Rabu, 8 April 2009

KEMBARA KE DAMASKUS


Saya ingin bercerita kepada kalian pengalaman benar saya. Ia merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin mampu saya lupakan, malah ia antara pengalaman terindah pernah saya lalui. Secara jujur, kisah ini bukanlah untuk membongkarkan rasa angkuh saya, tidak sama sekali. Malah saya menghulurkan kisah ini sebagai satu pedoman bersama agar kita dapat menceduk sebanyak mungkin kebaikan yang terhidang di dalamnya.

Saya bertemu dengan Nuruddin al-Zanki pada hari itu. Anak kepada Imaduddin al-Zanki itu ternyata mewarisi kesolehan dan kepintaran ayahanda baginda dalam bidang kepimpinan dan pentadbiran. Malah keimanan baginda terpancar pada sekerdup wajah yang jernih lagi bersih.

Bagindalah yang telah menggagalkan perancangan Yahudi yang cuba merampas jenazah Nabi SAW. Rasulullah singgah dalam mimpi baginda untuk memohon pertolongan agar baginda menyelamatkan jenazah nabi yang mulia itu. Saya ketika berjalan di sekitar pasar kawasan pemerintahan al-Zanki ada mendengar perbualan beberapa orang.

“Sultan seorang yang berhati mulia. Baginda sangat menjaga kebajikan rakyat. Malah baginda telah menghapuskan semua bentuk cukai yang menyusahkan rakyat,” kata seorang lelaki yang sedang menjual buah kurma.



“Benar,benar. Kawasan Damaskus hinggalah ke Syam, bumi Mesir mahupun Aleppo, semuanya aman bahagia di bawah kepimpinan Sultan Mahmud Nuruddin al-Zanki. Malah, kaum perempuan bebas berjalan ke sana sini tanpa bimbang dengan sebarang gangguan yang hinggap,” balas penjual minuman di sebelahnya.

Saya semakin tertarik mendengar perbualan kedua-dua penjual itu. Sudah banyak saya membaca sejarah tentang sultan yang mulia ini, kali ini saya mendengar secara langsung daripada mulut rakyatnya sendiri.

Melihat Sultan Di Hadapan Mata

Tiba-tiba, heboh suasana pasar. Masing-masing yang berada di tengah mula ke tepi. Saya bersembunyi di sebalik mereka yang berbadan lebih besar dari saya. Sebenarnya tidak hairan jika saya berbangsa asing di bumi Lagenda 1001 Malam ini kerana ramai bangsa dari negeri lain yang berdagang di sini. Mereka ingin menghirup kedamaian yang terpancar di bawah kepimpinan Islam sejak zaman pemerintahan keturunan al-Zanki.

Rupanya Sang Sultan yang datang. Beliau sederhana sekali membuatkan saya terpaku. Pakaiannya tidak menampilkan baginda sebagai seorang pemerintah. Namun baginda sangat berkarismatik. Tegap dan kekar tubuh badan baginda yang sememangnya terlatih.

Baginda datang mendengar Abu Uthman al-Muntakhab dan Abu Muhammad al-Wasithi menyampaikan kuliah. Kemudiannya Abu Uthman dengan beraninya menyampaikan syair dengan bertujuan mengkritik dan menasihati Sang Sultan. Saya ada menghafal sedikit daripada bait syairnya,

“Dulu engkau begitu agung,
Namun kini terkubur di alam kematian,
Dengan penuh kehinaan”

“Engkau digiring ke alam perhimpunan besar,
Dengan tubuh telanjang, sedih, menangis dan gusar,
Tanpa ada seorang manusia pun menolong”

Sang Sultan yang mendengar menangis teresak-esak. Jika sultan pada zaman sekarang mendengar kritikan terbuka kepada mereka, pasti tindakan akan diambil. Namun Sultan al-Zanki berbeza orangnya. Malah beliau senang sekali mendengar tegur nasihat daripada ulama-ulama.

Malah tradisi al-Zanki yang suka bersama ulama ini diteruskan oleh al-Ayyubi yang sentiasa mengadakan majlis muhasabah bersama ulama setiap hari Isnin dan Khamis. Maka di situlah peluang untuk para ulama memberikan teguran dan nasihat serta pandangan kepada pemerintah mereka.

“Sultan selalu menangis mendengar nasihat para ulama. Baginda sangat menghormati dan mengasihi ulama. Malah baginda telah menyambut kedatangan Qutbuddin al-Naisaburi al-Syafei dengan penuh terhormat dan kemuliaan,” seorang pemuda kelihatan sedang berbicara dengan rakannya di sebelah. Saya memasang telinga mendengarnya.

Ulama di Zaman Kebangkitan al-Zanki

Saya mengambil kesempatan bertemu seorang makcik tua yang sedang membaca al-Quran di tepi pasar. Bukan hanya makcik tua itu yang menatap al-Quran malah begitu juga dengan penjual yang lain. Sementelahan menanti kedatangan pembeli, mereka akan membaca al-Quran. Ada juga kalangan mereka yang menghitung tasbih.

Mereka tidak lagi timbul perasaan riya’ untuk berperilaku begitu lantaran hampir semua orang melakukan perkara yang sama. Suasana ini tidak pernah timbul sekali di zaman saya sekarang. Serta-merta, rasa sayu menampar-nampar ulu hati dan mendesak air mata untuk keluar.

Berikut adalah perbualan saya dengan makcik tersebut yang telah saya terjemahkan dalam Bahasa Melayu untuk memudahkan anda memahaminya.

“Assalamualaikum makcik, saya Khair dari sebelah Asia. Boleh saya mengambil sedikit masa makcik,” sapa saya seramah mungkin. Makcik itu mengukir senyum sambil membalas salam saya. Beliau mencium mashaf al-Quran dan berhenti daripada membacanya. “Ada apa nak?” tanya makcik tersebut dengan ramah.

“Saya baru sahaja sampai dari sebelah Asia. Saya telah mendengar pelbagai cerita berkenaan Sultan al-Zanki. Saya harap saya dapat mendengar tentang kisah sultan yang mulia daripada makcik jika makcik tidak keberatan,” saya memulakan perbualan dengan teratur. Saya sedaya upaya menyantuni makcik yang berwajah bersih itu.

Usahlah saya menceritakan satu-persatu perbualan kami. Saya simpulkan sultan yang dikatakan sebagai Khalifah keenam terbaik selepas Umar Abdul Aziz ini sebagai bukan sahaja seorang pemerintah yang mementingkan keilmuan dan menghormati ulama, malah seorang pentadbir yang cekap dan panglima perang yang sangat berani. Makcik tadi juga menceritakan apakah faktor yang melahirkan figure besar seumpama beliau yang ternyata pada zaman Imam al-Ghazali dan Sheikh Abdul Qadir Jailani lagi.

Beberapa ulama besar telah lahir pada zaman kepimpinan Islam. Sheikh Adi bin Musafir lahir di sebuah desa bernama Bait Far yang terletak di kawasan al-Biqa’, sebelah barat Kota Damaskus. Beliau merupakan murid kepada al-Jailani, al-Suhrawardi, al-Hulwani, al-Manbaji, al-Dabbas dan juga al-Jili. Malah beliau dipuji-puji oleh al-Jailani, Ibn Taimiyah, Ibnu Khallikan, al-Zahabi, Ibnu Khallikan dan juga al-Tadifi. Pujian terbesar dilemparkan kepada beliau oleh mahaguru sufi al-Jailani,

“Jika kenabian dapat dicapai dengan mujahadah, maka Sheikh Adi bin Musafir telah berhasil mencapainya”.

Ramai lagi ulama yang lahir ketika itu juga mana mereka bukan sahaja ulama sufi malah ulama yang juga menjadikan jihad dan amar ma’ruf nahi mungkar sebagai darah daging mereka. Antara nama yag sempat saya ingat ialah al-Suhrawardi, al-Harrani,al-Hiti, al-Jausaqi, al-Kurdi dan ramai lagi. Masing-masing kalangan mereka memiliki madrasah tersendiri yang telah melahirkan begitu ramai tokoh terbilang dalam lipatan sejarah.

Bertemu Anak Gabenor Mosul

Saya kebetulan bertemu dengan anak Gabenor Mosul. Saya tidak mahu melepaskan peluang bertemu dan berbincang dengan beliau meskipun antara kami sangat jauh. Ayah beliau seorang gabenor yang zahid lagi abid. Rupanya, ayah beliau pernah ke Baghdad untuk menuntut dengan al-Ghazali dan al-Syasyi.

Menurut pemuda itu, ayah beliau bernama Marawan bin Ali bin Salamah bin Marwan bin al-Tanzi.

“Saudara, boleh saudara ceritakan apa kekuatan pada zaman pemerintahan sultan?”

Beliau menarik sedikit nafas sebelum memulakan bicara. “Saudara yang amat saya kasihi, ada enam elemen yang sangat dipentingkan dalam kepimpinan sultan yang mulia ini.

“Baginda anat menekankan persiapan masyarakat Islami dan membersihkan kehidupan daripada budaya dan pemikiranh yang songsang.

“Baginda membangunkan pengurusan dan pentadbiran kerajaan yang Islami dengan memasyaraktkan keadilan.

“Baginda berusaha menghilangkan permusuhan antara mazhab.

“Baginda meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan membangunkan pelbagai fasiliti dan infrastruktur umum.

“Malah baginda membangunkan kekuatan ketenteraan dan menghapuskan kerajaan kecil yang memberontak”.

Rupanya, Sultan al-Zanki benar-benar telah melengkapi syarat yang berbentuk sunnatullah dan syari’atullah. Jiwa yang bersih dan kepimpinan yang efektif dan efisien. Malah baginda merupakan pemimpin yang menjadi inspirasi kepada pembangunan kejiwaan rakyat. Sehingga dunia ini hanya dijadikan tempat singgah dan bercucuk tanam demi meraih keuntungan dan laba yang besar di akhirat”.

Pembangunan Yang Memukau Mata

Saya mengambil kesempatan berjalan di Damaskus. Damaskus ketika itu berbeda sama sekali dengan tempat lain yang pernah saya ziarahi. Kota Aleppo, bumi Dimasyq, Mesir yang gah dengan piramid; sepanjang pengembaraan saya, ternyata Damaskus subur dengan tanahnya dan pembangunan yang terbina sepanjang pemerintahan keluarga al-Zanki.

“Sultan tidak memiliki istana, pembantu, aksesori mahupun pelayan wanita. Malah sultan sangat membenci hiburan. Dalam masa yang sama, sultan mengenakan cukai yang berpatutan dengan kemampuan kami,” seorang petani menceritakan kepada saya.

Saya melihat burung-burung yang berterbangan. Pasti mereka berasa sangat bahagia di bawah kepimpinan sultan. Malah kesuburan tanah adalah petanda turunnya rahmat Allah ke Damaskus. Teringat saya dengan satu syair yang menandakan kegemilangan Islam,

“Wahai burung, terbanglah ke mana sahaja yang kamu suka. Kamu tetap berada di bawah langit orang Islam”.

Saya berjalan-jalan lagi di sekitar kawasan pertanian itu. Alangkah, indahnya bumi ini. Seolah-olah ia syuuga dunia. Ke mana-mana sahaja, pasti saya akan disambut dengan senyuman orang yang lalu lalang berserta salam yang penuh kemesraan. Meskipun kami tidak mengenali antara satu sama lain, namun ternyata ukhuwah Islamiah mengatasi segala-galanya.

“Berhati mulia dan berjiwa besar,” seorang pakcik menceritakan kepada saya. Beliau sedang sibuk mengangkat barangan ke atas keldai. Rakyat di bawah kepimpinan al-Zanki diberi ruang dan peluang untuk memanfaatkan tulang empat kerat mereka. Bekerja sendiri meskipun pendapatan sedikit lebih baik berbanding meminta-minta.

“Sultan berjiwa besar. Meskipun pajak yang dikenakan sedikit, namun dengan hasil yang sedikit tetapi berkat itulah sultan boleh membiayai ketenteraan, mendirikan ratusan sekolah, masjid dan rumah sakit dan membangun pagar dan benteng di pelbagai kota”.

“Ya,” isterinya mencelah. “Sultan telah mendirikan banyak asrama dan tempat tinggal di sepanjang jalan untuk pedagang yang dating, pasar-pasar dibangun membolehkan kami mencari rezeki, pertanian hidup sebagaimana yang anak saksikan sekarang, pembangunan kota yang sangat indah dan teratur,”.

“Orang asing semacam saudara juga mudah mendapat kerja jika mahu. Malah, jika saudara ingin belajar, saudara akan mendapat bantuan dan kemudahan yang tersedia. Malah semuanya ditanggung,” anak perempuan mereka pula mencelah.

Eisya, cantik nama gadis muda yang berusia 19 tahun itu. Saya hanya melemparkan senyuman kepadanya. Malangnya perbezaan masa memisahkan kami. Saya datang dari tahun 2009 sedangkan mereka masih berada dalam tahun sekitar 500-566 Hijriah. Jadi secara sebenarnya, Eisya adalah nenek moyang saya.

“Bayangkanlah saudara,” Eisya menyambung bicaranya. “Kawasan al-Ma’arrah menghitam kerana lebatnya tanaman zaitun, tin, kacang fustuq, malah di pinggiran kita ini, terdapat dataran yang sangat luas yang nyaris tertutup dek rimbunnya kebun anggur, sawah dan ladang. Saudara tidak akan dapat melihat keindahan ini melainkan di Damaskus yang diberkati,”.

Saya mengangguk kekaguman. Benar kata Eisya tentang keindahan Damaskus pada zaman mereka. Mereka tidak mengetahui bahawa bumi Constantinople adalah jauh lebih indah dan memukau. Namun saya diamkan sahaja, kelak mereka akan diserang rasa kehairanan jika saya mengungkapkannya.

“Saudara tau tentang kegiatan keilmuan yang rancak di Andalusia?” Tanya Eisya lagi mengejutkan saya daripada lamunan. “Andalusia yang dibukan oleh Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusayr juga lambang kekuatan ilmu umat Islam. Tamadun Andalusia tamadun terindah,” kata Eisya bersungguh-sungguh.

“Benar katamu, Eisya. Masih lagi terkenang saya dengan kepimpinan Abdul Rahman al-Dakhil yang berjaya membawa tamadun Andalusia ke mercunya. Malangnya umat Islam sudah kepenatan ketika itu untuk membebaskan Perancis dan memberikan nafas baru yang lebih nyaman kepada mereka,” saya menambah.

Kami berjalan menyusuri kawasan pertanian yang indah itu. Keluarga al-Zanki sangat menitik beratkan keindahan alam dan keseniaan binaan. Mereka menghidupkan aktiviti pertanian dan memberikan ruang pekerjaan kepada rakyat agar masa tidak terbuang begitu sahaja.

Ulama menghidupkan madrasah. Petani berbakti kepada alam. Tentera menjaga keselamatan rakyat. Suasana ukhuwah disemai sebaliknya. Kegiatan perniagaan digalakkan. Seniman tidak disisihkan. Tamadun Islam, begitulah.

Al-Farabi antara seniman yang unggul. Pernah dalam satu majlis, beliau menunjukkan kehandalan beliau dalam bermain alat muzik. Muzik pertama, membuatkan semua yang hadir berasa gembira. Alunan muzik kedua membuatkan semua berasa sedih dan alunan muzik ketiga membuatkan semua orang tertidur. Inilah erti kesenian yang unggul.

“Saudara,” Eisya memulakan rentak bicara. Gadis ini mulus dan telus sekali. Senang dibawa berbicara. “Pustaka Diraja Cordova memiliki ratusan ribu kitab dan terdapat 500 orang yang ditugaskan untuk menyalin kitab,” terang Eisya. Saya tergaman mendengarnya.

“Pustaka al-Hakam II mempunyai 40 ruangan. Setiap ruangan terdapat 18 ribu kitab. Malah ketika itu terdapat 1000 institut pengajian peringkat tinggi,” jelas Eisya lagi. Alangkah, tamadun Islam sangat menggalakkan kegiatan keilmuan. Ahli sejarah Barat menyebut, ketika umat Islam zaman Harun al-Rasyid sibuk dengan kegiatan penterjemahan, orang Eropah baru belajar menulis nama sendiri.

“Eisya, saya juga mendengar, setiap orang pada zaman keemasan Andalusia sibuk membina pustaka mini di rumah masing-masing. Andai ada seorang pemuda yag meninggal dunia di Castille, buku-bukunya akan dijual di Seville,” giliran saya pula berkata.

“Benar saudara. Malah saya menjadikan Aisyah binti Ahmad bin Qassim sebagai contoh saya. Beliau antara orang yang memiliki perpustakaan peribadi terbesar di Andalusia,” Eisya menyambung lagi bicaranya. Rasanya amat bermakna sekali pertemuan saya dengan gadis Damaskus ini.

Bersama Sheikh al-Naisaburi

Saya kemudiannya bertemu al-Naisaburi kemudiannya dalam satu peristiwa yang tidak terjangka.

“Saya kenal siapa saudara. Saudara datang dengan ketentuan dari Allah,” Sheikh memulakan bicaranya. Ketika itu, saya baru sahaja membaca al-Quran di Masjid al-Jami’ al-Umawi. Saya tersenyum. Saya tidak boleh lagi menyembunyikan identiti saya. Sheikh dikurniakan ilmu kasyaf yang membolehkan beliau mengenali siapa saya.

“Hanya yang arIf mengenal yang arif”.

“Sheikh, saya datang dari jauh atas nikmat dari Allah. Moga-moga, saya mendapat limpahan berkat dari sheikh,” saya bersantun dalam berbicara. Al-Naisaburi memegang bahu saya dan kemudiannya memeluk saya, erat. Bagai pelukan seorang ayah kepada anaknya. Saya menangis dalam sendu.

SubhanaLlah, subhanLlah, subhanaLlah.

Banyak perkara yang kami bincangkan petang itu. Suasana Asar di masjid yang megah ini, masih ramai yang beri’tikaf mencari ketenangan. Al-Suhrawardi sedang menyampaikan pengajian ilmunya di sebuah tiang. Saya tahu, al-Suhrawardi yang alim lagi soleh itu mengetahui kehadiran saya ke sini.

Rupa-rupanya, al-Zanki sangat menjaga kebajikan rakyatnya. Ini menurut al-Naisaburi. Di Damaskus sahaja terdapat 20 buah madrasah dan dua buah rumah sakit. Malah madrasah ketika itu, ada yang mempelajari keempat-empat mazhab yang tersohor dalam Islam.

Terdapat bangunan dan asrama yang seindah istana dengan saluran airnya yang memukau. Sekurang-kurangnya juga, terdapat 100 tempat untuk mandi dan 40 ruang untuk mengambil wudhu’, melambangkan kemegahan dan kekuatan Damaskus di bawah al-Zanki yang dihormati.

Al-Zanki menurut al-Naisaburi adalah seorang sultan yang menjiwai rakyat dan meninggalkan kesenangan dunia. Beliau mewarisi Umar Abdul Aziz dari sudut menjaga kebajikan rakyat dan meningkatkan militari sebagaimana Umar al-Khattab.

Al-Naisaburi kemudiannya memberikan saya banyak nasihat. Beliau berpesan agar meninggalkan syahwat kepada wanita tanpa saluran yang betul, meninggalkan kesedapan dalam menjamah makanan sehingga mendatangkan penyakit dan berpesan supaya saya memperbanyakkan bacaan al-Quran dalam mencairkan kehendak nafsu yang bergelora.

“Anakku, hendaklah engkau menjadi tuan kepada nafsumu, bukan nafsu yang menjadi ikutanmu,” kata al-Naisaburi sebelum saya beredar ke tempat lain.



Mengadap Sultan

Malamnya, ketika saya singgah tidur di sebuah masjid, saya bertemu Sheikh Abdul Qadir Jailani dalam mimpi. Saya rasa amat bertuah apabila seorang mahaguru kesufian sanggup bertandang dalam mimpi seorang yang diliputi dosa seperti saya.

Sheikh memeluk erat saya, sehingga membuatkan saya sebak sekali. Kemudiannya saya mengambil kesempatan mencium kedua belah pipi dan dahinya. Wajah indah dan memukau membuatkan rasa cemburu jatuh ke dalam hati saya.

“Anakku yang dikasihi, pergilah kamu bertemu dengan Sultan Nuruddin al-Zanki dan sampaikan salam aku kepadanya,” kata Sheikh dan kemudiannya terus menghilangkan diri. Saya tersedar dari tidur dan menganggap ia hanya mainan tidur. Saya bangun mengambil wudhu’ dan mengerjakan solat sunat dua rakaat. Ketika itu, satu pertiga malam terakhir belum lagi. Selepas menunaikan solat seraya berdoa memohon petunjuk, saya tidur semula. Sekali lagi saya bermimpikan yang sama.

Esoknya saya ke kediaman sultan setelah tiga kali bermimpikan perkara yang sama. Teringat saya peristiwa sultan yang turut bermimpikan Nabi SAW sebanyak tiga kali yang memohon pertolongan daripada sultan. Saya memohon izin untuk berjumpa dengan sultan dan ternyata tidak banyak dan tidak sukar prosedur untuk bertemu dengan baginda.

Kediaman baginda naïf amat. Hanya ada beberapa aksesori yang layaknya untuk rakyat kebanyakan. Ternyata sultan mencontohi khalifah al-rasyidah dalam banyak perkara. Dan dalam pertemuan yang penuh bermakna itu, saya bertekad akan menggunakan ruang sebaiknya.

“Kita tahu maksud kedatangan tuan hamba,” tiba-tiba sahaja sultan keluar dari biliknya dan terus meluru ke arah saya. Saya terkejut apabila sultan sudah mengetahui maksud kedatangan saya. Sultan memeluk saya dan mempersilakan duduk di sisinya.

“Apa khabar Negara tuan hamba setelah. Usahlah tuan hamba cuba menyembunyikan diri tuan hamba kerana hanya yang arif mengenal yang arif,” ungkap sultan dengan penuh jujur dan dihiasi rasa tawadhu’ yang menyeluruh.

“Negara hamba penuh dengan simpang-siur maksiat yang keterlaluan. Pendokong taghut adalah pembesar yang dinasihati ulama yang jalang,” saya mengisahkannya kepada sultan yang mulia. Sultan kelihatan terperanjat. Saya dapat mengecamnya melalui perubahan riak wajahnya yang putih itu.

“Tiada lagi Ibn Najja bagi al-Ayyubi dan tiada lagi Sheikh Samsuddin al-Wali bagi al-Fateh pada zaman kami. Jika ada sekalipun, mereka telah ditindas dan ditekan layaknya sebagaimana Imam Ahmad yang didera al-Makmun,” saya menceritakan tanpa berselindung.

“Malah Bumi Damaskus ini kemudiannya tidak seindah pada masa pemerintahan tuanku. Tidaklah udara yang bertiup pada akhir zaman melainkan bertiup dengan penuh kebencian lantaran maksiat yang menguasai. Tidaklah air yang membasahi bumi melainkan untuk menangisi tragedi kemusnahan akhlak,” saya menyambung bicara.

Sultan kemudiannya meminta izin kepada saya untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Dalam sujud terakhir, baginda menangis semahu-mahunya. Hati baginda dipenuhi rasa sedih lantaran kemusnahan akhlak pada akhir zaman.

Selepas menunaikan solat, baginda merapati saya.

“Tuan hamba, pulanglah semula ke zaman tuan hamba. Pengembaraan di Damaskus anggaplah ia sudah berakhir. Zaman tuan hamba sangat memperuntukkan pemuda yang berani seperti tuan hamba. Ingatlah pesan saya yang terakhir,

“Berharap dan bergantunglah kepada Allah, agar azab tidak akan menimpa kamu sekalian,” pesan sultan kemudiannya mesuk ke dalam kamar dengan hati yang dipanjat rasa sedih dan sayu.

Pesan tuanku, saya semat dalam hati.

Kemudiannya alam menjadi gelap. Apabila saya sedar dan membuka mata, saya dapati saya bukan berada di Malaysia pada tahun 2009. Sebaliknya saya berada dalam satu medan peperangan yang penuh kecamuk. Seorang pemuda perkasa sedang menunggang kuda dengan penuh keberanian sambil memberikan arahan kepada tentera-tenteranya.

Alangkah, saya berada di mana???






4 Cadangan/Pandangan:

Marwan Bukhari on 8 April 2009 pada 8:53 PG berkata...

subhanallah, tabarakallah...
malu ana membacanya..
ustaz memang insan terpilih

wardatul asrar on 9 April 2009 pada 10:08 PTG berkata...

subhanAllah...

Tanpa Nama berkata...

Subhanallah...moga2 dapat memberi semagat kepada Al-Rijal supaya mencapai Mardatillah..dalam perjuangan...Allahhuakbar..

PUTERI ISLAM on 12 April 2009 pada 6:24 PG berkata...

salam...ust..
ya ALLAH..ana gmbira baca penulisan ni.bnyak iktibar.ust..banyakkan lagi ya..
astagfirulLahala'zim...alhamdulillah..ALLAH
takdirkan ust dengan kelebihan ini.terus berjuang!

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE