Jumaat, 11 September 2009

FATHIYAH IV

12 Cadangan/Pandangan
Teringat saya pesan abah dulu-dulu. Sampai sekarang ia masih terngiang-ngiang dan saya mengharapkan agar pesan abah itu menjadi sumber pahala yang berterusan kepadanya.

Kata Abah, di saat-saat saya bakal menduduki SPM, “Doakan agar hati kita terang untuk menerima ilmu, bukannya doa kejayaan begitu sahaja.” Pesan abah itu luas maknanya. Makna pesan abah adalah, ilmu bukan sekadar untuk dicurahkan ke dalam kertas peperiksaan tetapi adalah sebagai penghias amal kehidupan.

Pesan abah itu, sampai sekarang masih melekat dalam hati. Seperti api, ia terus marak membakar dan seolah-olah tidak akan padam.

“Papa, tok abah dulu garang tak?” Fathiyah bertanya. “Sayang, tok abah tak garang. Tok abah baik. Tok abah yang suruh papa hafal Quran. Tok abah yang nasihat papa agar jadi anak yang soleh. Tok abah yang nasihatkan papa agar jadi pemimpin masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan,” terang saya.



“Papa, along nak tanya papa satu benda, tapi papa janji papa jangan marah along,” ada saja anak sulung saya yang nakal. Entahla bagaimana pula bila Faqih besar kelak. Pasti banyak mulut macam kakak dia. Sekarang pun saya dan isteri sudah tidak larat melayan karenahnya yang macam-macam.

“Kenapa papa pilih mama?” terkejut saya mendengar soalan itu. Namun cepat-cepat saya sembunyikan riak wajah saya yang berubah. Saya perlu menjaga hati anak kesayangan saya ini. “Pada along, mama macam mana?” saya sengaja bertanya balik.

“Mama baik papa. Mama selalu pesan kat along, along along, kalau along nak masuk syurga, along mesti sayang Allah, sayang nabi, sayang mama dan papa,” kata Fathiyah sambil mengajuk cara isteri saya bercakap. Pecah ketawa saya. Fathiyah turut ketawa.

“Lagi, apa lagi mama bilang?” tanya saya lagi. « Erm, mama kata, mamay sayang sangat dengan papa. Sebab, papa yang banyak menanam rasa cintakan akhirat dalam diri mama. Mama kata, mama sayang papa bukan sebab papa orang yang ada nama. Tapi mama sayang papa sebab papa selalu curah ilmu dan ajak mama ingat akhirat,” sayu saya mendengar ulah anak kecil itu.

Saya mencubit pipi Fathiyah. “Along, hidup kat dunia ni tak lama. Along, mama, Faqih, adalah harta papa untuk bertemu Allah kelak. Masa papa pilih mama dulu, mama bagitau yang papa hanya tiket ke syurga. Mama pilih papa dengan harapan papa membimbing ke syurga. Along nak masuk syurga?”

“Nak nak, mestilah along nak masuk syurga papa. Dalam syurga along nak main Barbie. Auntie Aisyah kan suka main Barbie dengan Nabi Muhammad papa?” saya tersenyum mendengar ulahnya.

“Along nak masuk syurga sebab along nak tengok muka Nabi Muhammad. Along nak minta coklat dengannya. Along nak bagitau, Pakcik pakcik, papa tak bagi along makan coklat. Pakcik marah papa pakcik,hihi,” haha, ketawa kami dengan lelucon budak seusia empat tahun itu. macam-macam karenahnya.

“Papa, mama bilang, bau neraka busuk. Penghuni neraka tak dibenarkan mandi. Takde syampoo, takde sabun, takde Barbie. Along taknak masuk neraka. Along nak mandi kat syurga. Papa, kat syurga ada pantai tak?” saya mengangguk-angguk sahaja. Geli hati saya dengan anak yang sebesar itu.

“Ha, papa tak jawab lagi soalan along,” alamak, budak ni masih ingat lagi soalannya. Saya menarik nafas panjang. “Ala, along tidur dulu ye. Nanti esok-esokla papa cerita,” saya berhelah. Fathiyah mula menarik muka masam. “Papa ni,” panjang je muncung mulutnya. Saya tergelak. Bertuah betul budak ni.

« Ha, jangan lupa baca tasbih Auntie Fatimah, » pesan saya sambil menyelimutkan Fathiyah. Saya perlu menyambung pembacaan saya tentang kitab Fathul Bari karya Ibnu Rajab al-Hanbali. sengaja saya ingin mencari titik persamaan dan perbezaan antara metodologi Ibnu Rajab al-Hanbali dan Ibnu Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan Sahih al-Bukhari.

Fathiyah menyalami tangan saya dan mengucupnya, seraya saya mencium pipi dan dahinya. Dalam dahi saya mendoakannya agar benar-benar menjadi hamba sebagaimana Maryam yang memasrahkan hidup untuk berbakti kepada Allah.

Saya mendengar sayup-sayup anak saya itu membaca tasbih Fatimah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar.

Saya ke ruang tamu. Isteri saya masih menelaah buku dan menghafal beberapa keratan hadis. “Belum mengantuk lagi ke sayang?” saya bertanya. Jarang saya memanggilnya begitu. Kadang-kadang saja, untuk mengambil hati dan mencuri perhatian. Kuikui. Biasanya saya hanya memanggil nama.

“Belum bang. saya merenung ayat dalam surah al-Rahman. Mengapa Allah mendahulukan ayat kedua berbanding ayat ketiga. Mengapa mesti Allah menyebut, “Yang mengajarkan al-Quran” terlebih dahulu daripada “Yang menciptakan manusia”. Logiknya, mestilah menciptakan manusia dulu kan?” saya merapatinya. Saya berasa bangga sekali memiliki isteri yang begitu rajin merenung kebesaran Allah.

Setiap kali kami dalam perjalanan jauh, pasti kami menghabiskan masa dengan berbincang tentang ilmu, dakwah, tarbiah, suasana politik dan keadaan umat Islam masa sekarang. Beliau ternyata seorang isteri yang cekal dan tabah.

Isteri saya bukanlah orang yang terbaik. Namun ia adalah orang yang paling berkenan dalam hati saya. Dan saya dapat rasakan isteri saya orang yang paling sesuai dengan saya. Teringat balik saya dengan persoalan Fathiyah tadi.

“Fathiyah, along tak tau bahawa mama along ni seorang muslimah yang sangat istimewa dalam hati papa. Bersama mama, papa berasa iman papa sentiaa meningkat. Itulah keistimewaan mama kamu, anakku,” bisik saya dalam hati sambil menarik hidung telinga isteri saya.

“Adoi, abang ni memang nak kena,” laung isteri saya dan saya mula melarikan diri sambil tergelak ketawa.



Read More......

FATHIYAH III

6 Cadangan/Pandangan
“Hari ni ustaz akan bacakan kalam hikmah Ibnu Ataillah al-Sakandari untuk dijadikan renungan kita bersama,” saya memulakan pengajian Kelas Tafsir bersiri dengan kata-kata sufi sebagi usaha membersihkan diri.

“Bagaimanakah hati boleh bercahaya sedangkan dunia masih melekat dalam hatinya,” saya memulakan dengan ungkapan pertama dengan sedikit perasaan sebak. Alangkah, sekiranya syaitan hanya menyesatkan manusia dengan gula-gula keduniaan, mungkin masih ramai manusia yang mampu bertahan.

Namun yang paling menakutkan adalah apabila syaitan memperdayakan manusia dengan permainan akhirat. Ia telah menyebabkan ramai ulama yang telah tenggelam dan ditewaskan.



“Apa maksud abang dengan syaitan memperdayakan manusia dengan akhirat,” tanya isteri saya suatu hari ketika kami sama-sama bermunaqasyah. “Iaitu, syaitan menjadikan kita leka dengan ibadah. Ibadah banyak namun keimanan tidak meningkat,” saya menjawab seringkas mungkin.

“Saya belum faham apa maksud abang tu,” isteri saya masih mahukan penjelasan yang detail. Saya memegang tangannya erat. “Syaitan cuba sedaya upaya menimbulkan rasa ujub dalam diri manusia itu sendiri. Ini menyebabkan kadang-kadang mereka beribadat kerana ingin menjadi hebat. Ada kalangan mereka beribadah kerana ingin mendapat karomah di sisi Allah. Mereka melihat kepada ibadah namun ibadah mereka tidak mendekatkan diri mereka kepada Allah,” saya tahu isteri saya masih belum memahami sepenuhnya.

Ya, bagaimana hati kita bleh berkilauan dengan cahaya keimanan sedangkan kekotoran dunia masih terlalu melekat dalam diri mereka. Sepatutnya dunia dijadikan tanaman atau ladang untuk akhirat namun sebaliknya yang berlaku.

Teringat saya apabila Fathiyah bertanyakan soalan suatu malam, ketika ia hampir sahaja menutup mata setelah saya membacakan kisah Nabi Daud as yang bertaubat kepada Allah.

“Papa, kenapa kita hidup di dunia?” tanya anak saya seraya menggenggam erat jari telunjuk saya. Saya mencium dahinya. “Along, kita hidup untuk beribadah kepada Allah,” jawab saya perlahan. “Kenapa kita perlu beribadah kepada Allah, papa?”

Belum sempat saya menjawab, anak sulung saya itu terus menjawab persoalan yang dicetuskan olehnya sendiri. “Untuk kita hidup di akhirat dengan baik kan papa?” saya mengangguk-angguk. Sekali saya saya mencium dahinya sambil mendoakannya.

Untuk hidup dengan cemerlang di akhirat. Maka perlu bersifat zuhud. Zuhud itu maknanya tidak melihat dan tidak menoleh ke arah dunia. Dunia adalah tempat persinggahan sementara kita menuju ke sebuah alam yang kekal abadi. Di alam itulah akan ditentukan sam ada kita ke syurga atau ke neraka.
Saya bertemu dengan sahabat-sahabat Fakulti Kedoktoran semalam. Kami bermuhasabah dengan penuh kerdup keinsafan. Saya menyatakan kepada mereka, “Jika kamu mencari pasangan yang berfikrah seperti kamu sahaja, maka pandangan kau amat sempit. Tetapi jka kamu mencari ‘hamba’ untuk meneman hidup kamu, maka pandangan kamu adalah merangkumi dunia dan akhirat,” jelas saya.

“Apakah kita sekadar mencari pasangan hidup yang hanya membolehkan kita pergi usrah? Atau membenarkan kita pergi ke program latihan? Itu pandangan yang masih sempit. Sepatutnya kamu semua berusaha mencari pasangan yang akan menanam jiwa kehambaan dalam diri kamu dan mendekatkan kamu kepada Allah,” mereka semua terlopong mendengar penerangan saya.

Pasangan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah, bukan sahaja akan menjadi pendorong kepada kita untuk aktif berjuang bahkan akan sentiasa memberikan peringatan kepada kita tentang kedahsyatan akhirat dan sentiasa menyiram hati kita dengan air keimanan.

Saya menegaskan sekali lagi di dalam kelas, “Bagaimana hati seseorang itu akan bercahaya sedangkan duna masih melekat dalam hati mereka.”

Read More......

Khamis, 10 September 2009

FATHIYAH II

7 Cadangan/Pandangan
“Papa, Nabi Muhammad hensem kan papa. Ustazah Insyirah bagitau,” Fathiyah bertanya suatu petang. Tersenyum saya mendengar persoalan yang menarik itu. “Mestilah nabi kita hensem along. Selain daripada tu, nabi kita juga baik, lembut, pengasih,” jelas saya kepada anak perempuan saya yang berumur empat tahun tu.

“Papa, along nak jumpa nabi. Nanti along nak kenalkan papa dengan nabi. Along nak bagitau, pakcik pakcik, ini papa Fathiy, papa Fathiy sayang kat pakcik. Papa bagitau pakcik orang baik,” tergelak saya apabila Fathiyah membahasakan nabi sebagai pakcik. Macam-macam budak sorang ni.

“Papa tau tak, mama kata mama sayang nabi lagi daripada papa. Papa tak cemburu ke?” Pecah ketawa saya mendengar soalan yang bukan-bukan tu. “Papa tak cemburu pun. Sebab bukan nabi nak kawen pun dengan mama kamu tu. Mama kamu tu pun nak kawen dengan papa je, dunia akhirat,” kata saya sambil meleretkan mata ke arah isteri saya yang tidak habis-habis dengan membaca buku. Tapi membaca buku sekejap, terus je terlelap.

Read to sleep, tu la yang saya guraukan dengan isteri saya.




Fathiyah mengomel lagi. “Papa, ustazah bagitau, kalau kita nak jumpa nabi, kita kena ikut sunnah nabi, baca selawat banyak-banyak dan jangan langgar perintah nabi. Nabi suruh along solat, along kena solat. Along taknak tinggal solat. Along nak sangat jumpa nabi. Kalau along tak solat, nanti nabi marahkan along. Along takut papa,” semacam menangis saja suara anak saya tu.

Isteri saya pernah bagitahu, Fathiyah menangis seorang diri suatu petang. “Kenapa along nangis awak?” tanya saya. Kami ketika itu baru sahaja selesai mengulang al-Quran di beranda rumah.

“Entahla bang. Along kata dia rindukan pakcik Muhammad,” jelas isteri kesayangan saya tu sambil mengucup mashaf al-Quran. Saya terkejut. “Siapa pakcik Muhammad tu.” Isteri saya tersenyum lebar.

“Nabi Muhammad, bang. Tu yang saya terkejut tu. Dahla dia panggil nabi pakcik Muhammad. Tapi lama dia nangis bang. Dia bagitau saya, Pakcik Muhammad suka budak-budak. Da taknak jadi orang besar sampai bila-bila,” saya terkedu mendengarnya.

Rutin hidup kami, malam dipenuhi dengan tahajud dan munajat. Saya kagum mempunyai isteri yang sanggup bersengkang mata untuk bertahajud. Pernah isteri tertidur dalam sujud. Namun Allah ketawa dengan orang yang tertidur dalam sujud.

“Sebab tu saya tidur dalam solat bang. Sebab Allah ketawa,” kata isteri saya sambil ketawa. Saya terus tarik hidung dia, “Oh, nak tidur dalam solat kan. Nah, abang tarik hidung awak,” gurau saya. “Ala abang ni, nanti hidung saya panjang, hodoh, abang juga yang malu,” nak pecah perut saya mendengar katanya.

Bilang isteri saya, “Orang perempuan, walaupun tidak boleh solat sebab uzur, tapi kena bangun untuk berzikir dan baca wirid.” Itu yang membuatkan saya semakin mengagumi wanita yang berhati tabah itu. Setiap Isnin dan Khamis, kami berpuasa dan berbuka bersama sekadarnya cuma.

Fathiyah juga sudah belajar berpuasa. Namun puasanya hanya sekerat hari. Dia mahu sahaja menghsap jarinya. “Papa tak tau, jari along ni, keluar air susu. Best,” ada saja omelannya.

“Papa, Makcik Aisyah kirm salam pada papa dan mama,” kata Fathiyah. Makcik Aisyah. Siapa pula Makcik tu. Takkan peminat saya pula. Ceh, perasan pula lebih, hehe.

“Siapa makcik Asyah tu, awak?” tanya saya pada isteri saya.

“Entahlah bang, along bagtau, Makcik Aisyah selalu datang dalam mimpi dia dan baca hadis. Saya pun tak tau siapa,” saya tercengang.

Makcik Aisyah? Sang Humaira’? Saya mula galau.




Read More......

Rabu, 9 September 2009

FATHIYAH

5 Cadangan/Pandangan
Saya sedang asyik membaca karya Muhammad Ahmad al-Rasyid ketika anak saya Fathiyah bertanyakan soalan, “Papa, mengapa papa dan mama selalu bangun pagi-pagi hari untuk solat? Papa dan mama tak mengantuk ke?”

Saya tersenyum melihat telatah anak saya yang baru memanjat usia empat tahun. Ia gemar sekali bertanya. Macam-macam yang ditanya. Pernah juga anak kesayangan saya bertanya dari mana adiknya Faqih keluar. “Mama tak sakit ke masa perut mama dibelah untuk ambil adik?” Saya dan isteri hanya mampu tertawa mendengar soalan anak kami yang tidak pernah putus dengan soalan.

“Along rasa papa dan mama mengantuk tak?” saya bertanya balik. Saya sendiri masih dalam proses belajar menjawab persoalan kanak-kanak kecil agar sesuai dengan citarasa saya. Pernah abah dulu marahkan saya sebab tidak pandai melayan karenah adik saya Sumaiyah ketika dia berumur umur enam tahun.




“Along rasa tak. Mesti papa dan mama seronok kan. Tapi kan papa…” anak sulung saya terdiam. Berkerut-kerut dahinya, semacam ingin bertanyakan sesuatu. “Kenapa along?” saya bertanya mendapatkan kepastian.

“Kalau along tanya, papa jangan marah ye. Papa, papa janji jangan marah ye,” macam-macam karenah anak kesayangan saya ni. Saya mengangguk-angguk kecil sambil menghulurkan jari kelingking ke jari kelingkingnya. Kami tersenyum. Isteri saya yang sedang menelaah al-Quran memasang telinga dari kejauhan.

“Tadi along tengok papa dan mama nangis. Kenapa papa dan mama nangis? Allah marah papa dan mama ke?” terkejut saya mendengar pertanyaaan sebegitu. Astaghfirullah, berat sungguh persoalan tu. Saya langsung tidak menyangka anak sulung kami itu mengintai kami dari jauh. Isteri saya kelihatannya turut tersentak.

“Along tengok ke?” saya bertanya balik. Fathiyah mengiyakannya. “Tiap-tiap malam along tengok. Papa sebut, Ya Allah, kami banyak berdosa pada-Mu. Papa dan mama buat banyak dosa ke? Along taknak papa dan mama masuk neraka. Along nak kita semua masuk syurga. Sebab tu along baca quran banyak-banyak. Along nak doa pada Allah supaya Allah masukkan papa dan mama masuk syurga. Along masuk neraka takpe, asal orang yang along sayang masuk syurga.”

Dan saya terdiam seketika.

Teringat saya ketika saya berbincang dengan isteri suatu hari, di awal-awal perkahwinan kami. “Kalau awak, awak mahu anak yang macam mana?”

Isteri saya berfikir sejenak. Kami gemar sekali berbincang. Biasa bagi kami untuk mengulang al-Quran bersama-sama. Sebelum tidur, paling kurang dua kali dalam seminggu saya akan menceritakan kisah para anbiya’ dan kisah-kisah teladan lain kepadanya.

Dalam dua kali seminggu juga, saya akan mengajarkannya kitab tafsir, hadis dan sedikit berkaitan tazkiyah jiwa. Yang lain, saya terpaksa menghabiskan masa dengan masyarakat. Isteri hanya sempat mengikut saya menyampaikan kuliah berdasarkan kelapangan yang ada.

Beliau juga ada tugas tersendiri. Rumah kami juga telah dijadikan kelas fiqh Wanita yang dikelolakan oleh isteri saya sendiri. Hidup kami sarat dengan ilmu dan ibadah serta jihad. Kami tidak mahu menyia-nyiakan hidup kami dengan bercinta semata-mata. Itu adalah asas untuk kami bergerak lebih laju dan mantap dalam mengejar redha dan ampunan Allah.
“Saya mahukan seorang anak yang berilmu dan takut melakukan maksiat,” kata isteri saya dengan penuh harapan. Isteri saya sendiri sebenarnya seorang yang sangat takutkan maksiat. Acap kali saya melihat ia menangis dalam munajatnya. Saya sendiri terdidik dengan akhlak isteri saya itu.

“Abang juga mahukan anak kita seorang yang sangat rajin melakukan ketaatan kepada Allah, takut melakukan maksiat dan berilmu. Impian kita adalah sama,” kami tersenyum.

Anak kita mesti menghafal al-Quran dan hadis. Ia mesti dididik dengan tawadhu’ dan takutkan Allah. Maka jika kita mahukan anak yang begitu, kita mesti rajin bertahajud, berdoa, menjaga makanan, menjaga hubungan dengan orang alim dan masyarakat dan sebagainya.

“Papa, mengapa papa diam je? Along tanya ni,” saya terjaga dari lamunan. Fathiyah masih menanti dengan penuh harapan. Saya menarik tangan anak saya ke ribaan dan memeluknya erat. Sambil mencium ubun-ubunnya, saya berbisik perlahan,

“Papa dan mama takutkan Allah, nak,” dan saya tidak mampu menahan deraian air mata.















Read More......

THALATHUN MUHLIKAT

1 Cadangan/Pandangan
Ada satu pesan yang aneh dari Nabi saw. Gunanya, sebagai pengajaran buat kita semua yang lemah lagi hina. Hadis tentang tiga perkara ‘muhlikat’ dan tiga perkara ‘munjiat’. Perkara ini telah saya bawakan dalam tazkirah Ramadhan saya di Surau Khalifah Umar Abdul Aziz di Damansara Damai hari ini (9 Sept).

Apakah perkara yang mengundang ‘muhlikat’ atau pemusnah/penghancur dan apa pula perkara yang mengundang ‘munjiat’ atau penyelamat? Inilah yang menjadi suatu teras dalam beramal kepada Allah sekaligus menjadi satu benteng kepada anak adam daripada dihembus bisikan penipuan syaitan dan belitan Iblis.

Kata Nabi saw, “Tiga perkara muhlikat. ‘Syahih’ yang ditaati. Nafsu yang dituruti. Rasa ujub seseorang terhadap dirinya sendiri.”



Syahih bermakna kedekut melampau, melebihi tahap bakhil. Mungkin orang bakhil kedekut untuk mengeluarkan sedekah. Orang syahih pula jauh lebih teruk apabila ia kedekut untuk mengeluarkan duit meskipun untuk anak beranaknya sendiri. Mungkin Haji Bakhil dalam cerita P.Ramlee lebih tepat jika dipanggil Haji Syahih kerana tahap kedekutnya yang melampau. Mungkin lebih mudah jika saya katakan Encik Crab dalam cerita Sponge Bob sebagai contoh terbaik orang yang syahih.

Nafsu terbahagi kepada tiga. Ini adalah pembahagian pada tahap biasa merangkumi nafsu ammarah, lawwamah dan mutamainnah. Nafsu Ammarah adalah sejenis nafsu yang sentiasa mendorong ke arah keburukan. Nafsu lawwamah pula sentiasa mencela kelemahannya sendiri yang tidak mampu menahan diri daripada melakukan maksiat. Nafsu mutmainnah adalah sejenis nafsu yang tenang dan senang dengan amal kebaikan serta membenci kekotoran maksiat.

Ujub adalah ketakutan bagi abid. Penyakit orang alim dan abid adalah ujub. Ujub lahir setelah seseorang itu mempunyai kekuatan tersendiri. Orang abid ujub dengan amalannya. Orang alim ujub dengan ilmunya. Orang kaya ujub dengan kekayaannya. Maka ujub itu suatu gesaan buruk hati yang sukar sekali ditepis. Sehingga Khalifah Islam Umar Abdul Aziz yang tidak berdaya menahan gejala ujub berdoa, “Ya Allah, aku berlindung pada-Mu daripada keburukan diriku.”

Maka timbul satu persoalan khas untuk ahli jamaah. Jika kita pernah berbincang tentang bagaimana menegakkan Islam secara optimum, maka pernah atau tidak kita mengadakan perbincangan atau wacana kecil-kecilan atau apa sahaja yang membincangkan tentang bagaimana menundukkan keinginan hawa nafsu?

Kita semua sukar menentang nafsu. Ia adalah anjing liar yang sentiasa mencakar hati dan jiwa kita. Anjing liar itu sentiasa membuang kotoran najisnya dan kencing dalam takungan Iman kita. Nafsu itu sukar sekali dibendung. Ia kencing merata-rata tempat dan membuang najis sesuka hatinya.

Bagaimana mengawal nafsu? Ia sukar sekali. Adalah menipu jika seseorang (selain anbiya’) mendabik dada mengatakan ia mampu mengawal nafsu. Ini kerana nafsu sangat kuat. Nafsu adalah virus yang tiada ubatnya. Hanya ada vaksin untuk mengawal sekejap, kemudian ia bangkit dan merebak kembali.

Maka perlu dipelajari vaksinnya. Saya akan meneruskan perbincangan di lain masa berkaitan dengan tiga perkara ‘munjiat’ pula, Insya-Allah.





Read More......

USRAH ANAK SARAWAK

2 Cadangan/Pandangan
Dalam usrah semalam, bersama dengan sahabat-sahabat anak Sarawak, kami membincangkan tentang Ibrahim bin Adham. Banyak pengajaran yang kami perolehi daripada perbincangan tersebut. Seorang tokoh sufi yang mempunyai ketinggian budi dan kemuliaan pekerti.

Kami mengambil beberapa kesimpulan hasil perbincangan tersebut.

1- Tarbiah pembersihan hati merupakan asas dan permulaan dalam menjayakan dakwah. Orang yang tidak bersih hati tidak akan mampu untuk membersihkan hati orang. Orang yang berada dalam kegelapan tidak akan mampu memberikan cahaya. Maka suatu pedoman yang terbaik pernah saya dengar ialah, kehairanan seorang ulama terhadap seorang askar yang berjuangan menentang musuh tetapi sebenarnya ia sendiri masih bergelut dan sentiasa tumpas dengan musuh yang berada dalam dirinya.



2- Jamaah dan gerakan Islam mesti serius dalam menerapkan tarbiah ruhiyah dalam diri ahli. Ahli tidak boleh sekadar diajar untuk menjadi pemimpin yang berpengaruh dan pentadbir yang cekap, juga bukan sebagai pemikir di luar tradisi kebiasaan dan ahli yang berani, malah penekanan terhadap melahirkan ahli yang mempunyai kebersihan jiwa dan ketinggian akhlak mesti turut menjadi perhatian serius.
3- Tarbiah ruhiyah tidak bermakna meninggalkan kekuatan dalam berjihad sebaliknya ia hanya asas. Sesebuah bangunan tidak akan bertahan lama tanpa tiang yang teguh. Sebuah rumah tangga tidak akan bahagia sekiranya suami berkahwin dengan isteri dengan hawa nafsu. Sebuah keluarga akan hancur sekiranya ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang berlandaskan Iman. Solat juga tidak akan menjadi sekiranya tanpa ilmu dan kefahaman yang baik. Maka sebuah tarbiah juga tidak ke mana sekiranya murabbi dan mutarabbi tidak bersih hatinya.
4- Guru Said Hawwa berpesan sebagai suatu asas, jadilah orang faqih yang zahid bukannya zahid yang faqih. Maknanya sebuah ilmu mesti ada asas yang teguh.
5- Pemahaman tentang makna budi dalam Islam mesti ditekankan. Sebagai contoh:
• Zuhud: Memalingkan ‘muka’ daripada dunia
• Tawadhu’: Merendahkan diri dan menjauhkan diri daripada perasaa takbur
• Taqwa : Mengelakkan diri daripada perkara yang boleh menjerumuskan diri ke dalam bahaya
• Khauf : Takut amalan tidak akan diterima Allah dan dicampakkan ke dalam neraka

Dan banyak lagi. Sekian untuk usrah maya kali ini.








Read More......

Isnin, 7 September 2009

BERUSRAH DENGAN SAHABAT PERMIUM

3 Cadangan/Pandangan
Saya berusrah dengan dengan sahabat PERMIUM (Persatuan Mahasiswa Istimewa UM) semalam. Saya berasa sangat seronok dapat bersama dengan mereka, sebagaimana dahulunya ketika saya menjadi YDP PMIUM, saya juga kerap bersama mereka.

Kak Siti yang kini berumur 26 tahun, seorang yang cacat penglihatan namun kini sedang memgambil PhD. Aisyah seorang Sarawakian pula berpakaian seperti pelajar Akademi Islam dan mempunyai akhlak yang sangat baik.

Saya membawa usrah dalam bentuk yang sangat santai. Saya menggambarkan kepada mereka betapa menariknya usrah dengan memperbanyakkan cerita. Cerita tentang cemburunya Aisyah kepada madu-madu yang lain, kisah gurauan nabi dengan Saidina Ali dan lain-lain.




“Takkan cerita yang tu je kot Abang Zul?” Saya tersenyum. Budak ni memang nak kena lekuk degan aku ni. Ada lagi cerita lain selain kisah nabi dan sahabat. Saya ada ceritakan tentang kisah orang Kelantan kawen dengan orang Kedah. Cerita ini pun saya ambil daripada orang lain dalam satu kursus.

« Cerita apa tu Abang Zul ? » Bersungguh-sungguh Amin bertanya. Telah lama kami tidak berusrah bersama.

“Ala, satu kali si isteri ni pergi ke dapur. Dia nampak ada ular. Dia pun laungla, Abang, abang, ada ulaq kat dapuq. Si suami cepat-cepat ke dapur dan tengok ada seekor ular. Dia terus menjerit, katakla. Si isteri balas balik, ulaqla. Katakla. Ulaqla…” haha, terburai ketawa kalangan kami.

Dalam kaedah bahasa Kedah, ulaq itu merujuk kepada ular manakala katak menurut bahasa Kelantan adalah pukul. Namun si isteri tersilap faham. Ia menyangka suaminya tidak kenal ular sebaliknya menyangka ular tu sebagai ‘katak’.

“Abang Zul ni memang kelakarla,” kata Aizul. Sebenarnya saya biasa sahaja. Tapi pernah juga kawan saya jemput saya bagi ceramah kepada budak-budak sekolah rendah dengan alasan saya orang yang kelakar. Haha, manala saya pandai.

Saya mencadangkan kepada Naqiuddin beberapa perkara yang boleh digerakkan demi menghidupkan PERMIUM. « Ana rasa nta kena serius buat kelas pengajian agama untuk mereka. Mungkin ada Fiqhul Mar’ah yang khusus untuk muslimat. Untuk muslimin, mungkin boleh belajar Fiqhus Solah,” Naqiu mengangguk-angguk. Entah-entah mengangguk je lebih tapi tindakan hampas. Tapi Naqiu rajin.

Ramai je yang boleh mengajar. Saya sanggup meluangkan masa bersama dengan mereka jika diperlukan. Macam sekarang saya menjadi pengkuliah dwi-bulanan di Institut Bahasa dan saya membawa dua kitab di sana. Riyadhus Solihin dan juga Mausu’ah Masailul Jumhur. Saya hanya membawa yang basis kerana saya tahu masih banyak benda yang saya tidak tahu.

Payah ilmu hadis ni, maka tidak boleh sebarangan. Orang yang bukan bidangnya dinasihatkan tidak bercakap tentang hadis lebih-lebih, takut-takut makin banyak yang tersesat.

“Kak Siti, moga berjaya dalam PhD,” kata saya sambil melangkah keluar. Saya mahu berbuka di Rumah Universiti.




Read More......

Ahad, 6 September 2009

ADUH, PENINGNYA AKU

7 Cadangan/Pandangan
Saya semakin terperosok dalam lembah serba salah. Serba tidak kena itulah gambaran kehidupan saya sekarang sekaligus perasaan itu menunjukkan saya ke satu jalan yang mati, tiada arah tuju yang terbaik dan ia memaksa saya untuk membuat satu keputusan yang bakal menentukan kehidupan saya pada masa akan datang.

Selepas seorang sahabat yang entah siapa, ia mengaku sekarang sedang menuntut ilmu di Jordan mengkhabarkan bahawa saya telah tersenarai untuk menyambung pengajian di Jordan dalam Master.



Perkhabaran itu dikuatkan lagi dengan pernyataan seorang ustaz saya yang kini sedang menambahkan ilmu di Jordan. Beliau bertanyakan bilakah saya ingin ke sana dan berhempas pulas dalam gelanggang ilmu yang sarat dengan cabaran itu.

Saya semakin serba salah.

Jika saya bertekad ke sana, maka saya terbang ke sana pada 29 Sept ini. Ia pasti tergesa-gesa namun tidak jika saya bertindak sekarang. Namun kini saya mempunyai pilihan lain. saya boleh menyambung pengajian pada bulan dua akan datang. Ini suatu perkhabaran yang sangat menarik.

Apapun, kini jiwa saya kembali bergolak untuk membentuk jiwa ulama di bumi Jordan pada bulan dua nanti. Saya rasa saya tidak boleh melepaskan peluang ini. Bulan dua akan datang, saya mesti berani membuat keputusan tersebut. Insya Allahumma amen.

Read More......

Sabtu, 5 September 2009

CERPEN III

1 Cadangan/Pandangan
Kalimah “La haula wala quwwata illa biLlah” mengandungi hikmah mendalam yang harus digali dan difahami. Orang yang memahami kalimah ini akan sentiasa berasa hina diri dan menganggap bahawa semua kebaikan yang berlaku adalah bersumberkan Allah taala.

Saya mencari makna itu sekian lama. Mengapa makna itu memberikan kesan yang mendalam kepada diri ulama salafussoleh sehingga mereka tidak pernah berasa takbur. Saya berkeyakinan terdapat satu falsafah tersembunyi yang akan memberikan makna yang besar dalam hidup saya jika saya mengertinya.

Sehinggalah akhirnya saya bertemu dengan Abul Haitham suatu ketika. Beliau ulama terkemuka dan punya wibawa keimanan yang menyerlah. Saya berteleku di hadapannya seraya menangis teresak-esak. Allah ternyata telah memberikan saya kebaikan yang melimpah ruah dengan mempertemukan saya dengan seorang ulama besar dalam satu alam yang tidak tergambarkan.



Kalimah “La haula wala quwwata illa biLlah” mengandungi hikmah mendalam yang harus digali dan difahami. Orang yang memahami kalimah ini akan sentiasa berasa hina diri dan menganggap bahawa semua kebaikan yang berlaku adalah bersumberkan Allah taala.

Saya mencari makna itu sekian lama. Mengapa makna itu memberikan kesan yang mendalam kepada diri ulama salafussoleh sehingga mereka tidak pernah berasa takbur. Saya berkeyakinan terdapat satu falsafah tersembunyi yang akan memberikan makna yang besar dalam hidup saya jika saya mengertinya.

Sehinggalah akhirnya saya bertemu dengan Abul Haitham suatu ketika. Beliau ulama terkemuka dan punya wibawa keimanan yang menyerlah. Saya berteleku di hadapannya seraya menangis teresak-esak. Allah ternyata telah memberikan saya kebaikan yang melimpah ruah dengan mempertemukan saya dengan seorang ulama besar dalam satu alam yang tidak tergambarkan.

“Guru, hamba bermohon padamu. Hamba tidak mengerti tentang kalimah “La haula wala quwwata illa biLlah”. Bolehkah guru menerangkannya, agar hilang keluh kesha yang hinggap dalam benak hamba?” saya merayu kepadanya agar menerangkan kepada saya.

Ketika itu ramai sekali muridnya sedang berada di sekeliling untuk menadah kitab dengannya. Saya tidak mempedulikan mereka lagi. Yang penting adalah saya memperolehi ilmu yang telah lama saya mencarinya.

“Wahai anakku, sebutkan kepadaku kalimah akidah yang dituturkan oleh al-Nahajjuuri,” Abul Haitham memintaku mensyarahkan pandangan ulama Iran yang berdiam lama di Masjidil Haram.

Saya beristighfar beberapa kali. Merenung dan bertafakur beberapa keika. Seraya menghembus nafas dan mencari ketenangan diri, saya membacanya, “Barangsiapa yang berasa kenyang disebabkan makanan, maka sebenarnya ia lapar. Barangsiapa yang berasa kaya dengan harta, maka sebenarnya ia miskin,” tutur saya perlahan.

Abul Haitham merenung ke arah saya. Ia tersenyum sambil berkata, “Nah, itulah makna kalimah yang engkau mencarinya sekian lama,” kata guru sambil kemudian menerangkannya panjang lebar.

Alangkah, ia cukup bermakna. “La haula”, tiada siapa berdaya untuk menghalang keburukan daripada melanggar kita kecuali Allah. “La haula”, tiada siapa yang mampu membentengi dri kita daripada melakukan maksiat kecuali Allah.

“Wala quwwata”, tiada siapa yang mampu memberikan kebaikan kepada kita selain Allah. “Wala quwwata”, dan tiada siapa yang mampu mendorong diri kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah selain Allah. Semuanya berpunca daripada Allah.

Lalu Muhibbuddin al-Wali menyinggung saya, ia berkata dengan penuh kerendahan diri, dan ternyata pada idirnya terdapat suatu keazaman Iman yang melimpah.

“Wahai, api sifatnya membakar. Namun api tidak mampu membakar Ibrahim. Kerana selama ini yang membakar bukannya tetapi Allah.”

“Wahai, air sifatnya menenggelamkan, namun air tidak mampu menenggelamkan al-‘Ala’ bin al-Khadrami. Kerana selama ini yang menenggelamkan bukannya air tetapi Allah.”

“Wahai, Yahya dan Ibrahim tidak mempunyai anak di saat usia di rembang senja. Namun ternyata yang menganugerahkan anak itu adalah Allah.”

Maka jiwa-jiwa yang bergantung sepenuhnya kepada Allah akan merenungi perkara ini dan tidak akan hinggap dalam diri mereka perasaan sombong mahupun takabbur. Seorang ulama yang zahid mengerjakan solat dengan penuh khusyu’ dan lama, tanpa ia sedari bahawa di sana ada yang memerhatikannya.

“Kemudian apa ceritanya wahai guru?” tanya saya kepada guru ketika kami terserempak di Masjidil Aqsa. Usah ditanya bagaimana kami ke sana dan apa bentuk keadaannya. Kami bertemu bukan di alam zahir sebaliknya dalam alam yang tidak terlihatkan oleh mata yang kasar dan penuh dengan maksiat.

Guru menyambung ceritanya, “Sang zahid itu berpaling kepada yang memerhatikannya seraya berkata, janganlah engkau berasa takjub dengan ibadahku kerana sesungguhnya, Iblis lebih kuat beribadat daripadaku tetapi akhirnya ia menyombong diri.”

Orang yang terikat dengan kalimah “La haula wala quwwata illa biLlah” ini akhirnya akan jadilah ia seperti Junaid yang meraung suatu ketika. Apabila dipujuk hati Junaid, “Jika engkau menangis kerana dosamu yang banyak, maka sesungguhnya keampunan Allah itu jauh lebih besar.”

Namun bukan kerana itu Junaid menangis. Junaid mengerti kalimah “La haula wala quwwata illa biLlah”. Junaid tidak bimbangkan dosanya yang besar kerana kelak ia berhadapan dengan Yang Maha Pemurah. Nmaun ketakutan Junaid adalah, ketakutan pengakhiran hidup beliau dalam keadaan tercela.

Maka Sahl bin Abdullah dengan tulus menuturkan pesan hikmah, « Ketakutan orang yang jujur adalah, takutnya kehidupan berakhir dengan su’ul khatimah dalam setiap gerak geri mereka. »

“La haula wala quwwata illa biLlah”, kalimah ini menepis segala kesombongan orang yang beramal ibadah. Sesungguhnya sang abid yang sombong dan berasa amal itu datang dari kekuatannya adalah sang abid yang tidak mengerti erti sebenar kalimah keramat ini.

“La haula wala quwwata illa biLlah”, ia menepis segala keresahan yang bersarang dalam diri dan membina kembali semangat untuk terus beramal kerana Allah dengan segenap perasaan yang menyelimuti.

« Anakku, » panggil guru dan saya menjawab panggilannya selunak mungkin. Kelihatan Zun-Nun pemuda Mesir sedang berbincang dengan Sufyan al-Thauri berkaitan kalimah cinta dan saya tahu, guru sudah tidak sabar untuk bersama mereka. Saya pula, dilarang untuk mengikuti perbincangan cinta itu, lantaran khuatir saya tidak mampu menanggung kefahamannya.

« Sampaikan pesan saya kepada sahabat seusrahmu, » dan saya terus memerhatikan setiap gerak bibirnya.
“Ingatlah pesan Muhammad Ahmad al-Rasyid, ahli Ikhwan yang engkau sanjung keindahan bahasanya. Tarbiah yang paling penting namun kian dilupakan ialah tarbiah ruhiyah, menjinakkan nafsu dan menghinakannya.

“Muhammad bin Kannasah ketika membicarakan tentang saudaranya Ibrahim bin Adham berkata, ia menghina nafsunya sehingga nafsu bertempiaran lari.

“Maka jangan hanya asyik berusrah dan mengumpul maklumat sedangkan maklumat itu tidak membantumu mendekatkan diri kepada Allah. Orang alim yang lebih mulia berbanding abid menurut keterangan nabi adalah orang alim yang beramal bukan hanya mengetahui.

“Janganlah terlalu sibuk berpolitik sehingga kamu tidak menjadikan medan politik sebagai dakwah. Aku tertarik sekali dengan gelagat Mursyidmu Nik Aziz, luarannya berpolitik namun kekuatan jiwanya sangat bercahaya. Politik tidak mampu memperdayakan hubungannya dengan Allah.

“Jangan hanya sibuk dengan bahan bacaan yang bertimbun sedangkan kamu meninggalkan al-Quran. Kelak al-Quran akan merajuk denganmu dan kamu juga akan kesal tidak berkesudahan.

“Erti tarbiah bukan untuk melahirkan pejuang haraki yang tumpas dengan nafsu. Luarannya kuat berjihad sedangkan hatinya diulik keasyikan nafsu.”









Read More......

Jumaat, 4 September 2009

SEKADAR MONOLOG

5 Cadangan/Pandangan
Ketika kita solat, jangan hanya kita fikirkan,
Sama atau tidak solat kita dengan nabi,
Tapi tanyalah juga hati,
Gembira atau tidak hati kita dengan perintah Allah ini.

Ketika kita membaca al-Quran,
Jangan hanya difikirkan tentang betul atau tidak tajwid,
Tapi fikirkan juga,
Faham atau tidak kita akan makna dan ertinya.

Jika kita kuat beribadah, harus juga kita fikirkan,
Bersih atau tidak hati kita,
Bukan sekadar memikirkan bahawa,
Kita harus memperbanyakkan ibadah.



Sesungguhnya terdapat penyakit yang paling ditakuti al-Ghazali,
Lebih beliau takuti daripada gigitan dosa,
Iaitu penyakit hairan dan takjub dengan diri sendiri.

Orang yang jarang melakukan dosa,
Banyak melakukan ketaatan,
Adalah orang yang paling mudah dihinggapi penyakit ujub.

Alangkah,
Yang paling rajin beribadah tidak semesti bersih hati mereka,
Mungkin mereka hanya asyik menjilat najis mereka sendiri.

Aku melihat,
Ramai yang berusrah,
Namun bacaan al-Quran mereka masih terlalu lemah
Walhal mereka membaca karya yang tinggi-tinggi,
Berfalsafah dan beretorik, malangnya mereka.

Aku melihat,
Mereka mengatakan mereka cintakan sunnah nabi,
Namun mereka tidak gemar menghafaz hadis,
Lalu cinta mereka hanya kosong belaka.

Ahli gerakan kadang-kadang,
Berhujah dengan emosi,
Menggunakan akal mereka,
Tetapi mereka tidak menghafaz dalil dari al-quran.


Read More......

CERPEN II

2 Cadangan/Pandangan
Saya mengembara lagi pada malam yang seterusnya. Bertemu dengan guru pada hari itu benar-benar mengocakkan keinsafan dalam diri. Tidak pernah saya begitu pilu dan galau. Guru telah membuatkan hati saya amat resah.

“Apakah ertinya nafsu itu, guru?” saya bertanyakan guru sambil menyalami tangan beliau yang lembut. Guru sedang asyik berzikir memelukku erat. Guru memberikan isyarat untuk menghabiskan zikir. Saya sudah tidak sabar untuk mendengar nasihatnya yang mampu meruntun jiwa.

“Nafsu itu bererti, ia memberikan kamu berasa enak dengan ibadah sedangkan nilai imanmu entah di mana. Sebutkan kepadaku wahai anakku, apakah engkau bermunajat semalam?” Tanya guru. Aku mengangguk kecil.



“Apakah imanmu dan keyakinanmu kepada Allah meningkat atau masih dalam tahap biasa? Apakah engkau berasa tenang dengan tahajudmu semalam?” Tanya guru lagi. Saya serba salah untuk menjawabnya kerana saya tahu, pasti ada saja buah kilasnya yang akan menjerut saya.

“Guru, saya tenang sekali bila bertahajud. Saya berasa tahajud memberikan keenakan dan ketenangan dalam diri saya,” saya menjelaskannya dengan ketenangan. Guru menggenggam erat tangan saya sambil mengusapnya. Guru meniup-niupku ubunku kemudiannya.

“Anakku, apa yang memberikanmu ketenangan?” Tanya guru lagi.

“Tahajud, guru,” saya menjawab. Guru tersenyum, semacam tidak suka mendengar jawapanku. Guru menggeleng-geleng kepala seolah-olah tidak bersetuju dengan jawapan saya. Saya tidak keruan dibuatnya.

“Anakku, bacalah kalam hikmah Ibnu Ataillah berkenaan sikap seseorang apabila melakukan dosa.”

Saya berfikir sekejap. “Antara tanda orang bergantung kepada amal dan berkurangnya rasa pengharapan kepada Allah ialah apabila ia melakukan dosa.”

Serentak, baru saya terperasan dengan maksud guru. Guru hanya tersenyum. Benar, saya hanya bergantung kepada tahajud. Saya menyangkakan tahajud yang memberikan ketenangan kepada saya. Walhal yang memberikan ketenangan abadi kepada saya ialah yang menyuruh saya bertahajud.

Mungkin hati saya tenang dengan tahajud, tetapi apakah mata hati saya semakin terbuka? Mungkin saya asyik berzikir tetapi apakah mata saya mengeluarkan air mata ketakutan kepada Allah? Mungkin saya ralit mengungkapkan kalimah cinta kepada Allah tetapi apakah ia benar lahir daripada isi hati saya yang dalam? Atau saya hanya leka dengan kalimah cinta sedangkan hati saya jauh daripada kalimah cinta?

Iman itu bukan dengan solat sahaja. Iman itu bukan dengan zikir semata. Iman itu adalah kekuatan hati dan kepercayaan yang teguh. Iman semakin kuat dengan pertolongan Allah bukan dengan solat. Solat hanya wasilah. Yang terpenting ialah inti pati solat.

Inti pati solat ialah, melahirkan rasa tawakkal yang tinggi memuncak kepada Allah sehingga segala keluh-kesah hanya diadukan kepada Allah.

Aduhai, jika boleh, mahu saja saya meluahkan kekecewaan yang terbuku dalam hati saya ini. Ingin saja saya berkongsi dengan adik-adik saya, apakah kesilapan yang telah kita lakukan selama ini.

Jika benar kita cintakan Rasulullah, apa yang telah kita lakukan? Apakah kita telah meletakkan Allah sebagai penyelesai masalah?

“Guru, berikan nasihatmu,” pinta saya.

“Anakku, aku tidak mampu menyelesaikan masalahmu. Yang mampu menyelesaikannya hanya Allah. Perbanyakkan taubat dan mengharap kepadanya, bukan kepada tahajudmu itu,”








Read More......

Khamis, 3 September 2009

CERPEN SUFI

9 Cadangan/Pandangan
Ramadhan menjadi medan untuk seseorang hamba mendekatkan dirinya kepada Allah. Saya juga tidak ketinggalan menuju ke arah itu. Mencari hakikat kehambaan dan penghambaan. Mengejar redha dan memburu keampunan saban malam.

Maka saya tidak pernah serik menunaikan solat tarawih dan tahajud setiap malam. Harapnya, akan diampuni dosa saya segalanya yang telah saya reka cipta di bulan yang tersebelum ini. Moga Ramadhan benar-benar menjadi madrasah mendidik diri saya.

Setiap orang barangkali, tidak terlepas mencari kecintaan Allah di bulan yang mulia ini. Kawan-kawan saya juga begitu. Masing-masing terkumat-kamit membaca al-Quran. Jika boleh, 30 juzu’ mesti dihabiskan bacaannya di bulan yang mulia ini. Bangun di awal pagi untuk bertahajud dan sedikit berzikir. Kemudian bersahur sebagai menurut sunnah.




Saya bertemu guru saya malam itu, dalam mimpi. Sudah lama guru tidak bertandang menziarahi saya. Guru nampaknya semakin berseri wajahnya dan sarat dengan rasa kecintaan kepada pencipta. Saya memberikan lafaz salam kepada guru seraya menyalami dan mengucup tangannya dengan rindu yang membuak-buak.

« Apa khabar guru ? » Saya mulakan bicara. Guru memandang wajah saya dengan aneh sekali.

“Aku sedang sibuk mengasah makrifatku,” ringkas jawapan guru. Saya terkedu. “Anakku, orang yang mengasah makrifat berbeza dengan orang yang lalai beribadah,” jelas guru, sinis rasanya.

“Maafkan saya guru, saya kurang mengerti,” saya bertanya jujur. Guru melihat kepadaku.

“Nampak gaya pandangan makrifatmu semakin tumpul. Kamu leka beribadah tetapi kamu lupa menajamkan pandangan basirahmu. Anakku, kau telah ditipu oleh ibadahmu yang membukit sedangkan semua itu permainan syaitan,” saya semkain terpinga-pinga.

Saya bangun bertahajud setiap malam. Saya membaca al-quran tanpa rasa jemu. Saya membanyakkan doa dan zikir kepada Allah. Apa maksud guru sebenarnya.

“Muridku, sebutkan apa tanda menurut syahwat pada pandangan Ibnu Ataillah?” guru bertanya. Aduh, gentar habis tubuh badanku. Terkeluar keringat takut dan pcat. Guru mengujiku.

“Kalam hikmah berbunyi, antara tanda orang mengikut nafsu, memperbanyakkan amalan sunat tetapi bermalas-malasan dalam perkara yang wajib,” sebutku perlahan. “Tapi guru, saya tetap memperindahkan yang fardhu dan menambahkan yang sunat,” saya cuba membela diri saya.

Guru tersenyum. Saya semakin diserang perasaan serba salah. Saya cuba memikirkan di mana silapnya saya. Apakah kurangnya saya. Saya tidak keruan dan tidakketahuan. Apa puncanya, saya semakin gelisah dan diburu resah.

“Anakku, ingatkah kamu tentang pesan Rabiah, istighfar yang memerlukan istighfar yang lain?” guru bertanya. Istighfar yang memerlukan istighfar yang lain. Istighfar yang diucapkan melalui lisan dengan tujuan meraih rasa bangga dan perhatian orang lain. Istighfar yang diungkapkan dengan rasa takabbur dan riya’ dan mendalam. Istighfar yang ditutur dengan lisan sedangkan hati berbaur dengan noda dan titik hitam. Istighfar yang dilafazkan sedangkan hati langsung tidak memahami, basirah pun tidak terasah.

“Anakku, ingatkan kamu pesan ulama Rabbani, jangan kamu menanam pohonan syurga dengan benih-benih neraka?” Saya terjatuh melutut apabila basirah saya diserang bertubi-tubi oleh guru.

Mengerjakan solat dengan kesungguhan tetapi tahajud langsung tidak membantu mendekatkan diri kepada Allah. Hanya tahajud, hanya gerakan badan, sedangkan hati tidak bersama-sama. Hanya bangun di malam hari sedangkan simbahan cahaya pada mata hati redup sekali. Bacaan al-Quran yang hanya menjadi gerakan bibir dan basahan lidah sedangkan akal tidak mengerti dan jiwa semakin kontang. Hanya zikir yang terlafaz sedangkan mata tidak menangis. Hanya merenung dosa dengan ingat-ingatan bukannya dengan jiwa dan rasa mendalam.

Aduh, tajamnya sinis guru malam ini.

« Anakku, terangkan padaku apakah tanda Allah memberikan kebaikan kepada kita?” guru bertanya lagi sedangkan saya sudah tidak tertahan. Mata saya tidak putus-putus mengeluarkan air mata keinsafan. Saya berasa takut sekali. Rupanya tahajud saya bukannya membuahkan keimanan tetapi dosa berpanjangan. Saya tertipu dengan banyaknya ibadah.

“Guru, tanda Allah memberi kebaikan kepada hambanya ada tiga. Pertama, ia tidak pernah berniat untuk melakukan kebaikan tetapi Allah mendorongnya melakukan kebaikan. Ia berniat melakukan kejahatan tetapi Allah menghalangnya. Ketiga, Allah membuka pintu hatinya untuk sentiasa mengharap dan berdoa kepada Allah dalam setiap masa,” saya menerangkannya dalam keadaan sendu.

Orang yang ikhlas kepada Allah, Allah pacakkan rasa kehambaan pada matanya. Lalu yang melihatnya akan berasa tenang dan senang. Sedangkan yang berterusan dalam maksiat dan dosa, maka wajahnya hitam dan redup, seolah-olah kepingan malam.

“Anakku, Ramadhan memang bulan ibadah. Namun yang lebih baik adalah, Ramadhan bulan mengasah ketajaman makrifat. Namun aku melihat kamu telah tertipu oleh syaitan. Bertaubatlah wahai anakku,” pesan guru sambil meninggalkan saya.

Dan saya terus menangis mendengar pesan tajam guru.


Read More......

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE