Isnin, 27 Julai 2009

BERJUANG UNTUK ISLAM

4 Cadangan/Pandangan
Saya menganggap abang-abang Rabbani semacam abang-abang kandung saya sahaja. Jika ada yang muda, adik saya lah. Jika ada yang sebaya, saudara. Apapun, Enc Azadan, Ust Asri dan lain-lain banyak membantu dalam menjayakan konsert yang tidak terhinggaan ini.

Saya juga seharusnya mengucapkan terima kasih selangit-langitnya kepada seluruh yang menjayakan agenda besar Gamis ini. Kepada pengarah dan seluruh AJK, juga kepada seluruh yang terlibat termasuklah MT Gamis yang bersengkang mata tidak tidur malam demi memastikan kejayaan berpihak kepada Islam. Yup, bukan kepada Gamis, tetapi kepada Islam sesungguhnya.

Semua ini agenda Islam. Gamis tidak pernah meletakkan sesuatu perjuangan melainkan untuk Islam. Sama ada ketidaksetujuan Gamis dengan ISA, kebencian Gamis terhadap kezaliman, sokongan Gamis terhadap perjuangan Palestin sama da ia diperjuangkan oleh Hamas mahupun Yahudi, kesungguhan Gamis dalam membela kebajikan dan menjuarai isu mahasiswa, keseriusan Gamis untuk tarbiah dan gerakan dakwah, membawa suara ke peringkat antarabangsa, semuanya untuk Islam. Tidak untuk Gamis.



Maka, Islam ada pemiliknya. Gamis tidak pernah gentar dengan sebarang kekangan yang akan menimpa. Bahkan Alhamdulillah, sampai sekarang saya tidak begitu gentar dengan budget dan kos yang terpaksa ditanggung Gamis dalam menjayakan konsert yang sebegini besar. Ya, meskipun kosnya sangat besar. Namun saya langsung tidak gentar. Saya hanya gentarkan satu perkara sahaja.

Baik, mengapa saya tidak gentar? Saya ingin bertanya balik, mengapa saya mesti gentar? Gamis ada pemiliknya. Islam ada pemiliknya. Rabbani ada pemiliknya. Pemilik kami dan agama kami adalah Allah taala. Maka sebagaimana jawapan bernas Abdul Muttalib ketika ditanya Abrahah, “Mengapa kamu bimbangkan kambing kamu? Mengapa tidak kamu bimbang tentang kaabah yang bakal diserang kami?” Maka Abdul Muttalib menjawab tegas, “Kaabah itu ada tuannya.”

Maka apabila Islam itu ada tuannya, maka saya hanya bimbangkan satu perkara. Saya bimbang saya tidak mampu melakukan yang terbaik untuk Islam. Itu sahaja. Saya bimbang saya akan disoal Allah taala, apa yang saya buat untuk Islam dalam konsert tersebut. Itu yang saya bimbangkan. Saya tidak bimbangkan sangat tentang Gamis itu. Kalau Gamis lemah, saya yang akan dicerca. Tetapi jika saya tidak melakukan yang terbaik untuk Islam, saya yang akan rugi besar.

Ini kerana saya berpegang, “Kami mulia kerana Islam.” Saya juga berpegang, “Kami yang memerlukan Islam dan Islam tidak memerlukan kami.” Maka dengan pegangan sebeginilah kami melangkah berani untuk membawa konsert dan kami tetap meletakkan Islam di depan. Apabila soal Islam selesai, maka konsert akan berjalan dengan baik.

Saya juga berpesan kepada diri saya, berbaik sangka kepada Allah taala., pasti Allah akan berbaik snagka dengan saya. ya Allah, Engkau berilah kejayaan kepada konsert antara dunia anjuran Gamis dengan kerjasama Rabbani, dan Engkau berkahilah program kami ini dengan nilai keimanan, amen.








Read More......

Sabtu, 18 Julai 2009

PENGAJIAN HADIS

6 Cadangan/Pandangan
Saya terbaca satu hadis yang sangat baik untuk dikongsi bersama. Hadis itu menjadi pilihan Abu Bakar al-Jazairi untuk dimasukkan dalam kitab pengajian beliau. Saya lupa riwayat siapa. Jelasnya, ia merupakan pesan nabi saw kepada Muaz bin Jabal.

Kata nabi saw kepada sahabat besarnya itu, “Hai Muaz, demi Allah, aku sangat-sangat mengasihimu. Janganlah kamu meninggalkan solat kecuali kamu berdoa, Allahumma, bantulah hamba dalam mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu serta memperelokkan amal kepada-Mu.”

Ajaran doa nabi saw ini sangat bagus. Ia menggambarkan simbolika kelemahan dan kefakiran manusia sebagai hamba. Maka sebagai hamba yang lemah, kepada Allah taala jugalah tempat kita bergantung sepenuhnya. Bahkan yang menariknya ialah, Muaz diminta oleh nabi saw untuk mengadu kepada Allah taala agar Allah taala membantu beliau untuk sentiasa ingat kepada-Nya. Ini satu keindahan dalam berbahasa.




Seolah-olah saya berkata kepada ibu saya, “Ibu, tolonglah peringatkan saya agar saya bangun seawal pagi esok untuk membantu ibu mengemas rumah.” Atau seorang kawan berkata kepada kawannya, “Bantulah saya untuk sentiasa merinduimu dalam doa.”

Contoh yang diberikan saya masih kurang menarik sebenarnya kerana contoh tersebut hanya terkait antara hamba dengan hamba. Tetapi sekarang doa itu merujuk kepada satu pengkisahan, seornag hamba yang ingin berbakti kepada Tuhannya, maka ia meminta kepada Tuhannya agar ia dibekalkan kekuatan untuk berbakti. Ini satu keelokan dalam beramal ibadat.

Ada tiga elemen yang ditekankan oleh nabi saw dalam doa tersebut. Pertama, zikir kepada Allah taala. Kedua, bersyukur kepada-Nya. Ketiga, memperelokkan amal ibadat kepada-Nya.

Hamba yang sentiasa mengingati Allah boleh diperihalkan sebegini, agar lebih nampak. Apabila ia mendapat sesuatu nikmat maka ia bersyukur ALHAMDULILLAH. Apabila ia mendapat musibah ia redha dan bersabar seraya mengungkapkan INNA LILLAH WA INNA ILAIHI RAJI’UN. Apabila ia melihat suatu perkara yang tidak diingini, ia mengatakan, NA’UZUBILLAH.

Apabila ia melihat kebesaran Allah taala, pantas sahaja ia melafazkan SUBHANALLAH. Mendengar kemenangan Islam, ALLAHU AKBAR. Takjub dengan sesuatu [erkara, MASYA ALLAH. Ketika memohon kekuatan agar dapat melepaskan diri daripada kesulitan termasuklah cengkaman Iblis supaya melakukan kejahatan, LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH AL-‘ALIYYUL ‘ADZIM. Apabila ia melakukan kesilapan, ia membaca ASTAGHFIRULLAH dengan penuh penghayatan. Ini adalah gambaran orang yang sentiasa ingatkan Allah taala dalam banyak hal.

Kita teruskan sedikit lagi. Ia membaca doa dalam setiap keadaan. Baik semasa memakai baju atau memasuki tandas, memulakan makan dan bersama isteri, semasa lapang mahupun susah, memulakan pekerjaan atau sebagainya, semuanya dimulakan dengan doa atau zikir.

Perasan atau tidak, kehidupan kita penuh dengan kalimah tahmid ALHAMDULILLAH. Tidak sah solat kita melainkan perlu kita ungkapkan kalimah ALHAMDULILLAHI RABBIL ‘ALAMIN pada setiap rakaat. Bangun sahaja daripada tidur, kita mengucapkan ALHAMDULILLAH. Apabila kita ingin tidur, kita juga membaca tasbih Fatimah yang mana terkandung dalamnya ucapan tahmid sebanyak 33 kali. Apabila keluar tandas, masih juga GHUFRANAKA ALHAMDULILLAH… Selepas sahaja makan, ALHAMDULILLAHI ALLAZI AT’AMANA…maka seluruh kehidupan kita sarat dengan kesyukuran.

Hanya yang buta tidak bersyukur. Setiap saat, bahkan setiap detik kita mendapat nikmat. Nafas dan udara ini adalah nikmat daripada Allah taala. Seluruh anggota tubuh badan kita, nikmat daripada Allah taala. Mata yang kita guna untuk melihat, nikmat daripada Allah taala. Semuanya nikmat daripada Allah taala.

Maka jika kita ingkar dengan nikmat Allah taala ini, dan kita ingin melakukan kerosakan di muka bumi, maka dengarlah baik-baik cabaran yang dilemparkan oleh Ibrahim bin Adham. Satu, kamu buat bumi sendiri atau. Kedua, kamu buat makanan sendiri atau. Ketiga, kamu buat udara sendiri atau. Keempat, kamu tangguhkan kematian dengan Malaikat Maut atau. Kamu lawan Malaikat yang mahu lemparkan kamu ke dalam neraka. Tapi, MAMPU KE?

Hamba yang dekat dengan Allah taala sentiasa bersyukur kepada Allah taala dan sentiasa berbaik sangka dengan-Nya. Tidak kira ia mendapat nikmat atau tidak, hati dan lisannya tetap sentiasa bersyukur. Jika ia mendapat musibah sebesar mana sekalipun, ia tetap bersangka baik dengan Allah taalam. Sebagai contoh,

Ketika ia mendapat kejayaan dalam temuduga kerjaya, ia bersyukur kepada Allah taala. Ia berjaya kerana Allah taala. Ia memulangkan segala pujian yang berhak menerimanya iaitu Allah taala. Jika ia gagal, ia berpesan kepada dirinya, “Mungkin aku ada silap dengan Allah, maka hari ini aku gagal. Aku mesti tingkatkan amal kepada Allah dan sentiasa ingat kepada-Nya.”

Inilah tanda aras kejayaan seorang mukmin yang merindui Allah taala.

Ketiga, nabi saw berpesan kepada Muaz dalam soal memperelokkan amal ibadat.





Read More......

Khamis, 16 Julai 2009

AKSIOLOGI TARBIAH; KE ARAH PEMBERSIHAN HATI

1 Cadangan/Pandangan
Jika benar aksiologi sebuah tarbiah itu adalah untuk menyucikan hati, maka bagaimanakah pandangan tarbiah terhadap aksi bantahan yang menggunakan kelasakan fizikal atau kelicikan berfikir? Bagaimana pula pandangan tarbiah terhadap manipulasi media yang dimainkan sebagai bahan propaganda yang mana; kesemua ini mengeraskan lagi keinginan hati untuk tunduk dan tadharru’ kepada pencipta.

Maka tarbiah ada jawapannya. Mengikut sejarah kehidupan para sahabat yang mulia, orang yang terbiasa dengan peperangan ada masa-masa tertentu untuk direhatkan. Tujuan rehat itu, selain rehatnya adalah untuk memulihkan kekuatan fizikal dan mengubat rasa rindu terhadap keluarga atau ketenangan, ia juga sebagai satu peluang untuk tentera Islam melenturkan kembali hati yang keras agar lembut dan mudah khusyu’ kepada Allah.



Maka mata yang terbiasa melihat darah yang terpancut di hadapan mata mestilah diubat dengan titisan air yang takutkan Allah. Badan yang dipenuhi debu pasir peperangan mestilah dihiasi dengan debu sendu dan sebak munajat yang bertali arus. Suara kuat yang dilaungkan untuk membangkitkan semangat, memberi arahan dan menakutkan musuh diganti dnegan suara perlahan berdoa dan meminta harap kepada Allah.

Tarbiah ada jawapan kedua. Tarbiah tidak mengizinkan kesemua orang keluar berperang serentak. Maka di sana ada golongan yang direhatkan khas untuk menuntut ilmu sepuncak-puncaknya agar kelak mereka yang akan memberikan peringatan kepada golongan tentera Islam. Peringatan agar mereka tidak berbangga dengan kemenangan jika mereka menang. Peringatan agar mereka tidak lemah semangat jika mereka kalah. Peringatan agar mereka bersungguh memburu syahid. Juga di samping menambahkan ilmu dan thaqafah dalam dada agar bertambah utuh dan kukuh.

Tarbiah menyediakan jawapan ketiga. Sahabat handai, atau mungkin isteri harus memainkan peranan penting untuk sentiasa menghembuskan keimanan dalam diri pejuang. Mungkin seorang ahli gerakan Islam pulang daripada aksi demonstrasi yang sarat dengan amarah (seperti contoh himpunan mansuhkan ISA), maka sahabat yang tidak berkesempatan untuk pergi kerana ada masalah, atau isteri, atau sesiapa sahaja yang berkesempitan, atau mungkin ketua gerakan (meskipun ia pergi), mestilah sentiasa memperingatkanj agar pejuang tidak leka untuk membersihkan hati mereka dari masa ke masa agar perjuangan mereka diredhai oleh Allah.

Inilah aksiologi dalam tarbiah. Segalanya kembali kepada satu hakikat yang terang-benderang, iaitu pembersihan hati dalam membentuk jiwa yang bersyukur kepada Allah yang Maha Kuasa.



Read More......

Isnin, 13 Julai 2009

4 Cadangan/Pandangan
Saya berasa selesa amat bekerjasama dengan kumpulan nasyid tanah air yang terkemuka Rabbani. Adik-adik konsert turut memberikan satu gerak kerja yang sangat menarik dalam menjayakan agenda konsert ini.

Dalam siaran langsung Radio IKIM tadi (13 julai), saya menegaskan satu perkara. “Saya sentiasa berpesan kepada MT GAMIS dan AJK Konsert bahawa kita bukannya mahukan GAMIS menjadi popular. Dan saya tidak kisah sekiranya orang tidak mengenali siapa presiden GAMIS. Yang penting ialah orang kenal Islam itu sendiri.”

Kalau saya mahu orang kenal GAMIS, GAMIS boleh dibubarkan bila-bila masa sahaja. Jika saya mahu orang kenal saya sebagai Presiden GAMIS, saya akan mati bila-bila masa sahaja. Jadi merugikan sekali jika saya mahukan saya dikenali. Maka saya pahatkan awal-awal lagi, yang penting ialah Islam akan terjulang dan meresap dalam hati penganutnya.



Saya teringat lagu Rabbani yang sangat bagus. Mana milik kita? Itu persoalan yang sangat menarik. GAMIS adalah hak dan milik Allah, bukan milik saya. bukan milik Rafidah dan bukan milik Kusaire. Ia milik Allah. Sekiranya terjadi apa-apa kepada GAMIS, saya sudah serahkannya sepenuhnya kepada Allah. Terpulang kepada Allah, apa yang Allah mahukan.

Maka saya ingin sekali mengajak ahli GAMIS semuanya agar sentiasa mensyukuri nikmat Allah yang telah memberikan kekuatan kepada GAMIS. Sehingga kini, GAMIS masih berdiri teguh atas nikmat daripada Allah. Sekiranya suatu masa nanti pimpinan yang memegang GAMIS bermasalah hubungan dengan Allah, maka Allah akan melenyapkan GAMIS pada bila-bila masa sahaja yang Allah mahu.

Dunia ini bukan dikuasai kita. Ia milik Allah. Maka ucapan Subhanallah adalah tanda taqdis, atau penyucian Allah. Tasbih, tahmid dan takbir mesti menjadi basahan lidah. Sekiranya ahli GAMIS rajin mengamalkannya, dan semestinya saya mesti lagi-lagi kena rajin mengamalkannya, maka saat itu adalah saat kemenangan bagi GAMIS.

Bukan dengan popular itu kemenangan kepada GAMIS. Bukanlah apabila GAMIS berjaya melahirkan ribuan kader itu, sebagai tanda kejayaan GAMIS. Kejayaan GAMIS adalah apabila GAMIS berjaya melahirkan kader dan mengukuhkan dakwah sehingga ramai orang menyedari ketuhanan Allah dan menyembah-Nya dalam erti kata sebenar. Dalam, bab tarbiah, kemenangan GAMIS ialah apabila berjaya melahirkan ahli yang bersih hatinya serta dipenuhi dengan rasa syukur.

Inilah GAMIS, kepada sesiapa yang belum mengenalinya. Justeru, saya sentiasa bertanya kepada diri. Apakah pekerjaan yang saya lakukan akan mengembalikan orang kepada penghambaan yang sebenarnya? apakah dengan mengadakan konsert, Islam akan terjulang dan kesucian hati akan terpelihara? Apakah dengan mengadakanj aktiviti dakwah, Allah akan menjadi sebutan lidah masyarakat?

Ini persoalan yang sering bermain di fikiran saya. semakin saya berfikir, semakin kuat Iblis membisikkan dan membujuk hati saya agar cenderung kepada keduniaan. Ia sangat mengganggu. Namun saya sedar, syaitan yang ditugaskan untuk menjada saya tidak setanding dengan syaitan yang menjaga orang lain. Syaitan yang menjaga saya tidak terlalu menghadapi kesulitan untuk melekakan saya.

Aduh, astaghfirullah. Saya terpaksa menerima satu hakikat yang menyedihkan. Ketidak kuatan GAMIS adalah disebabkan maksiat presidennya. Ini hakikat yang paling pahit untuk saya telan. Apabila menerima mesej daripada Ust Yussaine petang tadi, berpesan agar saya menghiasi diri dengan tawadhu’, saya mengerti mafhumnya dan maksudnya. Maksudnya adalah, saya bukan orang tawadhu’. Aduh, ia sangat menyedihkan saya.

(tambahan: pernyataan terakhir saya telah disalah ertikan. setelah saya memerhatikan balik, baru saya perasan bahawa saya telah melakukan kesilapan dari sudut bahasa. sebenarnya begini, bukanlah ust yussaine bermaksud saya tidak tawadhu'. saya maksudkan melalui pernyataan terakhir sebagai, saya harus mengerti bahawa pesan ust yussaine itu seolah-olah datang dari Allah, cuma melalui pesan beliau. beliau tidak berniat apa-apa kecuali nasihat, cuma saya yang mengenali diri saya harus mengerti, bahawa itu adalah pesan dari langit agar saya berhati-hati. konklusinya, ust tidak bermaksud apa-apa selain nasihat sebagai murabbi, manakala saya yang mengenali diri saya sendiri harus mengetahui bahawa itu adalah pesan dari langit yang diterjemahkan melalui ust. maka saya harus menanam semula nilai tawadhu' itu. segala puji itu hanya milik Allah dan terima kasih buat ust yang saya kasihi)






Read More......

Sabtu, 11 Julai 2009

GAMIS AKAN TERUS MENZAHIRKAN DIRINYA

7 Cadangan/Pandangan
Alhamdulillah, ia sepatutnya diungkapkan guna memuji Allah taala setelah membantu kami dalam menjayakan kongres. Ramai mungkin tidak tahu, betapa inilah program pertama GAMIS secara legal, terbuka dan profesional.

Maka kami telah membina hubungan dengan banyak pihak. Termasuk apabila saya dijemput ke rancangan Astro Awani. Kami juga dapat membina kerjasama dengan ramai ahli akademik dan intelektual termasuklah pihak Bukit Aman dan Ketua Polis Negara itu sendiri. Malah hubungan dengan beberapa pimpinan NGO dan MB Selangor.

Saya kita, GAMIS tidak boleh menyembunyikan lagi identitinya sebagaimana terdahulu. Mesti GAMIS mesti seterang matahri, bukannya lagi bersembunyi di sebalik awanan. Apa lagi pada 1 Ogos nanti, GAMIS buat julung-julung kalinya akan mengadakan konsert yang lebih besar dan meriah tentunya dengan izin Allah, insya-Allas, amen.



Saya tidak sangka sejauh ini langkah GAMIS. Saya yakin saya boleh melangkah lebih jauh ke depan, tetapi saya tidak melakukan semuanya pada zaman ini. Beberapa perubahan sudah cukup, dan yang pentingnya adik-adik generasi akan datang memahami idealisme yang sudah terpahat. Jika tidak, akan pupuslah segala gagasan.

Dr Abu Hasan berkata kepada saya, “Abang yakin GAMIS boleh melangkah lebih jauh ke depan.” Ini juga keyakinan saya. Dan saya tidak mahu sangat melayan suara-suara kecil yang mengajak untuk saya berpatah ke belakang. Tidak mahu saya melayan mereka. Saya mesti terus ke depan dan menoleh kadang-kadang tetapi tidak akan berundur.

Sekejap lagi, saya akan membincangkan satu gagasan baru GAMIS yang sekaligus akan mengubah 80 peratus watak GAMIS selepas ini. Kemungkinan. Saya yakin gagasan ini akan ditentang hebat terutajanya oleh golongan fundementalis tetapi akan didokong penuh oleh golongan yang mahukan arus perubahan. Saya akan membentangkan perkara itu selepas membincangkannya dengan barisan pimpinan.

Seingat saya, ada beberapa perubahan yang terpaksa saya telah celaan lantaran ketidak biasaan ramai pihak. Isu GAMIS mendaftar sebagai NGO pun dianggap sebagai menghilangkan roh jamaah dan mendedahkan ahli kepada kebahayaan dari sudut sir hazar. Saya ingin sahaja bertanya. Mana gerakan yang tidak beramalkan dengan konsep sir hazar.

PAS pun mengamalkan sir hazar tetapi seluruh negara mengetahui gerakan PAS. yang sir adalah strategi dalaman. Bahkan ada strategi yang boleh kita dedahkan. JIM dan ABIM juga terbuka. Jadi apa salahnya sekiranya GAMIS sebagai NGO. Sampai bila GAMIS mahu bergerak secara haram dan terus menerus dikenali sebagai budak nakal.

GAMIS mengadakan pula tarbiah dan tamrin secara terbuka. Ada yang mengkritik. Saya ingin bertanya balik, apakah tarbiah kita eksklusif? Saya jika boleh, mahu saya tarbiah UMNO mahupun MCA. Kita tarbiah dan dakwah semua. Maka Akademi al-Fatih yang dianjurkan telah mempromosikan apa itu tarbiah GAMIS. Saya berharap, ada seseorang yang akan menerbitkan buku menceritakan apakah impian dan bentuk tarbiah GAMIS untuk bacaan umum. Biar semua mengenali apa itu GAMIS dan apa gagasan serta impian mereka.

Dan banyak lagi sehinggalah ke kongres dan konsert. Saya mahu terus membicarakannya di lain masa. Sekarang, saya mahu berehat..

Read More......

Khamis, 9 Julai 2009

IMPIAN SAYA

21 Cadangan/Pandangan
Saya sudah lama menyiapkan permohonan untuk menyambung pengajian ke Jordan. Tujuan saya, beruzlah semasa muda untuk memperkasakan ilmu. Jika mampu, saya akan menyambung sampai ke PhD di sana.

Dalam masa yang sama, saya bersedia jika terpaksa menyambung pengajian di UM. Ada beberapa pemfokusan yang boleh saya tumpukan. Saya akan mengambil bahagian sejarah semestinya untuk kali. Berbeza dengan degree dalam bidang al-quran dan hadis.

Mungkin saya boleh membincangkan beberapa tajuk yang memerlukan komitmen terbaik saya. pertama, berkaitan Yahudi Menurut Perspektif al-Quran. Dalam hal ini, saya terpaksa mengkaji kesemua ayat yang berkaitan dengan Yahudi, juga yang mengandungi perkataan Yahudi sekalipun. Kemudian saya mesti merujuk pertalian dengan ayat lain. Asbab nuzul, bila diturunkan, apa suasana ketika ayat tersebut diturunkan dan juga tafsirnya.




Kedua, saya mungkin boleh mengkaji tentang kerajaan Muwahidun di Sepanyol. Semestinya ia amat berat namun saya berpelung untuk ke Sepanyol jika perlu. Mengkaji dan merenung bagaimana kerajaan Muwahidun membina kegemilangannya dan bagaimana ia runtuh. Bahkan saya sepatutnya boleh mengkaji, apakah faktor luaran selain dalam yang melonjakkan kerajaan tersebut, juga apakah sumbangan kerajaan Muwahidun kepada dunia Islam.

Ketiga, saya mungkin juga boleh mengkaji tentang kepimpinan Abdul Rahman al-Dakhil. Setakat ini saya belum bertemu dengan dokumen lengkap tentang beliau. Namun ini tidak bermakna saya akan menyerah kalah, apatah lagi al-Dakhil bukan calang-calang orang dan seharusnya beliau dimasukkan dalam golongan pemimpin Islam yang besar.

Banyak lagi yang boleh saya bincangkan dalam MA ini. Namun saya tidak tergopoh-gapah. Saya mahu membuatnya secara strategis dan penuh dengan perancangan. Tektikal saya mesti tinggi. Saya sudah terfikir untuk menuntut secara berkala dengan Dr Zaki yang merupakan Pakar Andalusia.

Kemudian saya akan berjumpa dengan seramai mungkin pakar sejarah untuk menuntut ilmu daripada mereka. Saya juga seharusnya mengkaji banyak dokumen dan buku yang berbentuk ilmiah bagi menyiapkan projek saya termasuklah karya al-bidayah wa al-nihayah Ibnu Kathir. Rujukan Bahasa Arab dan Inggeris akan dijadikan rujukan utama saya, bukannya rujukan Bahasa Melayu yang kebanyakkan tidak bersendikan ilmiah.

Dalam memperkasakan keilmuan dalam diri saya, saya sudah berbincang dengan rakan karib saya untuk mengadakan usrah ilmiah. Saya akan mengendalikan soal tafsir dan hadis. Hasrul pula dalam bidang akidah dan Naim dalam bidang pemikiran Saya dapat merasakan perbincangan kami pasti akan rancak. Namun saya masih mencari beberapa pakar dalam bidang lain termasuklah sejarah, Nahu dan juga mungkin tasawuf. Ia agak berat.

Saya juga akan memberikan komitmen yang penuh untuk mengikuti usrah bersama pimpinan tertinggi Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Semalam bersama dengan Datuk Sheikh Halim, Dr Fauzi Deraman, Datuk Salleh Ahmad dan lain-lain, ia amat menyeronokkan. Namun sekali-kali ia tidak menghalang keinginan saya untuk berapat-rapat dengan golongan liberalis dan modenis. Semestinya kumpulan IKD dan SIS akan menjadi tumpuan saya.

Saya mahukan pertambahan ilmu. Maka tawaran untuk menjadi Timb SU PUM perlu saya pertimbangkan. Bukan kerana kewangan kerana gaji langsung tidak akan diberi. Tetapi untuk berapat-rapat dengan golongan ulama dan berkenalan dengan seramai mungkin orang yang berkemampuan.

Alhamdulilah, saya bertemu lagi seorang alim semalam. Saya akan menjadikannya guru saya. saya akan mencari seramai mungkin guru dan akan belajar dengan mereka secara khusus. Saya tidak mahu menyia-nyiakan peluang yang ada.

Selain itu, saya juga mesti membina hubungan dengan seramai mungkin orang. Sama ada yang berkepentingan mahupun tidak. Moga-moga Allah memberikan kekuatan yang luar biasa.





Read More......

Rabu, 8 Julai 2009

BERSAMA GOLONGAN LIBERAL

3 Cadangan/Pandangan
Ada satu pandangan yang kritikal. Ia pernah diungkapkan oleh Tuan Guru MB Kelantan. Namun bahasa yang diungkapkan kali ini berbeza dan lebih tajam. “Apabila UMNO menerima Islam, maka PAS adalah haram untuk dikekalkan.”

Saya tergelak kecil mendengar pandangan sebegini. Seperti biasa, saya belajar menerima idea yang aneh dan mengancam. Saya mengerti, jika saya mudah melatah, maka saya akan terus menerus terperosok dalam lembah kejahilan dan kejumudan.

Dulu-dulu, awal-awal kejatuhan khilafah, Ali Abdul Raziq mengeluarkan karya anehnya tentang pemerintahan Islam yang menyebabkan beliau dikecam dan dilucutkan jawatan ulama. Rasyid Redha dan Saad Zaghlul antara yang lantang mengkritik pemikiran beliau.



Menariknya, golongan yang liberalis dari sudut berfikir mengeluarkan satu pernyataan yang mencabar status quo saya, dan kebanyakan orang. Kata mereka, lebih kurang bunyinya, “Wacana ilmiah kurang menjadi satu fenomena dalam gerakan Islam kerana mereka bimbang pembukaan ilmu yang luas akan melemahkan kekuatan mereka.”

Ali Abdul Raziq mempertikaikan sistem khilafah. Dulu, orang kurang menerima. Sekarang, ada kalangan ahli gerakan Islam yang menerima atas dasar nilai keilmuan. Saya secara peribadi, berasa takut namun amat gembira dengan situasi yang mencabar pemikiran dan tradisi ini.

Maka saya dan beberapa sahabat sudah mula merancang. Satu gagasan yang kritikal, “Mencabar tradisi berfikir secara biasa.” Bagaimana caranya? Kami sudah tidak mahu hanya mendengar pandangan yang daripada guru dan ulama, tetapi kami mahu mendengar pandangan daripada golongan liberalis dan intelektual songsang.

Menghayati pemikiran mereka, akan membawa kami ke satu alam yang lain. Pastinya, maya. Saya tidak sabar-sabar untuk bersama golongan liberal…


Read More......

BUDAYA AL-QURAN

6 Cadangan/Pandangan
Saya sempat berbincang dengan Ketua Tarbiah PMIUM semalam. Perkara asas yang kami bincangkan ialag, apakah kemuncak aksiologi tarbiah. Beliau menyatakan, melahirkan manusia yang boleh berguna untuk Islam.

Kemudian kami melanjutkan perbincangan dan ia tambah menarik dengan kedatangan saudara saya Azlan. Biasa budaya berbincang sesama kami. Bermula dengan satu perbincangan yang sangat ilmiah, bertukar kepada strategi tarbiah.

Saudara Azlan mengemukakan gagasan menarik untuk saya dedahkan. Ke arah mewujudkan budaya al-Quran kalangan ahli jamaah dengan melaksanakan beberapa konsep.

Pertama, semua ahli jamaah mesti membawa mashaf al-Quran kecil ke mana-mana sahaja mereka pergi. Natijah yang paling besar ada dua. Satu, keversihan dan kesucian diri terpaksa dijaga lantaran mereka membawa mashaf. Kedua, mereka akan terdidik untuk membaca al-Quran.




Kedua, mewujudkan suasana cinta al-Quran dengan memulakan sebarang majlis dengan membaca al-Quran dan bertadabbur bersama-sama. Apatah lagi jika surah yang dipilih ialah tentang akhirat dan kematian. Ia pasti lebih melunakkan hati.

Jika kedua-dua perkara ini dapat diimplementasikan sebaiknya, saya yakin satu perubahan akan berlaku. Ia memerlukan kesungguhan bermula dengan komitmen kalangan pimpinan terlebih dahulu. Jika pimpinan memulakannya, maka pasti akan diikuti oleh semua ahli.

Al-Quran adalah asas segala-galanya. Zikir yang paling mulia ialah al-Quran. Tiada guna karya Fathi Yakan atau Syed Hussein Nasr yang ditelaah sedangkan al-Quran kurang menjadi pedoman dan irsyad. Ia merugikan sebenarnya.

Saya juga mencadangkan agar Ketua Tarbiah, Saudara Hadi meneliti semula sembilan ciri Ibadur Rahman yang difirmankan Allah dalam surah al-Furqan. Maka ciri-ciri itu mesti difahami oleh semua ahli dan menjadi amalan dalam kehidupan dan penghidupan mereka. Selain itu, seharusnya ahli meneliti apakah muwasafat tarbiah bersepuluh yang harus mereka capai. saya pun masih dalam proses pembinaan diri.

Budaya cinta al-Quran. Semasa berjalan, kita mungkin pernah melihat ahli berjalan sambil membaca. Tetapi ada atau tidak ahli yang berjalan sambil membaca al-Quran atau mulutnya terkumat-kamit melafazkan zikir dan tasbih?

Ia bukan satu fenomena lagi bukan?

Sebagai contoh yang lain. Apabila kita berhadapan dengan sesuatu masalah, apakah kita terlebih dahulu memohon pertolongan dengan mengerjakan solat, membaca al-Quran dan mengadu kepada Allah? Atau kita kalut dan berbincang sesama ahli?

Sesungguhnya ahli hanyalah makhluk yang tiada daya dan upaya, sedangkan Allah adalah Khaliq. Allah lebih mengetahui.

Saya menutup perbincangan jam 1 pagi semalam dengan satu cadangan, "Akhi, mungkin nta boleh buat satu lounching berkaitan Generasi al-Quran Yang Unik."







Read More......

KEMUNCAK PENGAKHIRAN TARBIAH

3 Cadangan/Pandangan
Mungkin kita boleh berbincang satu perkara. Yang saya kira, amat menakutkan saya sebenarnya. Saya gentar untuk membicarakannya. Namun ia amat penting.

Apakah kemuncak pengakhiran tarbiah yang dilalui selama ini? Mungkin di sana ada beberapa jawapan. Apakah tarbiah kita ingin melahirkan nuqaba’ cemerlang yang akan meneruskan gerak kerja perkaderan?

Atau tarbiah kita melahirkan pakar dalam bidang masing-masing? Atau mungkin melahirkan pimpinan yang berjiwa besar mahupun politikus terbilang? Yang ini harus kita perhatikan.

Ada satu elemen yang paling menarik saya perolehi daripada Ust Yusri Presiden ABIM. Beliau bertanyakan saya satu soalan yang sudah ada jawapannya. Apakah ada university di Malaysia yang mengajar mata pelajaran tasawuf?



Mungkin ada, Dr Che Zarina di UM mengajarnya. Namun tidak banyak. Jika banyak sekalipun, sejauh mana aplikasinya? Maka saya cuba kaitkan dengan tarbiah yang dijalakan baik oleh GAMIS atau jamaah lain. Maka saya simpulkan, elemen tasawuf belum lagi menjadi satu penekanan yang amat penting.

Maka mungkin saya ingin katakan begini pada hari ini. Kemuncak tarbiah ialah melahirkan ahli yang berhati bersih, khusyu’, khudhu’ serta bertaqwa kepada Allah. Maka harus ada satu penekanan yang paling utama ke arah matlamat ini.

Baik, kita cuba menjawab beberapa persoalan bersama-sama. Cuba kemukakan kepada saya satu elemen dalam tarbiah yang menitik beratkan soal zuhud dan tawadhu’. Atau soal qanaah dan bersifat syukur. Mungkin jamaah akan menilai siapa nuqaba’ yang melaksanakan usrah tetapi sejauh mana penekanan jamaah terhadap qiamullail.

Saya pun sangat lemah dalam bab ini. Sekali lagi saya tegaskan. Saya juga tidak bersaya, cuma saya ingin sekali berbincang dan membincangkannya. Baik, sejauh mana jamaah mengambil berat tentang pembacaan al-Quran kalangan ahli?

Apakah ada jamaah terlalu menekankan soal amalan zikir dan wirid-wirid tertentu selain al-mathurat. Apakah ada elemen pembersihan hati menerusi amalan-amalan tertentu? Mungkin ada, cuma apakah ia sangat penting buat jamaah?

Benar ilmu penting. Tetapi kebersihan hati itu yang terpenting. Benar pemikiran dan politik penting. Tetapi politik akan kacau bilau sekiranya makin kurang orang seperti Ust Tuan Ibrahim. Apa lagi semacam Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Maka kita boleh fikir-fikirkan bersama. Saya akhiri dengan satu pesanan, jangan sibuk membersihkan hati sehingga meninggalkan gerak kerja yang lain.








Read More......

Sabtu, 4 Julai 2009

CADANGAN SAYA TENTAG PENGISIAN UMUM

5 Cadangan/Pandangan
Seorang adik dari sebuah kampus meminta jasa baik saya untuk menilai bentuk pengisian yang disusun oleh kepimpinan mereka. Saya sempat menelaah dan memberikan beberapa pandangan. Seraya, saya memberikan contoh manual pengisian mengikut akal saya.

Sebagai contoh, saya mencadangkan agar diubah tajuk kebiasaan menjadi sedikit lain. Agar ada daya penarik. Saya bertanya beberapa soalan kepada adik tersebut. Agak-agaknya, dengan tajuk cadangan ntum, orang nak datang dengar tak?

Kita tak nak ahli gerakan hanya datang dengar kerana itu disiplim yang terpaksa mereka lalui. Atau kerana program dan pengisian itu wajib. Itu tidak baik untuk jangka masa lama. Lebih baik mereka datang kerana keinginan mereka.



Maka saya menyebut,ada dua faktor yang menjadi daya penarik utama. Merangkumi tajuk perbincangan yang baik dan pembentang yang berkualiti. Ini yang terpenting. Sekiranya tajuk baik namun pembentang biasa-biasa sahaja, maka ia telah sedikit mencacatkan.

Sebagai contoh; apabila mereka mencadangkan tajuk dakwah fardiah, saya mencadangkan agar ditukar dengan tajuk lain. Seperti contoh, mereka boleh membedah buku. Kita buatlah contoh tajuk: “Dakwah Fardiah Menurut Sheikh Abdul Halim al-Kilani; Satu Kupasan Berdasarkan Karya Beliau” atau “Fiqh Dakwah Fardiah Menurut Pandangan Mustafa Masyhur.” Atau mungkin mereka membedah buku yang ditulis oleh Abbas al-Siisi yang dalam Melayunya diberi judul “Kiat-kiat Memikat Hati.”

Tajuk ukhuwah pula, syaa cadangkan agar ditukar dengan tajuk Ke Arah Team-Work Yang Berjaya. Pembentangnya mestilah seorang pakar motivasi yang pastinya akan mengupas dari perspektif berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan ustaz. Saya memberikan cadangan seorang motivator haraki yang bagus untuk dijemput mereka.

Manakala bagi tajuk dakwah, saya melihat faktor tahu dan mahu mesti digandingkan. Bukan lagi soal tahu hukum dakwah. Seorang pendakwah yang berdakwah kerana hukumnya wajib, tidak akan bernafas panjang. Maka mereka mesti tahu apakah permasalahan ummah dan mereka mesti disuntik dengan perasaan mahu.

Maka yang terbaik ialah mereka didedahkan dengan suasana sekarang berdasarkan fakta bahkan statistik yang baik. Kes pengkid, mak nyah, kecurian, zina tegar, pengedar dadah, sumbang mahram, dan sebagainya. Kemudian dicari pula apa punca timbulnya permasalahan tersebut dan apa kesannya. Akhirnya, dibincangkan plan strategi bertindak.

Saya juga mencadangkan mereka membincangkan tafsir al-Quran dan sirah. Tafsir tentang kisah Talut menjadi pilihan saya. Manakala Manhaj Haraki tulisan Munir Ghadban yang mengkisahkan strategi pembinaan Rijal pada zaman rasul amat penting.

Malah kemudiannya elemen pembersihan hati mesti disentuh secara khusus. Tajuk pembersihan hati, dengan membincangkan apakah faktor menggelapkan hati dan bagaimana membersihkannya menurut Filosofi dan Metodologi Imam al-Ghazali bagi saya amat penting. Pastinya kitab Ihya’ menjadi pilihanh utama dalam membincangkan soal ini.

Ada beberapa lagi cadangan saya termasuk wacana tokoh. Semua ini bertujuan untuk membuka ruang lanskap baru bagi membentuk satu daya pemikiran dan thaqafah yang berdaya tahan. Jika boleh, mahu saja saya mencadangkan agar mereka membincangkan tulisan Fazlur Rahman dan orientalis, namun itu terlalu berat dan saya sendiri pun masih dalam pengkajian.

Semua ini menuntut komitmen yang tinggi. Saya hanya memberikan pandangan dan cadangan dan saya langsung tidak kisah sekiranya pandangan saya diketepikan.

Saya turut berterima kasih kepada adik-adik tersebut kerana masih sudi mendapatkan khidmat nasihat saya meskipun saya ditohmah sebagai pengucar-kacir jamaah. Apapun, saya meletakkan diri saya sebagai khadam ummah ini.

Moga-moga Allah menetapkan pendirian saya dalam beragama dan berjihad. Malah harap-harap, saya bukan sahaja konsisten malah konsten. Amin ya Rab…


Read More......

Jumaat, 3 Julai 2009

TAHNIAH UST RAMADHAN, ATAS PUTRI BARU

3 Cadangan/Pandangan
Kisah para anbiya dalam berumah tangga benar-benar menjadi taulan. Ada nabi, isterinya rosak. Ada nabi, isteri menjadi pendokong perjuangan. Ada nabi, tidak beristeri bahkan ada yang tidak berkeinginan untuk berteman.

Nabi Lut dan Nuh mempunyai isteri yang buruk tingkah laku. Sejarah tidak pula mencatat dengan baik, apakah faktor kerosakan isteri kedua-dua nabi itu. Maka pendakwah harus mengambil pedoman, berhati-hati memilih isteri.

Nabi Yahya dan sepupunya pula, Isa tidak beristeri. Bahkan Nabi Yahya tidak ada keinginan mendirikan rumah tangga. Nabi Yahya mendapat sokongan moral daripada keluarga baginda yang memahami, apatah lagi warisa kenabian itu tertumpah daripada ayahanda baginda, Nabi Zakaria itu sendiri.




Mungkin Nabi Muhammad saw, Ibrahim dan Musa yang paling beruntung. Ismail juga begitu, dan beberapa nabi yang lain. Yang agak masyhurnya, kesolehan Sarah dan ketabahan Hajar dalam menjadi de-facto kepada perjuangan suami mereka.

Nabi Musa AS juga bertuah kerana memiliki isteri yang sangat. Keberanian baginda juga harus dinilai mengikut pengorbanan seorang isteri yang tabah. Bahkan isteri baginda menurut Surah al-Qasas adalah seorang wanita yang cerdik.

Semestinya Nabi kita saw yang paling bertuah. Khadijah merupakan peniup motivasi dan pendorong dari sudut kewangan perjuangan. Kehadiran Khadijah merupakan satu nkmat yang paling besar dalam hidup baginda.

Asiah pula wanita yang kurang bernasib baik dari sudut rumah tangga. Beliau terpaksa berkahwin dengan seorang raja yang berlindngkan kuasa sihi. Pemberontakan dalam diri beliau membuak-buak namun beliau tidak mampu untuk menterjemahkan Iman kecuali setelah mengambil tempoh yang agak lama.

Maka apa maksud yang baik untuk yang baik dan buruk untuk yang buruk? Adakah semestinya wanita baik memperolehi suami yang baik dan sebaliknya. Ia mungkin begitu namun ada fakta sejarah yang menafikannya.

Saya mengambil kesempatan mengucapkan dua versi tahniah kepada Ust Ramadhan Fitri Ellias yang merupakan naqib saya.

Tahniah ‘lama’ kerana mendapat isteri yang sangat bersabar. Kak Khadjah, baik saja saya denga dia. Sampai skarang. Sangat penyabar dan sangat pengasih.

Tahniah ‘baru’ kerana telah mendapat seorang anak puter yang pastinya cantik, dan insya-Allah mewarisi kecerdikan dan kepintaran ayahanda dan bondanya. Tahniah dan selamat berbahagia.








Read More......

MICHAEL JACKSON; MENGULANGI TRAGEDI ANTOKIYAH

2 Cadangan/Pandangan
Alhamdulillah, lidah dan hati orang yang bersyukur pasti gembira apabila Michael Jackson akhirnya dikebumikan sebagai orang Islam. Inilah natijah hidayah. Diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki. Beliau menikmati dunia tetapi mengecapi akhirat. Beruntung sekali.

Tahniah buat abangnya yang telah berjaya meng”Islam”kan adiknya. Ini merupakan satu kejayaan terbesar yang tidak dapat dinafikan. Meng”Islam”kan figure dunia berert satu nikmat yang tidak terjangkau lazatnya.

Saya sudah masuk dua atau tiga hari menikmati lagu-lagu beliau dengan penuh tumpuan. Lagunya memang memukau dan sangat menarik. Patutlah beliau sangat digilai ramai sehingga ramai yang berduka dengan kehilangannya. Read More......

Khamis, 2 Julai 2009

MUSA SEBAGAI AKTIVIS

2 Cadangan/Pandangan
Mungkin Nabi Musa as nabi yang garang, tetapi baginda tetap nabi yang paling bersabar. Nabi Muhammad saw mengiktiraf kesabaran Nabi Musa AS dan dijadikan sebagai bahan motivasi dalam perjuangan.

Baginda berjaya mencampur adukkan kemampuan intelektual, kekuatan spiritual, keupayaan jasadiah dan kebolehupayaan untuk mengawal permainan emosi. Justeru, Bani Israel beruntung berada di bawah baginda as.

Sebagai seorang yang lahir dalam istana, namun berdarah kampung, baginda as mengerti benar selok-belok jahiliah. Baginda as tahu apa strategi yang dimainkan puak Firaun dan siapa yang menjadi perancang di belakang Firaun.

Seolah-olah, Firaun hanya orang bodoh yang diperalatkan oleh seorang menteri yang licik dan cerdik iaitu Haman. Manakala ahli sihir menjadi tukang wayang yang menambah-nambah kehebatan Firaun sehingga namanya menjadi tersohor di merata.



Baginda lagir dalam dua kecamuk. Kecamuk antara kehidupan istana yang penuh kemewahan dengan darah kekampungan yang rindukan kesederhanaan. Kecamuk antara asuhan material yang ditaburkan Firaun dengan perasaan kezuhudan yang terpupuk melalui Asiah.

Baginda akhirnya melihat beberapa kepincangan berlaku. Dan ia sama sahaja dengan situasi sekarang. Gejala sosial yang kian parah khususnya di kalangan bangsawan dan kerabat raja. Ajaran sesat yang dimainkan oleh tukang sihir yang kaya-raya.

Keadaan sosio-ekonomi yang semakin parah lantaran pihak istana yang membazirkan untuk nepotisme dan kronisme. Manakala penindasan dan kezaliman berlaku ke atas bangsa baginda as, Bani Israel. Semua ini mengganggu pemikiran baginda.

Boleh jadi ada benarnya telahan Fazlur Rahman, betapa Nabi saw diutuskan membawa dua visi terpenting. Membentuk suasana peradaban dalam beragama dan memperbaiki keadaan sosio-ekonomi bangsa Arab dalam memacu kebangkitan sebuah tamadun.

Baginda as adalah aktivis masyarakat ketika itu. Sebagai anak muda, tindakan sulung baginda adalah bersifat mencabar dan sedikit radikal. Jika benar istilah radikal itu boleh saya gunakan. Berita pembunuhan dalam satu pergaduhan, mendedahkan apakah yang mengganggu perasaan baginda as selama ini.

Semua nabi yang diutuskan, sifat mereka mencarik adat kebiasaan dan mencabar tradisi. Nabi Musa as mencabar tradisi penindasan yang berlaku. Baginda as bangkit dan cuba membawa kaum yang menjadi hamba untuk bangkit menentang kezaliman. Bangsa yang bodoh piang itu akhirnya menyahut seruan baginda setelah melihat kemampuan dan keupayaan yang terserlah.

Semua nabi yang diutuskan tidak gemar dengan suasana pada zaman mereka, lalu diusahakan satu reformasi agar ia berjalan dengan terancang dan rapi. Nabi saw sebagai contoh, bencikan eksploitasi yang berlaku ke atas wanita lalu membawa misi pembebasan wanita dengan slogan kehidupan beragama dan bertuhan.

Pendek kata, tradisi keberanian itu akhlak terpuji para anbiya’. Nabi Musa as sedar bangsa baginda bangsa yang lemah. Namun semua ini tidak mematikan semangat baginda untuk menyuntik suatu keberanian dan upaya yang tidak terjangkau dalam diri ummah.

Sepanjang kehidupan baginda as, baginda telah berhadapan beberapa tragedi yang sangat tragis. Satu, pembunuhan Asiah yang merupakan ibu angkat baginda. Dua, pembunuhan besar-besar bayi lelaki yang membawa petanda, hapuskan sahaja bangsa yang tidak berguna. Maka misi baginda tentunya, hapuskan penghambaan kerana manusia hanya hamba Tuhan.

Tiga, diburu sehingga baginda as melarikan diri daripada bumi kesayangan baginda, sehelai sepinggang. Empat, berdepan dengan bangsa yang sudah terbiasa dengan tradisi kehambaan, tidak pandai memerintah dan mengurus diri sendiri. Lima, Firaun mengungkit balik segala jasa yang ditaburkan selama ini dan menuduh baginda as sebagai orang tidak mengenang jasa.

Seolah-olah, baginda as bagaikan pegawai agama UMNO yang keluar membentuk Parti PAS. Namun yang paling berat dalam hidup baginda as, bukannya penentangan kepada kezaliman Firaun, sebaliknya bagaimana membina bangsa yang serba-serbi lemah dan tiada daya memimpin.

Tidak suka menerima perubahan dan masih berfikir dalam kepompong yang sama. Hanya pandai mengkritik dan tidak berbuat. Akhir kemuncak penderhakaan, bangsa baginda menyembah isme dan Tuhan patung lembu.

Benarlah, Musa ada Samiri, Muhammad ada Firaun.








Read More......

JANGAN PERSENDAKAN FIRMAN DARI LANGIT

9 Cadangan/Pandangan
Apabila seorang ulama ingin bermuhasabah, menepis rasa sombong yang bersangkar dalam diri manusia, ia berkata dengan penuh rendah diri, “Ingatlah, kita hanya dari setitis mani yang hina, keluar dari saluran kencing.”

Ia bukan kaitan dengan saintifik. Tetapi berkaitan dengan muhasabah. Permainan lenggang lenggok bahasa. Namun ada yang tidak berpuas hati dan cuba bermain falsafah. Tidak mengapalah. Rugikan masa sahaja untuk berdebat.

Saya menarik balik pernyataan tentang kaitan polis dengan anjing. Emosi mungkin saya ketika itu. Saya menarik balik. Sepatutnya saya meletakkan akal di depan perasaan.

Allah menggunakan bahasa yang mudah dalam Surah al-Mursalat, ayat 20-21 dengan tertib sekali, “Bukankah Kami menjadikan kamu daripada air mani yang hina? Kemudian Kami simpankannya di dalam rahim.”



Entah mengapa orang mempertikaikan pernyataan saya berkaitan kita berasal dari air mani. Teorinya betul. Al-Quran menyebut perkara yang sama. Dan tidak pula dikatakan secara detail penciptaan manusia dalam ayat tersebut. Tetapi ada yang tidak tahu bermain kata. Bahaya, boleh mengundang murka kerajaan langit.

Memang Allah menciptakan manusia sebagai kejadian terbaik. Dalam surah al-Tin Allah menyebut dengan penuh nada muhasabah, “Sungguh, Kami telah jadikan kamu dalam sebaik-baik bentuk. Kemudian Kami rendahkan martabatmu.”

Meskipun manusia sebaik-baik kejadian, namun apabila ia melakukan angkara dan dosa, maka martabatnya direndahkan. saya ingin mengajak yang mempertikaikan pernyataan saya, agar insaf dan sedar, merenung dan tafakkur.

Tiada pernyataan menyebut sebaik-baik manusia adalah sejahat-jahat jin. Jika begitu, jin yang beriman kepada Allah lebih teruk berbanding Abu Jahal? Begitu? Atau apa makna jahat itu? Nakal atau suka mengusik? Atau macam mana? Sedangkan ada jin yang membantu jihad Nabi SAW.

Jangan berbicara tanpa ilmu, kelak bahaya menikam diri. Jangan berbicara dengan emosi yang berapi, kelak dosa memamah pahala. Jika marahkan saya sekalipun, jangan sekali-kali mempersendakan firman langit.

Jangan dihina syaitan. Itu bukan ajaran nabi. Nabi SAW menegah umatnya menghina syaitan. Yang nabi ajar ialah, berlindung kepada Allah daripada syaitan yag direjam. Jika tidak, padah jawabnya.

Jangan suka melaknat orang. Kelak kita yang dilaknat malaikat di langit. Saya berdoa kepada Allah, agar diampuni sahaja yang melaknat saya kerana telah saya maafkan kesilapan tersebut. Tidak patut saya marahkan orang yang mungkin masuk syurga sedangkan saya mungkin ke neraka wal ‘iyazabiLlah. Meskipun mereka memanggil saya anjing dan babi sekalipun.

Mungkin benar juga panggilan orang kepada saya. mungkin ada perangan anjing dalam diri saya. mungkin ada sifat babi dalam akhlak saya. Maka akan saya muhasabah diri dan perbaiki dari masa ke masa. Terima kasih kepada yang memberikan gelaran tersebut.

Syaa berterima kasih dan bersyukur kepada Allah. Sekurang-kurangnya, ada yang menegur dan memperingatkan.

Saya adalah manusia yang tidak tahu untung jika saya marah-marah dengan orang yang menggelar saya dengan pelbagai nama. Ya, termasuk memanggil saya sebagai pengikut syaitan. Saya patut berterima kasih kerana ada yang menasihati saya.

Seolah-olah mereka berkata, “Zul, jangan ikut jalan syaitan. Bertaubatlah kepada Allah.” Alangkah indahnya nasihat dan pesan mereka. Nada mereka keras namun niat mereka cukup mulia. SubhanaLlah.

Namun saya pohon satu saja. Jangan mudah persenda sesuatu ilmu dengan berlapikkan kejahilan. Tolonglah jangan. Soal air mani. Soal kekuatan Iblis. Soal Jin. Dan segala soal yang anda tidak tahu, meskipun aneh pada anda, jangan persendakan.

Yang berkaitan dengan saya, nak panggil apa saja, babi ke, anjing ke, air mani ke, nak tuduh saya tidak habis belajar ke, panggillah, tuduhlah. Tidak mengapa. Tetapi dengan Tuhan dan kerajaan langit, berhati-hati.




Read More......

Rabu, 1 Julai 2009

MEREKA BAGAIKAN ANJING, TIDAK, BAHKAN MEREKALAH ANJING

13 Cadangan/Pandangan
Pemuda PAS mengambil berat tentang isu penangkapan dua pelajar UM. Petang tadi saya dihubungi oleh Ust Kamaruzzaman, SU Pemuda. Dan baru sebentar tadi Ust Tantawi menghubungi saya, menunjukkan prihatin beliau yang sangat tinggi.

Saya mengerti, Ust Tantawi jiwanya tarbiah. Orang yang berilmu serta mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk memacu kepimpinan Pemuda PAS. Sikap kepedulian beliau yang tinggi sehingga sanggup menawarkan bantuan adalah sangat terpuji.

Benar mahasiswa non-partisan. Tapi acap kali Pemuda PAS membantu. Saya menanti-nanti di mana Pemuda UMNO. Adakah isu conteng dinding dinggap satu penderhakaan yang melampau sedangkan menentang agama Allah dianggap kecil.



Polis bagaikana anjing terlatih. Maaf, saya tidak katakan polis sebagai anjing. Cuma saya tamsilkan, polis bagaikan anjing terlatih. Mengikut sahaja apa yang disuruh. Seolah-olah, tiada guna otak pemberian Allah kerana mereka tidak berotak sebenarnya.

Bukan semua polis. Ada beberapa sahaja. Yang mencerca adik-adik saya, Izzudin dan Syarudin, itulah anjing terlatih. Maaf, macam anjing terlatih. Yang memaki hamun adik-adik saya, ya, itulah anjing terlatih. Maaf, saya tersasul lagi, macam anjing saja.

Yang mencari di mana adik saya Munir itu, itulah anjing. Maaf, ala, senang-senang saya panggil anjing teruslah. Ada mata tak guna. Ada telinga tak dengar nasihat. Ada hati tak merasa. Inilah ibarat binatang ternak kata Allah, bahkan lebih teruk lagi. Yang lebih teruk daripada lembu, anjinglah.

Saya tidak redha dengan segala kekusutan yang berlaku ini. Jika berlaku sesuatu kepada adik-adik saya, saya yakin mahasiswa tidak teragak-agak lagi untuk melakukan sesuatu yang pasti tidak akan dilupakan oleh kerajaan.



Read More......

Archive

Zaharuddin.Net

Followers

 

AKU HANYA PENULIS (013-2968703). Copyright 2008 All Rights Reserved DZULKHAIRI BIN KAMARIAH by GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA Converted into Blogger Template by ILHAM CENTRE