Isnin, 30 Mac 2009

SUDAHKAH KITA MEMBACA AL-QURAN


Saya memulakan perjalanan saya bertemu dengan seorang ulama yang tersohor di Kelantan. Ustaz Mohamad Mustafa, seorang yang mempunyai perwatakan yang menarik, mesra dan sangat dekat di hati masyarakat. Saya kira, ciri kemesraan yang dimiliki oleh beliau adalah antara yang terbaik dan inilah faktor yang mengekalkan beliau sebagai seorang YB di kawasannya Demit.

Mesra sekali perbualan saya dengan beliau, sama ada melalui corong HP mahupun secara berdepan. Kemesraan itulah yang terus mengikat saya dengan beliau dan saya terus menganggap beliau sebagai seorang ayah yang berwibawa.

Beliau berkata,

“Orang Barat tidak takutkan umat Islam kerana:

“Mereka telah meninggalkan al-Quran

“Jika mereka membaca al-Quran sekalipun, mereka tidak memahaminya

“Jika mereka memahaminya, mereka tidak akan beramal dengannya

“Malah, jika mereka beramal dengan isi kandung al-Quran, amalannya tidak cantik

“Bahkan, jika amalan mereka cantik, ia tidak bertahan dalam masa yang lama”.



Saya terkedu mendengar ulahnya. Benar, umat Islam masa sekarang berada di bawah kerana mereka telah meninggalkan al-Quran dan ajarannya. Sedangkan Barat telah menjelajah hingga ke Andalusia suatu ketika semata-mata ingin mengambil pedoman tamadun yang terdapat dalam al-Quran.

“Guru, berikan lagi nasihat guru kepada saya. Saya amat dahagakan ilmu dan air nasihat daripada guru,” saya merayu kepadanya, sungguh-sungguh. Saya sesungguhnya sangat mencintai ilmu dan pesan-pesan hikmah daripada seorang yang bertaraf mahaguru haraki sepertinya.

“Anakku, dalam gema Iqra’, ada tujuh tuntutan yang harus engkau tunaikan. Barulah engkau akan menjadi muslim negarawan yang mewarisi kebijaksanaan Iqbal. Sesungguhnya ayah Iqbal pernah berpesan kepada beliau,

“Dahulu, sahabat nabi yang menjadi Generasi al-Quran. Sekarang tugas kamulah untuk menjadi Generasi al-Quran tersebut”.

“Tujuh tuntutan yang terdapat dalam Iqra’ ialah:

“Hendaklah kamu sentiasa membaca al-Quran

“Hendaklah kamu memperbetulkan bacaan al-Quran

“Bacalah dan fahamilah makna dan inti pati al-Quran

“Hayati dan beramallah dengan seruan al-Quran

“Bacalah al-Quran sehingga kamu mampu mengajarkannya

“Bacalah sehingga al-Quran menjadi bahan bacaan massa

“Martabatkan al-Quran sehingga ia menjadi dasar dan perlembagaan negara”.

Saya terkedu mendengar tujuh tuntutan Iqra’ tersebut. Ternyata tuntutannya terlalu besar dan sukar sekali untuk ditunaikan. Saya dapat melihat betapa jauhnya jurang antara Generasi al-Quran terdahulu berbanding sekarang.

“Guru, jika beginilah tuntutan al-Quran, maka bagaimana bisa saya mampu menunaikannya? Patutlah umat Islam masa sekarang masih belum mencapai kemenangan kerana untuk memenuhi tuntutan kedua pun, ia cukup berat dan menyesakkan”.

Guru tersenyum memandang kepadaku. Beliau menggosok-gosok bahu kananku seraya melemparkan satu cabaran yang tidak terlupakan,

“Pernahkan kamu membaca al-Quran berserta terjemahannya sebanyak 30 juzu’?”

Bertemu al-Syatibi

Malam selepas bertemu dengan al-Fadhil Ustaz, saya bermimpi berjumpa Ibnu Mas’ud. Beliau mendendangkan bacaan ayat al-Quran dengan suara yang merdu sekali. Layaklah jika beliau digelar sebagai seruling Nabi Daud dengan kemerduan suaranya itu.

“Wahai anakku, jika jiwa kamu keluh kesah, maka mengajilah al-Quran kerana ia adalah kalamullah dan penawar yang berkesan. Orang yang tidak membaca al-Quran hati mereka akan menjadi gelap sebagaimana gelapnya malam. Mereka jauh daripada rahmat Allah”.

Saya mendengar nasihat sahabat besar nabi itu sungguh-sungguh. Sekonyong-konyong kemudian, satu sosok tubuh datang melayang-melayang kepadaku. Masya Allah, saya terkejut sama sekali. Wajah itu memang tidak pernah saya lihat, namun hati saya kuat menyatakan itulah al-syatibi, pengarang kitab al-Itqan yang terkenal.

Sahabat besar nabi yang berada di hadapanku sudah lesap entah ke mana. Saya menyalami dan mencium tangan al-Syatibi. Rasanya saya amat bertuah kerana dapat bertemu dengan ulama terkenal seperti beliau. Dua anugeraj besar saya perolehi dalam satu mimpi.

Bertemu dengan Ibnu Mas’ud adalah satu keluarbiasaan yang jarang diperolehi. Beliau sahabat nabi yang berdamping dengan al-Quran dan bersahabat dengan al-Fatihah. Al-Syatibi pula seorang alim dalam bidang al-Quran, yang tiada tolok banding.

“Mereka tidak yakin,” al-Syatibi memulakan bicaranya. “Orang zaman sekarang tidak yakin dengan al-Quran. Mereka tidak berubat dengan al-Quran,” bisik al-Syatibi kepadaku.

“Lihatlah Ka’ab bin Malik yang telah mengubati penyakit ketua sebuah kampong dengan hanya membaca al-Fatihah. Sedangkan umat akhir zaman berubat dengan doktor dan sebagainya tetapi mereka meninggalkan al-Quran.

Saya terduduk mendengar nasihatnya. Saya sedar, itu satu nasihat yang jujur dari seorang ulama kepada orang semacam saya. Nasihat itu pahit namun ia adalah ubat. Pahit untuk mencapai manis.

“Anakku, sudahkah kamu menghafal al-Quran dan mengulanginya?” Tanya al-Syatibi perlahan. Saya diserang rasa malu yang amat sangat. “Saya menghafalnya guru namun banyak juga yang luput daripada ingatan saya,” rasa malu menerjah saya dari segenap pelosoh hati.

“Alangkah malangnya kamu wahai muridku,” raung al-Syatibi sambil menangis. “Bagaimana kamu melaksanakan tahajud sedangkan kamu membaca ayat yang sama setiap malam? Apakah kamu tidak berasa malu kerana membaca ayat yang sama saban malam?”

Saya kemudiannya tersedar daripada tidur. Bau wangi altar di tangan ulama besar tadi masih terlekat di tangan saya. Namun jauh dari sudut hati, saya berasa malu sangat apabila mendapat teguran sebegitu daripada al-syatibi.

Aku Tidak Akan Memilih Rukhsah

Al-Quran diturunkan oleh Allah bukan sekadar mempamerkan keindahan bahasa malah sebagai petunjuk yang bermakna. Ia merupakan zikir yang paling besar. Hassan al-Hudhaibi biasa melazimi 10 juzu’ setiap hari membaca al-Quran tanpa berasa jemu. Malah al-Syafei mengkhatamkan dua kali al-Quran dalam sehari sewaktu bulan Ramadhan.

Saya bertanya dalam usrah. “Naqib, apakah al-Quran sudah menjadi bacaan arus perdana ahli jamaah?”. Naqib saya terdiam. Sahabat-sahabat saya dalam Persatuan Mahasiswa Islam turut terdiam.

Diamnya mereka bagi saya menunjukkan bahawa al-Quran masih jauh daripada hati dan jiwa ahli jamaah. Mereka lebih suka membaca bahan politik dan blog yang memuatkan pelbagai teori konspirasi.

Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan berbual-bual dalam internet. Atau mereka lebih suka dengan kegiatan demonstrasi tetapi Subuh dan Maghrib mereka lengang daripada al-Quran. Ini merupakan satu kerugian yang sangat besar.

“Naqib, kita semua masih berada di tahap malas membaca al-Quran sedangkan Imam Ahmad telah sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan kesucian al-Quran. Beliau sanggup berdepan dengan kekejaman Khalifah Makmun bin Harun al-Rasyid”.

“Beliau tidak memilih rukhsah atau keringanan demi memuliakan al-Quran,” sambung saya lagi. Kelihatan semua mengangguk-angguk. Kemudiannya naqib meminta kami semua membuka al-Quran dan membaca bersama-sama. Rupanya, kalangan kami pun masih ramai yang tergagap-gagap membacanya.

Imam Ahmad sangat tegar membela kesucian al-Quran. Di saat bahana pemikiran Syi’ah melanda, menempikkan bahawa al-Quran adalah makhluk bukannya kalam. Maka Imam Ahmad dan dua orang lagi sahabat beliau mempertahankan al-Quran sebagai kalamullah.

Beliau akhirnya telah diseksa pada zaman Khalifah Makmun dan berakhir setelah melalui tiga generasi khalifah. Beliau keluar daripada penjara dalam keadaan yang sangaat gering.

“Namun kita pun masih tercungap-cungap membaca al-Quran,” kata saya mengakhiri bicara.





4 Cadangan/Pandangan:

alfatonah on 30 Mac 2009 pada 9:37 PG berkata...

btl ustaz. zaman shbt dahulu ramai penghafaz2 al quran yg syahid sehingga mnyukarkan saidina usman utk mmbukukan alquran

Marwan Bukhari on 30 Mac 2009 pada 9:09 PTG berkata...

entahlah... soal membaca al Quran merupakan antara segmen yg menyebabkan saya resah bila memandang kpd ahli gerakan Islam... tidak masuk lagi bab ikhtilat n adab dgn pihak lawan... mereka hny galak berpolitik...

bah berkata...

syukurlah Allah masih memberi kesedaran..

cumanya..?
"apakah sumbangan kita dalam hal ini?"

Tanpa Nama berkata...

Salam
Dzul
Anta ni ustaz, tulisan anta kena banyak sikit rujukan ulamak macam tulisan Dr MAZA dan Wan Jie, baru kitaorang boleh guna untuk berdebat dengan UMNO.

Macamana anta nak terapkan tarbiyyah kamiliyyah jika format tulisan anta tak ubah. Baru boleh lawan geng UMNO dan geng jumud dalam PAS.

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE