Isnin, 1 Jun 2009

PENJELASAN 2


Bising orang mengatakan bahawa saudara mengizinkan ahli gerakan kampus untuk masuk ke mana-mana saja jamaah selepas tamat pengajian di kampus. Malah saudara mengizinkan ahli tarbiah untuk masuk ke dalam UMNO. Minta penjelasan.


Alhamdulillah wabihi nasta’in,.

Saya tidak dapat nafikan, kecoh orang menyebut bahawa saya seorang yang celaru fikrah. Kecelaruan fikrah saya semakin membarah apabila konon-kononnya saya semacam bersetuju dengan gagasan Jamaah Centric dan saya semakin berani mengkritik Pas. Saya rasa satu penjelasan diperlukan.

Baik, saya hanya mahu memfokuskan kepada persoalan yang diberikan. Saya dituduh mengizinkan ahli tarbiah untuk masuk ke mana-mana proksi. Hal ini terbukti melalui ucapan saya kononnya dalam satu dialog antara pimpinan Gamis seluruh Malaysia.

Anehnya, jika benar saya mengatakan perkara tersebut, kenapa tiada yang bangkit untuk memohon penjelasan sebaliknya terus menyebarkan fahaman ini? Saya bertanyakan beberapa sahabat saya, pernahkah saya berpandangan demikian. Mereka kehairanan. Mereka tidak pernah mendengarnya.



Jangan sampai kita terlalu pengecut sehingga kita hanya berani bercakap di belakang sedangkan kita tidak berani di hadapan.

Saya terang-terangan, saya tidak setuju jika ahli Gamis menyertai PKPIM sebagaimana saya juga tidak setuju jika ahli PKPIM masuk ke dalam Gamis tanpa dalil yang akurat. Jika ahli Gamis mahu masuk ke dalam PKPIM setelah memiliki hujjah, bahkan burhan, bahkan ‘sultan’ yang kuat, tidak mengapa.

Saya masuk ke dalam Gamis, maka saya mempunyai ‘sultan’ yang kuat mengapa saya menyertai gerakan ini. Malah jika saya telah keluar daripada Gamis, saya akan terus bersama dalam Pas, dalam mana-mana posisi asalkan ia sesuai dengan kemampuan saya. Ini kerana saya yakin dengan ketulenan perjuangan Pas.

Bahkan saya menentang PKPIM mahupun ABIM, atau Karisma mahupun JIM. Namun ia hanya bertentangan dari sudut manhaj, world-view, philosophy dan fikrah. Dari sudut jasad dan pergaulan, saya sangat suka bersama-sama mereka. Mereka ada kekuatan yag tidak dimiliki oleh kami.

Namun saya sekali-kali tidak membuka ruang pembebasan fikrah. Maka saya menyeru, jangan ahli Gamis sibuk-sibuk meng’Gamis’kan ahli PKPIM atau Karisma. Saya sangat tidak suka. Saya juga tidak suka jika jamaah lain juga berbuat demikian.

Apakah apabila masuk ke dalam Gamis, maka bermakna Gamis lebih Islam berbanding PKPIM? Tidak, saya langsung tidak fikir demikian. Daripada sibuk menukar fikrah mereka, lebih baik kita memfokuskan kepada orang yang langsung tidak berfikrah dan tidak beragama atau tadayyun.

Maka saya menafikan pandangan menyatakan saya terlalu bebas dalam bab berjamaah.

Adapun masuk ke dalam UMNO, atau PKR, atau sektor kerajaan, maka saya mempunyai pandangan yang berbeza. Saya tidak terlalu kisah sekiranya ahli Gamis masuk ke sana dengan bertujuan dan berstrategi serta ada yang memandu mereka.

Saya mungkin berbeza pandangan dengan YB Solahuddin dalam bab ini. Saya tidak kisah sekiranya ahli Gamis masuk ke dalam mana-mana kementerian kerana kemungkinan mereka lebih banyak berkhidmat untuk Islam daripada orang yang berada secara langsung dalam parti

Tetapi biarlah berstrategi, bertujuan dan ada yang memandu. Bukannya bebas tanpa ikatan.

Maka saya menyanjung pemikiran PM kita dalam beberapa bab. Bukanlah PM atau Najib teruk dan jahil dalam semua perkara. Banyak juga baiknya. Maka tidak salah jika kita ahli Gamis berdialog dengan mereka dan mengambil input.

Juga tidak salah jika ahli Gamis berbincang dengan sesiapa sahaja asalkan dengan tujuan kebaikan.

Ini fikrah dan gagasan saya. Gagasan saya seperti ini, rasanya langsung tidak mengeluarkan saya daripada fikrah atau gagasan jamaah. Adakah apabila saya mengharuskan perbincangan dengan Ketua UMNO, maka saya terus terkeluar daripada jamaah. Sesungguhnya Gamis adalah gerakan pelajar bukannya politik seperti PAS yang ada pantang bekerjasama dengan UMNO.

Namun malangnya ramai ahli Gamis yang sibuk berpolitik secara kepartian. Dalam Gamis, saya lebih mengenal politik nilai berbanding politik kepartian. Maka dalam politik, saya rela berbeza pandangan dengan PAS sekalipun. Maka apakah salah saya berbeza pandangan? Rasanya langsung tidak salah.

Saya bertanyakan YB Solahuddin secara terbuka. “Salahkah kami mengkritik PAS?” Beliau menjawab tidak mengapa. Jika saya jadi Ketua Pemuda PAS, saya akan menggalakkan student untuk bebas, jangan berpihak dan sanggup mengkritik kepimpinan sekalipun.

Sebagaimana Gamis mengkritik pengerusi SPR, maka Gamis juga harus berani mengkritik Cikgu Mustapha Ali sebagai Pengerusi SPR dalam Muktamar PAS sekiranya didapati beliau bersalah dan turun berkempen.

Inilah dinamika dan non-partisan.

Mungkin pemikiran dan bentuk fikrah saya berbeza dengan orang lain. Saya paling tidak suka orang UMNO mahupun PAS yang terlalu menyibuk soal kemandirian mahasiswa. Mereka bukan golongan yang bodoh dan perlu ditunjuk ajar sepanjang masa. Mereka hanya perlukan nasihat dan bimbingan yang berkadar.

Tuan Guru Presiden menyebut tidak mengapa jika tidak terlibat dengan Pas secara langsung asalkan rohnya adalah Pas. Saya rasa saya langsung tiada sebab untuk menyembunyikan fakta yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden ini.

Tuan Guru Presiden meminta student bersedia untuk mengisi ruang kosong dalam kerajaan. Mengisi ruang dalam kerajaan lebih berat daripada mengisi kerusi cawangan mahupun kawasan. Apakah apabila seorang ahli Pas yang masuk bekerja dalam JAKIM, maka ia bukan lagi PAS?

Tuan Guru Presiden menjelaskan, ada orang yang perlu memegang jawatan dalam parti namun ada juga yang tidak perlu lantaran tidak sesuai dengan mereka. Maka pembahagian tugasan adalah lambang kebijaksanaan dan kecekapan pengurusan jamaah.
Malangnya, ramai yang ingin kita masuk ke dalam parti bukannya jamaah. Jamaah adalah satu konsep yang luas sedangkan parti adalah satu konsep yang sempit.

Maka saya ingin simpulkan, meskipun kemungkinan tulisan ini sekali lagi menimbulkan kontroversi tersendiri.

1- Saya sangat mengimpikan suasana semua anak muda daripada pelbagai jamaah duduk bersama-sama bagi merangka Malaysia masa depan dengan serius.

2- Saya langsung tidak setuju pembebasan fikrah bahkan saya orang yang sangat lantang menyuarakan pentingnya tajarrud dalam fikrah. Intima’ dan disiplin dalam berjamaah mesti tinggi.

3- Saya bersetuju sekiranya ahli Gamis bersedia masuk dengan ke dalam sektor kerajaan dengan penuh strategi dan perancangan serta terpandu. Apabila tiba masa, orang ini sangat penting untuk memimpin kerajaan masa depan.

4- Masuk intima’ ke dalam jamaah tidak semestinya dengan menyertai cawangan mahupun kawasan namun dengan mengaktifkan kemampuan dalam posisi yang paling sesuai.

5- Namun saya tidak pernah menyebut boleh masuk UMNO mahupun PKR tanpa perancangan dan tektikal. Ia hanya membuang masa dan keringat serta menjadi liabiliti kepada gerakan.

6- Saya memang menyokong PAS namun saya tidak pernah memaksa ahli Gamis untuk menyokong PAS. Bahkan Gamis akan terus bebas daripada PAS mahupun mana-mana parti sekalipun.

7- Kasih sayang saya kepada PAS tidak bermakna saya harus menyokong semua yang dibuat oleh pimpinan Pas. Sesungguhnya pimpinan dalam PAS pun ramai dan mereka saling berbeza pendapat dalam suasana yang harmoni. Mungkin saya tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda tetapi saya bersetuju dengan pandangan Naib Ketua Pemuda. Maka ini perkara biasa.

8- Saya juga akan menentang pimpinan dalam PAS sekiranya mereka melakukan kesalahan namun saya akan mendokong kepimpinan yang dinamik sebagaimana saya menyokong kepimpinan Datuk Husam (sila rujuk artikel yang lepas). Maka tidak bersetuju dengan beberapa pimpinan keskipun Ketua Pemuda atau Ketua Muslimat, tidak bermakna saya tidak bersetuju dengan PAS. Saya sekadar tidak bersetuju dengan mereka. Mereka tidak maksum. Dan saya tidak merendah-rendahkan mereka. Ini adalah sangat normal dan berhujjah dan berfikir.

9- Saya harap ahli Gamis, meskipun ada kecenderungan untuk mana-mana parti, biarkan sahaja ia menjadi kehendak peribadi bukannya kehendak gerakan. Sesungguhnya selagi mana saya memimpin Gamis, saya tetap tidak akan berpihak kepada mana-mana parti. Namun jangan dipertikaikan jiwa saya yang lebih cenderung kepada PAS itu sendiri.

10- Ahli parti juga diharap jangan mempolitikkan mahasiswa. Mahasiswa memang akan berpolitik namun sekali-kali tidak rela dipolitikkan.

Saya ingin menegaskan, “Kadang-kadang pimpinan peringkat bawahan sibuk mengarah ahli Gamis untuk melakukan macam-macam perkara seolah-olah ahli Gamis adalah PAS. Namun hairannya, kepimpinan di peringkat tertinggi pula, lebih bersedia menerima ahli Gamis yang bersifat politik nilai dan bebas daripada cengkaman kepartian”.






3 Cadangan/Pandangan:

Tanpa Nama berkata...

salam.menarik isu ini n seringkali hangat diperkatakan.sy menyokong pndgn saudara presiden.mahasiswa sekarang perlu berfikiran jauh dan matang.tidak hanya menjadi penyambung wasilah,tetapi juga perancang pergerakan Islam itu sendiri.jgn kita tertipu dgn kehendak dan sentimen yang memakan diri kita dan perjuangan.seronok sy apabila ada pmikiran terbuka dan tidak hanya cenderung kepada parti.Islam itu syumul.Pas adalah salah satu medium.segal-gala dalam dunia ini tidak mustahil utk bertukar.itu adlh Qudrah dan Iradah Allah s.w.t.yg perlu kita sentiasa pegang adalah Islam.Pas masih membawa Islam berdasarkan perlembagaan yang diguna pakai.justeru kita syg kpd Pas dan mendukung perjuangan Pas yg berlandaskan Islam.Namun kita jgn sesekali merendahkan jemaah lain.wlupun mereka musuh pd satu sudut,namun jgn kita lupa mereka juga adlh makhluk Allah dan seagama dgn kita.perasaan persamaan itu perlu ada dlm Islam supaya kita sentiasa berfikiran waras dan berstrategi dalam byk perkara.jika kita berada dibwh ruang lingkup taksub dan keangkuhan,maka pergerakan kita juga tidak akan stabil.sy tidak nafikan tajarrud itu amat penting namun perasaan merendahkan org lain yg mungkin akan sama2 duduk sebaris berjuang bersama kita itu amat tidak patut.dalam isu memasuki jemaah lain,kerajaan,parti lain,sy juga sependapat dgn penulis.sy teringt kisah Sultan Muhammad Al-Fateh yg menggunakan pelbagai kemahiran dan kekuatan utk berjaya menakluk kota Konstantinapol.begitu juga dgn kita.kita perlu ada strategi utk mng dan perlu merancang awal strategi seterusnya apabila kita menang dan apabila kita kalah.kita perlu ada percampuran kekuatan utk menguatkan antara satu sama lain.jd apa mslhnya klu kita masuk kubu mereka dari pelbagai sudut?tidakkah itu lebih berkesan?cuba bygkan jika semua org duduk dlm posisi pmbgkang dan hanya memikirkan cara utk mgalahkan parti lwn tnpa memikirkan sumbangn yg spttnya diberikan kpd rakyat dlm masa yg singkat.menang itu blh dikatakan matlamat jauh,kepntgn yg urgent tidak ada org yg mmikirkan.nk harap org yg memerintah???antum blh jwb sndiri.sy terigt antara kajian mgnai peristiwa p/r ke12,masyarakat BUKAN mula suka kpd Pas tetapi mula meluat dgn UMNO.kenapa ini berlaku??sama2 kita koreksi semula dan bedah siasat semula.klu bkn mhasiswa yg tlg siasat siapa lg?kita diats jln yg neutral.jd tidak slh jika kritik kearah kebaikan.
jd slh ke ade ape yg shbt presiden ungkapkan?teliti semula n amati dgn baik.smoga perjungn ini tidak berpaksikan kpd individu atau pihak tertentu tetapi hanya berpaksikan kepada Allah s.w.t yg sentiasa suka kpd kebaikan dan kebijaksanaan.
Barakaallahufik saudara presiden.smoga anda dan kita semua tidak lari dari landasan perjuangan Islam yg sebenar.Allahuakbar...

nur syahid mission on 3 Jun 2009 pada 7:17 PTG berkata...

salam..tahniah ustaz..teruskan perjuanganmu, ana sokong pandangan ustaz...berfikiran jauh dan terbuka bukan menyempitkan fikiran :)

Tanpa Nama berkata...

Berpandangan jauh bagus. kadang2 pandangan sendiri tanpa mengikut syara' memang tak bagus. Presiden GAMIS perlu ingat bahawa pandangan awak juga akan dikritik. PAS bukan parti politik semata2. Bahkan Pari Dakwah dan tarbiah. Jangan hanya memandang politik semata2. Tahniah atas lontaran pandangan ini.

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE