Assalamu alaikum, harap di sana sihat dan mendapat keberkahan bumi Kinanah.
Bagi ana, bumi Kinanah cantik namun ia tercemar dengan kezaliman ‘Firaun’. Ana sangat berharap dapat ke sana bertemu enta dan kawan-kawan yang lain. Jika ada masa.
Ana ingin ke sana kerana tiga sebab. Bertemu enta, membeli buku, dan bertemu ahli gerakan di sana. Malah, juga ingin berbudaya dan menghirup udara Iskandariah.
Sungai Nil tidak lagi mengalir selepas mendapat surat daripada Umat al-Khattab. Jamiah Azhar juga sekarang kurang berseri selepas pelajar Malaysia disekat ke sana semacam dahulu. Jika Amr bin al-‘As masih hidup, pasti beliau kecewa dengan kerajaan Malaysia.
Ana memahami inspirasi enta ke Mesir. Ingin menambah ilmu dan menceduk maklumat. Sangat Bagus. Dan ana memahami pasti, enta berhadapan dengan dua jalan. Memfokuskan kepada ilmu atau menumpukan kepada gerakan.
Ini dilema ana juga. Namun ana memahami pesan Umar, “Faqihkan diri sebelum memimpin”.
Apabila mendengar masalah enta, ana terasa amat sedih hingga sekarang. Mengapa masih lagi orang yang menumpukan perhatian kepada ilmu mengalahkan aktiviti persatuan tidak mendapat tempat dalam gerakan kita?
Mengapa apabila kita menolak ingin aktif dalam persatuan kerana ingin menumpukan perhatian kepada ilmu, maka kita diketepikan?
Maka gerakan kita di Malaysia khususnya melahirkan ahli politik yang baik tetapi kurang melahirkan ilmuan. Melahirkan nuqaba’ yang baik tetapi ilmu menipis. Ia sangat rugi.
Sekirnya politik mendapat tempat dalam gerakan, maka keilmuan dan ilmuan juga begitu. Sepatutnya ada ruang khusus untuk golongan yang cintakan ilmu lebih daripada politik.
Ada kawan kita, tidak berminat dengan demonstrasi tetapi berminat dengan buku. Ada kawan kita, lebih berminat dengan seminar daripada program persatuan yang berbentuk sukan. Maka salahkah mereka?
Bagi ana, orang semacam enta perlu diberikan ruang. Apakah saluran aktivisme orang semacam enta sebenarnya agar enta tidak hanya menumpukan kepada ilmu.
Maka ana memberikan beberapa contoh.
Pertama: Enta boleh menghidupkan kelas-kelas ilmu. Enta mendapat ilmu dan enta memberikan ruang kepada ilmu.
Kedua: Enta menulis artikel ilmu. Lalu ia membantu enta untuk mengukuhkan ilmu di dada. Atau, enta beranikan diri membentuk team penterjemah kitab. Terjemahkan untuk kebaikan ahli gerakan.
Ketiga: Enta membantu orang yang aktif dalam persatuan dari sudut nota dan study group.
Keempat: Enta mengepalai kumpulan ilmuan untuk membantu persatuan menerbitkan buku sendiri atau CD. Boleh juga memberikan pulangan ilmu dan kewangan kepada persatuan.
Banyak ruang sebenarnya. Enta boleh melakukan kerja yang tidak dapat dilakukan oleh orang yang aktif dalam bentuk lain. Maka sebenarnya enta pun aktivis, Cuma dalam sektor lain.
Namun ana yakin, pasti ramai yang kurang bersetuju dengan idea ana. Ada yang marahkan ana apabila ana mempertikaikan konsep “Jamaah nombor satu dan akademik bukan nombor dua”.
Konsep itu telah mengasingkan antara akademik dengan jamaah. Walhal kedua-duanya bagi ana sama. Akademik adalah elemen jamaah, bukan hanya politik atau tarbiah atau dakwah.
Kenapa orang berminat dalam bidang politik atau tarbiah atau dakwah mendapat tempat sedangkan orang akademik tidak?
Bukankah ahli falsafah Yunan menjadi pemangkin kekuatan peradaban mereka? Bukankah Tuhan tidak mengizinkan semua pergi berperang? Bukankah Ulul Amri mengikut ulama membawa dua maksud iaitu ulama dan umara?
Namun ramai yang keliru.
Mereka bimbang sebenarnya. Jika orang menumpukan kepada akademik dan mengetepikan persatuan. Maka menjadi tanggungjawab enta untuk meyakinkan mereka.
Bahawa akademik penting untuk membantu jamaah sebagaimana pentingnya tarbiah. Adalah benar kata enta pandai bercakap tidak semestinya berilmu. Malah ia adalah hampas dan habuk.
Ana mendokong enta, adik. Ana mengenali enta di Malaysia lagi. Malah ana menasihati adik-adik enta di kampus dulu, agar ada yang mengikut jejak langkah enta.
Sesungguhnya Madrasah al-Qadiriyah yang diasaskan oleh al-Jilani bertujuan melahirkan aktivis Islam yang berilmu untuk membantu kepimpinan Islam. Buktinya mereka membantu al-Zanki. Ibnu Naja membantu al-Ayyubi.
Sheikh Bayram, Sheikh Kuran dan Sheikh al-Wali membantu al-Fatih. Al-Suhrawardi membantu al-Zanki. Arwah Tok Guru Haji Lah dan Tok Guru Haji Hasyim malah abang enta pula membantu Tok Guru Nik Aziz.
Sheikh Daud Patani pernah melemparkan nasihat kepada Tok Janggut agar menghalau penjajah. Shaikeh Ahmad Zain Patani juga pejuang Islam. Tokku Paloh mempertahankan Terengganu. Abdul Rahman Limbong juga ulama pejuang.
Mereka golongan ilmuan. Mereka membantu Islam mengikut kapasiti mereka.
Adik yang ana kasihi,
Pernahkah enta mendengar kata-kata seorang sahabat kepada nabi SAW, jika tidak silap ana, Sa’ad bin Muaz. “Ya Rasulullah, jika orang lain mengetahui tentang peperangan ini (Badar), pasti mereka akan bersama kita”.
Al-Maududi menyebut, “Jika ada puluhan ribu berjuang di barisan hadapan, maka ketahuilah ada puluhan ribu lagi yang berjuang di barisan belakang”.
Kelemahan jamaah adalah tidak meletakkan orang pada posisi yang tepat. Kata nabi, “Jika dia pengawal, dia bekerja sebagai pengawal. Jika dia panglima, dia melaksanakan tugas sebagai panglima”.
Kata orang Arab, “Pemuda berada dalam posisinya masing-masing”.
Adik,
Ketika ana menziarahi abang enta, beliau mengeluh. Kata beliau, “Tok Guru mengadu tentang kurangnya orang alim di Malaysia sekarang”. Apatah lagi setelah pemergian Arwah Tok Guru Haji Lah dan arwah Tuk Guru Haji Atiqullah serta tuanya Tok Guru Haji Hasyim.
Al-Qaradawi menyatakan sama sahaja kedudukan orang menuntut ilmu dengan orang berjuang. Teruskan menuntut ilmu dan salurkan aktivisme enta mengikut posisi terbaik. Teruskan, dan menjadi tanggungjawab enta untuk menjadi penasihat kepada jamaah dan membantu pimpinan dari sudut ilmu.
Tegurlah pimpinan. Jangan rasa gentar dan gementar. Nasihati mereka sebagaimana al-Ghazali menasihati sultan. Atau sebagaimana Khaulah yang memberi nasihat kepada Umar al-Khattab.
Ana bersama enta, meskipun ia sangat kontroversi. Doakan ana.
(Surat ini saya tujukan kepada adik saya, Wan Saifullah Wan Abdul Ghani, mantan YDP Persatuan Mahasiswa Islam UTMKL yang telah melanjutkan pelajaran dalam bidang Lughah di Mesir)
0 Cadangan/Pandangan:
Catat Ulasan