahan’ itu dengan cara sebegitu?
Saya mohon maaf sebelum melangkah lebih jauh. Persatuan-persatuan Islam di kampus sangat pantas bekerja dan berprogram apabila tiba sahaja tarikh-tarikh yang melibatkan umat Islam. Isra’ Mikraj, Hijrah, Maulid, Tahun Baru Islam, dan juga tarikh kematian tokoh-tokoh. Kenapa mesti kita menjadikan hari-hari tersebut sebagai hari kesedaran, sedangkan usrah tetap lembap perjalanannya, dakwah masih berjalan bagaikan kura-kura, Madang-kadang menyembunyikan kepala. Kuat berpolitik, menyerang sesiapa sahaja yang dinggap sebagai lawan tetapi tidak pernah menganggap mereka sebagai kawan yang juga muslim.

Aduh, tolonglah. Kalau benar kita cinta nabi, nabi tidak pernah mendoakan kecelakaan buat Abu Sufran dan akhirnya beliau memeluk Islam. Ada nabi mendoakan kecelakaan untuk beberapa orang, tetapi hanya orang tertentu yang sudah dijamin neraka oleh Allah. Perlu kita ingat, baginda adalah nabi. Kita pula siapa? Kenapa mesti banyak menghukum bukan menerang? Kenapa dibenci aspirasi tidak dikasihi? Kenapa benci Pak Lah tidak dihormati. Bukan main lagi kita menyalahkan Umno yang tidak pandai mentadbir, menyalahkan aspirasi kerana tidak berjuang untuk mahasiswa, tetapi kita sendiri tidak mampu mengurus persatuan kita dengan baik walau ahli kita hanya dalam beberapa ratus sahaja.

Kita mengerahkan orang untuk berdemonstrasi, tetapi kita tidak cekal mengajak orang untuk memperbanyakkan ibadat. Kita begitu agresif menyerang dan mempertahankan diri, tetapi kegiatan dan aktiviti menerang serta berdakwah, kurang kita giatkan. Tanya sahaja sdra Yusri, berapa ramai yang melompat terjun dalam bidang dakwah dan bertindak memberikan kefahaman kepada yang kurang memahami?

Saya acap kali menyatakan kepada ahli gerakan student, kita adalah gerakan dakwah, bukan politik. Gerakan politik, kita serahkan kepada lajnah atau unit politik. Biar mereka yang bertindak. Mahu berdemonstrasi atau apa, biar mereka merancang. Tetapi masalahnya, semua orang nak berpolitik, tetapi kurang sangat nak berdakwah dan tarbiah.

Kalau nabi SAW berkeras hati dan menunjukkan sikap pemarah, pasti orang akan melarikan diri. Ternyata itu benar. Apabila kita keras, kononnya kitalah bayangan lagenda mahasiswa, mengembalikan zaman kegemilangan kononnya, berani mencabar itulah tradisi yang harus dikekalkan, maka harus kita ingat, itu hanya lagenda era 70-an, bukan tradisi kenabian yang dipusakai. Musa yang berdepan dengan Fir’aun sekalipun diminta bercakap lembut untuk memberikan penerangan. Kita pula, keras berbicara, kalau lembut sekalipun ia merupakan sinis berbisa.

Saya berjumpa dengan ramai orang, sangat ramai. Mereka orang berkebolehan, tetapi tiada orang membimbing. Tiada usrah untuk diikuti. Kenapa boleh tiada usrah? Bagaimana hendak ada usrah apabila semua orang sibuk berpolitik. Kalaupun ada usrah, ia hanya sistem. Selepas satu sem, ditinggalkan adik-adik terkapai-kapai. Saya meloihat situasi ini dengan penuh perasaan sedih dan ngilu. Kita pandai menyalahkan orang, tetapi kita pantang orang menyalahkan kita. Kita begitu retorik melaungkan agenda dakwah, tetapi dakwah kita keras memanjang. Rujuklah dalam sirah, beleklah dalam sejarah, pernahkah Islam bangkit dengan kekerasan? Atau Islam bangkit dengan kasih sayang.

Saidina Ali RA pernah menarik pedang daripada membunuh seorang kafir dalam satu peperangan, kerana tiak mahu membunuh kerana diludahi. Kita pula, marah kerana Allah atau emosi, sata kurang pasti. Kalau kita marah kerana Allah, benarkah? Sedangkan orang Islam yang baik adalah kasih dan marh kerana Allah SWT.

Beberapa orang cuba membunuh nabi, nabi melayani mereka dengan baik. Ya, saya memahami ada beberapa tindakan nabi yang kita istilahkan ‘keras’, tetapi ia hanya sedikit dan itu pun dilaksanakan oleh golongan tertentu sahaja. Kita pula, hanya golongan tertentu menjalankan dakwah tetpi ramai sibuk berpolitik.
Fahamilah, saya bukan maksudkan politik dalam erti kata yang luas, tetapi dalam skop yang biasa kita istilahkan.

Saya ada menyatakan, kita orang muda, darah panas. Saya muda, saya juga panas. Apabila kita tahu kita berdarah panas, seyogia kita perlu mengambil dan mengaut semampu mungkin hikmah yang dimiliki orang tua. Ada sahabat saya menyatakan, kita sebagai orang muda jangan lari dari kebiasaan orang muda, keras dan bersemangat. Saya menafikan, malah kenyataan us. Anwar satu ketika menyokong pandangan saya, bahawa bukan semangat membuta tuli sebagai tradisi kepemudaan, tetapi keberaniajn itu yang terpenting.

Gerakan, melihat kepada aspek keberanian. Siapa yang tidak berdemonstrasi, itulah pengecut, dan penakut, berjiwa kecil dan tidak mampu memimpin. Biasanya, yang memimpin demo dianggap berbisa. Lalu, bukan main lagi kita menyalahkan ahli yang bersikap ulat buku, katanya pemimpin bukan lahir dalam bilik kuliah, jiwa yang berani tidak lahir di masjid sahaja.

Abul A’la al-Maududi menyebut dalam satu tulisan, kalaulah ada berpuluh-puluh ribu orang berjuang di barisan hadapan, maka ketahuilah bahawa masih terdapat berpuluh-puluh ribu orang yang berjuang di barisan belakang. Ada juga istilah menarik saya dengar, ia agak lucu dan menggelikan hati. Jamaah nombor satu, akademik bukan nombor dua. Saya cukup muak dengan istilah yang melucukan ini. Habis tu, akademik nombor 10? Atau 20?

Kenapa kita mesti mengasingkan akademik dengan jamaah? Kita telah menyempitkan erti keluasan jamaah yang kita fahami selama ini. Syumuliah, itu konsep dalam jamaah. Seorang ahli yang cintakan ilmu memberitahu saya bahawa ia cintakan ilmu, sangat ghairah menuntut ilmu dan tidak sukakakan aktiviti yang agak haraki. Saya katakan kepadanya, tidak mengapa. Teruskan mencari lautan ilmu, belajar sampai PhD, tetapi kamu mesti bantu Islam dengan cara keilmuan yang kamu miliki.

Terbukalah wahai sahabat. Kenapa mesti dicemuh orang yang tidak berdemonstrasi sedangkan mereka boleh membantu kita daripada banyak sudut. Mereka juga punya citarasa tersendiri dan ada pandangan tersendiri. Ya, siapa yang tidak muak dan meluat dengan demonstrasi dan gerak kerja yang asyik menyerang bukan menerang bahkan gerak kerja tersebut mengalahkan kerja-kerja dakwah yang seharusnya dilaksanakan. Saya juga sudah meluat dengan kerja-kerja sebegini kerana apa? Kerana banyak kerja mencari populariti, agar lensa tertumpu kepada kita, sedangkan dakwah dan tarbiah terabai.

Jamaah kini hanya tertumpu untuk melahirkan siapa jagoan dalam bidang demonstrasi. Jamaah kini terfokus kepada gerak kerja menyerang dan mencantas sesiapa sahaja. Ramai yang boleh berjaga malam menjaga banner, tetapi jamaah tidak mampu melahirkan orang yang ke hospital melawat orang sakit. Kebajikan mahasiswa diperjuangkan hanya dengan air liur, mengkritik dan terus mengkritik, kelak bila mereka berkuasa, mereka sendiri entah mampu atau tidak dengan krtikan-krtikan tersebut. Semasa tidak berkuasa, mereka pandai mencari kesalahan pemimpin untuk dipamerkan, dan disalahkan. Apabila mereka berkuasa, mereka sendiri berselindung di sebalik wajah yang penuh kepuraan.

Sedarlah, inilah yang berlaku saat dakwah memasuki dunia politik. Saya bukan berniat menyalahkan sesiapa, dan membuka pekung di dada, tetapi ia sebagai bahan muhasabah dan peringatan bersama. Kononnya mereka mampu memimpin apabila memegang tampuk Majlis Perwakilan Mahasiswa, tetapi ternyata ramai juga yang mengkritik upaya mereka semasa mereka berkuasa dahulu. Hanya air liur dan kepetahan berbicara, itu sahaja modalnya.

Maafkan saya... Read More......

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE