Rupanya beberapa orang silap faham dengan tulisan saya yang berjudul “Tajarrud Yang Tergoncang”. Mereka menyangka saya mengeluarkan hujjah saya walhal saya hanya mengemukakan pandangan orang lain terhadap kita dan perkembangan semasa.
Harap dapat mengerti dan meneliti semula dengan baik. Ada masa, saya akan kepilkan dalam artikel saya, satu tulisan yang mengatakan bahawa pembentukan jamaah adalah bid’ah dan bai’ah adalah permainan Khawarij yang diwarisi oleh Gerakan Islam sekarang.
Maka, demi proses pembersihan fikrah supaya ia kekal tajarrud, saya acap kali mencadangkan supaya pembudayaan ilmu subur dalam jamaah. Budaya yang paling sukar ialah budaya membaca dan mentelaah serta budaya berbincang secara intelek. Banyaknya berbaur emosi dan bias.
Apabila seorang adik meminta kepada saya nama-nama penceramah untuk beberapa tajuk antaranya Perlawanan Antara Talut dan Jalut, maka saya sempat memberikan beliau sedikit pesan sebagai seorang abang kepada adik.
“Kita dalam gerakan lebih berminat untuk mengkaji tokoh mujahidin dan ayat-ayat tentang jihad. Lalu kita memilih perjuangan Talut menentang Jalut dan surah hafazan kita ialah Surah al-Saff. Maka perkembangan kita sekitar itulah.
“Mengapa kita tidak cuba mengkaji gaya kepimpinan Umar Abdul Aziz, kebijakan politik yang dibawa oleh al-Zanki, atau lebih baik menyoroti kisah generasi sahabat yang digelar sebagai Generasi Emas.
“Mengapa kita tidak menyuruh ahli kita membaca ayat selain surah al-Saff? Orang yang minat kepada bomoh pula menghafal enam ayat syifa’. Mengapa mesti begitu?”
Maka saya mencadangkan kepada beliau tiga perkara, yang acap kali saya sebut. Bincangkan tiga perkara besar,
1- Wacana tokoh, kaji falsafah hidup dan pemikiran mereka
2- Diskusi buku
3- Wacana isu semasa seperti perubahan yang dibawa oleh Kerajaan Selangor secara fakta yang sahih
Malah perbincangan tentang jamaah mesti diperhalusi secara lebih kritikal agar tajarrud kita tidak mudah digoncangkan. Mungkin kita rasa kita bersedia untuk menjawab segala persoalan yang timbul. Namun kita kena ingat, jawapan mesti secara fakta yang baik dan sahih, bukan semberono.
Keuntungan Lampu Downlight, Hemat Listrik dan Bertahan Lama
5 hari yang lalu
2 Cadangan/Pandangan:
PAS Semakin Subur
Sengaja saya mahu menunggu sehingga Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gantang selesai untuk menjawab telahan seorang anak muda, Dzulkhairi, dalam blognya bertajuk 'PAS akan Berkubur'. Sebagaimana pepatah Inggeris menyebut "a picture illustrates more than thousands words", maka keputusan PRK tersebut menggambarkan lebih daripada itu. Keputusan tersebut mengesahkan PAS berada di landasan yang tepat dalam melansungkan tanggungjawab dakwah dan jihadnya. Amalan shura, adab al-ikhtilaf, amal jamai`i, intima' dan wala' di kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya menjadikan PAS semakin subur mengharungi medan dakwah desawarsa mutakhir ini.
Hujah simplistik yang mengunjurkan PAS akan berkubur dengan berpremiskan penubuhan Akademi UMNO adalah terlalu rapuh. Adakah sekadar dengan penubuhan Akademi UMNO yang dipelopori oleh Saifuddin Abdullah, maka sendi-sendi kekuatan PAS lebih 50 tahun yang lalu akan lemah? Hebat benarkah bekas Penolong Pendaftar UIA ini yang naik ke persada politik di bawah ‘shadow’ Anwar Ibrahim? Kalau benarlah beliau sebagai faktor dominan yang boleh menguburkan PAS, maka PAS tidak perlu bersusah payah, cukup sekadar menugaskan YB Muhammad Hussin bekas Presiden PMIUM yang telah menenggelamkan pengaruh Saifuddin di UM awal dekad 1980-an dahulu.
Sekiranya Akademi UMNO itu yang dilihat sebagai faktor dominan menguburkan PAS, maka perlu dipertegaskan bahawa PAS itu sendiri bukan sekadar sebuah wadah tetapi juga sebuah madrasah, malah boleh disebut sebuah Jami`ah (universiti) . Bukan sedikit graduan yang lahir daripada ‘universiti’ ini, yang telah menyusup ke dalam semua sektor politik, sosial dan ekonomi dalam masyarakat Malaysia. Para graduan ini begitu komited dengan falsafah ‘universiti’ yang telah dipasakkan dalam hati mereka, dengan tidak menafikan ada juga seorang dua graduan separuh masak yang cuba menerokai ‘laluan-laluan berliku’ dalam perjuangan. Hakikatnya, kini PAS bukan lagi wadah picisan sebaliknya semakin bersedia menerajui massa.
Salah seorang graduan PAS ialah Ir Nizar yang sebelum ini hanyalah seorang petugas setia PAS. Seorang yang sebelum ini hanya melakukan tugasan-tugasan pejabat di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Perak. Jawatan paling tinggi beliau di peringkat Badan Perhubungan Negeri sebelum menjadi Menteri Besar Perak adalah Setiausaha, itu pun setelah Setiausaha sebelum itu melepaskan jawatan untuk melanjutkan pengajian PhDnya. Kadang-kadang Ir Nizar ini melakukan tugas-tugas yang lebih remeh, termasuklah menjadi pomen menukarkan tayar kereta seorang lagi graduan PAS yang ketika itu menjadi pimpinan Badan Perhubungan Negeri Wilayah. Akan tetapi Ir Nizar kini telah dilihat oleh Anwar mampu untuk menjadi Perdana Menteri.
Apakah keistimewaan Ir Nizar? Kalaulah kerana pangkat Ir sebagai seorang jurutera professional, maka ribuan lagi mereka yang seumpama beliau di negara ini. Kalaulah kerana keupayaan beliau bertutur pelbagai bahasa, maka Mahathir Lokman seharusnya lebih hebat kerana beliau menguasai lebih banyak bahasa-bahasa utama dunia. Kalaulah kerana Ir Nizar boleh membawa majlis tahlil dan membaca talkin, maka ramai lagi tok-tok imam dan lebai yang mungkin lebih panjang zikir tahlil dan bacaan talkinnya. Tidak syak lagi, Ir Nizar dihormati kerana iltizamnya kepada perjuangan PAS yang menjadikan Islam sebagai teras. Beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang komited dalam perjuangan.
Tidak dinafikan beliau mempunyai ‘talent’ dan ketokohan, tetapi ketokohan itu tidak cukup untuk menjadikan beliau dihormati. Berapa ramai mereka yang mempunyai kelebihan seumpama itu tetapi apabila memisahkan diri dengan PAS, mereka tidak lagi dihormati sepertimana sebelumnya. Ustaz Nakhaie Ahmad adalah seorang yang begitu hebat, tetapi apabila memisahkan diri dengan PAS, beliau tidak lagi dihormati seperti sebelumnya. Dato Asri juga seorang yang begitu hebat, tetapi apabila memisahkan diri daripada PAS, menantu beliau sendiri Ustaz Jais Anwar tidak mengikuti haluannya. Malah tidak keterlaluan, sekiranya Tuan Guru Nik Aziz memisahkan diri dengan PAS, beliau mungkin tidak dihormati seperti hari ini.
Sememangnya PAS bukan matlamat, tetapi PAS juga bukan alat seperti yang didakwa oleh Saudara Dzulkhairi. PAS adalah saf perjuangan seperti yang disebut dalam surah al-Saff. Pas juga adalah Hizbulllah seperti yang disebut dalam surah al-Maidah dan al-Mujadalah. Pas juga adalah jama`ah dan toifah seperti yang disebut dalam hadith-hadith Rasulullah saw. Sememangnya matlamat sebenar adalah Islam, tetapi apakah mereka yang mempejuangkan tertegaknya matlamat itu boleh disebut hanya sebagai alat. Rasulullah saw yang memperjuangkan tersebarnya Islam disebut oleh Allah swt sebagai Rasul atau utusan, bukannya alat. Demikian juga, mereka yang menuruti jejak langkah Rasulullah saw memperjuangkan Islam disebut oleh Allah swt sebagai Hizbullah dan Saff, bukannya alat.
Alat berkemungkinan bersifat value-free, jadi nilainya bergantung kepada sesiapa yang menggunakannya. Sekiranya PAS adalah alat, maka PAS boleh jadi akan memperjuangkan Islam sekiranya digunakan ke arah itu dan boleh jadi mempejuangkan taghut jika digunakan untuk sebaliknya. Demikian juga dengan UMNO sebagai alat, berkemungkinan ia juga akan digunakan ke arah Islam sekiranya digunakan ke arah itu. Oleh sebab itu tiada beza antara PAS dengan UMNO, sebab kedua-duanya adalah alat. Inilah fikrah yang cuba diterapkan oleh Saudara Dzulkhairi seperti yang diperolehi dari tulisan-tulisan di blognya. Sedangkan bagi kami, PAS sebagai Hizbullah dan Jama`ah tidak bersifat value-free tetapi value-added.
PAS sarat dengan nilai-nilai kebenaran kerana terasnya adalah al-Qur’an dan al-Sunnah. Oleh sebab itu, PAS tidak mungkin salah disebabkan terasnya adalah Islam, yang mungkin salah ialah pengikutnya. Apabila Saudara Dzulkhairi menyebut dalam tulisan-tulisan di blognya bahawa beliau mahu berada di pihak yang sedia mengkritik sesiapa sahaja yang salah tidak kira PAS atau UMNO, maka jelas sekali beliau berpegang dengan pegangan PAS adalah value-free. Bagi saya PAS tidak mungkin salah, sebaliknya yang mungkin salah adalah pengikutnya, manakala UMNO tidak mungkin benar, yang mungkin benar adalah pengikutnya. Fikrah inilah yang kami dukung menurut silibus ‘universiti’ PAS.
Oleh sebab itu, pengikut PAS yang melakukan sesuatu yang salah, melakukan kesalahan dalam perjuangan yang benar. Pengikut UMNO yang melakukan sesuatu yang betul, melakukan ‘kebetulan’ dalam perjuangan yang salah. Maka sebagai seorang yang hendak menegur dan mengkritik, di manakah Saudara Dzulkhairi hendak tujukan. Apakah kritikan itu hendak ditujukan kepada PAS atau pengikut PAS? Apakah kritikan itu handak ditujukan kepada UMNO atau pengikut UMNO? Fikrah seperti inilah yang turut didukung oleh ABIM dan JIM dalam melihat PAS dan UMNO. Bagi mereka, mereka adalah non-partisan justeru menyokong sesiapa sahaja yang benar, dan menegur sesiapa sahaja yang salah.
Bagi ABIM dan JIM, PAS dan UMNO boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Yang menentukan benar atau salah itu ialah mereka. Dengan pengertian lain yang sentiasa benar adalah mereka. Demikianlah juga Saudara Dzulkhairi, beliau mahu menyokong sesiapa sahaja yang membawa kebenaran sama ada PAS atau UMNO, dan menegur sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada PAS atau UMNO. Yang menentukan kebenaran dan kesalahan itu adalah dirinya, maka dengan pengertian lain dia sahajalah yang sentiasa benar. Fikrah non-partisan seperti ini bagi saya tiada tempat dalam PAS, dan beliau tidak perlu berada dalam PAS dengan fikrah tersebut. PAS tidak pernah rugi kehilangan tokoh seperti ini sebagaimana Dato Asri dan Ustaz Nakhaie.
Sebagai sebuah Hizbullah dan Jama`ah PAS bergerak berpandukan al-Quran dan al-Sunnah dengan para ulama sebagai penyuluhnya. PAS iltizam dengan semangat shura dan muhasabah. Pimpinannya menjadikan solat hajat dan solat istikharah sebagai ikhtiar terakhir untuk mendapat petunjuk daripada Allah swt setelah berazam dengan melakukan shura. Dengan dibarisi oleh para ulama yang tersohor di negara ini dan mereka bergantung harapan sepenuhnya kepada petunjuk Allah swt, saya terasa malu untuk mengkritik mereka melainkan secara tertib melalui saluran yang betul. Marilah kita mengikut resam padi semakin berisi semakin tunduk, bukannya mengikut resam ayam bertelur sebiji riuh sekampung.
allahuakbar..
subhanallah...betapa indahnya khilaf.
ana suka mengingatkan, dalam berpendirian, tetaplah kamu dengan satu, iaitu berlapang dada.
mungkin ada hikmah Allah nak tunjuk bukan hanya pada ust dzul atau "tanpa nama" yg mengulas, tapi kepada kami ahli tarbiah kampus yang galak mengupas tajuk wala' dan bai'ah skrang ni. syukran,,, ana kira, perbahasan kali ini sungguh istimewa. terima kasih kepada "tanpa nama", anda membuka minda saya. ust dzul,, ana yakin, lontaran tak semestinya lahir dari hati, tapi ia boleh lahir dari perasaan sahaja. teruskan melontar. salah tak pe. sekurang2nya, anda berinisiatif utk melahirkan ahli yag kritikal. syabas!
Catat Ulasan